Ucapan Pemimpin

 

Teks ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO, Pergerakan Wanita UMNO dan Konvensyen Puteri UMNO pada 18 June, 2002.

MEMBAHARUI MINDA MELAYU

Alhamdullillah, kita rafakkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t. yang telah memanjangkan usia, mengurniakan kesempurnaan akal, menganugerahkan kesihatan jasad, memberikan keupayaan hingga membolehkan kita sekali lagi dapat berhimpun dan bertemu dalam Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita dan Konvensyen Puteri UMNO Malaysia bagi tahun 2002 ketika UMNO telah berjaya mencapai usia 56 tahun penubuhannya. Semoga perhimpunan kita mendapat rahmat, mendapat petunjuk, diberi naungan, diberi lindungan oleh Allah s.w.t.

Semoga perhimpunan ini diterima sebagai amal yang mendapat keredaan Illahi dalam usaha kita memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, meningkatkan syiar Islam, mendaulatkan kemerdekaan negara, memartabatkan bangsa dengan bertiangkan iman yang kukuh, berpandukan niat yang ikhlas, bersendikan adat yang murni, berlandaskan perjuangan yang tulus menjayakan pembangunan untuk semua.

Saya mengucapkan selamat bersidang kepada para perwakilan dan pemerhati. Hari ini, struktur organisasi UMNO begitu tersusun hinggakan setiap desa, setiap kampung, setiap kota, setiap bandar, diliputi dan diwakili.

Saudara-saudari yang mewakili Bahagian masing-masing, adalah suara kepada bangsa Melayu dan kaum bumiputera dari seluruh pelosok tanah air. Saudara-saudari adalah penyambung lidah kepada segenap lapisan bangsa Melayu dan kaum bumiputera daripada pelbagai profesion dan kerjaya. Saudara-saudari adalah perantaraan bangsa daripada pelbagai strata sosial, menggemakan suara mereka di dewan ini. Saudara-saudari merupakan tali penjalin di antara ahli dengan pemimpin parti. Saudara-saudari juga adalah titian penghubung di antara pemimpin dan ahli parti.

Pucuk pimpinan parti amat menghargai suara rakyat dan suara ahli yang disampaikan melalui perantaraan perwakilan pada setiap kali persidangan diadakan.

Atas dasar menghargai suara rakyat dan suara ahli, dengan persetujuan Presiden dan Majlis Tertinggi UMNO, saya memilih membawa pembaharuan, saya memilih memperkenalkan perubahan, melangsungkan Ucapan Perasmian ini pada sebelah malam, sehari lebih awal dari tarikh mesyuarat dijadualkan.

Pembaharuan dan perubahan ini dilakukan dengan hasrat dan dengan tujuan untuk memberikan masa lebih panjang dan ruang waktu lebih selesa kepada Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO melangsungkan mesyuarat agung dan konvensyen masing-masing.

Masa lebih panjang dan ruang waktu lebih selesa ini dipercayai akan memberikan peluang penyertaan kepada lebih ramai perwakilan berhujah, mengemukakan pandangan, meluahkan renungan, menyuarakan teguran, mengusulkan cadangan.

Semoga pembaharuan ini akan memberi manfaat kepada ahli. Semoga perubahan ini membawa kebaikan kepada parti.

Sejak perhimpunan tahun lalu, dunia, negara dan parti melalui pelbagai peristiwa. Pada 21 November 2001, negara di langiti mendung hiba di atas kemangkatan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang kesebelas.

Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah adalah raja pemerintah yang telah melaksanakan tanggungjawab yang terus memperkukuhkan institusi raja berperlembagaan; institusi kesultanan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO sejak merangka Perlembagaan Negara. Secara rasmi di dalam Perhimpunan ini, kita merakamkan sembah ucap takziah kepada Yang Maha Mulia Sultan dan kerabat Diraja Selangor.

Negara juga kehilangan seorang tokoh pejuang bangsa dan pejuang kemerdekaan melalui landasan sastera dan penulisan. Sasterawan Negara Datuk Usman Awang telah menjawab panggilan Illahi pada 29 November 2001.

Allahyarham melalui tulisan penuh puitis, dalam bahasa yang mudah dan indah, telah menyampaikan pelbagai pandangan secara tajam lagi menghiris tetapi tertib lagi bersopan. Allahyarham senantiasa peka terhadap isu keadilan dan kemanusiaan, dan senantiasa mempelopori pemikiran terhadap pentingnya dibina masyarakat berbilang kaum yang bersatu lagi harmoni, hidup rukun dan damai. Allahyarham hilang secara jasad tetapi kekal dalam ingatan dan akan terus hidup melalui khazanah karya penulisan yang ditinggalkan. 

Pada petang Jumaat, 22 Februari 2002, dalam suasana umat Islam mengadakan persiapan menyambut Aidiladha, seorang tokoh wartawan yang amat disegani dan dihormati dalam era pasca merdeka, Tan Sri Melan Abdullah menyambut seruan Illahi. Allahyarham bertanggungjawab membangunkan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu hingga menjadi syarikat akhbar berbahasa Melayu yang utama di negara kita.

Melalui saluran media tersebut, Allahyarham telah membantu usaha UMNO untuk memartabatkan bangsa Melayu dari segi budaya, bahasa, politik, ekonomi dan kepimpinan. Allahyarham berada di barisan hadapan meniupkan bara semangat bangsa ketika negara menghadapi peristiwa konfrontasi dengan Indonesia.

UMNO juga kehilangan dua tokoh veteran Datuk Mohd. Yassin bin Abdul Rahman, yang pernah menjadi Setiausaha Agung UMNO, telah kembali ke Rahmatullah pada 1 Mei 2002 dan pada 13 Mei 2002, Datuk Osman Abdullah bekas Ketua Penerangan UMNO turut mendahului kita kembali ke pangkuan Illahi. Kepada ahli keluarga kesemua Allahyarham itu, kita merakam ucap takziah. Nama baik, khidmat bakti dan jasa murni mereka tetap terukir di dalam sejarah negara, sejarah bangsa, sepanjang masa - sepanjang zaman.

Kepada Almarhum Sultan Salahuddin dan kepada setiap nama yang sempat saya sebutkan serta mereka yang telah mendahului kita kembali ke Rahmatullah, kita doakan semoga roh Baginda dan kesemua mereka berada di kalangan para solihin.

Marilah secara ikhlas lagi kushuk kita bacakan suratul Al-Fatihah, semoga pahala dari bacaannya diterima oleh Allah s.w.t. dan ganjarannya disampaikan kepada roh baginda, roh ibu bapa kita, para ulama, guru-guru serta pengasas dan pendukung perjuangan agama, negara dan bangsa yang telah kembali ke Rahmatullah.

PRESTASI

"Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah di redai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.'' An-Nuur, ayat 55.

Kejayaan, kemakmuran, pembangunan dan kemajuan adalah anugerah, rahmat daripada Allah s.w.t. Allah memberikan nikmat berlimpah-ruah kepada kaum yang senantiasa bertakwa kepada-Nya. Allah maha mengetahui keikhlasan dan kemurnian niat. Allah maha mengetahui kesungguhan dan ketabahan usaha yang dilaksanakan dalam sesuatu pekerjaan.

