Ucapan Datuk Seri Rafidah Aziz, Ketua
Pergerakan Wanita UMNO Malaysia di Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2002 pada 19 Jun, 2002.
"UMNO Pembela Ummah"
Syukur Alhamdulillah, dengan IzinNya kita dapat sekali lagi mengadakan Mesyuarat
Agung Pergerakan Wanita UMNO pada tahun ini, untuk menunaikan tanggungjawab dan
kehendak Perlembagaan UMNO.
Pada tahun ini kita telah menyaksikan kesan-kesan positif pertumbuhan ekonomi,
hasil daripada dasar-dasar dan langkah-langkah Kerajaan yang berterajukan UMNO,
dan, Insya Allah, suasana persekitaran akan terus menggalakkan, dan jangkaan
adalah menunjukkan perkembangan ekonomi secara berterusan. Keadaan yang
menggalakkan adalah sangat perlu, kerana, hanya dengan pertumbuhan ekonomi,
dapat diteruskan agenda Melayu dan Bumiputera, serta dapat dipastikan, umat
Islam di negara ini, dapat ditingkatkan taraf ekonomi mereka,sejajar dengan
pencapaian kaum-kaum lain.
Umat Islam tidak dapat dijamin kemajuan mereka jika keadaan tidak menggalakkan,
dan jika kedudukan sosial dan ekonomi mereka tidak dibela. Bahkan ibadah mereka
juga akan terjejas dan terganggu, jika mereka sentiasa dalam kedaifan dan
kemunduran.
Dalam keadaan persekitaran yang semakin mencabar, dan dalam suasana dunia yang
semakin tiada sempadan, kesan daripada proses globalisasi, perlu dikekalkan
sebuah Kerajaan yang cukup kekuatan dan kewibawaannya, untuk melaksana
dasar-dasar yang memberi ketahanan kepada negara untuk bersaing dengan
negara-negara lain, serta dapat mengatasi cabaran-cabaran dalam apa juga
bentuk. Maruah bangsa banyak bergantung kepada kewibawaan kepimpinan Kerajaan,
dan Kerajaan Barisan Nasional, yang bertunjangkan UMNO, telah terbukti
mempunyai kemampuan dan kewibawaan tersebut.
Bagi Pergerakan Wanita UMNO, usaha dari sekarang ialah menghala kepada
menyediakan jentera parti, untuk menghadapi Pilihan raya pada bila-bila masa,
sama ada Pilihan raya Kecil atau Pilihan raya Umum, dan mempastikan, melalui
program kerja yang berstrategi, serta tumpuan kepada usaha-usaha jentera
Pilihan raya, bahawa Barisan Nasional dan UMNO, mencapai kemenangan besar.
Tumpuan utama adalah untuk menawan semula kerusi-kerusi yang telah terlepas ke
tangan pembangkang, dan, ke arah ini, jentera Pergerakan Wanita UMNO di semua
peringkat akan dikemaskini. Majlis-majlis penerangan tentang isu-isu yang
menjadi perhatian rakyat, akan terus dipergiatkan, seperti juga usaha-usaha
untuk memperluaskan jangkauan pengaruh parti di peringkat akar umbi.
Lebih-lebih lagi, usaha perlu dilipatgandakan untuk membanteras usaha-usaha
pihak pembangkang yang menabur fitnah dan membawa kekeliruan, terutama di
kalangan orang-orang Islam, dan menerangkan tentang keadaan yang sebenarnya.
Dunia masih terus merasakan kesan dan impak tragedi September 11 di New York,
yang kesan-kesannya merangkumi pelbagai aspek. Kesan ekonomi telah menyebabkan
pertumbuhan ekonomi negara terganggu, dan ekonomi dunia masih belum pulih
daripada penjejasan sebelum, dan selepas, September 11.
Malaysia, telah bersama-sama dalam usaha mencegah dan mengatasi masalah
keganasan (terrorism) dan telah pun diakui sebagai sebuah negara yang proaktif
membanteras kegiatan pelampau, dan keganasan, semenjak awal-awal lagi.
