Ucapan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad Di Perhimpunan
Agung UMNO pada 20 Jun, 2002.
"MENDEDAH YANG TERBUKA"
Alhamdullillah, Segala puji bagi Allah s.w.t. Sekali lagi kita Parti UMNO dapat
bersidang dalam keadaan aman dan tenteram, bersidang untuk membincang dan
membahas prestasi parti dan bangsa kita, dasar-dasar dan masa depan negara yang
tercinta ini, Negara Malaysia. Bahawa kita dapat berbuat demikian dalam keadaan
yang sempurna adalah satu nikmat yang besar kerana sebenarnya ia adalah sesuatu
yang istimewa, yang luar biasa. Bahawa setelah berusia 56 tahun UMNO masih
wujud sebagai sebuah parti yang berwibawa, yang berkuasa dalam negara ini, yang
tersusun rapi, tertib dan berkesan, adalah perkara-perkara yang perlu kita
bersyukur dengannya. Tidak banyak parti politik yang berusia seperti kita yang
masih ada, dan jauh sekali masih berkesan, berwibawa dan masih menjadi parti
pemerintah.
DUNIA YANG PENUH MASALAH
Lagi pun kita berada dalam dunia yang penuh dengan masalah, ketidaktentuan;
terancam dengan keganasan yang luar biasa, dengan penindasan oleh yang kuat ke
atas yang lemah, yang kaya ke atas yang miskin; dengan peperangan berlaku di
sana-sini, pembunuhan beramai-ramai, kezaliman dan ketidakseimbangan yang
ketara di antara yang miskin dengan yang kaya.
Alaf ketiga dan abad ke 21 tidak membawa tamadun manusia ke tahap yang lebih
baik, walaupun kepandaian dan kecekapan manusia begitu tinggi sekali. Zaman
teknologi maklumat, zaman ilmu pengetahuan sudah tiba. Malangnya manusia sudah
menjadi angkuh dengan kebolehan mereka. Ilmu yang diperolehi tidak banyak
digunakan untuk kebaikan dan kesejahteraan hidup manusia, tetapi lebih kepada
peningkatan kebolehan menindas dan membunuh lebih ramai manusia.
Kebesaran negara diukur melalui penciptaan dan pemilikan senjata yang boleh
membunuh jumlah manusia yang lebih besar dan bukan kerana tamadun yang mulia.
Dengan jumlah nuklear "warhead" yang boleh menghancurkan seluruh
dunia dan seluruh umat manusia, mereka memaksa negara-negara di dunia supaya
tunduk kepada mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa manusia belum dapat maju
setapak pun dari Zaman Batu di mana kekuatan bermakna kebenaran. "Might is
right". Mereka yang kuat boleh buat apa sahaja. Mereka yang lemah perlu
terima sahaja nasib yang ditimpa ke atas mereka.
Keadilan dan kebenaran tidak ada tempat dalam perkiraan mereka yang menjadi
kuasa besar. Dengan tidak segan-segan mereka menggunakan dua kayu ukur - satu
untuk mereka dan satu lagi untuk orang lain. Apa sahaja yang dilakukan oleh
mereka adalah betul, baik dan wajar. Tetapi perlakuan perkara yang sama oleh
orang lain adalah salah dan tidak wajar.
Perang Dingin sudah tamat hampir dua dekad tetapi penyelidikan, penciptaan dan
pengeluaran senjata-senjata baru masih diteruskan. Selain daripada senjata
nuklear ada pula senjata kuman dan gas. Senapang satu peluru diganti dengan
mesingan yang boleh membunuh berpuluh-puluh orang sekali dipetik, yang boleh
melontar grenad dan api yang mampu bukan sahaja membunuh manusia tetapi
memusnah dan membakar apa sahaja.
Kemampuan meriam, roket peluru berpandu dan senjata-senjata lain untuk membunuh
lebih ramai manusia telah dipertingkatkan. Di udara kemampuan pesawat pejuang
untuk memusnah dan membunuh, pesawat yang sudahpun cukup canggih telah
dipertingkatkan lagi kemampuannya. Daripada pesawat yang hanya berharga ratusan
ribu dolar, sekarang ini tiap pesawat berharga ratusan juta dolar.
Berbilion-bilion dolar dibelanjakan oleh kuasa besar untuk membekal angkatan
perang mereka dengan beratus-ratus pesawat ini.
Dan negara yang miskin juga terpaksa membeli pesawat-pesawat ini kerana jika
tidak, negara jiran atau negara musuh akan dibekalkan dengan pesawat-pesawat
ini. Perbelanjaan untuk memiliki bekalan senjata tidak memberi pulangan apa-apa
selain daripada menaikkan semangat pasukan pertahanan dan Kebangsaan sesebuah
negara. Dengan perlunya pemodenan senjata setiap masa, negara-negara besar dan
kecil mensia-siakan sejumlah besar wang ringgit yang begitu sukar diperolehi
untuk membeli senjata yang tidak akan diguna, sementara orang miskin terus
merana. Namun penciptaan dan peningkatan kecanggihan senjata masih diteruskan
dan semakin besarlah jumlah wang tiap negara yang akan disia-siakan.
