Sumber
kedaulatan politik islam
Maka berilah peringatan dan ajaran kerana
sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan dan kamu bukanlah
orang yang berkuasa keatas mereka. (al-Ghasiyah : 21-22) Saudara muslimin
sekelian;
Perkataan politik muncul setiap hari di
dalam akhbar yang kita baca atau di dalam alat sebaran am yang kita dengar, di
kaca talivisyen yang kita tonton. Ia menjadi cara didikan dan pengajaran yang
dipelajari oleh anak-anak kita di bangku-bangku sekolah dan universiti.
Perkataan politik menjadi buah mulut ,bahan bualan, alat perhubungan di kedai
kopi, tempat kerja dan di mana-mana sahaja. Politik tetap sampai kepada kita
samada kita mahu atau tidak. Dia adalah wahyu semasa kita hidup. Oleh itu
mimbar jumaat hari ini akan cuba mendekatkan kefahaman mengenai politik secara
ringkas. Kita patut memahami apakah politik itu sebenarnya. Sebagai memenuhi
kehendak hadis RasululLah s.a.w. :
Maksudnya : Sesiapa yang tidak mengambil
berat mengenai urusan orang Islam maka bukanlah dari golongan mereka. Sebelum
perkataan politik digunakan secara meluas dalam masyarakat melayu, mereka
terlebih dahulu mengenali perkataan siasah. Ia disebabkan pengaruh bahasa arab
dalam masyarakat melayu. Di dalam kamus al-Munjid, siasah bermakna
mengenadalikan urusan sesebuah negara, memperbaiki keadaan dan urusan manusia
dan pentadbiran urusan sebuah negara. Dalam kamus moden bahasa Indonesia ada
menyebut mengenai perkataan politik dalam bahasa Belanda yang membawa erti tipu
muslihat. Politik pemerintahan bermakna tipu muslihat pemerintah. Politik
perang bermakna tipu muslihat perang atau pertempuran.
Para ulama’ telah membuat perbandingan di
antara perkataan siasah dan politik. Nilai yang terkandung dalam perkataan
siasah jauh lebih tinggi berbanding dengan apa yang terdapat di dalam perkataan
politik. Menurut mereka pengertian siasah tidak hanya terbatas dalam urusan
keduniaan semata-mata malah menekan urusan akhirat. Pengertian ini tidak
terdapat pada perkataan politik, malah lebih jauh dari itu, perkataan politik
itu sendiri mengandungi unsur-unsur tipu helah jahat yang memang bertentangan
dengan pengertian siasah. Antara tokoh ulama’ yang menghuraikan kedudukan
siasah ialah Abu Al-Baqa’ . Dalam tulisan beliau menyebut, "Siasah ialah melakukan
sesuatu yang membawa kebaikan kepada makhluk dengan membimbimg mereka ke jalan
yang membawa kejayaan masa kini (dunia) dan masa hadapan (akhirat)".
Seorang lagi tokoh utama ialah Abdul Wahab Khallaf menjelaskan ," Siasah
ialah mentadbir urusan awam di dalam negara Islam dan pentadbiran dengan
sesuatu yang dapat melaksanakan kepentingan dan menolak bencana selagi tidak
berlawanan dengan hukum dan dasar-dasar syariat".
Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam
Al-Sultaniah menerangkan fungsi pemerintahan Islam ialah " mendirikan
Islam dan mentadbir dunia dengannya (agama)". Ini bermakna siasah adalah
bermaksud bagaimana hendak mentadbir urusan dunia ini menurut kehendak Islam.
Walaupun sudah banyak penjelasan diberi , namun nampaknya masih ramai orang yang
keliru. Masih ada orang yang berpura-pura tidak faham. Masih banyak fikiran
yang dihantui oleh fahaman pemisahan agama dan politik. Politik bukan urusan
masjid, hendak campak politik di luar masjid: ulama’, orang agama maka bidang
tugas mereka hanya terbatas dalam bidang rohani. Manakala urusan negara, urusan
kehidupan itu menjadi tugas orang politik dan bermacam-macam lagi.
