Artikel Pilihan

 

Pemulihan dan cabaran UMNO

ZAINUDDIN MAIDIN

TIDAK pernah dalam sejarahnya, UMNO melalui ancaman dari dalam yang paling menggugat seperti yang dihadapi dalam Pilihan Raya Umum 1999.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir telah mengambil risiko yang sangat tinggi bila kembali kepada rakyat dalam suasana ledakan krisis keyakinan yang panas. Masa tidak berada di pihaknya, tempoh Parlimen sudah cukup, keadaan ekonomi semakin buruk. Semakin lewat pilihan raya diadakan semakin banyak kesempatan dari dalam dan luar parti untuk menghakiskan keyakinan terhadapnya, UMNO dan kepimpinannya.

Peristiwa di luar jangkaan telah memburukkan lagi suasana UMNO menghadapi pilihan raya itu. Mata lebam memberikan rahmat kepada parti lawan, dieksploitasi sepenuhnya oleh Pas sekali pun Pas dan pemimpin-pemimpinnya mengetahui yang sebenar.

Tetapi politik adalah politik, matlamat adalah kuasa, tidak salah bagi Pas untuk menangguk di air keruh.

Kata Otto van Bismarck, seorang negarawan Jerman pada 29 September 1851 yang tercatat dalam buku biografi bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Henry Kissinger: ``Politics is the art of the possible, the science of the relative.'' (Politik adalah seni untuk memungkinkan segala).

Strategi Dr. Mahathir untuk melumpuhkan Pas dengan menyekat pengaliran golongan radikal agama ke parti itu pada tahun 1982, dan membawa mereka masuk ke dalam UMNO untuk menyaingi Pas dengan imej Islam, ternyata menjadi senjata memakan tuan, memperkecilkan kewibawaannya sebagai pemimpin progresif Islam.

Madani melindungi Wawasan 2020-nya, idea dan projek mega Islamnya membesarkan imej Islam pemimpin yang secara `mendap' (tersembunyi dan halus) menyainginya.

Nasionalisme Melayu dalam UMNO di `ABIM'kan, lalu menjadi lemah dalam adunan ideologi Islam dan ketamakan materialisme dan semua pemimpin UMNO mahu terlihat sebagai pejuang Islam.

Dr. Mahathir secara terus terang digambarkan sebagai Mustafa Kamal Attaturk, tidak Islamik, menentang janggut, beristeri tidak bertudung dan sebagainya.

Perubahan ke arah imej keagamaan yang berlaku itu menyebabkan Pas melihat masa depan yang sukar tetapi ia juga nampak kekaburan masa depan Dr. Mahathir dan nasionalis Melayu Islam lainnya dalam UMNO.

Mereka melihat penerapan anasir dan nilai Islam yang hampir sealiran dengan mereka berlaku di sekolah, universiti, institusi dan jabatan kerajaan.

Mereka melihat perubahan identiti dan jati diri UMNO ke arah yang kelak akan lebih bersesuaian (accommodative) terhadap hasrat dan cita-cita mereka dan pada akhirnya membunuh nasionalisme UMNO.

Maka itu hanya Dr. Mahathir musuh utama Pas, tetapi yang lain pada akhirnya akan mudah untuk bersama.

Maka itu, hanya beberapa jam sahaja selepas pimpinan baru ini tersingkir daripada UMNO, terus diterima oleh Pas untuk meneruskan perjuangan bersama secara militan dengan demonstrasi dan reformasi yang tidak merupakan cara UMNO.

Sekali gus mereka kembali kepada keperibadian yang menggambarkan mereka langsung tidak menjiwai reformasi yang telah pun dilalui oleh UMNO dan Melayu sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Mereka memerlukan suatu lagi reformasi.

Dalam keadaan kebingungan, kekeliruan dan ketidakyakinan, UMNO terlihat sebagai mengetepikan Islam dengan penyingkiran `Pejuang Besar Islam', sentimen agama menolak Melayu kepada parti yang terlihat boleh mengisi semangat dan sentimen keagamaan ala ekstremisme yang diterapkan dengan teratur dan terperinci sejak 17 tahun lalu.

