Melayu di persimpangan baru
AZMAN ANUAR
PARA perwakilan UMNO yang berhimpun di
Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), mulai hari ini akan
menumpukan perhatian kepada perbahasan hangat mengenai isu pendidikan, agama dan
sosial. Sebagaimana tahun lalu, perhimpunan UMNO kali ini juga tetap menarik
perhatian orang Melayu dan kaum-kaum lain umumnya, sungguhpun tiada pemilihan
jawatan tertinggi parti.
Hal ini bertambah menarik apabila Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad membacakan ucapan dasarnya buat kali
ke-21 sebagai Presiden UMNO.
Sejak kebelakangan ini kerajaan mengambil
pendekatan baru dalam bidang pendidikan dan ia mendapat reaksi tertentu
daripada pelbagai pihak. Antaranya mulai tahun depan pengajaran mata pelajaran
Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris secara serentak di semua peringkat
sekolah, 10 peratus kemasukan pelajar bukan bumiputera ke dalam program
matrikulasi dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta isu Sekolah Wawasan akan
menjadi perdebatan hangat di kalangan para perwakilan.
Persoalan enakmen-enakmen yang kurang jelas
dalam isu Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu
juga akan dibawa masuk ke dalam Dewan Merdeka.
Dalam usul sosial pula, antara isu yang
mungkin menjadi tumpuan bahas adalah mengenai ura-ura kerajaan hendak
mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas pesalah sumbang mahram.
Selepas ucapan penggulungannya tahun lalu,
Dr. Mahathir mengingatkan ahli-ahli UMNO tentang orang Melayu yang mudah lupa.
Barangkali untuk mengubah pemikiran Melayu, maka kerajaan melaksanakan
perubahan drastik melalui bidang pendidikan walaupun bagi Dr. Mahathir, ia
sedikit sahaja _ cuma 10 peratus. Walau apa pun penjelasan diberikan, orang
Melayu tetap bimbang dengan perubahan yang sedang dilakukan oleh kerajaan
pimpinan UMNO ini.
Sebab itulah perhimpunan UMNO kali ini
dikatakan cukup menarik untuk diberi perhatian kerana di sinilah para
perwakilan UMNO yang mewakili peringkat akar umbi parti akan menyuarakan
pandangan masing-masing sama ada setuju atau membantah. Kenyataan ini dibuat
sama ada melalui pandangan, kritikan, kiasan ataupun gurauan secara bernas.
Pun begitu, jika kita membaca pemikiran Dr.
Mahathir, beliau sebenarnya ingin menumpukan wawasan untuk melahirkan
masyarakat Melayu yang berasaskan ilmu pengetahuan cemerlang dengan segera. Ini
juga sepatutnya merupakan perjuangan kebangsaan orang Melayu dan UMNO kerana
kita sedang berada dalam gelombang ketiga iaitu bagaimana meletakkan orang
Melayu sebagai kaum yang disebut sebagai bangsa yang cemerlang.
Gelombang pertama iaitu ketika orang Melayu
menuntut kemerdekaan dan gelombang kedua bagaimana kita mengisi kemerdekaan itu
yang sudah dan sedang berterusan dijalankan.
Visi inilah yang sebenarnya dibimbangi oleh
Dr. Mahathir iaitu ketika mana dunia sedang berada di satu persimpangan baru
yang menuntut kecemerlangan.
Inilah senario dalam UMNO hari ini
bagaimana hendak memahami, menghayati dan bertindak selaras dengan harapan
Presiden UMNO iaitu untuk mengubah pemikiran Melayu selepas 32 tahun mereka
hidup di bawah lindungan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan ditongkatkan dengan
hak-hak keistimewaan bumiputera.
DEB memang tidak dinafikan banyak berjasa
dan membantu orang Melayu tetapi ia juga membentuk mentaliti subsidi dan
tongkat hingga mewujudkan satu dilema Melayu yang baru. Malah ada sesetengah
Melayu yang sudah berjaya pun masih hendak bergantung kepada kerajaan.
Nampaknya pemikiran orang Melayu sedemikian perlu diubah supaya mereka mampu
bersaing tanpa bantuan kerajaan lagi. Langkah untuk merawat penyakit Melayu ini
dimulakan dalam bidang pendidikan.
