Artikel Pilihan

 

Khidmat ikat rakyat dengan Pemuda

NOOR AZAM SHAIRI

PERANG Uhud yang tercatat dalam sejarah perkembangan awal Islam melukiskan satu contoh terbaik tentang makna dan cara mengisi sebuah perjuangan.

Perang kedua dalam sejarah Islam itu tidak hanya merakamkan kisah kalahnya pasukan tentera Islam yang gagah hanya kerana segelintir daripada mereka lali dan leka dengan kejayaan yang baru dikecapi mengalahkan musuh.

Lebih besar daripada itu, ia menceritakan tentang makna mentaati ketua dan kesungguhan dalam perjuangan - jangan ingkar kepada perintah biar apa sekalipun yang ada di depan mata.

Episod pendek daripada sejarah silam zaman Rasulullah itu menyimpan khazanah yang tidak ternilai tentang erti perjuangan dan pengorbanan, kesetiaan dan ketaatan.

Tidak hairanlah kenapa kisah itu sering diingatkan dari masa ke masa, dengan harapan mahu meminjam semangat keagungannya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Hishammuddin Tun Hussein juga menyebut kisah Perang Uhud dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan agung badan itu, semalam.

Hishammuddin mengingatkan episod penting sejarah Islam itu dalam konteks perjuangan UMNO yang hari ini dilihat sudah kembali pulih.

Tidak mustahil kalau apa yang diingatkan oleh Hishammuddin tentang perjuangan parti itu akan terlepas pandang kerana tumpuan orang lebih mahu melihat pendirian Pemuda dalam isu pendidikan orang Melayu dan bahasa Inggeris yang menjadi isu hari ini.

Tetapi kalau melihat dalam konteks yang lebih luas terutamanya serangan tanpa henti pihak pembangkang kepada UMNO sejak melihat wujudnya krisis dalaman parti pada tahun 1998, apa yang diungkapkan oleh Hishammuddin semalam perlu diberikan perhatian yang serius.

Sejak mengalami krisis dalaman ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan parti pada tahun itu, dan selepas dikejutkan dalam pilihan raya setahun kemudian, UMNO hari ini telah bangkit semula meraih sokongan dan kepercayaan rakyat.

Orang sudah mula memahami isu sebenar yang selama ini diputarbelitkan oleh pembangkang. Isu yang suatu ketika dilihat menggugat sokongan orang Melayu kepada UMNO sudah tidak lagi menjadi begitu besar.

Bagi Pemuda khususnya, semua itu tentulah hasil daripada gerak kerja baru badan itu bertujuan mahu mendampingi dan mendekati hati rakyat.

Program Pemuda Masuk Kampung misalnya yang digerakkan dengan tekad ``menterjemah keresahan, kesusahan dan harapan rakyat'' tentulah sedikit sebanyak sudah mula menunjukkan kesannya yang positif.

Selain mendekati rakyat, melalui program seumpama itu, Pemuda mempunyai ruang untuk menjelaskan segala kekeliruan yang ada dalam kepala masyarakat tentang isu semasa negara.

Menurut Hishammuddin, program seperti itu telah meningkatkan kefahaman Pemuda betapa kebersihan hati dan kemurnian jiwa rakyat telah dieksploitasi oleh dakyah-dakyah pembangkang.

``Masyarakat yang sengsara, menderita dan sepatutnya dibela menjadi mangsa eksploitasi ini,'' katanya.

Hishammuddin kemudian melemparkan cabaran kepada para perwakilan supaya membongkar dan menentang pembohongan pembangkang yang dilakukan terhadap orang Melayu selama ini.

Beliau mengingatkan para perwakilan supaya meneruskan komitmen ``membangunkan barisan Pemuda yang cemerlang, teguh pegangan agamanya, jelas tentang wawasan bangsa dan setia kepada negara''.