Di masa yang sama pencipta dan pembekal senjata ini tidak dapat faham kenapa di
sana sini peperangan berlaku. Mereka kononnya menentang huru-hara, peperangan
kecil dan aneka jenis penindasan. Mereka menentang penjualan senjata secara
haram. Mungkinkah ini disebabkan penjualan haram menjejas pasaran senjata yang
mereka anggap sebagai hak mereka? Bahawa tanpa mereka mengeluarkan
senjata-senjata ini, tidak mungkin ada pasaran haram tidak mengganggu fikiran
mereka.
Dengan begitu banyaknya senjata di seluruh dunia tidak hairanlah peperangan dan
pemberontakan bersenjata berlaku di seluruh pelosok dunia. Tidak ada satu hari
yang berlalu yang berpuluh manusia tidak dibunuh dengan senjata-senjata yang
dicipta dan dipasar tanpa sekatan ini.
PERISTIWA 11 SEPT DAN KEGANASAN
Pada 11 September berlakulah peristiwa yang mengejutkan seluruh dunia. Ketika
negara kaya dan berteknologi tinggi menumpu kepada ciptaan senjata-senjata
canggih yang boleh memberi lebih "fire-power" kepada mereka, pesawat
penumpang biasa digunakan sebagai peluru berpandu untuk menyerang pusat dan
simbol kekuasaan negara maju. Tetapi kesannya lebih daripada kehancuran
bangunan dan kematian lebih 3000 orang. Kesan yang ketara ialah ketakutan yang
amat sangat oleh seluruh dunia akan serangan oleh pengganas. Bukan sahaja bangunan
yang runtuh tetapi ekonomi dunia turut runtuh dengan teruk kerana ketakutan
pelancong dan ahli perniagaan akan terperangkap dalam pesawat yang diculik oleh
pengganas untuk dijadikan peluru berpandu. Beratus-ratus bilion dolar telah
hilang kerana aktiviti pelancongan, perniagaan dan industri penerbangan hampir
terhenti terus.
Berhadapan dengan ancaman yang tidak diduga ini kuasa-kuasa besar naik gelabah
dan seolah-olah hilang pedoman. Oleh kerana tidak berpengalaman dalam menangani
serangan pengganas, mereka kembali kepada cara-cara peperangan biasa. Walaupun
semua pengganas 11 September bukan daripada orang Afghan, tetapi oleh kerana
Afghanistan menjadi pangkalan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda yang
dipercayai terlibat dengan serangan pada 11 September, maka negara itu diserang
dengan senjata yang tidak kenal siapa. Ramai yang tidak bersalah, orang awam,
perempuan tua dan muda, kanak-kanak, orang sakit telah terbunuh dan cedera, dan
berjuta-juta rakyat negara yang malang ini terpaksa melarikan diri ke negara
jiran di mana mereka hidup merana, tanpa teduh, tanpa makanan yang cukup, tanpa
perubatan.
Alhamdulillah, puak Taliban yang dahulu diperalatkan oleh kuasa tertentu untuk
menjatuhkan Kerajaan Afghanistan, telah lari berselerak. Jika tidak akan ranaplah
semua bandar dan kampung di Afghanistan; akan terbunuhlah ramai rakyatnya,
kerana serangan udara yang tidak kenal siapa.
Tetapi keganasan tidak dapat dihentikan. Kuasa-kuasa besar terus berada dalam
ketakutan, terus hidup dalam iklim perang kerana dipercayai bila-bila masa
sahaja pengganas akan menyerang lagi. Mengalahkan Afghanistan tidak memberi
apa-apa kesan kepada peperangan melawan keganasan.
KEGANASAN TERHADAP PALESTIN
Sebenarnya kemungkinan keganasan berlaku sudah bertambah kerana Israel, yang menindas
Palestin, mengambil kesempatan daripada peperangan melawan keganasan untuk
bertindak lebih ganas terhadap rakyat Palestin. Ariel Sharon, Perdana Menteri
Israel, berpendapat keganasan boleh dihentikan dengan keganasan yang lebih
dahsyat terhadap pihak yang kononnya melahirkan pengganas.
Tiap kali Israel dan rakyatnya diserang oleh pasukan berani mati Palestin,
Sharon mengarahkan supaya sebilangan yang lebih besar rakyat Palestin dibunuh.
Puncak terakhir ialah serangan ke atas Jenin, di mana rumah batu diruntuh
dengan penghuninya masih ada di dalam. Maka beratus-ratuslah rakyat Palestin
terbunuh, jauh lebih ramai daripada rakyat Israel yang terbunuh oleh serangan
bom manusia Palestin. Tindakan Israel ini bukan sahaja tidak mengurangkan
keganasan tetapi sebaliknya menimbulkan kemarahan yang amat sangat di kalangan
semua orang Islam, yang mana ini boleh menyebabkan lebih banyak keganasan.
Israel harus ingat bahawa ia berada di tengah-tengah negara Arab dan Islam.
