BANYAK yang boleh dipertikaikan tentang
dakwaan Pas bahawa orang yang memilih parti itu boleh masuk syurga. Ertinya
hanya dengan memilih Pas sahaja satu-satunya peluang orang Islam masuk syurga. Terang-terangan
ini suatu penipuan. Tiap orang sebenarnya boleh berfikir dengan tenang dan
merujuk semula akan hukum-hukum Islam. Parti Pas hanya ada di Malaysia. Kita
bertanya kepada mereka: Adakah orang Malaysia sahaja yang boleh masuk syurga?
Bagaimana orang lain, kerana di negara mereka tidak ada Pas?
Pas pun tidak menubuhkan partinya selain
dari di Malaysia sahaja. Bagaimana orang di Mekah dan di Madinah hendak masuk
syurga? Sedangkan Mekah negeri yang nabi dilahirkan dan Madinah negara Islam
yang mula dibina oleh baginda? Orang di negara-negara lain pula semuanya masuk
nerakalah, kerana di negara tiada Pas?
Ini menunjukkan bahawa dakwaan Pas adalah
karut belaka. Rakyat juga patut bertanya benarkah kalau pilih Pas semuanya
masuk syurga? Adakah orang-orang bukan Islam yang memilih Pas juga masuk
syurga? Ini suatu kenyataan yang tidak sahih dan tidak ada dalam pengajaran
Islam. Kalaulah Pas tubuhkan partinya di Rusia dan orang Rusia yang tidak ada
agama itu pilih Pas, adakah masuk syurga? Kalau jawapan 'ya' bermakna orang
yang tidak ada agama pun boleh masuk syurga kalau pilih Pas. Kalau begitu
andaiannya tidaklah ada beza beragama dan orang tak beragama. Dan tak adalah
beza antara satu agama dengan yang lain. Sedangkan dalam al-Quran jelas Allah
mengatakan bahawa yang diterima hanyalah Islam (rujuk surah Al-Imran 85).
Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad
telah menyatakan bahawa orang-orang yang dimasukkan ke dalam syurga adalah
orang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Satu perkara yang patut diingat
ialah perbezaan parti dan agama. Parti politik walau atas apa nama sekali pun,
ia adalah bersifat sebagai pertubuhan. Ia bukan agama dan ia bukan akidah.
Kalau dikatakan bahawa parti itu agama maka semua yang dilakukan oleh parti itu
adalah suruhan agama. Jika ahli-ahlinya tidak patuh maka berdosa ia. Misalnya
kalau diadakan mesyuarat cawangan dan ada ahli yang tidak dapat hadir, adalah
dia berdosa? Ini tidak benar, kerana hadir mesyuarat urusan dunia. Tidak ada
nas mengatakan wajib hadir mesyuarat.
Atau satu contoh lain. Kalau parti
syaratkan ahli mesti serban hitam atau putih, tiba-tiba ahlinya pakai songkok,
adakah ahli itu berdosa kerana melanggar arahan parti? Ini tidak benar kerana
tiada nas yang mengatakan berdosa pakai songkok. Daripada contoh-contoh tadi
jelas bahawa parti bukannya agama. Natijahnya, tidak batal akidah kalau tidak
memilih suatu parti berlambang Islam atau memilih parti lain.
Satu lagi perkara yang selalu dikelirukan
ialah pilih UMNO atau pilih Islam. Ini adalah perangkap yang dipasang oleh
orang-orang yang suka menyelewengkan akidah. Di dalam pilihan raya, yang
bertanding adalah parti, bukannya agama. Misalnya parti UMNO, Pas, Keadilan dan
sebagainya. Rakyat bukan disuruh pilih agama atau Islam. Pengundi hanya diminta
pilih parti. Sekali lagi kita lihat bahawa yang bertanding bukanlah agama Islam
tetapi parti.
Mereka berdalih sama ada pengundi mahu
Islam atau tidak. Sebenarnya apa yang diperjuangkan UMNO adalah sesungguhnya
agama Islam. Mereka beri kata dua kepada pengundi pilih UMNO atau dengan maksud
bahawa UMNO itu tidak Islam. UMNO mereka katakan tidak memperjuangkan Islam.
Tuduhan itu adalah semata-mata fitnah yang tidak berasas sama sekali. Pada
hakikatnya UMNO sejak ditubuhkan lagi telahpun memperjuangkan Islam.
UMNO sebagai tonggak dalam kerajaan telah
merancang dan melaksanakan berbagai projek membangunkan Islam di negara ini. Ia
bermula daripada bidang pendidikan sekolah rendah hingga ke pusat pengajian
tinggi. UMNO juga melalui kerajaan mengislamkan berbagai sektor seperti
perbankan, pentadbiran dan juga bidang ekonomi yang lain. Rakyat boleh bertanya
semula kepada mereka: 'Apakah membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf
ekonomi bukan tuntutan Islam? Sedangkan al-Quran menyatakan, siapa yang tidak
hiraukan fakir miskin dianggap pendusta agama. Apakah memberi minum orang ramai
dengan membuat empangan air itu tidak dituntut dalam Islam? Sedangkan
Rasulullah memberi minum anjing yang kehausan pun dapat masuk syurga.
Apakah membuat lebuh raya memudahkan
perjalanan itu dituntut oleh Islam? Sedangkan membuang duri di jalan pun dapat
pahala. Apakah mengawal keselamatan rakyat daripada segala bencana itu tidak
dituntut di dalam Islam? Apakah mendirikan beribu-ribu masjid dan surau untuk
kemudahan beribadat itu tidak disuruh oleh Islam? Apakah mencegah jenayah dan
maksiat itu tidak dituntut oleh Islam? Kesemua bukti apa yang dijalankan oleh
kerajaan itu tidak dapat dinafikan. Kesimpulannya, akidah tidak boleh disamakan
dengan parti. Parti politik itu pula bukannya agama. Agama Islam memang
diperjuangkan oleh parti seperti apa yang telah dilakukan oleh UMNO. Ini
bererti memilih UMNO adalah memilih parti yang memperjuangkan Islam, kerana
buktinya telah ada di depan mata.
© 2000 Pemuda UMNO
Cawangan Taman Bukit Kepayang. All rights reserved.