Menurut Ketua Pegawai Pengoperasian,
Institut Kajian Pembangunan Bangsa (IKPB), Dr. Muhd. Zainul Fithri Othman,
rawatan yang sedang kerajaan lakukan itu adalah untuk mengubat penyakit Melayu
yang mudah lupa.
``Kita balik ke Perhimpunan UMNO tahun
lepas, di mana peringatan dibuat bahawa Melayu mudah lupa. Oleh itu, untuk
mengingatkan mereka dengan rasa yang lebih mendalam dan berkesan, adalah lebih
baik diberikan mereka sakit dahulu,'' kata Dr. Zainul Fithri.
Beliau berpandangan, keputusan kerajaan
baru-baru ini mungkin dilakukan supaya apabila sakit, orang Melayu akan
mengambil tahu tentang apa yang harus dilakukan, mengikis rasa puas hati dan
mempunyai sikap untuk bersaing bagi menangani isu-isu semasa pada masa akan
datang.
Kerajaan ingin memberitahu hak istimewa
Melayu ini bukanlah kekal selama-lamanya, satu ketika nanti ia akan lenyap juga
jika kita tidak berhati-hati. Tamparan yang diberikan oleh kerajaan khususnya
kepada orang Melayu seperti kuota dan meritokrasi merupakan tindakan yang
positif.
``Orang Melayu sekarang memang belum
bersedia untuk bersaing dengan kaum lain, apatah lagi secara global. Kalau
bersedia pun dari segi mental dan fizikal hanyalah segelintir yang hidup di
bandar yang telah mengecapi kemudahan dan prasarana yang baik.
``Tetapi bagi Melayu yang duduk di luar
bandar yang prasarana masih kurang, walaupun kemudahan pendidikan bertambah
baik, tetapi tahap pencapaian dan pemahaman terhadap pendidikan mereka itu
tidak ke tahap yang kita ingini,'' jelah Dr. Zainul Fithri.
Bagaimanapun kata Dr. Zainul Fithri, orang
UMNO kini sedar bahawa tindakan Dr. Mahathir membuat sesuatu yang kurang
popular itu mesti ada sebab dan hikmah di sebaliknya.
Oleh itu, para perwakilan katanya, mungkin
akan berhati-hati dalam berhujah dalam perhimpunan kali ini. Apa yang ingin Dr.
Mahathir lakukan kini adalah untuk mewujudkan revolusi mental yang baru di
dalam fikiran setiap orang Melayu jika mereka mahu berjaya dan bersaing.
``Pemikiran orang Melayu perlu dihentak,
diganyang dan diketuk hingga bengkak baru mereka ingat bengkak itu adalah
disebabkan sesuatu,'' kata Dr. Zainul Fithri.
Menurut Ketua Eksekutif Institut
Perkembangan Minda (Inmind) pula, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir, pemikiran yang
terlalu bergantung kepada kerajaan perlu diperbetulkan. Memanglah hak
keistimewaan orang Melayu sebagai pribumi itu perlu dipertahankan tetapi dalam
konteks persaingan sekarang, orang Melayu tidak harus mengambil kira hanya
lingkungan kuota 30 peratus yang ditetapkan.
``Inilah sebenarnya menjadi dilema baru
bagi orang Melayu iaitu bagaimana mereka bersaing di luar lingkungan 30
peratus,'' katanya.
DEB berjasa besar kepada orang Melayu dan
ia meningkatkan bilangan golongan pertengahan Melayu yang satu ketika dulu amat
kecil, dan golongan ini turut terlibat dalam proses pembangunan dan membina
kecemerlangan.
Cuma persoalannya kata Dr. Zambry,
sepatutnya ketika mana kita pertahankan 30 peratus yang ada, dalam masa yang
sama ia sewajarnya melangkah ke tahap baru iaitu mengambil kira bagaimana
Melayu perlu bersaing dalam konteks 70 peratus yang lain.
``Kerana peratusan 30 dengan 70 yang ada
sangat berbeza. Ini menjadi satu dilema dan merupakan masalah kepada orang Melayu
yang pada masa yang sama mereka terpaksa bersaing sesama sendiri merebut 30
peratus yang ada,'' kata Dr. Zambry.
Kini sudah sampai masanya orang Melayu
memikirkan bagaimana mereka hendak bersaing dalam konteks 70 peratus di negara
mereka sendiri.