Sampai bilakah dapat Israel bertindak balas dengan lebih kejam terhadap rakyat
Palestin? Jika Israel dapat membunuh semua enam juta rakyat Palestin pun, tidak
ada jaminan orang Islam dan orang Arab dari negara-negara di sekeliling Israel
tidak akan mengganas seperti rakyat Palestin yang berani mati. Ingatlah bahawa
yang menyerang pada 11 September bukan rakyat Palestin. Mereka adalah dari
negara-negara Islam yang di sekeliling Israel. Tidak mungkin Israel dapat
membunuh 1,300 juta orang Islam untuk menyelamatkan dirinya.
Ariel Sharon harus faham dan penyokong Sharon di dalam dan luar negeri juga
harus faham bahawa mengganas lebih daripada keganasan pengganas bukan cara
untuk menyelamatkan Israel. Kata Mat Salleh, "you are painting yourself
into a corner."
Lebih kejam dan ganas serangan Israel ke atas rakyat Palestin, lebih marah dan
lebih naik angin bukan sahaja orang Palestin tetapi semua orang Islam. Dengan
itu lebih sukar lagi untuk mencari penyelesaian bagi masalah Israel; lebih
sukar lagi untuk menamatkan keganasan. Hari ini pun sudah ada puak-puak di
kalangan orang Palestin dan Islam yang tidak lagi sanggup berdamai dengan
Israel. Mereka ingin meneruskan keganasan sebagai cara membalas dendam. Mereka
tidak peduli akan tindak balas Israel, walau bagaimana kejam sekali pun. Dan
mereka tidak peduli menang atau kalah asalkan mereka dapat membunuh orang
Israel dan penyokong mereka sebagai balasan terhadap kekejaman Israel.
Kita khuatir sesiapa sahaja daripada mana-mana bangsa yang menyokong Israel
akan menjadi sasaran serangan pengganas, di mana juga mereka berada, sama ada
dalam negeri atau luar negeri. Orang yang tidak berdosa antara mereka mungkin
dibunuh atau diculik. Tidak mungkin pengawal keselamatan diadakan bagi setiap
orang apabila mereka ke sana-sini di seluruh dunia menjalankan urusan mereka.
Israel perlu sedar akan "futility" atau sia-sianya pendekatan yang
mereka ambil. Penyokong mereka juga harus sedar bahawa berperang dengan
pengganas tidak seperti perang biasa. Dalam perang biasa negara yang menjadi
musuh boleh diserang sehingga tentera mereka dikalahkan, sehingga wilayah
mereka ditawan. Apabila ini berlaku musuh akan menyerah kalah dan perang akan
tamat. Musuh sekuat Jepun dan Jerman pun boleh dikalahkan dengan cara ini.
Perang melawan pengganas tidak semudah ini. Pengganas bukan pemerintah yang
bertanggungjawab terhadap kalah menang negara. Mereka tidak berada di negara
tertentu. Mereka boleh berada di mana sahaja. Mereka boleh menjadi orang biasa
di satu hari dan menjadi pengganas pada hari esoknya. Mereka bukan askar yang
bertindak secara teratur dan mengikut arahan. Kehilangan ketua tidak semestinya
menghentikan keganasan mereka. Tidak ada jaminan arahan ketua akan dipatuhi
mereka, termasuk arahan menghenti mengganas, arahan berhenti perjuangan.
ATASI SEBAB UNTUK HENTI KEGANASAN
Hanya yang akan menamatkan keganasan mereka ialah apabila mereka dapati tidak
ada sebab lagi kenapa mereka perlu mengganas. Tidak ada manusia yang sanggup
mengorbankan nyawanya terutama meletupkan dirinya tanpa sebab. Oleh itu
tentukanlah sebab mereka mengganas dan hapuskanlah sebab itu.
Kita tidak syak bahawa sebab utama keganasan dilakukan oleh pengganas Islam
ialah kemarahan terhadap Israel, terhadap rampasan wilayah Palestin oleh kuasa
Barat untuk menubuh Israel, pengusiran keluar orang Palestin dari wilayah
mereka setelah Israel ditubuh, pembangunan rumah haram oleh pemerintah Israel
di atas tanah Arab Palestin, meruntuh rumah-rumah orang Palestin dan keganasan
askar Israel menembak dan membunuh rakyat Palestin termasuk kanak-kanak yang
hanya melontar batu. Turut menyebabkan kemarahan orang Islam ialah penindasan
ke atas negara-negara Islam lain dan orang Islam di merata dunia.
Jika keganasan hendak dihentikan maka kezaliman dan penindasan Israel ke atas
Palestin dan rakyatnya hendaklah dihentikan dengan segera terlebih dahulu.
Wilayah Palestin perlu dikembalikan kepada rakyat Palestin.
Orang Islam, orang Arab bukanlah degil dan ketegar secara buta tuli. Mereka
sanggup mengiktiraf Israel jika Israel memberhentikan keganasan mereka, kembali
ke wilayah asal Israel dan membenar pelarian Palestin kembali ke tanah mereka,
sama ada dalam Israel atau di Palestin. Israel perlu mengiktiraf Palestin
sebagai negara yang berdaulat. Wilayah Palestin yang diduduki oleh rakyat
Israel mestilah dikembalikan kepada Palestin.