Demonstrasi dan gerakan reformasi jalanan seperti yang dicetuskan oleh gerakan pelajar dengan sokongan pelampau kiri dan pelampau agama pada tahun 1974, kembali ke pentas politik negara pada tahun 1998.

Dalam senario yang menggugat dan berpecah belah inilah UMNO kembali kepada rakyat.

Pas telah mendapat sokongan yang tidak diduga dalam pilihan raya 1999, tetapi tidak bertunjang daripada keyakinan kepada konservatisme Islam dan kejumudan Islam yang diperjuangkannya, sebaliknya di atas kemarahan dan sentimen yang rapuh, yang hanya dapat bertahan sementara, yang tidak kebal menghadapi ujian kewarasan dan logik pemikiran rakyat Malaysia.

Mata lebam tidak dapat melebamkan pandangan orang Melayu selama-lamanya kerana sejarah politik negara membuktikan kewarasan, kesederhanaan dan keseimbangan pemikiran Melayu dari semasa ke semasa sejak sebelum merdeka.

Maka itu apabila proses sosial, ekonomi dan politik menyerlahkan bukti-bukti kebenaran, maka yang batil itu tertolak, sembahyang hajat musuh-musuh UMNO memakan diri sendiri, pengucapan barua dan babi diakui sebagai keperibadian diri.

Allah berfirman ``Apabila datang kebenaran, kebatilan pasti akan lenyap. Sesungguhnya kebatilan itu tetap lenyap dan terhapus''.

Pilihan raya ke sebelas yang akan dihadapi kelak tidak sama lagi dengan suasana dalam pilihan raya 1999. Keadaan telah pulih, tenang dan meyakinkan. Tidak hanya UMNO merasakan keyakinan ini, sebaliknya pembangkang juga mempunyai pandangan yang sama. Mereka meramalkan pilihan raya lebih awal kerana mereka melihat UMNO boleh, Mahathir boleh dan Barisan Nasional berada dalam keyakinan diri yang tinggi.

Ini disebabkan keberkesanan strategi politik, ekonomi, sosial dan keselamatan yang diimplementasikan oleh kerajaan dan parti. Antaranya:

Mengikis anggapan dan persepsi ketidakadilan sistem kehakiman negara, pencabulan demokrasi dan hak asasi rakyat.

Tindakan terhadap politik wang dalam parti.

Pengambilalihan jawatan Menteri Kewangan oleh Dr. Mahathir, penyusunan dan pembersihan MAS, MRCB, Tabung Haji, Perwaja dan lain-lain.

Ketidakbenaran keracunan, suntikan HIV, maut tanpa rawatan ke luar negara, layanan buruk terhadap mata lebam dan sebagainya.

Kelumpuhan agenda media asing untuk meneruskan serangan terhadap dasar negara dan kepimpinan negara ekoran peristiwa 11 September.

`Dunia Selepas Peristiwa 11 September' menampakkan Malaysia lebih terkini malah mendahului dalam langkah pencegahan memerangi anasir subversif dan keganasan militan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tangkapan anasir militan Malaysia di Indonesia sekali gus meyakinkan rakyat terhadap kewujudan golongan militan dan tindakan-tindakan mereka di negara ini yang sebelumnya dianggap sebagai sandiwara.

Pengisytiharan Malaysia sebagai negara Islam dan kegagalan Pas mengemukakan konsep negara Islamnya.

Strategi pertahanan ekonomi dan pemulihan ekonomi yang mengibarkan bendera kemenangan Malaysia dan mendapat pengiktirafan seluruh dunia.

Kemenangan pilihan raya kecil di Sanggang, Ketari, Likas dan Indera Kayangan.

Kemenangan cemerlang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Krisis dan perpecahan dalam pakatan pembangkang; perletakan jawatan pemimpin penting dan pengunduran golongan Angkatan belia Islam Malaysia (ABIM) dalam parti Keadilan dan tindakan keluar DAP daripada pakatan pembangkang.