Pergerakan Wanita UMNO menyokong penuh usaha-usaha kerajaan untuk bertindak ke
atas sesiapa juga yang berpotensi untuk mendorong keganasan, atau yang terlibat
dengan apa jua bentuk kegiatan yang boleh membawa kepada keganasan.
Tindakan tegas wajar diambil ke atas mana-mana pihak, yang jelas merupakan
pelampau-pelampau, tidak kira sama ada mereka pelampau atau ekstremis politik,
agama atau sosial. Aktiviti- aktiviti yang bercorak ekstremis, atau pelampau,
mengganggu gugat kestabilan masyarakat dan negara, dan memudaratkan kepentingan
rakyat amnya. Kumpulan ekstremis yang minoriti tidak boleh dibenarkan
menjejaskan keadaan majoriti rakyat yang mahukan keamanan dan kestabilan.
Kesan daripada aktiviti-aktiviti pelampau yang membawa kepada keganasan seperti
tragedi September 11, umat Islam telah digambarkan sebagai kaum yang berpotensi
untuk mengganas. Imej orang-orang Islam telah terjejas, dan orang-orang yang
dianggap sebagai terroris atau pengganas, disamaertikan sebagai datang daripada
orang-orang beragama Islam. Walhal keganasan berterusan berlaku di kalangan
pelbagai kumpulan kaum dan agama, di merata tempat di dunia dengan
masing-masing mempunyai sebab-sebab tertentu, yang mendorong mereka bertindak
sedemikian.
Namun demikian, masalah rakyat Palestin yang memperjuangkan hak mendapat negara
dan tanah air sendiri, jelas merupakan satu punca asas kegiatan-kegiatan mereka
yang telah dicap sebagai pengganas atau terroris. Oleh itu, penyelesaian
masalah tersebut adalah faktor utama, yang perlu diberi tumpuan oleh dunia,
supaya ketenteraman dapat dicapai di Timur Tengah, dan rakyat Palestin diberikan
hak-hak mereka.
Bagi kita di Malaysia, khususnya bagi umat Islam, sangat penting kita
bersama-sama menolak sangkaan buruk sesetengah pihak terhadap orang-orang
Islam, dengan memaparkan imej umat yang berdisiplin, maju, bermaruah, dan yang
memanfaatkan ajaran agama, untuk muncul sebagai kaum yang dihormati dan
disegani. Jangan sekali-kali dibenarkan mana-mana pihak mencorakkan umat Islam
di Malaysia dengan kesempitan tafsiran, dan kefahaman, kekolotan, dan dengan
kesongsangan, apatah lagi dengan unsur-unsur fanatik dan pelampau.
Perlu juga dibanteras usaha mana-mana pihak yang membawa pecah belah di
kalangan orang-orang Islam, dan yang memberi ruang untuk aktiviti dan fahaman
fanatik dan ektremis. Kegiatan politik yang menyalah guna agama, jelas membawa
unsur-unsur pecahbelah di kalangan orang-orang Islam, dan mengurangkan
kewibawaan pemimpin-pemimpin Islam dalam Kerajaan, untuk menentukan masa depan
yang cemerlang bagi orang-orang Islam di negara ini. Dan, satu daripada
prasyarat ke arah kecemerlangan itu, ialah perpaduan dan penyatuan hala serta
aspirasi.
Lebih-lebih lagi, anak-anak muda di kalangan orang-orang Islam, wajar
disedarkan tentang perlunya mereka meningkatkan keupayaan untuk bersaing dengan
pihak lain dalam apa jua bidang yang releven. Masa kini, pencapaian yang rendah
dalam bidang pendidikan, merupakan masalah serius di kalangan penuntut-penuntut
lelaki Melayu, dan ini akan ada kesannya kepada prestasi orang-orang Melayu,
iaitu orang-orang Islam, di masa akan datang.
