Al-Azhar: Kubu utama menentang kerosakan akhlak

AL-AZHAR, institusi tertinggi Islam, yang menjadi tuan rumah lawatan Pope John Paul II pada Khamis ini, menggelarkan dirinya sebagai ''kubu utama Islam'' di dalam menentang ateisme dan kerosakan akhlak. ''Al-Azhar masih dan akan terus menjadi kubu utama Islam dan bahasa Arab,'' menurut Al-Azhar dalam kenyataannya. Peranannya untuk menyebarkan ajaran Islam di seluruh dunia, memelihara budaya warisan Islam, menyekat perkembangan ke arah ateisme (ketiadaan tuhan) dan menyangkal doktrin subversif, serta menentang kekacauan, kemerosotan dan kerosakan akhlak.

''Al-Azhar mengambarkan Islam sebenarnya - sederhana, bertolak ansur, bertimbang rasa - yang menolak dan mengutuk fanatisme dan keganasan,'' menurut institusi itu dalam kenyataannya. Sheikhul Al-Azhar, Sheikh Mohammed Sayed Tantawi, dianggap rapat dengan kerajaan Presiden Mesir, Hosni Mubarak, yang sejak beberapa dekat lalu berperang bagi menentang pelampau Islam. Berdasarkan linkungan kajiannya, Al-Azhar menjadi rujukan mutlak mengenai perundangan dan amalan bagi masyarakat Islam, para pengikut Sunnah menurut institusi berkenaan.

Al-Azhar dipecahkan kepada lima badan: Majlis Agung, yang diketuai oleh Sheikh Tantawi; Akademi Pengajian Islam, universiti, kampus universiti dan institusi-institusi Al-Azhar. Majlis Agung membentuk dasar-dasar am. ''Ahli-ahli Sunnah-wal-jamaah membentuk majoriti masyarakat Islam dan kini jumlahnya mencecah satu bilion yakni satu perlima dari jumlah penduduk dunia,'' kata Presiden Universiti, Ahmed Omar Hashem. Dengan membuka pusat-pusat pengajiannya di seluruh dunia, Al-Azhar mengembangkan pengaruhnya dengan menyediakan penceramah dan pengkaji terkenal, di samping petugas-petugas agama yang lain serta mencetak salinan Al-Quran. Masjid terkenal Al-Azhar telah disiapkan pada 972 Selepas Masihi, dibina atas arahan Gohar al-Siquilli, pemerintah tentera yang menguasai Mesir atas nama Raja Al-Mu'iz dari kerajaan Fatimi di Maghribi.

Al-Azhar, yang bermakna paling ''berkembang dan gemilang,'' mengambil sempena nama Fatima al-Zahraa, anak kepada Nabi Muhammad s.a.w, yang turut membangunkan kerajaan Fatimi di Mesir, yang memerintah dari 969 hingga 1171. Kursus pertama diberikan oleh Al-Azhar dalam tahun 975 dan kolej pertama telah dibina 13 tahun kemudian. Kolej berkenaan, yang kemudiannya menjadi universiti terpenting bagi para pengikut sunnah, telah mula dibentuk bagi menyebarkan fahaman Syiah kepada kebanyakan penduduk sunnah Arab di Mesir. Hari ini, para pengikut Syiah membentuk masyarakat minoriti Islam, tetapi merupakan rakyat majoriti d ibeberapa buah negara seperti Iran, Iraq, Lebanon dan Bahrain. Dibentuk semula dalam tahun 1961 bagi disesuaikan dengan dunia moden, Universiti Al-Azhar, yang mulanya mengajar pengajian Islam, bahasa arab dan metafizik, telah dibahagikan kepada 60 fakulti termasuk perubatan.

Lelaki dan perempuan hidup dan belajar secara berasingan di sana, mengikut tradisi ajaran Islam, di samping menerima pendidikan agama mengikut pengkhususan pengajian mereka. Jumlah pelajarnya kini seramai 195,000, termasuk 12,000 pelajar dari 93 buah negara, menurut presidennya. Perpustakaannya, yang ditubuhkan pada 1897, mempunyai lebih 60,000 hasil kerja, termasuk 15,000 manuskrip yang nadir (jarang dtemui).

 

© 2000 Pemuda UMNO Cawangan Taman Bukit Kepayang. All rights reserved.