Walaupun terdapat banyak punca dan sebab keganasan berlaku, tetapi punca
terbesar ialah Israel dan penguasaan secara ganas wilayah Palestin olehnya.
Kuasa-kuasa besar perlu tangani masalah ini dan menyelesaikannya jika mereka
ingin menamatkan sebahagian besar keganasan dan dunia dibebaskan daripada
ketakutan.
ANCAMAN GLOBALISASI
Selain daripada ancaman perang dan keganasan terdapat banyak kepincangan dan
masalah bagi dunia di permulaan abad ke 21 ini. Semasa Perang Dingin puak
Kapitalis membendung nafsu mereka kerana takut negara-negara miskin memilih
komunisme sebagai ideologi. Tetapi tamatnya Perang Dingin telah membebaskan
puak kapitalis untuk melayan nafsu mereka tanpa had. Tidak puas dengan meraih
kekayaan dalam negara sendiri, mereka ingin membolot semua kekayaan yang
terdapat di dunia. Dengan mengambil kesempatan daripada perhubungan
telekomunikasi dan penerbangan jet yang pantas mereka mencipta konsep dunia
tanpa sempadan dan globalisasi.
Mereka begitu geram melihat wilayah yang ditakluk oleh mereka dahulu mencapai
kemerdekaan dan menghalang eksploitasi oleh mereka. Tidak puas dengan agensi
antarabangsa dan penubuhan badan-badan bukan Kerajaan sebagai agen mereka untuk
menidakkan kebebasan negara-negara yang baru merdeka ini, dengan mendakwa
sempadan negara tidak penting lagi, mereka berharap mereka dapat kembali untuk
menguasai semula tanah-tanah jajahan mereka dahulu.
Mereka mentafsirkan dunia tanpa sempadan atau globalisasi sebagai kebebasan
bagi modal melintasi sempadan tanpa peraturan atau syarat untuk negara-negara
yang bebas dan berdaulat melindungi diri. Oleh kerana negara miskin tidak
mempunyai modal, kebebasan ini tidak dapat dimanfaatkan oleh mereka. Selain
daripada modal tidak ada kebebasan melintasi sempadan. Rakyat negara miskin
tidak boleh berhijrah ke negara kaya.
Kononnya kemasukan modal akan memperkayakan negara miskin. Yang tidak
disebutkan ialah apabila modal ditarik keluar, terutama secara mendadak,
negara-negara yang sederhana maju pun boleh menjadi miskin dan merana dalam
sekelip mata.
Inilah yang dilakukan semasa krisis kewangan di Asia Timur. Kerana kononnya
negara-negara Timur ini tidak ditadbir dengan telus dan baik maka mereka
diramal akan mengalami kemerosotan ekonomi. Untuk mengelak daripada kerugian,
pelabur asing menarik keluar dana mereka dan spekulator mata wang menjual wang
yang kononnya dimiliki oleh mereka dalam pasaran wang secara mendadak. Dengan
tindakan ini maka merosot sungguhlah ekonomi negara-negara ini dan beruntunglah
mereka yang menjual saham dan wang yang kononnya mereka miliki.
Semua konsep dagangan wang ini dicipta oleh mereka semata-mata untuk mereka
meraih keuntungan. Kenyataan yang sebenar ialah pentadbiran yang dikatakan
tidak telus dan kurang cekap sebenarnya telah berjaya membangunkan negara-negara
Asia Timur dengan amat pesat sehingga mereka digelar sebagai harimau ekonomi.
Yang benar ialah kemerosotan negara-negara ini disebabkan oleh penyangak mata
wang yang menjual secara besar-besaran mata wang negara-negara ini dan pemain
pasaran saham yang menjual secara jualan singkat atau "short-selling"
saham dalam bursa saham.
Walaupun ini semua jelas membawa malapetaka ekonomi tetapi pihak-pihak tertentu
masih enggan meminda rejim kewangan antarabangsa. Mereka ingin mengekalkan
rejim ini supaya mereka dapat terus meraih keuntungan bagi diri mereka.
Kita lihat bagaimana banyaknya negara di dunia yang menjadi amat miskin
sehingga tidak dapat dipulihkan kerana sistem kewangan antarabangsa ini.
Sesungguhnya sistem kewangan antarabangsa dan dunia tanpa sempadan atau
globalisasi menjadi ancaman dan cabaran kepada negara kecil seperti kita.
Bukanlah kita menolak globalisasi secara total tetapi kita berpendapat tafsiran
yang hanya memberi kebebasan kepada modal melintasi sempadan adalah amat merbahaya.
Kita juga khuatir akan tujuan bank-bank dan syarikat-syarikat gergasi
meneruskan percantuman mereka untuk menjadi lebih besar. Jika mereka dibenar
masuk dan bermaharajalela di negara kecil sudah tentu mereka akan menguasai
semua perniagaan dan ekonomi negara-negara ini.