Pencapaian pendidikan yang tidak pada tahap-tahap yang memuaskan, akan ada
kesan kepada penyertaan orang-orang Melayu dan Islam, dalam bidang-bidang baru,
yang memerlukan ilmu dan pengetahuan, terutama yang berasaskan teknologi
terkini, seperti teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT. Ilmu dan
pengetahuan akan merupakan penjana-utama kemajuan sesuatu bangsa dan penentu
keupayaan mereka, untuk berjaya apabila bersaing di dalam negara atau di
peringkat global. Oleh itu, penguasaan ilmu dan pengetahuan, perlu merupakan
prioriti kepada orang-orang Melayu dan Islam di negara ini. Ibu bapa mesti
memberi penekanan kepada ilmu dan pengetahuan di kalangan ahli-ahli keluarga,
supaya generasi akan datang tidak ketinggalan dan tersisih, daripada aliran
utama kemajuan masyarakat dan negara.
Dalam konteks ini, Pergerakan Wanita UMNO menganggap penekanan kepada kebolehan
dan keupayaan sebagai perkara asas.
Wajar meritokrasi dipupuk sebagai satu elemen budaya di kalangan orang Melayu
dan Bumiputera, khususnya, dan rakyat Malaysia amnya, supaya dorongan mencapai
kecemerlangan, merupakan penggerak kepada generasi muda, dan mereka
membanggakan pencapaian yang tinggi. Sungguhpun kuota dan bahagian-bahagian
yang ditentukan masih penting dalam keadaan-keadaan tertentu, adalah wajar
generasi muda diasuh dengan sikap dan nilai, bahawa, mereka wajar bergantung
kepada pencapaian dan keupayaan tinggi, untuk mendapat sesuatu, bukan
semata-mata mengharapkan kuota dan tempat atau ruang-ruang yang dikhaskan.
Menghala ke arah tahun 2020, generasi muda sekarang di kalangan orang-orang
Melayu dan Bumiputera, tidak boleh lari daripada memupuk kemampuan dan
keupayaan, untuk bersaing dengan pihak-pihak lain, terutama dalam masyarakat
yang semakin berasaskan ilmu dan pengetahuan.
Di waktu akhir-akhir ini, telah mula dibahaskan tentang keperluan
mengintegrasikan bahasa Inggeris ke dalam penyampaian ilmu dalam bidang-bidang
tertentu, seperti Sains dan Matematik, dan juga dalam latihan-latihan amali
vokasional. Ini ada kaitannya dengan perkembangan-perkembangan dalam
persekitaran global, di mana penerapan ilmu dan pengetahuan berteraskan kepada
bahasa sejagat seperti Inggeris, di samping beberapa bahasa lain. Juga, ia ada
kaitan dengan keperluan-keperluan semasa, dan yang akan datang, dalam pasaran
tenaga manusia.
Pergerakan Wanita UMNO menganggap tidak wajar bagi negara undur ke belakang,
dengan menukar bahasa pengantar di dalam institusi-institusi pendidikan.
Tetapi, sangat penting sistem pendidikan di negara ini sentiasa dikemaskini
pendekatan penyampaian ilmu dan pembelajaran, termasuk mengintegrasikan bahasa
Inggeris, supaya mereka yang keluar memasuki tenaga pekerja, akan releven
kemampuan dan pengetahuan mereka, dengan kehendak pasaran.
Dalam hal ini, ibu bapa di kalangan orang-orang Melayu dan Bumiputera wajar
melihat integrasi bahasa Inggeris, dalam proses pembelajaran, sebagai penting.
Juga, mereka wajar mengelak daripada menghantar anak-anak mereka ke
sekolah-sekolah atau institusi pengajian, sama ada di dalam atau di luar
negara, yang tidak akan memberikan kelayakan-kelayakan yang sesuai kepada
anak-anak mereka, dari segi peluang mendapat pekerjaan dan sara hidup.
Ibu bapa wajar memandang serius kecenderungan menghantar anak-anak ke
tempat-tempat pengajian yang tidak diiktiraf, dan yang merupakan tempat-tempat
asuhan fikiran dan minda yang sempit, dan ekstremis, serta di mana apa yang
diajar tidak akan menjamin penerimaan oleh pasaran tenaga pekerja. Ibu bapa
perlu waspada akan tempat-tempat belajar yang mempunyai bibit-bibit politik,
serta yang mempunyai haluan-haluan tertentu yang negatif, tidak kira sama ada
di dalam, atau di luar negara.