Sebenarnya fahaman yang memisahkan agama
dengan politik adalah fahaman yang terpengaruh oleh barat yang telah memisahkan
di antara agama dan gereja yang bermula pada abad pertengahan lagi. Sikap
permusuhan barat terhadap Islam telah mendorong mereka mencari berbagai jalan
untuk melemahkan umat Islam. Fahaman bahawa agama tidak ada kaitan dengan
urusan politik disebarkan secara meluas dimerata negara umat Islam. Lebih jauh
daripada itu agama Islam dituduh sebagai agama yang tidak suci lagi kerana
dikotori dan dicampur-adukkan urusan politik dan negara ke dalam agama. Kita
tidak hairan dan bersedih hati kalau barat berfahaman begitu atau melemparkan
tuduhan itu terhadap Islam kerana memang aliran pemikiran dan pegangan hidup
mereka tidak sama dengan Islam. Tetapi apa yang paling malang dan sangat
memalukan ialah sikap yang ditunjukkan oleh orang yang mendakwa dan mengaku
dirinya Islam tetapi sanggup bertaqlid buta kepada barat. Lalu slogan pemisahan
agama dan negara telah diimpot masuk dan dijulang dan diperjuangkan
bermatian-matian di dalam negara umat Islam melalui bermacam-macam cara
termasuk melalui tulisan-tulisan jahat yang digerakkan oleh penulis upahan dan
penulis suruhan.
Dalam usaha kita memahami politik Islam
suatu perkara yang asas ialah mengenai sumber kedaulatan. Titik permulaan dalam
mana-mana sistem politik ialah menentukan sumber kedaulatan atau sumber
kekuasaan. Dalam mana-mana sistem politik moden ,biar apa bentuk sekalipun
samada kapitalis , komunis, sosialis, sekular dan lain-lain semuanya mendakwa
bahawa mereka bersandarkan kepada kehendak rakyat. Menegakkan kepentingan umum
dan sumber kedaulatan ialah dibuat oleh setiap sistem di zaman moden ini. Jadi
bagaimana kita hendak membezakan di antara satu sistem perseorangan dengan
sistem demokrasi. Di dalam sistem perseorangan, kehendak pemerintah dunia hari
ini terdapat dua sumber kekuasaan. Pemerintah mempunyai kuasa yang tidak terbatas
keatas semua badan kerajaan, tidak kira samada pentadbiran, undang-undang,
kehakiman, ketenteraman awam dan penerangan dan lain-lain. Di dalam sistem
demokrasi pula badan pemerintahan ditentukan oleh rakyat. Oleh itu kehendak
rakyat adalah menjadi sumber kekuasaan dan kedaulatan. Satu soalan yang perlu
kita kemukakan ialah apakah sumber kedaulatan dan kekuasaan politik Islam jika
dirujuk kepada salah satu sumber tadi iaitu kehendak pemerintah atau kehendak
rakyat? Marilah kita melihat masyarakat Islam yang pertama sejak Rasulullah
s.a.w. menjadi pemerintah.
Firman Allah taala :
Maksudnya : "Dan kamu bukanlah seorang
pemaksa terhadap….???? Maka berilah peringatan dengan al-Quran kepada orang
yang takut kepada ancaman." (surah Qaff : 45)
Firman Allah lagi :
Maksudnya : "Dan tiada ayat yang
diucapkan itu al-Quran menurut kemahuan hawa nafsunya, ucapan itu tiada lain
hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya." (An-Najmu : 3-4)
Itulah dia Rasulullah s.a.w. yang menjadi
pemerintah pertama umat Islam , menyampaikan risalah tuhannya. Dia tidak
terkeluar daripada wahyu yang diturunkan kepadanya. Kita perhatikan suatu lagi
gambaran yang ditunjukkan oleh Khulafa Al-Rashidin . Abu Bakar As-Siddiq dalam
ucapan pertamanya mengatakan :"Wahai manusia aku telah dilantik untuk
menjadi pengurus urusan kamu. Aku bukanlah orang yang terbaik di antara kamu.