Kebahagiaan dijanjikan kepada setiap peringkat manusia yang bersabar dengan dugaan dan bersyukur dengan nikmat. Bahawa kebenaran tetap terserlah. Bahawa kepalsuan tetap terdedah.

Dengan kesedaran dan dalam keinsafan tersebut, marilah kita rafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. yang telah memberikan kita pelbagai kejayaan terutama kejayaan politik dan kejayaan ekonomi.

Sepanjang tempoh satu tahun, pilihan raya kecil telah diadakan di Likas, di Indera Kayangan dan di Ketari. Di dalam pilihan-pilihan raya tersebut Barisan Nasional bukan sahaja dapat mengekalkan kemenangan malah dapat meningkatkan bilangan majoriti undi. Pengundi Melayu telah kembali memberikan sokongan kepada Barisan Nasional.

Petanda sihat ini adalah hasil daripada paduan kerjasama di kalangan ahli-ahli UMNO di pelbagai peringkat serta persefahaman pendekatan bersama rakan-rakan di dalam Barisan Nasional. Kepada Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO saya ucapkan terima kasih atas sumbangan besar dan bermakna ke arah kejayaan Barisan Nasional.

Parti Bersatu Sabah (PBS) yang memilih untuk meninggalkan Barisan Nasional sewaktu berlangsungnya pilihan raya umum 1990, telah kembali ke pangkal jalan. Kita meletakkan harapan supaya penyertaan PBS di dalam Barisan Nasional akan dapat mengurangkan politiking di kalangan para pemimpin parti-parti politik di Sabah. Semoga perselisihan ketika berada di luar rumah tidak dibawa masuk di dalam keluarga Barisan Nasional.

Pemulihan sokongan rakyat membuktikan bahawa dasar yang kita gubal dan perancangan yang kita rangka, memenuhi keperluan dan kehendak rakyat. Pemulihan sokongan ini menunjukkan bahawa interpretasi dasar secara tepat turut berlaku di peringkat pelaksanaan oleh para pengurus, para pentadbir dan para teknokrat.

Kita merakamkan penghargaan tinggi kepada jentera pentadbiran dan jentera pengurusan kerajaan yang telah berupaya melaksanakan dasar dan rancangan negara secara berkesan. Khidmat yang mereka perlihatkan melalui persefahaman dan melalui kerjasama telah membolehkan dasar diterjemahkan menjadi realiti. Warga mendapat nikmat dan negara melonjak maju.

Kesungguhan di peringkat pengurusan dan kecekapan di peringkat pentadbiran telah mengupayakan negara mengatasi cabaran dan dugaan kemelesetan ekonomi dunia.

Malaysia terus mencatat pertumbuhan ekonomi secara positif. Walaupun pertumbuhan berlaku pada kadar rendah, namun secara relatif prestasi pencapaian ekonomi negara memperlihatkan rekod lebih baik daripada kebanyakan negara di rantau ini malah mengatasi pencapaian negara-negara maju dan insya-Allah ekonomi kita akan terus berupaya mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi.

PENDIDIKAN

Di bidang pendidikan kita berbangga dengan prestasi pencapaian pelajar Melayu dan bumiputera dari segi bilangan mendapat tempat di pusat-pusat pengajian tinggi awam meskipun sistem meritokrasi dilaksanakan.

Kejayaan tersebut adalah petanda yang menunjukkan bahawa pelajar Melayu dan bumiputera telah menyahut cabaran secara positif - secara konstruktif, dengan memberikan tumpuan lebih serius terhadap pelajaran.

Pencapaian tersebut juga adalah petanda bahawa para guru dan tenaga pengajar lebih menjurus perhatian dan lebih menumpu usaha memastikan anak didik mereka mencapai prestasi cemerlang di bilik darjah dan di bilik kuliah.

UMNO mengucapkan tahniah kepada para pelajar Melayu dan bumiputera yang memperlihatkan kejayaan membanggakan. UMNO mengucapkan terima kasih kepada khidmat bakti dan jasa murni para guru dan tenaga pengajar. Rangkaian keputusan cemerlang dan komitmen guru telah memberikan kebanggaan kepada bangsa Melayu.

Gabungan prestasi pelajar dan usaha gigih para pendidik bagaikan dapat membersihkan contengan arang di muka bangsa yang dianggap selama hari ini tidak boleh 'survive' dalam persaingan terbuka tanpa kuota. Tingkatkan usaha ini ke tahap yang lebih cemerlang hingga anak-anak Melayu dan bumiputera menjadi kumpulan yang gemilang lagi terbilang.

Agenda pendidikan berperanan penting dalam hasrat dan usaha untuk mengubah dan membuka minda bangsa.

Selepas peristiwa 13 Mei, UMNO telah menubuhkan pasukan petugas khas melaksanakan kajian dan memperoleh penemuan melaksanakan program Revolusi Mental. Agenda pendidikan dikenal pasti sebagai agenda penting yang wajib diberikan keutamaan untuk membangunkan bangsa supaya bangsa dapat bersaing menghadapi cabaran memenuhi agenda kemerdekaan negara.

Dalam era globalisasi dan untuk menghadapi persaingan dalam ekonomi yang berpaksikan pengetahuan, pendidikan berperanan lebih penting dan lebih utama.

Bangsa Melayu dan kaum bumiputera hendaklah mempunyai keupayaan diri untuk bersaing. Bangsa Melayu dan bumiputera harus dibina kekuatan diri secara dalaman dan luaran supaya menjadi cukup kuat untuk berjaya di dalam persaingan.

Apabila sistem merit diperkenalkan, kita memahami kebimbangan yang dirasai oleh bangsa Melayu. UMNO juga amat bimbang dari segi kesan dan nasib yang akan menimpa bangsa Melayu dan kaum bumiputera setelah sistem merit diperkenalkan.

Namun dari segi jangka panjang bangsa Melayu dan kaum bumiputera perlu merangka satu pendekatan yang mempunyai ciri-ciri dan rangsangan yang mewujudkan situasi kompetitif yang lebih berkesan untuk memastikan kita dapat melahirkan bangsa yang kuat dan mampu bersaing walaupun di peringkat global.

Meritokrasi hendaklah kita lihat sebagai usaha untuk memperkuatkan bangsa dalam persediaan menghadapi cabaran global. Melayu dan bumiputera pada akhirnya harus berupaya berdiri tegap dan berlari pantas tanpa bergantung kepada bantuan lagi.

Melayu dan bumiputera pada akhirnya harus dapat kita jadikan bangsa yang megah dan bangga atas keupayaan dan kebolehan merentasi gelombang globalisasi.

Namun sebelum sampai ke peringkat tersebut adalah tanggungjawab UMNO memastikan bahawa mereka terlebih dahulu telah kita jadikan nakhoda yang cekap untuk mengharungi lautan luas. Proses itu harus dibina peringkat demi peringkat, secara tekun, secara teratur, secara adil dan secara bersungguh.

