Perhimpunan UMNO bincang hala tuju masyarakat bukan pertandingan

Saya setuju agar Perhimpunan agung UMNO dijadikan forum untuk memanfaatkan bangsa dan bukan sebagai medan pertempuran. Platform seumpama ini disediakan setiap tahun agar para pemimpin UMNO, yang juga terdiri daripada wakil dan ketua masyarakat, dapat bertemu dan berbincang tentang usaha-usaha untuk meningkatkan martabat dan menentukan arah tujunya di alaf baru. Di sini para pemimpin boleh mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi masyarakat Melayu dan mencari jalan untuk menyelesaikannya agar bangsa Melayu boleh ''berdiri sama tinggi'' dengan bangsa-bangsa di dalam dan luar negara. Secara khusus, perhimpunan agung berperanan sebagai tahap tertinggi untuk mengadakan penilaian diri dan menentukan program-program jangka pendek dan jangka panjang yang harus dilaksanakan UMNO agar terus relevan kepada masyarakat Melayu dan negara Malaysia. Para pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian seharusnya telahpun mengadakan diskusi tentang topik-topik yang berkaitan sebelum membentangkan hasil penilaian mereka di perhimpunan agong parti.

Apabila semua pandangan, cadangan dan nasihat ini disuarakan di perhimpunan agung, maka pucuk pimpinan parti akan dapat menjalankan usaha yang sesuai dengan kehendak masyarakat. Inilah tujuan sebenar diadakan perhimpunan terbesar parti agar dapat berbakti kepada bangsa. Pertandingan untuk merebut jawatan-jawatan penting kadangkala berlaku namun ini harus menjadi perkara sampingan kepada matlamat sebenar perhimpunan agung. Sebagai seorang yang sayangkan UMNO, saya sedih dengan kerenah para pemimpin parti sendiri yang memberi gambaran salah bahawa pertandingan adalah agenda terpenting dalam perhimpunan agung.

Bagi mereka, pertandingan melambangkan demokrasi. Alasan mereka ialah perubahan mesti dilakukan untuk menyegarkan parti sedangkan umum tahu mereka ini hanya mahukan kuasa. Pepatah Inggeris ada bertanya, kenapa mesti dibetulkan sesuatu yang tidak rosak? Pandai pula pihak-pihak yang bercita-cita tinggi ini bercakap tentang pentingnya ahli UMNO berani melakukan perubahan sedangkan mereka sendiri ditakok lama dan masih tidak berubah perangai. Kalaupun ahli UMNO mahu diadakan pertandingan, biarlah di antara calon-calon yang berkaliber dan mempunyai latar belakang perkhidmatan yang cemerlang. Janganlah dipilih mereka yang kecewa dan sentiasa membawa masalah kerana kemungkinan UMNO akan menghadapi masalah perpecahan yang pernah dialaminya dulu.

Belajarlah daripada negara jiran kita Indonesia yang masih tidak kehabisan masalah setelah melakukan perubahan tanpa terlebih dahulu memikirkan baik buruk tindakan tersebut.

 

© 2000 Pemuda UMNO Cawangan Taman Bukit Kepayang. All rights reserved.