Semenjak akhir-akhir ini, gejala-gejala sosial yang menggemparkan masyarakat,
telah banyak didedahkan oleh media massa. Antaranya ialah kes-kes sumbang
mahram, yang jelas telah menjadi masalah masyarakat yang perlu ditangani oleh
semua pihak. Perangkaan-perangkaan kes-kes sumbang mahram mendesak supaya
pihak-pihak yang berwajib menjalankan program-program nilai kekeluargaan dan
tanggungjawab kekeluargaan, serta menerapkan fahaman-fahaman betul tentang
peranan individu-individu, seperti bapa, di dalam keluarga.
Antara tahun 1997 hingga Mac 2002, terdapat sebanyak 1,371 kes sumbang mahram,
dengan 907 kes melibatkan mereka yang ada pertalian darah, dan 464 kes
melibatkan mereka yang tiada pertalian darah. Sebanyak 401 kes atau 44.2%
adalah melibatkan bapa, 231 kes melibatkan bapa saudara, dan 90 melibatkan
abang sendiri. 82 kes pula adalah jenayah dilakukan oleh sepupu, 44 oleh
saudara, 35 oleh datuk, 19 oleh datuk saudara dan 5 kes oleh adik.
Di samping itu, 251 kes atau 54.0% adalah kes-kes melibatkan bapa tiri, dan 119
kes melibatkan abang ipar dan adik ipar, iaitu di kalangan mereka yang tiada
kaitan atau pertalian darah. Sebanyak 36 kes pula melibatkan bapa angkat, 29
abang tiri, 16 kes jenayah oleh abang angkat, 7 datuk tiri, 5 bapa mertua, dan
1 kes melibatkan anak tiri.
Dari segi umur mangsa pula, sebanyak 70.7% atau 328 daripada mangsa kes-kes
sumbang mahram yang melibatkan mereka yang tiada pertalian darah, adalah di
bawah umur 16 tahun, dan selebihnya di atas umur 16 tahun.
Bagi kes-kes di kalangan mereka yang ada pertalian darah, sebanyak 69.6% atau
631 kes adalah melibatkan mangsa-mangsa yang berumur di bawah 16 tahun.
Dari segi pecahan mengikut kaum, dalam kes-kes yang tiada pertalian darah pula,
326 kes atau 70.2% daripada semua kes-kes sumbang mahram adalah di kalangan
orang-orang Melayu, 7.1% di kalangan orang-orang India, dan 3.7% di kalangan
kaum Cina. Selebihnya adalah di kalangan lain-lain kaum. Di kalangan kes-kes
sumbang mahram antara mereka yang ada pertalian darah, 70% atau 634 kes adalah
di kalangan orang-orang Melayu.
Taburan kes-kes mengikut negeri-negeri pula, menunjukkan bahawa 190 kes adalah
di Selangor 180 di Johor, 165 di Sabah, 118 kes di Pahang, 106 di Sarawak, 103
di Kedah, 98 kes di Perak, 88 di negeri Sembilan, 80 di Terengganu, 64 di
Kelantan, 63 di Pulau Pinang, 52 di Kuala Lumpur, 47 di Melaka dan 17 di
Perlis.
Yang membimbangkan ialah kes-kes sumbang mahram, masih pada tahap tinggi,
dengan 247 dalam tahun 1997, 317 dalam tahun 1998, 281 kes dalam tahun 1999,
213 kes dalam tahun 2000, dan 246 dalam tahun 2001. Dalam tiga bulan pertama
tahun 2002, 65 kes sumbang mahram telah dicatitkan.
Masalah sosial, seperti sumbang mahram, tidak dapat dicegah dengan kuatkuasa
undang-undang sahaja, walau bagaimana berat hukuman yang dijatuhkan. Generasi
baru pesalah pasti akan muncul berterusan jika usaha-usaha pencegahan tidak
dilakukan dalam unit-unit keluarga, dan jika masyarakat tidak mementingkan
tanggungjawab dan nilai-nilai kekeluargaan.
Seperti juga apa-apa gejala negatif dan masalah sosial, punca dan suasana
jenayah itu berlaku, perlu dikenal pasti, dan usaha memperbetulkan diberi
perhatian. Arah aliran yang menjurus kepada insiden tinggi di kalangan
orang-orang Melayu, dalam hal-hal gejala negatif masyarakat, wajar
membimbangkan orang-orang Melayu sendiri, dan pembasmian masalah-masalah
tersebut perlu merupakan salah satu daripada agenda Melayu.