Pendekatan yang harus kita laksanakan adalah melalui penyediaan pakej rangsangan positif untuk mencetus keupayaan yang lebih tinggi di kalangan anak bangsa. Penekanan kepada bidang pendidikan memerlukan penglibatan menyeluruh daripada parti, kerajaan, institusi serta bangsa sendiri.

Sistem merit hendaklah ditafsir sebagai satu pendekatan dalam hasrat mewujudkan situasi mencabar kesungguhan bangsa. Sistem merit hendaklah dilihat sebagai satu usaha untuk membina budaya anak bangsa supaya berani bersaing. Sistem merit hendaklah kita takrifkan sebagai satu formula ke arah merangsang anak-anak bangsa mencapai tahap kegemilangan.

Perlu saya tegaskan, bahawa dengan menerima pelaksanaan sistem merit, tidak bermakna UMNO mahu melepaskan hak dan kedudukan istimewa bangsa Melayu dan kaum bumiputera seperti yang termaktub di dalam perlembagaan negara.

Sistem merit tidak harus sama sekali ditafsirkan sebagai kerelaan untuk mengorbankan hak dan keistimewaan bagi bangsa Melayu dan kaum bumiputera.

Hak dan kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera akan tetap kita pertahankan. Hak dan kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera adalah sebahagian daripada asas utama matlamat perjuangan UMNO sejak ditubuhkan.

Dalam kesediaan menerima pelaksanaan sistem merit, agenda kepentingan bangsa tidak harus sama sekali diabaikan. Untuk itu saya menyeru kepada para pengurus, pentadbir dan teknokrat yang bertanggungjawab di peringkat pelaksanaan supaya tidak hilang arah dan tidak kabur pandangan dari segi memelihara dan mempertahankan hak dan keistimewaan itu.

Dalam hasrat meningkatkan daya saing demi menjamin survival bangsa untuk jangka panjang, bangsa perlulah didedah mengenali erti persaingan dalam realiti dunia dari peringkat awal lagi. Jika pengalaman bersaing untuk bangsa Melayu hanya dilalui dalam persekitaran terkawal, mereka sebenarnya berada di dalam persekitaran yang palsu. 

Persekitaran palsu tersebut dikhuatiri akan menghalang bangsa kita daripada memahami persaingan sebenar di alam luas yang lebih terbuka. Keadaan tersebut dibimbangkan sekadar membina satu kekuatan yang tidak teruji penuh dan sekadar memberi satu keyakinan sementara kepada anak-anak bangsa kita. 

Ada di antara mereka hanya sedar realiti dunia sebenar setelah meninggalkan persekitaran palsu. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Pusat Matrikulasi yang selama ini membuat pengambilan pelajar Melayu dan bumiputera secara eksklusif adalah persekitaran ciptaan yang tidak melambangkan realiti dunia. 

Setelah pusat pengajian tersebut berjaya menghasilkan ramai pelajar Melayu dan bumiputera, sampailah masanya tahap persaingan ditingkatkan dalam persekitaran pengajian tersebut. 

Untuk itu, sepuluh peratus tempat pengajian kini ditambah di MRSM dan di Pusat Matrikulasi untuk menempatkan pelajar bukan bumiputera. Pelajar Melayu hendaklah melihat ini sebagai peluang untuk meningkatkan daya tahan dan daya saing supaya anak-anak kita bukan sahaja cemerlang sesama mereka tetapi muncul sebagai kumpulan terbilang di kalangan para pelajar.

Di samping menyediakan persekitaran bersaing, penyertaan bukan bumiputera juga dipercayai dapat membantu pencapaian matlamat integrasi nasional. Pendidikan merupakan tapak paling sesuai untuk merealisasikan pencapaian program integrasi nasional.

Keputusan kerajaan menambah sepuluh peratus tempat pengajian di Maktab Rendah Sains Mara dan di Pusat Matrikulasi diasaskan juga kepada perhatian berat dan kesungguhan untuk mencapai integrasi nasional ke arah membina warga Malaysia yang bersatu padu.

Program integrasi nasional adalah program nasional. Program integrasi nasional perlu didokong oleh semua pihak, baik di sektor awam mahupun di sektor swasta; baik orang Melayu mahupun orang bukan Melayu. Program integrasi nasional akan dapat dicapai dengan lebih pesat melalui program pendidikan yang memperlihatkan apresiasi terhadap program tersebut.

Atas kesedaran tersebut, kita merasakan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) harus bersama memastikan tidak berlaku sebarang kesongsangan terhadap dasar hingga melewatkan malah boleh menggagalkan usaha ke arah pencapaian program integrasi nasional.

Dengan hasrat tersebut kita menyuarakan pendirian supaya pengusaha-pengusaha IPTS secara positif memperlihatkan semangat ke arah menjayakan matlamat program integrasi nasional.

Suara kita yang menuntut pengimbangan pengambilan pelajar di IPTS adalah untuk menjamin bahawa tidak berlaku dikotomi berganda dalam program pendidikan di negara kita - pertama, IPTA untuk Melayu-bumiputera, IPTS untuk bukan Melayu - bukan bumiputera; kedua, IPTA untuk keluarga miskin, IPTS untuk keluarga kaya.

Saya menyeru kepada IPTS memperkenalkan pakej tertentu untuk menunjukkan kesungguhan menarik lebih ramai penyertaan pelajar bumiputera di dalam institusi pengajian masing-masing. IPTS hendaklah memperlihatkan imej yang lebih seimbang dari segi komposisi pelajar, komposisi tenaga pengajar dan komposisi kakitangan sokongan di Institusi pengajian masing-masing.

Malah kita menyarankan supaya IPTS bersedia menyediakan pakej kewangan dan yuran yang lebih sesuai untuk membantu pertambahan pelajar daripada kalangan bumiputera dan juga bukan bumiputera yang datang daripada keluarga miskin supaya semangat pendemokrasian amalan pendidikan turut terserlah di dalam IPTS.

Saya menyeru kepada bangsa Melayu dan kaum bumiputera untuk memberikan perhatian lebih serius terhadap program pendidikan. Keluarga Melayu dan bumiputera perlu lebih bijaksana merancang program pendidikan anak-anak, dari segi membantu kemajuan ilmiah, menyediakan peruntukan kewangan bagi masa hadapan, mengenal pasti bidang-bidang pengajian yang strategik dan memberikan sokongan berterusan bagi memastikan anak-anak bangsa kita akan mencapai tahap kecemerlangan.

Saya percaya dengan kesungguhan dan komitmen lebih besar daripada keluarga Melayu dan bumiputera, agenda pendidikan bangsa akan dapat tercapai dengan kadar lebih pesat lagi.

Adalah menjadi tanggungjawab kita semua menyediakan bekalan sumber tenaga Melayu yang cukup terlatih untuk dapat menjadi penggerak utama pada tahun 2020 apabila kita telah sampai ke tahap negara maju.

CABARAN TERHADAP UMAT ISLAM

Pada 11 September 2001, dunia digegarkan dengan peristiwa serangan pengganas di Pusat Dagangan Dunia New York di Amerika Syarikat.