Satu lagi persiapan untuk menghadapi
cabaran ialah bagaimana perlu kita bersaing di pentas antarabangsa. Dalam
persaingan peringkat global ini tiada lagi kuota peratus yang diperuntukan.
Inilah dua cabaran besar orang Melayu hari ini. Dan ia juga menjadi tentangan
besar kepada UMNO.
Apa yang disuarakan oleh Perdana Menteri
yang juga Presiden UMNO ialah bagaimana persediaan orang Melayu berhadapan
dengan cabaran-cabaran ini. Bagaimana kita mahu membetulkan keadaan ini.
``Cabarannya terlalu besar. Kita tidak boleh
lagi bersikap tunggu dan lihat apa yang akan berlaku dalam proses perubahan
dunia sekarang,'' kata Exco Pemuda UMNO itu lagi.
Inilah kesedaran yang selalu Dr. Mahathir
tekankan dan beliau cuba mengubah sedikit demi sedikit minda orang Melayu
supaya biar mereka merasa sakit sedikit sekarang daripada menyesal di kemudian
hari. Tetapi orang Melayu sendiri berasa tidak mampu mengubah sikap dan minda
daripada bergantung kepada kerajaan.
Menurut Dr. Zambry, kebimbangan ini
berpunca daripada sejarah yang selama ini orang Melayu terpaksa berjuang untuk
membina kecemerlangan bangsa. Orang Melayu tertinggal jauh berbanding dengan
kaum-kaum lain.
Beliau juga berpandangan, kebimbangan ini
timbul kerana wujud satu perasaan tidak selamat dalam jiwa orang Melayu. Apa
saja dasar kerajaan yang berlaku kepada orang Melayu yang dilihat secara luaran
akan merugikan dan memberi kesan terhadap masa depan mereka maka ia dengan
sendirinya menyebabkan orang Melayu bangkit bertanya apakah wajar perkara itu
dilaksanakan.
Namun hakikat yang perlu kita sedar ialah
apakah tujuan sebenar Dr. Mahathir cuba mengubah minda Melayu dan pada masa
yang sama beliau hendak merugikan orang Melayu?
Menurut Dr. Zambry, jika kita lihat
perjuangan Dr. Mahathir sejak menjadi Presiden UMNO, tiada satu yang
diperjuangkan beliau bertujuan merugikan orang Melayu yang menjadi teras
masyarakat negara ini. Meskipun peringkat awal akan banyak yang mempersoalkan
apa yang dilakukannya seperti suatu perkara yang mustahil, hal ini sama juga
dengan persoalan yang timbul apabila Dr. Mahathir mengarah pembinaan lebuh raya
yang baru, pengeluaran kereta nasional Proton Saga yang ketika itu dianggap
membazir dan merugikan ekonomi negara.
``Samalah juga persoalan apabila Perdana
Menteri selaku Menteri Kewangan membuat penetapan nilai ringgit ketika
kegawatan ekonomi dulu yang dianggap sebagai langkah ke belakang dari segi
ekonomi. Tetapi semua ini akhirnya memberi kebaikan kepada rakyat negara ini,''
jelas Dr. Zambry.
Memang sukar untuk memberi keyakinan kepada
orang Melayu, kerana pengalaman pernah dijajah, pernah berada dalam kesusahan
dan kemiskinan serta sekian lama berjuang untuk mengangkat kedudukan orang
Melayu, memartabatkan bahasa Melayu ke satu tahap yang baik tetapi tiba-tiba
orang Melayu dikejutkan lagi.
Tetapi kita perlu ingat bahawa pada asas
persoalannya, apakah itu akan meruntuhkan atau memberi kebaikan kepada orang
Melayu? Kita telah melihat pelbagai pengalaman lalu.
Pada pemikiran Dr. Mahathir ialah kita
tidak patut membesarkan anak-anak dan generasi Melayu akan datang sebagai
anak-anak manja.
Sekarang menjadi tanggungjawab pemimpin dan
ahli-ahli UMNO untuk memainkan peranan penting bagi mengatasi masalah dan
mentaliti Melayu. Inilah perjuangan baru yang patut diterap ke dalam jiwa
ahli-ahli UMNO.
© 2000 Pemuda UMNO
Cawangan Taman Bukit Kepayang. All rights reserved.