Artikel Pilihan

 

Formula Megat Junid untuk kuatkan lagi UMNO

MUKADIMAH:

TAN Sri Megat Junid Megat Ayub mempunyai ramuan tersendiri dalam merancakkan gerak kerja Biro Penerangan UMNO Malaysia, yang baru diterajuinya. Sebagai Ketua Penerangan, beliau mengakui tugas berat menantinya dalam memastikan UMNO terus kekal sebagai tonggak parti pemerintah akan datang.

Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL di Tingkat 38, Ibu Pejabat UMNO semalam, beliau mengungkapkan beberapa formula untuk menguatkan lagi UMNO.

UTUSAN: Ramai tidak menjangka Tan Sri boleh kembali semula dalam kepimpinan UMNO dan menyandang jawatan Ketua Penerangan.

MEGAT JUNID: Saya sendiri tak menjangka. Beginilah, mungkin kerana saya telah lama bertugas dengan Dr. Mahathir sejak 1969, beliau tahu cara saya bekerja. Walaupun saya dah keluar dari Kabinet, saya masih membantu kerajaan. Misalnya dalam meredakan hubungan dingin antara Malaysia dan Amerika Syarikat, saya sendiri mengatur pertemuan antara Dr. Mahathir dan Presiden George W. Bush di Shanghai, China.

Dr. Mahathir sebelum itu pernah tawarkan saya jawatan sebagai Duta Bebas Malaysia sebelum Ketua Penerangan, tetapi saya tolak kerana saya nak `bebas' selepas lama dalam kerajaan. Tapi bila saya di luar negara, dia sebut nama saya. Akhirnya, saya menerima tawaran jawatan Ketua Penerangan itu.

UTUSAN: Sebelum ini Tan Sri ada menulis beberapa buku politik tetapi kini berada pula dalam kedudukan sekarang.

MEGAT JUNID: Saya masih menulis dan akan meneruskannya terutama apa yang saya tulis dalam `Getek'. Saya nak orang UMNO fikirkan punca wujudnya hakisan sokongan terhadap parti. Mungkin ada sebabnya. Angkuhkah kita? Sombongkah kita? Apakah yang menyebabkan orang boleh lari. Saya nak ahli UMNO perbetulkan diri mereka.

UTUSAN: Tugas Tan Sri sebagai Ketua Penerangan boleh dikatakan agak berat pada saat orang Melayu dikatakan lemah dan belum selamat ketika ini.

MEGAT JUNID: Sebenarnya, Dr. Mahathir cukup khuatir kalaulah dia tak dapat ubah minda orang Melayu dalam menghadapi persaingan, kemungkinan besar Melayu pada masa depan akan hadapi masalah besar. Ini kerana selama 30 tahun orang Melayu benar-benar `survive' menerusi kemudahan seperti kuota, subsidi dan insentif yang diberikan kerajaan. Tapi bila sudah wujud globalisasi, orang asing yang akan mula masuk tentu tak boleh terima hak istimewa Melayu.

UTUSAN: Sebagai orang penting mengetuai bahagian penerangan parti, peranan apakah yang boleh dimainkan oleh Tan Sri dalam mengubah minda orang Melayu?

MEGAT JUNID: Cabaran yang cukup besar adalah mengubah minda Melayu terhadap konsep bantuan.

Itu sebabnya saya memperbesarkan ahli jawatankuasa biro penerangan. Saya lantik bukan sahaja ahli UMNO di dalamnya tetapi Naib Canselor, pensyarah, ulama, ahli korporat, penulis, editor akhbar dan ahli politik yang boleh bantu saya. Kemudian, saya pecahkan pula biro yang begitu ramai ini kepada kumpulan-kumpulan pemikir politik dan perang saraf, agama dan pembinaan insan serta kumpulan pemikir pelaksana. Perbincangan akan dibuat secara rasmi di rumah saya setiap minggu.

UTUSAN: Bagaimana dengan sasarannya?

MEGAT JUNID: Fokusnya adalah kepada 2.8 juta ahli UMNO sendiri. Setiap 2.8 juta perlu mencari seorang rakan atau isterinya untuk diubah minda mereka. Sasaran juga ditumpukan kepada ahli korporat. Saya tak nak cakap banyak, biar saya buat dulu.

UTUSAN: Dalam memperkatakan isu politik pula, mungkinkah Tan Sri ada misi untuk menawan semula Kelantan dan Terengganu yang kelihatan sukar ditembusi.

MEGAT JUNID: Silap kita sendiri sehingga menyebabkan dua negeri ini terlepas dari genggaman. Pada tahun 1990, UMNO berpecah disebabkan ada Parti Melayu Semangat 46, pada 1995, kita `kembali' tapi Kelantan tak dapat ditawan. Tahun 1999, disebabkan oleh masalah Anwar, mungkin ramai ahli UMNO lari.

Yang kedua puncanya mungkin kerana kita terlalu banyak sangat belas kasihan kepada pemimpin UMNO tertentu.

UTUSAN: Apa maksud Tan Sri `belas kasihan'?

MEGAT JUNID: Macam di Terengganu , kita tahu orang UMNO sendiri tak mahu lagi (bekas) Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Begitu juga di Kedah, kita tahu dah tak ada kerjasama antara menteri besar yang dulu. Ini bukan masalah pembangkang tetapi dicetuskan UMNO sendiri yang harus kita buang.

Macam saya kalah kerusi Parlimen Parit, Perak pada pilihan raya umum 1999. Kalau bukan saya calonnya di Parit, UMNO mungkin menang. Bagi kerusi Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Hassan Ali (Pas) tak akan menang kalau wakil rakyat yang lama kalaupun nak digantikan dengan yang baru, letakkanlah (bertanding) di negeri. Ini sampai buang terus buat apa.

Budaya belas kasihan, melaga-laga, takutkan bayang-bayang harus dielakkan dalam UMNO. Ini asal ada cerdik pandai nak masuk dalam UMNO, tahan. Adanya cerdik pandai dalam UMNO pandai bercakap, dicantas.

Kita kena fikirkan ini semua. Budaya belas kasihan harus dibuang. Kita kena fikirkan bukan individu tetapi parti.

 

© 2000 Pemuda UMNO Cawangan Taman Bukit Kepayang. All rights reserved.