Bagi Pergerakan Wanita UMNO, kita perlu bekerjasama dengan organisasi dan
pihak-pihak yang berkaitan, untuk menangani masalah-masalah sosial di kalangan
orang-orang Melayu dan Bumiputera. Sekurang-kurangnya jentera Pergerakan Wanita
UMNO di peringkat Bahagian, boleh mengatur program penerangan, khusus untuk
memberi kesedaran tentang tanggungjawab bersama masyarakat, dalam pembasmian
gejala-gejala negatif. Juga, kaum wanita perlu sentiasa disedarkan, tentang
hak-hak mereka, di samping tahu akan apa yang mereka wajar lakukan, untuk
mendapat pembelaan.
Sewaktu parti menghadapi Pilihan Raya Umum dalam tahun 1999, ada di kalangan
rakyat, khususnya, di kalangan orang-orang Melayu, yang telah menolak UMNO dan
Barisan Nasional, oleh kerana terpengaruh dengan isu-isu semasa. Ada yang telah
terperangkap dengan perjuangan politik pembangkang yang semata-mata bersekitar
pada kepentingan individu, bukan perjuangan kaum dan rakyat. Ada keraguan pada
masa itu bahawa UMNO tidak lagi di sokong oleh sebahagian besar orang-orang
Melayu.
Syukur Alhamdullilah, keadaan telah mula berubah. Kemenangan Barisan Nasional
dalam pilihan raya kecil di Indera Kayangan dan Ketari mencerminkan perubahan
ini. Rakyat telah mula sedar akan keadaan sebenarnya, dan keyakinan kepada UMNO
dan Barisan Nasional telah mula meningkat. Mereka telah meletakkan semula
kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk mewakili mereka, kerana kesedaran
bahawa hanya Barisan Nasional yang bertulang belakangkan UMNO, yang
berkemampuan untuk memenuhi aspirasi rakyat. UMNO mempelopori politik
pembangunan, khususnya pembangunan orang-orang Melayu dan Bumiputera, dan
dengan itu UMNO Pejuang Ummah. Perjuangan UMNO untuk membela nasib dan masa
hadapan umat Islam dilaksanakan dengan penuh kesedaran tentang situasi
masyarakat majmuk di Malaysia, serta tanggungjawab terhadap semua pihak.
Memperjuangkan Agenda Melayu dan Bumiputera tidak bermakna bahawa pihak-pihak
lain, diketepikan, atau disisihkan.
Bahkan survival orang-orang Melayu dan dengan itu, survival umat Islam, adalah
bergantung kepada survival UMNO sendiri. Selagi UMNO terus bertahan dengan
teguh, dan selagi UMNO tunjang parti Pemerintah, survival umat Islam akan
dijamin.
Untuk UMNO terus kukuh dan diyakini, ahli-ahli UMNO mesti menyumbang kepada
meningkatkan imej UMNO di kaca mata orang-orang Melayu khususnya, dan rakyat
amnya. Usaha memupuk imej ini perlu berterusan, dan direalisasikan melalui
kegiatan dan pembawaan ahli-ahli UMNO di semua peringkat. UMNO perlu menjangkau
pengaruhnya bukan sahaja di kalangan ahli-ahli, tetapi juga di kalangan seramai
mungkin orang-orang Melayu dan Bumiputera, dan di kalangan rakyat umum.
Pergerakan Wanita UMNO mempunyai peranan penting dalam meningkatkan keyakinan
dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO, oleh kerana kegiatan-kegiatan di
peringkat akar umbi sangat rapat dengan, dan releven kepada, kehidupan harian
rakyat. Tetapi, masih banyak yang perlu dilaksanakan, oleh kerana
perubahan-perubahan dan kemajuan-kemajuan dalam persekitaran akan berterusan
memerlukan Pergerakan Wanita UMNO mengubahsuai dan memperbaharui strategi,
pendekatan dan program-program kerja. Selain daripada strategi dan program yang
dianggap teras kepada gerak kerja Pergerakan Wanita UMNO, perlu disusun atur
program-program yang mampu memenuhi cita rasa dan aspirasi kaum wanita masakini
dan masa akan datang.