Tetapi al-Quran telah turun dan nabi Muhammad s.a.w. telah meletakkan sunnah.
Dengan demikian kita boleh mempelajarinya. Wahai manusia sesungguhnya aku ini
adalah pengikut bukannya pembawa. Jika aku melakukan kebaikan berilah
pertolongan kepadaku. Jika aku melakukan kesalahan perbetullah daku. Taatlah
kepada aku selama mana aku mentaati Allah dan rasulnya. Jika aku mengengkari
Allah dan rasulnya maka kamu tidaklah lagi wajib mentaati aku."
Dua gambaran tadi jelaslah bahawa
kedaulatan politik Islam dan kekuatan kerajaan Islam bukanlah pada orang
perseorangan, bukan ditangan pemerintah tetapi pemerintah wajib tunduk kepada
Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. . Pemerintah hanyalah seorang individu
yang memikul amanah dan tanggungjawab daripada Allah taala.
Firman Allah :
Maksudnya : "Ingatlah kepunyaan Allah
sahaja hak cipta dan memerintah segala urusan."
Persoalan yang kedua, apakah sumber
kedaulatan politik Islam berada di tangan rakyat seperti sistem demokrasi?
Biarlah sekali lagi kita melihat makna kedaulatan menurut teori demokrasi. Ia
bermakna kehendak rakyat adalah mempunyai kebebasan sama sekali tidak terikat.
Rakyat menjadi tuhan kepada dirinya dan hanya kekuasaan sahaja yang dia mahu.
Apakah perkara ini berlaku didalam Islam? Marilah kita merujuk kepada
perlembagaan umat Islam.
Allah berfirman :
Maksudnya : "Dan tidak patut bagi
seseorang mukmin dan mukminah apabila Allah dan rasulnya telah menetapkan
sesuatu ketetapan maka ada lagi pilihan yang lain mengenai urusan mereka.
"
Maksud ayat tadi menjelaskan bahawa rakyat
di dalam politik islam adalah mempunyai pembatasan tidak bebas, rakyat adalah
diperintah bukannya memerintah. Semua urusan adalah kembali kepada Allah. Apa
yang diharamkan oleh Allah maka tidak ada seorang pun yang boleh
menghalalkannya. Pendapat ramai umat Islam tidak boleh menghalalkan sesuatu.
Pendapat ramai umat Islam juga tidak boleh mengharamkannya.
Sabda Rasululah s.a.w. :
Maksudnya: Umatku tidak akan berhimpun
dalam perkara yang sesat.
Sebagai kesimpulan bahawa sumber kedaulatan
dan kekuatan dalam kerajaan Islam bukannya kehendak pemerintah dan bukannya
kehendak rakyat. Ianya adalah hak Allah taala semata-mata. Allah taalalah yang
menciptakan perlembagaan umat Islam yang bersifat abadi dan manusia tidak
berkuasa mengubah apa yang telah sempurna daripada Allah taala.
Firman Allah taala :
Maksudnya: "Sesungguhnya yang
menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah"
Al-Quran adalah kitab Allah dan
perlembagaan orang Islam. As-sunnah pula adalah nota penjelasan kepada
perlembagaan itu. Perlembagaan itulah yang membatasi kekuasaan kerajaan.
Kekuasaan pemerintah dan kekuasaan rakyat semuanya kembali kepada kekuasaan
Allah taala. Sesiapa yang mencari petunjuk yang lain dari Allah adalah sesat.
© 2000 Pemuda UMNO Cawangan Taman Bukit Kepayang. All rights
reserved.