Syarikat-syarikat dan bank-bank tempatan akan ditelan oleh mereka. Kita percaya
dalam usaha untuk meningkatkan keuntungan mereka, sebahagian daripada pekerja
bank atau syarikat yang ditelan oleh mereka akan digugurkan. Akhirnya rakyat negara
kecil tidak lagi akan memiliki perniagaan sendiri tetapi menjadi pekerja upahan
gergasi asing.
Yang lebih menakutkan ialah gergasi-gergasi ini akan menjadi begitu besar, kuat
dan berpengaruh sehingga dapat menguasai politik negara. Ini telah berlaku di
Amerika Tengah di mana pengurus ladang pisang dapat menentukan siapa menjadi
Presiden negara. Tidak mustahil ini juga akan berlaku apabila gergasi-gergasi
asing sudah menguasai ekonomi dunia sepenuhnya. Tiap gergasi ini adalah
berpuluh kali lebih besar daripada segi kewangan daripada majoriti
negara-negara membangun.
Negara kita Malaysia tetap menjadi sasaran. Media asing tidak berhenti-henti
memburukkan negara ini. Segala pendapat, pendirian dan amalan kita dikecam
hebat oleh mereka. Apatah lagi kita adalah negara Islam di mana orang Islam
menjadi majoriti dan menguasai negara ini. Kejayaan kita hanya menimbulkan
perasaan geram dan benci yang berlebihan di kalangan mereka. Jika tidak kerana
ini apakah sebabnya mereka mencaci kita yang bukan-bukan, seolah-olah kita
tidak pernah membuat apa-apa yang baik sama sekali?
NASIB MALANG UMAT ISLAM
Sebelum pun berlaku peristiwa 11 September, agama Islam dan umat Islam sudah
dituduh sebagai agama dan orang yang mundur, tidak mampu memerintah dan
membangun negara sendiri dan sering terlibat dengan keganasan. Pandangan ini
menjadi lebih buruk selepas 11 September. Hari ini sesiapa yang memiliki nama
Islam diberi layanan yang buruk. Mereka ditahan, disoal, diperiksa, diserang,
bahkan dibunuh dengan sewenang-wenangnya. Pemilikan kad kredit tertentu pun
ditegah bagi orang Islam.
Jelas sekali di waktu ini umat Islam amat tertindas dan terhina di dunia. Kita
kecewa kerana walaupun mereka sering bercakap berkenaan hak asasi manusia,
berkenaan keadilan, tetapi orang Islam nampaknya dikecualikan, tidak berhak dan
boleh ditindas bila-bila dan di mana-mana sahaja.
Sementara kita boleh menuntut supaya mereka berlaku lebih adil kepada kita
orang Islam, tetapi adalah sukar untuk memperbaiki sikap dan tindakan orang
lain, terutama yang bermusuh dengan kita. Adalah lebih mungkin dan lebih baik
kita cuba memperbaiki sikap kita sendiri.
Hakikatnya ialah kita orang Islam sudah tidak lagi berpegang kepada ajaran
Islam yang sebenar. Hari ini orang Islam dan negara-negara Islam lebih kuat
bermusuh sesama sendiri daripada bermusuh dengan orang bukan Islam atau negara
bukan Islam yang bermusuh dengan kita.
Walaupun kita sedang diserang oleh musuh, kata sepakat berkenaan dengan
pertahanan kita pun tidak dapat kita capai. Ada antara orang Islam dan negara
Islam yang lebih sanggup bersubahat dengan musuh Islam daripada bekerjasama
dengan orang Islam atau negara Islam.
Sejak kejatuhan Empayar Othmaniah kerana mengabaikan ajaran Islam, tidak ada
negara Islam yang mengikut ajaran Al-Quran supaya melengkapkan diri dengan
senjata yang cukup untuk menggerunkan musuh dan mengadakan pertahanan yang
mampu mengalahkan musuh. Dengan menolak ilmu dan perindustrian, negara-negara
Islam terpaksa mendapatkan senjata daripada orang lain termasuk daripada musuh
mereka. Sudah tentu senjata yang diperolehi tidak setaraf dengan senjata yang
dimiliki oleh musuh. Oleh itu senjata dan bala tentera negara Islam tidak
sedikit pun menggerunkan musuh dan mampu mempertahankan negara Islam, sesuatu
yang dituntut oleh agama Islam, sesuatu yang menjadi fardu kifayah.
Bahawa orang Islam membelakangkan fardu kifayah tidak mengganggu pemikiran
mereka. Mereka hanya menumpu kepada fardu ain dan berdoa memohon pertolongan
daripada Allah s.w.t. Mereka lupa bahawa Allah telah berfirman bahawa Tuhan
tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu berusaha untuk
mengubah nasibnya sendiri. Jelas sekali berdoa sahaja tidak akan mengubah nasib
orang Islam. Mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki nasib
mereka dengan meningkat keupayaan mencipta, mengeluar dan mengguna senjata yang
canggih untuk pertahanan diri dan maruah mereka.