Peristiwa tersebut tidak sekadar memperlihatkan runtuhnya bangunan menara tersergam hebat di sebuah negara yang dianggap kuasa besar dunia; peristiwa tersebut memperlihatkan fahaman ekstremis yang menguasai pemikiran dan tindakan. Lalu tercetus keganasan yang cukup ekstrem. Keganasan diredakan atas hasrat mahu membanteras keganasan. Kezaliman dihalalkan atas alasan mahu mewujudkan keadilan. Nyawa bagaikan tiada harga. Kesengsaraan bagaikan satu kemestian.

Serangan terhadap Afghanistan untuk menangani keganasan dilaksanakan terang-terangan dengan penuh keganasan. Memusnahkan Afghanistan secara ketenteraan, secara tekanan, secara keras dan ganas tidak memberi jaminan boleh mewujudkan dunia yang lebih damai dan stabil, dunia yang lebih aman dan makmur.

Afghanistan telah musnah, menjadi padang jarak padang terkukur. Rakyat Afghanistan, warga tua, wanita, kumpulan remaja, anak kecil bertambah derita.

Kini dihidupkan alasan baru untuk Iraq diserang sekali lagi. Kini Iran kembali dijadikan sasaran. Berapa negara lagi yang akan dijadikan padang sasar? Berapa negara lagi yang mahu dijadikan medan tempur? Dan Israel mengambil segala kesempatan meneruskan kezaliman terhadap Palestin yang rakyatnya sudah sekian lama hidup derita dan sengsara.

Umat Islam di serata dunia dijadikan sasaran berterusan. Islam dan umat Islam dikaitkan dengan segala konotasi negatif, ditindas, didiskriminasi, dihina. Umat Islam diwarnakan penuh kehitaman. Dunia bagaikan mahu dibahagikan di antara Islam dengan bukan Islam.

Apakah nasib 1.3 bilion umat Islam tidak dapat ditentukan lagi oleh umat Islam? Allah s.w.t. maha mengetahui dan maha adil.

Segala kejadian yang sedang berlaku hendaklah dilihat dengan penuh iktibar sebagai satu ajaran daripada Allah s.w.t., mahu menyedarkan umat Islam supaya bersatu, mahu menginsafkan umat Islam supaya berpadu, menyimpul benang persaudaraan, mengikat tali kekeluargaan.

Selain daripada berdoa dan memohon petunjuk Illahi, umat Islam perlu bersatu dan perlu berusaha secara bersungguh-sungguh, membersih arang yang diconteng di muka kita. Allah s.w.t. telah mengurniakan segala nikmat dan menganugerahkan segala kekayaan kepada umat Islam di bumi-Nya yang luas.

Adakah umat Islam telah memperlihatkan rasa kesyukuran di atas segala nikmat yang telah dikurniakan? Agama Islam menyeru kepada perpaduan - menyeru kepada penyatuan. Adakah umat Islam sedia berpadu? Adakah umat Islam memilih bersatu? Allah mengurniakan akal untuk membolehkan umat berfikir.

Islam mengharuskan kelainan pendapat dan membolehkan perbezaan pendekatan dalam melaksanakan urusan dunia asalkan tidak terpesong dari segi akidah.

Kita akui sesama kita ada hikmah berlainan dalam perjuangan untuk memajukan ummah dan bangsa. Namun perbezaan pendapat dan kelainan pendekatan tidak wajar dijadikan pencetus sengketa secara berpanjangan dan permusuhan secara berterusan sesama umat Islam.

Dalam perkara pokok, pegangan kita adalah sama. Rukun Islam dan Rukun Iman adalah sama. Kita berkalimah tauhid yang sama. Kita pengikut penghulu Rasullullah s.a.w. yang sama. Kiblat kita menghala ke Baitullah adalah sama. Kitab yang kita baca, Al-Quran adalah sama. Umat Islam itu adalah bersaudara.

Namun masih ada di kalangan umat Islam yang tergamak membawa perselisihan disebabkan urusan dunia hingga ke peringkat berpatah arang, berkerat rotan.

Sesungguhnya usaha menyatukan fikiran - menyatukan hati, usaha menggabungkan tenaga - menggabungkan kekuatan adalah tanggungjawab setiap umat Islam yang benar-benar menjiwai Islam.

Untuk itu, saya merakamkan penghargaan di atas usaha bersama Angkatan Belia Islam Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka yang telah mengaturkan `Forum Palestin dan Kemanusiaan' pada 8 Mei yang lalu.

Forum tersebut telah dapat membawa dua pemimpin parti politik Melayu/Islam di negara kita untuk sama-sama melahirkan pandangan, menzahirkan pendapat berhubung usaha membela rakyat Palestin secara khusus dan umat Islam secara umumnya dalam menghadapi tekanan dan cabaran semasa dunia.

Pada hemat saya terkandung nada persamaan dalam keprihatinan kedua-dua pemimpin mengupas persoalan umat Islam sejagat menangani isu di Palestin.

Kedua-dua pemimpin memperlihatkan semangat persaudaraan bangsa dan semangat persaudaraan Islam yang sungguh menyenangkan. Forum tersebut menjadi pentas memperlihatkan kejernihan hubungan kemanusiaan dalam semangat penuh tamadun, penuh sopan. 

Datuk Seri Dr. Mahathir secara terbuka menyuarakan hasrat bahawa dalam usaha mahu membela rakyat Palestin, umat Islam terlebih dahulu wajib bersatu. Adalah janggal bila kita membuat seruan untuk perpaduan ummah sejagat, sedangkan di bumi sendiri kita tidak memperlihatkan penyatuan.

Kita perlu mencari persefahaman, jika tidak dalam banyak perkara, sekurang-kurangnya dalam menghadapi isu utama membela nasib umat Islam di Palestin dan isu keganasan. Kita tidak boleh berkompromi dengan keganasan kerana Allah s.w.t. melarang kita daripada melakukan keganasan setelah bumi ini diislahkan. Sebaliknya Allah s.w.t. menyuruh kita berdoa bersungguh-sungguh kepadanya kerana rahmat Allah itu berada di sisi orang-orang yang membuat kebaikan.

Bagi saya, ucapan Perdana Menteri pada malam tersebut adalah ucapan seorang negarawan yang mempunyai wawasan jauh, memperlihat hasrat, memperlihatkan harapan untuk bangsa Melayu dan umat Islam dapat bersatu, bermula dari dalam negara lalu merentasi ke seluruh dunia. Bersamalah kita menyeru kepada persaudaraan Islam supaya kita dapat menegakkan sebuah negara yang umat Islamnya bersatu dan maju.

Tidak ada makna sebuah negara itu bernama Islam hanya kerana majoriti rakyatnya penganut Islam.

Yang penting ditekankan adalah umat Islam di sesebuah negara itu menguasai ilmu, menguasai kepakaran, menguasai kekayaan, menguasai pentadbiran, berpegang kepada ajaran agama dan terus berazam untuk meningkatkan syiar Islam melalui kejayaan ummah.