Proses pembangunan negara telah bukan sahaja membawa cabaran-cabaran baru,
tetapi telah membuka potensi dan peluang-peluang baru, dalam pelbagai bentuk,
seperti bidang-bidang yang dijana dan didorong oleh kemajuan-kemajuan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi, peluang-peluang melibatkan diri dalam
aktiviti-aktiviti dinamis industri dan perdagangan, dan, peluang-peluang yang
terbuka di luar batasan dan sempadan negara sendiri.
Pergerakan Wanita UMNO mesti memberi kepimpinan kepada kaum Wanita Malaysia untuk
menyediakan diri mereka memanfaatkan potensi dan peluang-peluang tersebut.
Keutamaan perlu diberi kepada usaha-usaha penerapan ilmu dan pengetahuan, dan
kepada memupuk keupayaan dan kemahiran. Pergerakan Wanita UMNO perlu
bersama-sama dalam proses pembangunan tenaga manusia, khususnya di kalangan
kaum wanita. Sungguhpun Perlembagaan Negara tidak mengizinkan diskriminasi
antara jantina, namun, penerimaan kaum wanita di dalam mana-mana bidang, akan
bergantung kepada keupayaan mereka. Tiada diskriminasi juga akan bererti kaum
wanita tidak akan dapat mengharapkan layanan khas dan istimewa. Bahkan, dalam
dunia yang semakin penuh saingan, hanya keupayaan dan kemampuan akan menentukan
kejayaan kaum wanita.
Kita perlu sentiasa diingatkan tentang pesanan di kalangan orang-orang Melayu
bahawa kita tidak boleh menjadi seperti "Katak di bawah tempurung"
dengan dikongkong oleh minda sempit, yang tidak pernah didedahkan kepada apa
yang berlaku di persekitaran di luar tempurungnya.
Sekarang ini, mahu atau tidak mahu, proses globalisasi, dan pengaruh internet
telah akan terus memaksa kita mengambil kira apa yang berlaku di luar batasan
kawasan kehidupan kita. Bahkan dunia keseluruhannya sudah merupakan satu
tempurung besar untuk sesama manusia, dan tiada mana-mana negara dan masyarakat
yang boleh berada dalam keadaan alpa kepada perkembangan-perkembangan serantau
dan global.
Di Malaysia, perlu kita bersama-sama mengasuh minda masyarakat, terutama
masyarakat Melayu dan Bumiputera untuk mempunyai persepsi global, dan supaya
tidak dikongkong dan dibendung, oleh fahaman-fahaman, nilai-nilai dan
persepsi-persepsi usang yang hanya menghalang mereka untuk maju.
Pergerakan Wanita UMNO mesti berperanan dalam mengasuh minda kaum wanita ke
arah kemajuan dan pembukaan minda. Dan, untuk kita berkesan dan efektif
melaksanakan peranan tersebut, ahli-ahli dan Pemimpin Pergerakan Wanita UMNO
sendiri, mesti berusaha memajukan diri masing-masing, dan memupuk minda yang
terbuka dan persepsi yang meluas. Ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO tidak boleh
menitik beratkan perkara remeh temeh, dan yang memecahbelah sesama sendiri.
Juga, ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO tidak boleh mengikut rentak orang lain,
serta rentak pihak-pihak yang mempunyai motif politik menghakis kekuatan UMNO
melalui usaha-usaha melemahkan Pergerakan Wanita UMNO, yang merupakan komponen
terbesar ahli-ahli UMNO.
Pergerakan Wanita UMNO tulang belakang UMNO, kerana lebih dari separuh
ahli-ahli UMNO terdiri daripada ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO.
Pergerakan Wanita UMNO banyak berperanan sebagai penentu kekuatan, ketahanan
dan keupayaan UMNO.
Untuk Pergerakan Wanita UMNO terus efektif dan berwibawa, adalah penting kita
mengelakkan politik konflik dan politik berpihak-pihak. Tiada ruang untuk
Pergerakan Wanita UMNO memperjuangkan apa-apa yang selain daripada perjuangan
Parti.