Kemerosotan imej kepimpinan ulama Pas terutama selepas Perhimpunan Palestin di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pemulihan semangat dan jentera parti UMNO.

Pas ternyata telah goyang dengan serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh UMNO dan terpaksa mengikis imej keras dan taksub. Ada kalanya ia kelihatan seperti sudah kehilangan arah dan mahu menunjukkan liberalismenya sehingga terlihat oleh hard-liner (anggota aliran keras) dalam partinya sendiri sebagai telah mengorbankan prinsip asalnya. Antaranya:

Membenarkan wanita bertanding dalam pilihan raya:

Menafikan pengkafiran orang UMNO.

Tidak akan menutup Genting Highland:

Mengemukakan konsep negara Islam di muktamar Pas ke-48 di Kelantan yang bercirikan negara Islam sekular.

Membentuk jawatankuasa untuk menyusun strategi menggunakan artis popular bagi menarik minat golongan muda kepada Pas.

Pas berada dalam keadaan tertekan, dalam krisis keyakinan yang sama seperti yang dihadapi oleh UMNO selepas pilihan raya 1999 yang merasa tercabar pada setiap tindakan yang dibuat oleh Pas.

Keyakinan diri UMNO sekarang berasas. Ini dapat diukur dengan sambutan kepada majlis-majlis anjurannya, kehadiran ramai di mesyuarat UMNO dan perjumpaan-perjumpaan kerajaan.

Bagaimanapun UMNO tidak seharusnya selesa dengan keyakinan seumpama ini sekali pun berasas sebaliknya harus melihat kemungkinan cabaran besar kepada parti sama ada yang bersifat baru atau tradisi pilihan raya.

Antaranya ialah:

Pas dan DAP akan kembali bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain bagi memastikan satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang.

Kemungkinan berulangnya perpecahan UMNO kerana perebutan menjadi calon yang berlaku setiap kali pilihan raya.

Pengulangan tayangan isu mata lebam, hudud, negara Islam, isu-isu semasa dan isu-isu di luar jangkaan.

Maka itu usaha hendaklah dijalankan dari sekarang oleh UMNO untuk mengembalikan tradisi memilih calon berasaskan simbol parti mematuhi pemilihan parti dan keputusan presiden.

Rakyat mestilah diyakinkan dari sekarang bahawa Pas dan DAP akan terus bekerjasama kerana matlamat mereka adalah untuk menafikan hak 2/3 kepada BN.

Orang Melayu mestilah diingatkan bahawa kerjasama Pas-DAP akhirnya akan menafikan ketuanan Melayu. Pas menolak asabiah dan DAP memperjuangkan Malaysian Malaysia konsep politik atau doktrin Lee Kuan Yew (Singapura) yang mahu menidakkan kuasa Melayu.

``We had set out to create a broad coalition that could press the Alliance Government in Kuala Lumpur for a ``Malaysian Malaysia'', not Malay Malaysia -- not easy matter, since the ruling Alliance itself was dominated by the Tunku's UMNO'' (Kita telah merancang untuk mewujudkan satu kerajaan campuran luas, yang mana ia boleh memberi tekanan kepada Kerajaan Perikatan di Kuala Lumpur untuk mewujudkan sebuah Malaysian Malaysia, dan bukannya Malaysia Melayu -- bukan satu yang mudah kerana Perikatan yang memerintah didominasi oleh UMNO pimpinan Tunku.)-- The Singapore Story Memoirs of Lee Kuan Yew muka surat 17.

Di samping itu, bukan Islam mestilah dijelaskan bahawa negara Islam Barisan Nasional bukan bertujuan untuk bersaing dengan Pas kerana inilah yang menimbulkan kebimbangan orang Cina dan menjadi bahan kempen DAP

 

© 2000 Pemuda UMNO Cawangan Taman Bukit Kepayang. All rights reserved.