Umat Islam di Malaysia wajarlah bersyukur kerana tidak perlu meninggalkan tanah air, lari ke negara lain untuk memenuhi tanggungjawab terhadap agama dan untuk melaksanakan tanggungjawab kehidupan dunia.

Pencapaian duniawi dan persediaan ukhrawi dapat disempurnakan di bumi ini dalam keadaan penuh aman, penuh damai, penuh tenteram, penuh selesa. Inilah nikmat anugerah Allah yang perlu kita syukuri. Inilah jasa bakti pimpinan negara yang harus kita berterima kasih.

NEGARAWAN ULUNG

UMNO telah berada di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sejak 28 Jun 1981 apabila beliau mula menerima amanah memimpin parti. Negara telah 21 tahun berada di bawah pimpinan beliau sebagai Perdana Menteri sejak 16 Julai 1981.

Dalam tempoh 21 tahun pimpinan beliau, negara dan rakyat telah melalui satu proses transformasi yang amat ketara. Landskap negara dari segi fizikal, dari segi sosial, dari segi politik dan dari segi ekonomi telah melalui banyak perubahan.

Rangkaian komunikasi dan kemudahan prasarana telah ditingkatkan hingga mencapai taraf dunia. Menara Kembar Petronas, merupakan menara tertinggi dunia bertapak di bumi kita. Pusat pentadbiran baru Putrajaya telah dibangunkan dengan reka bentuk budaya setempat. Pusat-pusat ilmu tumbuh dengan banyak.

Koridor Raya Multimedia dan Cyberjaya mula memperkasakan perkembangan teknologi maklumat. Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Utara-Selatan, Lapangan Terbang KLIA, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Lapang Litar Formula One, Menara Kuala Lumpur merupakan mercu tanda baru negara. Pelbagai prasarana fizikal dan rangkaian telekomunikasi dibangunkan di serata kota, di serata bandar, di serata desa dan di serata kampung.

Pembangunan fizikal yang hebat telah mempengaruhi landskap sosial negara dari segi gaya hidup - cara hidup, bentuk pekerjaan - corak kerjaya, tenaga mahir - kumpulan ikhtisas, daya berfikir - daya analisis rakyat. Dalam tempoh 21 tahun itu, perangkaan semasa menunjukkan seramai 11 juta rakyat, yang merupakan 45 peratus penduduk negara telah dilahirkan.

Sebahagian daripada anak-anak yang dilahirkan selepas beliau menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri akan sampai ke usia yang melayakkan mereka mengundi dan menentukan kerajaan di dalam pilihan raya akan datang.

Kumpulan 11 juta rakyat ini bukan sahaja dilahirkan di era pasca merdeka malah hanya mengenali negara di bawah pimpinan seorang Perdana Menteri.

Era penjajahan begitu asing bagi mereka, era pra-Dasar Ekonomi Baru tidak dapat mereka mengerti. Mereka tidak memiliki pengalaman membuat penilaian perbandingan tentang perbezaan tahap kemajuan bangsa dan negara.

Namun mereka adalah input utama yang akan menentukan rupa bentuk negara bangsa. Mereka adalah entiti penting yang akan mencorak warna kanvas negara bangsa. Mereka adalah komponen besar yang akan mempelopori hala tuju negara bangsa. Mereka adalah warga yang harus dibawa dalam perjuangan UMNO, supaya mempunyai minda dan memiliki orientasi menghayati nadi perjuangan dan menghargai peranan pemimpin dan parti yang telah meletakkan negara di persada kejayaan dan kegemilangan. Mereka perlu disedarkan prasarana negara yang diwujudkan adalah untuk mereka gunakan, untuk mereka gemblengkan bagi menjana kemajuan di masa hadapan.

Tempoh 21 tahun berlalu begitu pantas. Dalam tempoh tersebut kerjasama rakyat berbilang kaum bertambah ketara - persefahaman rakyat berbilang agama berjaya dipupuk. Assimilasi budaya semakin meningkat. Sentimen perkauman dapat dihakis.

Negara menghadapi beberapa gegaran. UMNO turut melalui beberapa kejutan. Namun nakhoda yang arif, secara bijaksana berjaya mengemudikan bahtera dengan selamat merentasi gelombang dan ombak pelayaran. Politik negara terus stabil.

Parti tetap teguh. Bilangan pengundi terus meningkat, saluran media terus bercambah, amalan demokrasi terus hidup.

Dari aspek ekonomi, Datuk Seri Dr. Mahathir berupaya mengemukakan formula dan mencipta ramuan yang dapat disesuaikan secara berkesan, menjamin pertumbuhan dan pembangunan ekonomi terus berlaku.

Ekonomi negara berkembang. Rakyat hidup makmur. Bekalan makanan terjamin. Pengagihan kekayaan berlaku. Kadar kemiskinan menurun. Kegiatan ekonomi dipelbagai. Pelaburan dan produk yang dihasilkan kian bertambah. Perdagangan antarabangsa diluaskan. Eksport negara meningkat.
Imbangan perdagangan memihak kepada kita. Inflasi terkawal. Nilai mata wang berjaya distabilkan.

Hari ini Malaysia tidak lagi negara picisan. Hari ini Malaysia tidak lagi bertaraf penumpang dalam komuniti dunia. Hari ini Malaysia tidak hanya menjadi pengikut. Malaysia hari ini memiliki identiti, memiliki harga diri, dihormati, disegani.

Malaysia hari ini telah keluar dari status negara meminta. Malaysia hari ini berupaya berperanan sebagai negara penyumbang baik dari segi material dan bukan material.

Warga Malaysia tidak lagi terasa rendah diri. Warga Malaysia telah menjadi warga yang lebih yakin kepada diri dan warga yang dihormati dunia.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia dilihat sebagai negara contoh dari segi kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan perpaduan rakyat. Negara dikunjungi sepanjang masa oleh pemimpin dari seluruh dunia. Negara menjadi tuan rumah kepada pelbagai mesyuarat antarabangsa. Negara dijemput menyertai pelbagai forum untuk menyampaikan pandangan berhubung isu semasa dunia di dalam pelbagai perkara. Dialog Langkawi telah menjadi satu forum berkesan di kalangan pemimpin dunia.

Malaysia dipandang tinggi di kalangan negara Selatan-Selatan. Institusi kewangan Islam telah menyahut saranan beliau untuk mewujudkan sistem mata wang Islam berasaskan dinar.
Datuk Seri Dr. Mahathir dilihat sebagai pemimpin Islam yang mengamalkan pendekatan realistik berlandaskan amalan kesederhanaan.

Inilah nikmat, inilah hasil yang telah disumbangkan oleh pemimpin yang telah menerima amanah parti dan negara sejak 21 tahun lalu. Pemimpin bertaraf negarawan, tidak pernah letih, tidak mengenal kecewa, tidak berputus asa, tidak tunduk kepada tekanan.

Beliau adalah contoh hidup seorang pemimpin gigih, berani, tegas dan tekun. Berusaha terus berusaha, berkhidmat terus berkhidmat, berbakti terus berbakti, berkorban terus berkorban, semuanya telah menjadi darah daging, telah menjadi amalan hidup beliau.