Orang Islam juga harus ingat bahawa Al-Quran menegaskan bahawa segala keburukan
yang berlaku adalah daripada mereka sendiri dan segala kebaikan datangnya
daripada Allah s.w.t. Jika nasib malang menimpa umat Islam, ia adalah kerana
mereka sendiri. Janganlah sesiapa cuba melepas tangan dengan mendakwa
malapetaka yang menimpa mereka adalah takdir kerana jika mereka berusaha
memperbaiki nasib mereka sehingga berjaya, itu juga adalah takdir. Untuk
memperbaiki nasib mereka maka mereka harus cekap dan berjaya mentadbir dan
membangunkan negara-negara mereka, menguasai segala ilmu dan kecekapan yang
diperlukan untuk maksud ini.
Yang amat malang lagi ialah apabila sahaja pemerintah sesebuah negara Islam
cuba membangunkan negara serta ketahanannya dengan mengejar ilmu dan kecekapan
dalam bidang-bidang seperti sains dan teknologi maka akan muncullah kumpulan
yang menentang percubaan ini kerana kononnya ini adalah bukti yang pemerintahan
adalah sekular dan tidak Islam dan perlu dijatuhkan. Mereka ini kerap
menggunakan Islam sebagai nama gerakan mereka untuk menghalalkan tindakan ganas
mereka. Walaupun mereka menamakan kumpulan mereka
Persaudaraan Islam atau Parti Allah atau Parti Islam, mereka tidak segan-segan
membelakangkan ajaran Islam dengan mengkafirkan Pemerintahan negara, dan mereka
sanggup membunuh kepimpinan Kerajaan Islam dan orang Islam lain dalam usaha
untuk menghalang kemajuan yang mereka dakwa sekular itu.
Sibuk dengan mempertahankan diri daripada ditikam dari belakang oleh puak yang
telah "hijack" Islam ini, Pemerintah negara-negara Islam tidak dapat
membangunkan negara dan meningkatkan pertahanan. Dengan itu musuh Islam dapat
dengan mudah menindas negara-negara Islam, orang Islam dan agama Islam.
Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa kumpulan yang telah
"hijack" Islam, yang menentang penguasaan ilmu selain daripada yang
khusus berkenaan dengan agama Islam dan dengan itu melemahkan negara Islam
adalah pengkhianat, yang secara langsung atau tidak langsung bersubahat dengan
musuh-musuh Islam dan menolong menindas orang Islam dan negara-negara Islam.
Inilah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh orang Islam dan negara
Islam. Mereka perlu betulkan diri mereka, perlu kembali kepada ajaran Islam
yang sebenar demi menyelamatkan diri mereka. Tidak ada gunanya mengutuk dan
mendesak musuh Islam supaya tidak menindas orang Islam, supaya
berperikemanusiaan. Jika kita begitu sukar menukar sikap kita untuk kebaikan
diri kita sendiri apakah dapat kita menukar sikap orang lain dan musuh kita
supaya kita mendapat manfaat daripadanya?
UMNO SATUKAN MELAYU
Kita perlu lihat semula keadaan di Malaysia. Selama 450 tahun yang kita dijajah
oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan Siam, tidak ada sebarang usaha yang
bersungguh-sungguh untuk membebaskan negeri-negeri Melayu. Orang Melayu begitu
lemah semangat sehingga mereka percaya hanya orang putih sahaja yang mampu
memerintah negeri-negeri mereka. Jika tidak kerana Jepun, bangsa Asia yang
bukan berkulit putih, mengalahkan Penjajah British, mungkin orang Melayu hari
ini pun tidak akan menuntut kemerdekaan, kerana tidak percaya kepada diri
sendiri sebagai orang yang mampu mentadbir dan memajukan negeri-negeri Melayu.
Kesilapan British ialah mereka terlalu tamak dan ingin menjadi negeri-negeri
yang diletak di bawah naungan mereka sebagai tanah jajahan milik mereka secara
langsung. Raja-Raja Melayu hendak dijadikan Kadi Besar sahaja yang bertanggungjawab
terhadap agama Islam dan adat istiadat Melayu. Siapa sahaja yang tinggal di
Tanah Melayu tanpa mengira kaum, pendatang atau tidak, masih berwarganegara
asing atau tidak, akan diiktiraf sebagai warga negara Malaya dengan hak yang
sama dengan anak watan. Oleh kerana orang Melayu begitu daif, dalam keadaan ini
mereka akan kehilangan hak sama sekali.
Buat kali pertama orang Melayu terkejut, terkejut kerana mereka akan menjadi
"the disposessed in their own land", orang yang tidak berhak di
negara sendiri. Keadaan mereka mungkin jadi seperti orang Palestin di Palestin,
atau orang Red Indian di Amerika Syarikat dan Kanada, orang Maori di New
Zealand. Miskin, tidak berilmu pengetahuan, terbahagi kepada negeri-negeri
kecil dengan kesetiaan terhad kepada raja masing-masing, tidak bersenjata dan
tidak mempunyai badan yang boleh mewakili mereka, ternampak jelas bahawa orang
Melayu akan kehilangan tanah air mereka. Mereka akan menjadi kuli di negeri
sendiri, diperintah oleh orang lain yang jauh lebih kaya, lebih terpelajar dan
lebih dipercayai oleh penjajah untuk mengikuti telunjuk mereka.
