Artikel Pilihan

 

Wanita: Dari sayap ke tulang belakang UMNO

MARHAINI KAMARUDDIN

BUKANLAH sesuatu yang menghairankan apabila Ketua Wanita UMNO, secara tiba-tiba memberi label baru kepada pergerakan itu sebagai tulang belakang parti.

Di saat lebih banyak tumpuan diberikan kepada entiti baru yang akan dibawa masuk ke dalam parti tahun ini, sedikit-sebanyak pergerakan itu kelihatan tenggelam oleh `kegemerlapan' Puteri.

Ironinya kewibawaan Puteri memang terbukti menerusi peranan yang dimainkan ketika membantu kemenangan parti dalam dua pilihan kecil yang lepas.

Kerancakan Puteri menjalankan aktiviti-aktiviti yang mendapat liputan meluas media massa juga mengukuhkan kedudukannya sebagai sayap baru parti.

Oleh itu dapat difahami apabila Rafidah cuba meniupkan semangat kepada ahli pergerakan itu di bawah jenama baru `Wanita Tulang Belakang UMNO'.

Bertitik-tolak daripada ucapan dasar Rafidah itu, hampir semua perwakilan menjadikannya sebagai intipati perbahasan.

Kesemua pembahas bagaikan senada mengingatkan diri sendiri di samping sinis memperingatkan entiti lain UMNO bahawa pergerakan itu adalah penentu kekuatan, ketahanan dan keupayaan parti. Hakikat yang bagi mereka perlu diiktiraf.

Namun bagi mereka yang mengharapkan kenyataan-kenyataan pedas yang boleh dijadikan modal untuk mengesahkan `pergeseran' Wanita dan Puteri, pasti hampa.

Penubuhan Puteri yang menjadi salah satu agenda utama pada perhimpunan tahun ini tidak menjadi topik yang diminati pada perhimpunan Wanita UMNO kali ini.

Perbahasan sebaliknya ditumpukan kepada isu-isu semasa yang lebih serius khususnya meritokrasi, pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, hak keistimewaan orang Melayu dan hudud Pas serta masalah sumbang mahram.

Rafidah dalam ucapan dasarnya juga tidak berminat untuk menyentuh soal Puteri kerana enggan mengundang kontroversi.

Kecenderungan pembahas mengelak isu Puteri dan terlalu memberi tumpuan kepada konsep baru yang cuba diterapkan oleh Rafidah menyebabkan fokus perbahasan kurang meluas.

Rata-rata pembahas sering `mengulang-ulang' fakta yang sama sehingga mendapat teguran Pengerusi Tetap, Tan Sri Aishah Ghani.

Kefahaman yang sedikit terhadap isu seperti draf Rang Undang-undang Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu ketika perbahasan usul agama pula menyebabkan hujah pembahas kelihatan kurang meyakinkan.

Namun ada beberapa pembahas menjadi penyelamat kepada suasana hambar perbahasan dengan lontaran idea berani dan berterus-terang.

Wakil Negeri Sembilan, Samsiah Samsuddin misalnya dengan lantang menyuarakan rasa tidak bersetuju dengan pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Logik yang digunakannya jika keputusan tersebut bermatlamat untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, kenapa pula mata pelajaran Sains dan Matematik menjadi mangsa.

``Kenapa tidak mengambil langkah mengukuhkan pengajaran dalam mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri?'' soalnya.

Kebimbangan Samsiah berasaskan pencapaian pangkat A oleh pelajar Melayu dalam peperiksaan bahasa Inggeris tahun lepas tidak sampai pun 25 peratus.

Beliau lantas mencadangkan supaya tumpuan diberi untuk memperbaiki kelemahan sistem pengajaran bahasa Inggeris di sekolah dan mewujudkan dana pendidikan menyamai Projek Langkawi yang diusahakan MCA.

Keberanian beliau membawa nada ucapan yang berbeza daripada pembahas lain, mendapat sorakan perwakilan dan menarik perhatian pemerhati.

Seperkara yang menarik kali ini, ada pembahas yang bijak mewarnai suasana perhimpunan dengan perkembangan semasa.

Ketika usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris sedang digiatkan, wakil Perlis, Azihani Ali misalnya menarik perhatian perwakilan apabila menyampaikan ungkapan dalam bahasa tersebut mengenai kedudukan Wanita.

Walaupun bagi pemerhati, suasana perhimpunan kali ini agak `dingin' kerana ketiadaan isu hangat, namun secara keseluruhannya ia menunjukkan peningkatan dari segi kematangan berbahas.

Mungkin ada hikmahnya apabila para perwakilan memisahkan diri daripada isu kontroversi khususnya cerita-cerita hubungan dingin dengan Puteri UMNO.

Ini menjadikan perhimpunan agung kali ini tidak diselubungi dengan emosi sekali gus berjaya menjelaskan hala tuju dan masa depan Wanita UMNO.

 

© 2000 Pemuda UMNO Cawangan Taman Bukit Kepayang. All rights reserved.