Di waktu muda, beliau mendampingi rakyat sebagai seorang doktor berbasikal dari rumah ke rumah di atas batas-batas bendang, membantu merawat pesakit di persekitaran perkampungan di Alor Setar.

Hari ini doktor yang sama, berpesawat dari negara ke negara di serata benua berusaha meramukan penyelesaian bagi sengketa dunia.

Itulah Dr. Mahathir, Dr. UMNO. Potret dan wajah, seorang negarawan yang celik hati - celik minda. Sikap dan watak seorang negarawan memiliki wawasan - memiliki karisma.

Memimpin, mengajar kita mengubah minda. Bersikap Malaysia Boleh, kita boleh. Sesungguhnya negara dan warga, parti dan bangsa amat bertuah dikurniakan seorang pemimpin yang begitu karismatik.

Kepada-Mu Ya Allah kami bersyukur kerana Engkau telah mengangkat seorang daripada hamba-Mu untuk dijadikan negarawan ulung memimpin kami. Kami doakan semoga beliau terus diberikan kekuatan membawa negara dan warga ke persada kejayaan lebih cemerlang - lebih gemilang. 

MELAYU DAN PELUANG EKONOMI

Tempoh lima tahun terakhir adalah tempoh sungguh mencabar dalam mempastikan ekonomi domestik dapat terus tumbuh dan berkembang. Banyak negara menghadapi kerumitan menguruskan ekonomi dalam iklim dunia dilanda kemelesetan sejagat.

Kita bersyukur Malaysia terus berupaya meningkat daya tahan dan daya saing tanpa bergantung bantuan luar. Pendekatan ekonomi yang kita laksanakan terus mencatat kejayaan hingga membolehkan negara kekal makmur. 

Tempoh lima tahun ke belakang memberikan banyak pengajaran dari segi menguruskan ekonomi negara secara bijak - secara berhemah. UMNO menyediakan banyak peluang kepada orang Melayu dan bumiputera untuk mendapat tempat dalam arus pembangunan ekonomi negara.  Selepas Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan, dalam tempoh dua dekad, institusi perniagaan untuk orang Melayu dan bumiputera rancak dibangunkan.

Namun, apabila krisis kewangan berlaku dalam tahun 1997, beberapa daripada institusi perniagaan ini menghadapi pelbagai masalah kewangan, masalah pengurusan dan masalah keyakinan. Ini memperlihatkan bahawa institusi perniagaan yang diterajui oleh orang Melayu dan bumiputera masih rapuh dan belum kukuh.

Tempoh lima tahun kebelakang seharusnya mencelik mata - membuka minda, bahawa kekuatan Melayu dalam sektor ekonomi masih terbatas kepada peringkat mengemukakan cadangan, mendapatkan sokongan, melobi dan menggunakan jaringan hubungan untuk mendapatkan sesuatu peluang dan projek.

Budaya Melayu dalam sektor ekonomi memerlukan orientasi yang betul. Peluang yang diperolehi melalui kenal siapa harus diselusuri dengan keupayaan menguasai selok-belok sebenar urus niaga yang diceburi.

Survival dan kesinambungan dunia niaga tertakluk kepada keupayaan mencipta peluang baru, menjana sumber kekayaan baru dan mewujudkan peluang kerja baru. Sekadar mengambil komisyen daripada sesuatu urus niaga tidak membuka peluang baru dan tidak dapat menjana sumber kekayaan baru. 

Melayu harus bijaksana dan harus mempunyai arah haluan betul, arah tujuan tepat dalam mengurus dana tunai dan modal pusingan. Melayu jangan begitu cepat seronok dengan kemewahan sementara. Melayu jangan terlalu mudah mahu bergaya dan jangan terlalu ghairah mahu melaram.

Keasyikan secara berlebihan terhadap tarikan kemewahan dan tarikan kebendaan telah mengalih fokus Melayu dalam menguruskan perniagaan; hingga pulangan awal dibelanjakan untuk memenuhi selera bergaya dan selera melaram, sedangkan hutang masih belum selesai dan pelabur belum menerima pulangan.

Akhirnya modal lesap, untung lenyap, sedangkan hutang tambah menimbun. Sistem nilai tokoh perniagaan Melayu yang berkecimpung dalam dunia perniagaan dan alam korporat akan menentukan warna dan corak badan-badan perniagaan Melayu.

Dalam dunia niaga dan alam korporat, warna dan lukisan tidak boleh berbentuk abstrak. Menguruskan badan niaga dan badan korporat adalah satu amanah untuk mengendalikan wang pelabur dan wang yang dipinjam daripada pelbagai institusi.

Institusi kewangan pula memikul amanah untuk menjaga simpanan dan tabungan rakyat jelata. Perbuatan pecah amanah di satu peringkat akan mengheret berlaku rangkaian amalan pecah amanah.

Ketika krisis kewangan melanda negara, dalam ketenatan menghadapi aliran modal dan aliran tunai, ramai peniaga dan pengusaha Melayu hanyut. Lalu berlaku kepincangan, amalan ketidaktelusan yang bukan sahaja meruntuhkan institusi perniagaan Melayu malah mengheret negara menghadapi krisis keyakinan baik di dalam dan di luar negara.

Di manakah tanggungjawab? Di manakah nilai murni? Di manakah harga diri? Di manakah kredibiliti? Di manakah integriti?

Padi dimakan pagar sendiri. Sokong juga membawa rebah. Syarikat rugi, pelabur merintih. Ramai manusia sengsara, ramai tenaga hilang kerja, ramai pembekal hilang pencarian, ramai kreditor tidak dibayar, ramai pelabur terpedaya. Yang ditampi hanyalah sekam, telur di kepuk menjadi tembelang. 

Campur tangan kerajaan untuk menyelamatkan beberapa institusi kepentingan bumiputera adalah atas keinsafan bahawa ramai pelabur yang menjadi mangsa wajar dilindungi. Penyertaan kerajaan adalah dengan hasrat untuk memastikan institusi yang ditubuhkan untuk kepentingan bumiputera dapat diselamatkan supaya formula agihan peluang ekonomi mengikut falsafah Dasar Ekonomi Baru dapat dipelihara.

Perlu ditegaskan bahawa formula penglibatan dan penyertaan kerajaan adalah untuk kepentingan institusi dan kepentingan pelabur bumiputera dan tidak sama sekali bertujuan melindungi mana-mana orang perseorangan.

Untuk itu tindakan tegas pimpinan kerajaan dalam menangani isu dan masalah ini adalah bertepatan dan hendaklah diberikan sokongan padu oleh setiap ahli UMNO demi menjamin keyakinan pelabur terhadap negara dipulihkan dan kepercayaan rakyat terhadap pelbagai institusi kewangan, institusi tabungan dan institusi simpanan dapat dipertahankan.

Pendirian dan tindakan tegas kerajaan adalah wajar jika sekalipun tindakan kerajaan itu menyentuh ahli UMNO sendiri. 