Tetapi Alhamdulillah, di saat yang genting ini timbul kesedaran dengan mendadak
dan meluas di kalangan orang Melayu akan pentingnya mereka membelakangkan
kenegerian mereka dan bersatu dalam satu pertubuhan untuk menangkis rancangan
Malayan Union British.
Semua pertubuhan Melayu dari semua negeri Semenanjung dan Selat sebulat suara
bersetuju menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National
Organisation, nama perpaduan yang diilhamkan oleh United Nations Organisation
atau UNO pada masa itu. Hanya yang mengecualikan diri ialah Malay Nationalist
Party (MNP) pimpinan Dr. Burhanudin Al Helmi dan Ahmad Boestamam.
Kita bersyukur beribu kali kerana di waktu itu orang Melayu mengutamakan
perpaduan. UMNOlah yang menyatupadukan orang Melayu. Tidak ada badan lain yang
dapat menjayakan perpaduan ini, perpaduan yang begitu penting untuk menjayakan
perjuangan orang Melayu melawan Malayan Union British.
Datuk Onn Jaafar dipilih sebagai pemimpin agung Melayu bersatu ini, bersama
dengan beberapa tokoh lain yang muncul dari negeri Melayu dan negeri Selat.
Demikianlah perpaduan dan sokongan padu kepada UMNO dan kepimpinannya sehingga
British, yang sebelumnya berurusan semata-mata dengan Raja-Raja Melayu yang
telah mereka ugut tidak akan mengiktiraf jika tidak mengikut telunjuk mereka,
terpaksa menerima UMNO sebagai suara tunggal Melayu Bersatu.
Malayan Union British terpaksa digugur dan diganti dengan Persekutuan Tanah
Melayu. Pemimpin UMNO dilantik ke Federal Legislative Council atau Majlis
Perundangan Persekutuan dalam sistem "Member" yang bertanggungjawab
terhadap portfolio tertentu. Mereka ini diberi gelaran "Honourable",
dan elaun serta kemudahan lain. Di negeri-negeri pula, ramai pemimpin UMNO
dilantik sebagai ahli Majlis Negeri masing-masing.
AGAMA ISLAM DIPERALAT
Maka sedarlah orang Melayu bahawa politik boleh mendatangkan jawatan, pangkat
dan gelaran dan upahan yang dianggap lumayan. Di waktu inilah beberapa ulama
UMNO mula meragui akan masa depan mereka sebagai tokoh UMNO. Mereka ternampak
bahawa walaupun ada orang yang berpelajaran agama dipilih untuk menganggotai
beberapa Majlis Negeri, tetapi tidak ramai daripada mereka yang akan dicalonkan
dan berpeluang memegang jawatan-jawatan tinggi dalam Kerajaan Pusat dan Negeri.
Kekecewaan mereka menyebabkan mereka memisahkan diri dari UMNO untuk menubuh
parti lain. Sedar akan betapa kuatnya pegangan orang Melayu kepada agama Islam,
mereka pilih untuk mengguna agama Islam sebagai alat untuk menarik sokongan
orang Melayu. Dengan itu dinamakan parti mereka Pan Malayan Islamic Party atau
PMIP.
Semasa UMNO sibuk berjuang untuk kemerdekaan, PMIP cuba mengembangkan pengaruh
melalui sekolah-sekolah pondok dan Tok Guru-Tok Guru dengan mengguna agama
Islam sebagai asas menentang perpaduan dalam UMNO dan dengan menjanjikan Tok
Guru-Tok Guru peluang untuk menjadi Yang Berhormat dengan elaun yang cukup
lumayan.
Alhamdulillah, orang Melayu menolak PMIP dan terus memberi sokongan padu kepada
UMNO. Dalam Pilihan raya yang terpenting pada 1955, PMIP menang hanya satu
daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Jika dalam pilihan raya ini PMIP
memenangi sebilangan besar daripada kerusi tersebut, besar kemungkinan
kemerdekaan pada 1957 tidak tercapai. Ini adalah kerana PMIP menolak
kemerdekaan kononnya kerana orang Melayu belum mampu memerintah dan menguasai
Kerajaan Malaya disebabkan orang bukan Melayu lebih kaya dan berpengaruh dengan
British dan British tidak akan menyerah pemerintahan Malaya yang merdeka kepada
orang Melayu.
Kemenangan 51 daripada 52 kerusi oleh Parti Perikatan dan penolakan oleh orang
Melayu, yang menjadi majoriti terbesar daripada pengundi Persekutuan Tanah
Melayu jajahan British, terhadap parti-parti lain, memaksa British menerima
UMNO dan Perikatan sebagai mewakili Malaya pada ketika itu. Dan hasilnya ialah
kemerdekaan dua tahun lebih awal daripada yang dibayangkan oleh Colonial
Office, London.