Kata Hishammuddin, UMNO memerlukan tidak hanya pemimpin yang baik tetapi juga pengikut yang baik. Gandingan pemimpin dan pengikut yang baik itu akhirnya akan menghasilkan gerak kerja yang cemerlang dan parti yang perkasa.

Untuk itu, ahli-ahli Pemuda perlu pada setiap masa mempertahankan keluhuran perjuangan UMNO sebagai parti yang mengetengahkan suara orang Melayu.

Mereka harus sentiasa tampil ke depan sebagai tangan yang mampu menjulang obor harapan yang dinyalakan dari segenap pelosok kampung dan setinggan, dari rumah petani dan nelayan.

``Kita perlu sedar dan insaf bahawa sokongan orang Melayu disusuli bersama harapan,'' kata Hishammuddin.

Orang Melayu masih menaruh harapan kepada UMNO yang disifatkan oleh Hishammuddin sebagai ``tempat luahan rasa, tempat luahan rintihan dan tempat luahan hasrat''.

Dalam ucapannya yang memakan masa sejam itu, Hishammuddin telah meninggalkan sepotong pesanan yang diharap akan diterjemahkan oleh ahli-ahli Pemuda dalam setiap gerak tindak mereka.

``Kita perlu bersama rakyat, mendekati rakyat, memahami masalah rakyat dan membantu menyelesaikannya.

``Jangan sekali-kali kita bersifat tuan kepada rakyat. Jadikan diri kita sebagai rakan dan taulan mereka.

``Ikatan rakyat dengan kita bukan kerana kemewahan kebendaan. Ikatan rakyat dengan kita kerana khidmat, kerana bakti, kerana budi dan kerana perjuangan kita,'' kata Hishammuddin.

Secara ringkasnya, apa yang mahu diingatkan oleh Hishammuddin kepada ahli-ahli Pemuda ialah UMNO dan rakyat tidak boleh dipisah-pisahkan. Perjuangan dan pembangunan rakyat harus kembali menjadi agenda utama UMNO.

Tetapi Pemuda harus sentiasa ingat bahawa pembangkang pasti akan terus mengaburi mata dan pemikiran rakyat dengan memesongkan isu-isu sebenar demi kepentingan politik sempit mereka.

``Musuh yang sedang lemah mungkin kelihatan berundur tetapi kita jangan cepat diperdaya dengan muslihat musuh. Musuh tetap musuh,'' kata Hishammuddin.

Memang benar UMNO sudah mula pulih, dan memang benar orang sudah kembali menunjukkan sokongan kepada UMNO kerana telah melihat belang dan wajah sebenar pembangkang.

Namun pembangkang akan terus dengan pelbagai muslihat mahu memperdayakan rakyat dengan isu sebenar yang ada di hadapan mereka.

Adalah menjadi tugas Pemuda yang disifatkan oleh Hishammuddin sebagai ``sayap dan tunjang UMNO'' untuk sentiasa siap sedia memerangi agenda jahat itu, dan seterusnya mempertahankan perjuangan parti.

Ahli-ahli Pemuda harus sentiasa insaf dan sedar bahawa tiada orang lain yang boleh meruntuhkan kekuatan parti tunjang orang Melayu selain ahli-ahlinya sendiri, sama seperti tiada orang lain yang boleh menguatkan UMNO selain orang UMNO sendiri.

Janganlah hendaknya kejayaan yang sekejap ini - memulihkan keyakinan umum kepada UMNO - yang dilihat sudah mula ternampak selepas krisis besar dekad 1990-an mengabui mata mereka.

Jalan yang menunggu di hadapan masih panjang dan berliku. Musuh sentiasa menunggu di setiap penjuru jalan. Itulah yang perlu mereka ingat selalu.

Itulah pesan daripada kisah Perang Uhud yang sering diingatkan itu.

 

© 2000 Pemuda UMNO Cawangan Taman Bukit Kepayang. All rights reserved.