Usaha pembetulan memerlukan ketegasan. Tidak ada pilih kasih. Tidak ada pengecualian. Mereka yang pecah amanah, mereka yang menyalahi undang-undang, mereka yang melintasi norma dan mereka yang melencong, tidak boleh lepas daripada akauntabiliti dan tanggungjawab terhadap negara, bangsa dan rakyat. Langkah tegas ini mula memperlihatkan pemulihan.

Satu gelombang baru kepimpinan korporat telah diberikan amanah bagi membantu usaha dan hasrat kerajaan menyelamatkan institusi perniagaan bumiputera.

Saya bersyukur dengan kesungguhan dan komitmen mereka mengambil tanggungjawab berat memastikan bahawa bahtera perniagaan yang sarat dengan beban hutang itu dapat diselamatkan daripada tenggelam.

Negara sekali lagi memberikan kepercayaan kepada tenaga muda berdasarkan kelayakan dan kepakaran mereka. Negara meletakkan harapan agar idealisme mereka dapat diterjemahkan kepada realiti.

Kita berdoa semoga mereka mengambil sebesar pengajaran dari kesilapan lalu. Semoga pisang tidak berbuah sekali lagi.

Laksanakanlah tanggungjawab dengan penuh amanah, penuh jujur, penuh ikhlas dan penuh telus. Mencipta nama baik, mencipta kejayaan, mencipta keyakinan, mencipta kepercayaan mengambil masa yang lama.

Jangan lagi dihampakan harapan bangsa kerana niat tamak dan sifat boros. Jangan jadi Mat Jenin, sebelum hasil kelapa dipungut, sudah berangan membeli kapal.

Dalam tempoh pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, peluang ekonomi yang disediakan banyak bergantung kepada kuasa politik.

Wajar diingatkan, dalam persejagatan perniagaan, pergantungan kepada kuasa politik semata-mata tidak dapat membawa Melayu melonjak jauh ke hadapan. Persejagatan perniagaan menuntut kepada keupayaan daya saing dan keupayaan daya tahan setiap entiti perniagaan untuk menembusi pasaran global.

Di samping itu, perbuatan mengambil sesuatu peluang perniagaan yang di luar bidang kemampuan seseorang, mungkin telah menghalang Melayu yang lebih layak dan Melayu yang lebih berkeupayaan untuk mendapat peluang tersebut.

Melayu perlu jujur dan perlu ikhlas, perlu bersungguh dan perlu berazam, untuk melihat kejayaan bangsa di dunia perniagaan, dengan memastikan bahawa penglibatan seseorang dalam sesuatu bidang hendaklah diasaskan kepada keupayaan dan kemahiran sebenar dan bukan semata-mata kerana mereka berbangsa Melayu.

Usahawan dan peniaga Melayu yang menunjukkan kesungguhan dan keupayaan perlu diberikan segala sokongan dan bantuan. Anak-anak muda Melayu yang berani meninggalkan jawatan stabil di dalam kerajaan dan gaji lumayan di sektor swasta untuk menjadi usahawan perlu diberikan galakan. Usahawan baru dan usahawan muda perlu diberi peluang melaksanakan perkhidmatan dan menguruskan perniagaan yang selama ini dilaksanakan oleh syarikat-syarikat besar dan multi-nasional.

Usahawan dan peniaga Melayu yang membukti keupayaan dan memenuhi kontrak kerja mereka hendaklah dibantu dengan memudahkan urusan kerja, mengurangkan birokrasi, mempercepatkan proses pengesahan kerja dan mempercepatkan proses pembayaran. Perkhidmatan awam yang dianggotai oleh orang Melayu hendaklah menjiwai perasaan kebangsaan Melayu sama-sama berusaha membantu menjayakan usahawan dan peniaga Melayu.

Institusi kewangan, pembekal, pengedar dan pelanggan jangan terlalu cepat serik untuk menolong Melayu.

Masih ramai Melayu yang jujur, masih ramai Melayu yang bersungguh-sungguh menjalankan urus niaga. Masih ramai Melayu yang berupaya menjadi usahawan dan peniaga yang sahih. Mereka tidak boleh dihukum dengan prasangka disebabkan kesilapan yang dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu.

Menjatuhkan hukuman kepada mereka bermakna membunuh tunas baru sebelum dapat tumbuh. Tunas-tunas baru Melayu di pelbagai bidang harus terus diberi peluang dan kesempatan.

Agenda melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera masih kekal. Yang berbeza adalah strategi dan formula pendekatan.

Oleh itu, pelbagai perbadanan dan agensi awam yang berkaitan serta institusi bank dan kewangan, jangan sama sekali mula merasakan bahawa hasrat dan aspirasi kerajaan untuk membantu masyarakat Melayu telah berhenti.

Jangan sama sekali membuat tafsiran sendiri dan secara diam-diam melaksanakan dasar 'tutup pintu' kepada usahawan dan peniaga Melayu. Selagi UMNO diberikan amanah oleh bangsa Melayu, UMNO tetap berpegang tegas dan tidak pernah berganjak memastikan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera dilahirkan secara kuantitatif dan kualitatif.

Kita memiliki kekuatan politik. Kekuatan politik membolehkan kita mempunyai kuasa. Kuasa memberikan peluang untuk kita membantu melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera.

Melayu sepatutnya lebih bijaksana menggunakan peluang yang telah diberi untuk memajukan bangsa di bidang perniagaan dan perindustrian. Melayu sepatutnya telah mempunyai daya untuk mencipta peluang kerja baru dan menyerap tenaga kerja dari kalangan siswazah Melayu.

Kuasa politik tidak wajar diguna untuk membantu Melayu yang telah berulang kali diberikan peluang tetapi gagal dan terus gagal. Terus membantu segelintir mereka yang gagal dan terus gagal bererti merampas peluang daripada Melayu yang lebih layak. 

Bahawa masih ramai Melayu yang harus diberikan pertimbangan. Masih ramai Melayu yang berkelayakan. Masih ramai Melayu yang sedia bersaing.

Melayu akan bertambah kuat jika kita bantu mereka yang berani dan sanggup bersaing. Melayu dikhuatiri menjadi lemah jika kita terlalu lama menghulurkan subsidi kepada mereka yang tidak menunjukkan kemajuan.

Tanpa kekuatan ekonomi, tanpa kekuatan ilmu, tanpa kekuatan kemahiran, tanpa kekuatan teknologi, kuasa politik Melayu tidak boleh dipertahankan bahkan dikhuatiri tergadai. Kuasa politik yang ada perlulah kita guna untuk melahirkan pengail yang dapat menerokai lautan dalam dan tidak lagi sekadar membekalkan ikan sepanjang masa.

Masanya telah tiba untuk peluang dan kesempatan yang diberi oleh kerajaan, kita gunakan secara lebih berhemah supaya orang Melayu hari ini tidak akan disela oleh generasi Melayu di hari muka.

KEUTUHAN PARTI

Kita bersyukur dengan pencapaian kejayaan kita sejak 12 bulan yang lalu. Kita bersyukur dengan pencapaian kejayaan kita sejak UMNO ditubuhkan dalam tahun 1946. Kejayaan itu perlu kita perpanjangkan untuk boleh melahirkan lebih ramai insan yang dapat bersyukur dengan nikmat yang dapat kita wariskan.