Dalam Parti menghadapi Pilihan raya Umum menjelang Tahun 2004, Pergerakan
Wanita UMNO, seperti juga lain-lain komponen UMNO, perlu mengelakkan berlakunya
konflik dan masalah dalaman. Apa-apa juga masalah dan konflik dalam parti akan
hanya menghakis ketahanan parti, dan menghalakan perhatian dan tenaga kepada
perkara-perkara yang tidak produktif; lebih-lebih lagi, konflik dan masalah
dalaman hanya akan menguntungkan pihak lawan, yang akan menjadikan isu-isu UMNO
modal politik mereka. Juga, masalah-masalah dan konflik dalam Parti akan
mengurangkan keyakinan orang-orang Melayu dan rakyat kepada UMNO dan Kerajaan,
di samping menghakis keupayaan parti untuk menerajui pentadbiran negara.
Sewajarnya orang-orang Melayu, terutama ahli-ahli UMNO, perlu mengambil iktibar
daripada apa yang berlaku di negara-negara lain, dan di kalangan masyarakat
Islam, yang telah kehilangan keupayaan menentukan destinasi dan masa depan
sendiri. Masyarakat Islam yang lemah akan mudah ditekan, dan ditakluk minda dan
kepimpinan mereka. Bahkan kewujudan mereka sebagai umat Islam juga akan
terjejas. Pembelaan untuk mereka terpaksa bergantung kepada ihsan pihak lain,
yang tentu sekali akan berpengaruh ke atas haluan masyarakat Islam tersebut.
Pendekatan penjajahan ke atas mana-mana masyarakat Islam pasti akan berlaku,
jika masyarakat tersebut gagal bersatupadu, tidak sehaluan antara sesama
sendiri serta tidak mempunyai kepimpinan yang berwibawa dan bertanggungjawab.
Di Malaysia, wajar dipastikan bahawa dalam setiap generasi orang-orang Melayu,
ada muncul pelapis-pelapis kepimpinan yang boleh mewarisi kepimpinan sebelum
mereka, serta mampu membawa masyarakat Islam ke tahap-tahap pencapaian yang
lebih tinggi. Mereka wajar merupakan pemimpin pelapis yang berminda terbuka,
berpersepsi global, dan bersemangat kebangsaan yang tinggi. Mereka inilah yang
akan menjadi harapan bangsa dan negara.
Mulai dari sekarang Pergerakan Wanita UMNO dan UMNO sendiri perlulah berada
dalam keadaan bersiap sedia untuk Pilihan raya, sungguhpun ia bukan kerana
tarikh Pilihan raya akan hampir, tetapi kerana waktu berlalu begitu pantas, dan
pelbagai cabaran sedia menanti. Keadaan siap sedia, atau berada dalam
"election mode" akan menghalakan fikiran ahli-ahli UMNO kepada
perkara-perkara yang penting, dan yang memberi faedah kepada parti.
UMNO mesti terus menerajui Kerajaan dan membela orang-orang Melayu dan
Islam. Masa hadapan orang-orang Melayu dan Islam perlu diletakkan terus di
dalam agenda UMNO. Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk menunaikan
tanggungjawab serta melaksanakan apa jua yang dikehendaki untuk memperkukuhkan
UMNO. Kita perlu tegas dalam komitmen kita terhadap perjuangan parti, dan
didorongi oleh kesedaran bahawa hanya UMNO pembela ummah di negara ini.
Akhir kata saya ingin, bagi pihak Exco Pergerakan Wanita UMNO merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Puan yang telah berusaha
gigih dan memberi sokongan terhadap kerja-kerja parti dalam Pilihan
raya-pilihan raya Kecil di Indera Kayangan dan di Ketari. Semoga pakatan yang
telah dibina, serta strategi kerja yang teliti dan berdisiplin, UMNO dan
Barisan Nasional, akan, Insya-Allah, terus mencapai kejayaan dalam setiap
Pilihan raya.
© 2000 Pemuda UMNO
Cawangan Taman Bukit Kepayang. All rights reserved.