Untuk itu kita harus memperkukuhkan kekuatan parti. Parti akan bertambah kuat dengan usaha dan gerak kerja yang dapat meningkatkan perpaduan. Pergeseran sesama ahli dalam parti hendaklah kita elakkan. Setiap pergeseran jika dibenarkan berlaku, mengambil masa yang panjang dan mencuri tenaga yang banyak sebelum pengikut dapat disatukan kembali.

Demi memperkukuhkan kekuatan parti, pemimpin perlu bersatu. Pengikut akan lebih bersatu jika pemimpin menunjukkan contoh teladan untuk bersatu. Pengikut hilang ghairah mengadu domba jika pemimpin tidak memberikan galakan.

Berulang kali berlaku di dalam UMNO, pada peringkat parti kelihatan kuat, pergeseran dalaman berlaku. Pergeseran dalaman berlaku berpunca daripada perebutan kuasa.

Dalam suasana perebutan kuasa broker politik menjadi aktif. Perebutan kuasa dilihat sebagai ruang mendapat keuntungan peribadi. 

Lalu pemimpin disamakan dengan bahan dagangan, boleh dinilai secara komersial, untuk boleh ditawar menawar, untuk boleh dijual beli, untuk diletakkan sebut harga. Rasuah politik kembali menjelma. Akan hilanglah pertimbangan rasional, akan lenyaplah kepentingan parti dan akan musnahlah perjuangan bangsa.

Pemilihan pemimpin adalah amalan yang diizinkan oleh perlembagaan parti. Proses pemilihan pemimpin jika dilaksanakan secara positif tanpa memburukkan mana-mana pihak, tanpa mencerca keluarga pemimpin, tanpa menggunakan wang, tanpa sogokkan, tanpa ugutan, tanpa fitnah, insya-Allah dapat berjalan sihat dan tidak melemahkan kekuatan parti.

Kita perlu ingat tidak ada makna berkuasa memegang jawatan di dalam parti, jika parti tewas di dalam pilihan raya dan UMNO hilang kuasa.

Tumpuan kita adalah untuk parti diperkukuhkan. Tumpuan kita adalah untuk ahli disatukan. Sasaran kita hendaklah dijuruskan menghadapi cabaran parti lawan.

Kita sepatutnya meletakkan sasaran realistik dan merangka program pragmatik menebus kembali kerusi yang dikuasai pembangkang terutama di Kelantan dan di Terengganu.

Suara sayu dan nada hiba wakil Perhubungan UMNO Terengganu ketika membahaskan ucapan dasar Presiden tahun lalu, hendaklah dijadikan peringatan penting untuk mengelakkan pengalaman pahit itu daripada menimpa UMNO di negeri-negeri lain.

Melayu jangan mudah lupa. Ahli UMNO hendaklah merintis gerakan untuk menjadi bangsa yang tidak mudah lupa. Marilah kita berazam merobohkan pentas sengketa sesama kita. Marilah kita bertekad membina dataran persaudaraan sesama kita.

Di kalangan Pemuda tidak harus ada orang Hishammuddin dan bukan orang Hishammuddin. Di kalangan Wanita tidak harus ada orang Rafidah dan bukan orang Rafidah. Di kalangan Puteri tidak harus ada orang Azalina dan bukan orang Azalina. Kesemua kita adalah di bawah pimpinan seorang Presiden.

Kesetiaan dan khidmat kita adalah untuk UMNO di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Kekuatan dalaman UMNO memerlukan persepakatan tulen sesama kita. Rangkaian hubungan baik di antara ahli dan pemimpin serta pemimpin dan ahli merupakan ramuan penting.

Belajar dan berusahalah menjadi pengikut yang baik dan setia kepada pemimpin sebagai persediaan untuk menjadi pemimpin yang baik kepada parti dan setia kepada perjuangan.
Berkhidmat dan berjasalah kepada parti dan kepada ahli.

Timbalah secukup pengalaman dari telaga kehidupan kerana pengalaman itu adalah sebaik-baik guru. Jika gagal menjadi pengikut yang baik, akan sulitlah untuk menjadi pemimpin yang berkesan.

PENUTUP

Agama, negara, bangsa dan parti memerlukan generasi muda dan generasi muka yang mempunyai asas agama yang kukuh, berfikiran merdeka, kreatif, berani, menghormati orang tua, memahami budaya setempat serta berupaya menangani cabaran dunia dalam merangkaikan talian hubungan global.

Pelbagai cabaran dan dugaan, pelbagai tarikan dan kesempatan terbentang luas. Keutuhan moral dan akidah, pengisian rohani dan penguasaan ilmu akan menjadi penentu kepada ketahanan nafsu dan ketahanan diri. Keupayaan memerangi kehendak nafsu dan kejayaan membina jati diri yang kuat akan meletakkan saudara-saudari menjadi pemimpin yang teguh dan gagah.

Kekuatan politik Melayu tanpa disandarkan kepada akidah dan syariah akan menjerumuskan bangsa kepada kemungkaran hingga kuasa dicari kerana kuasa, kuasa diguna untuk kuasa.
Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO berperanan penting untuk membimbing generasi muda dan generasi muka supaya bersedia menyambung wadah perjuangan parti.

Kepada generasi muda dan kepada generasi muka jadilah insan terbilang menerima amanah untuk membawa bangsa mencipta kejayaan lebih cemerlang dan meletakkan negara di persada lebih gemilang. Kepada generasi muda dan kepada generasi muka akan kita serahkan tanggungjawab untuk meningkatkan syiar Islam secara berkesan secara berhemah.

Isikan dada setiap ahli UMNO dengan iman yang teguh hingga menjadi Melayu sejati yang bertakwa dan berilmu.

Melayu sejati mengutamakan isi dalaman dan tidak terpedaya dengan bentuk luaran. Jangan disangka alim kerana jubah. Jangan disangka masjid kerana Qubah.

Melayu sejati berpegang kepada kebenaran. Yang betul disokong. Yang salah dihukum. Yang putih disucikan. Yang hitam dibersihkan.

Semoga kita senantiasa mendapat petunjuk dan bimbingan daripada Allah s.w.t. Barang dijauhkan kita daripada kesesatan, barang dijauhkan kita daripada bisikan Syaitan.

Marilah kita pohonkan perlindungan dan keberkatan daripada Allah s.w.t. dengan sekali lagi membaca umul kitab, Al-Fatihah. Semoga kita senantiasa mendapat petunjuk dan bimbingan dari Allah s.w.t.

Barang dijauhkan kita dari kesesatan, barang dijauhkan kita dari bisikan Syaitan. Marilah kita pohonkan perlindungan dan keberkatan dari Allah s.w.t. dengan sekali lagi membaca umul kitab, Al-Fatihah.

Dengan kebesaran kalimah 'Bismillah' saya rasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita dan Konvensyen Puteri UMNO Tahun 2002.

HIDUP UMNO!

HIDUP MELAYU!

 

© 2000 Pemuda UMNO Cawangan Taman Bukit Kepayang. All rights reserved.