Yang menjayakan perjuangan orang Melayu, bangsa yang dijajah 450 tahun, bangsa
yang lemah, bangsa yang tidak mempunyai kekayaan, tidak mempunyai cerdik
pandai, tidak memiliki senjata atau pasukan perang untuk merebut kemerdekaan;
ialah perpaduan yang erat antara mereka. Ini sahajalah senjata yang ada pada
mereka, senjata yang begitu mustajab sehingga dapat mengalahkan satu kuasa
dunia yang baru sahaja menang perang besar.
PERPECAHAN MELAYU
Hari ini orang Melayu sudah tidak mengutamakan perpaduan lagi. Apa sahaja boleh
memecahbelahkan orang Melayu. Rebutan tempat dalam parti, sangkaan buruk yang
tidak berasas kepada pemimpin, kekecewaan dalam mendapat peluang perniagaan,
hasutan oleh parti lawan, perasaan terlalu terselamat dan berbagai-bagai lagi
boleh memecahbelahkan orang Melayu.
Mereka bukan sahaja sanggup berpecah tetapi ramai yang sanggup bersubahat
dengan orang yang bermusuh dengan orang Melayu untuk menggagalkan perjuangan
orang Melayu. Demikian Pas yang dahulu mengkafirkan UMNO kerana bekerjasama
dengan orang bukan Islam, sekarang sanggup berpeluk-peluk dengan pemimpin DAP
yang menolak Malaysia sebagai negara Islam.
Namun masih ramai orang Melayu yang tidak mahu bersatupadu dalam UMNO atau
sekurang-kurangnya tidak mengasingkan diri daripada majoriti orang Melayu yang
menyokong UMNO. Nikmat yang banyak yang mereka terima hasil perjuangan UMNO
dilupakan kerana mereka diajar oleh pihak tertentu supaya tidak berterima kasih
apabila diberi sesuatu.
Tuduhan yang dilempar terhadap UMNO tidak berkesan pada tahun 1955 tetapi
mengkafir UMNO memberi kemenangan kepada Pas di Kelantan dan Terengganu pada
tahun 1959. Sejak itu serangan terhadap UMNO yang kononnya tidak Islam telah
dipertingkatkan oleh Pas. Sekarang tuduhan dibuat kononnya pemimpin UMNO tidak
percaya pada hari akhirat dan bermacam-macam lagi. Penyokong Pas tidak menyoal
apakah buktinya bahawa tuduhan-tuduhan ini benar. Bagi mereka apa sahaja
tuduhan yang dilempar terhadap UMNO oleh pemimpin mereka mestilah dianggap
sebagai benar. Dan mereka terus membenci UMNO dan mengekalkan perpecahan di
kalangan orang Melayu.
Perpecahan semakin ketara berlaku di kalangan orang Melayu disebabkan
serangan-serangan yang tidak berasas ke atas UMNO. Dalam sistem demokrasi
memanglah ada peranan bagi parti pembangkang. Tanpa pembangkang parti
pemerintah mungkin membuat kesalahan yang banyak kerana tidak ditegur.
Perpecahan yang boleh berlaku kerana salah laku Pemerintah tidaklah serius.
Walaupun sokongan diberi kepada parti lawan, tetapi kesedaran dan kesetiaan
kepada bangsa dan agama masih boleh diadakan. Apabila bangsa atau agama
terancam maka pemerintah dan pembangkang boleh bersatu untuk maksud
mempertahankan bangsa dan agama sendiri.
Dalam perkara-perkara politik biasa kelainan pendapat atau pendirian, walaupun
boleh memisah penyokong-penyokong, tidaklah sehingga menjadi musuh ketat yang
tidak boleh bekerjasama sama sekali, tidak boleh beribadat bersama dan
merapatkan barisan apabila diancam oleh musuh luar.
POLITIK BENCI HALANG PERPADUAN
Tetapi kita dapati permusuhan terhadap UMNO bukan lagi kerana perbezaan
pendapat berkenaan politik atau pun agama. Permusuhan terhadap UMNO oleh
sebilangan daripada orang Melayu hasil daripada pengaruh Pas adalah disebabkan
perasaan benci yang amat sangat, perasaan benci yang disemai dan dipupuk dari
kecil sehingga menjadi sebahagian daripada budaya orang ini.
Orang UMNO bukan sahaja dianggap tidak Islam tetapi pemimpin UMNO digambarkan
sebagai 'Firaun' dan maaf, sebagai 'barua'. Sebabnya tuduhan ini dibuat tidak
perlu disoal atau dijelaskan. Bencikan sahaja.
Di zaman Jahiliah, Kabilah-kabilah Arab berperang sesama mereka, kerana mereka
adalah musuh antara satu dengan yang lain. Kenapa mereka bermusuh tidak lagi
diingati atau diketahui oleh mereka. Yang utama ialah mereka adalah musuh dan
jika mereka berjumpa mereka mesti berperang, mesti membunuh. Kabilah-kabilah
Arab Jahiliah ini cuma berhenti berperang apabila diIslamkan oleh Rasullullah.
Sebagai penganut agama Islam mereka bersatupadu dan mereka berjaya akhirnya
mendirikan empayar yang terbesar yang kekal selama 1300 tahun.
Jelas sekali bahawa kebencian yang tidak berasas yang dipupuk dalam hati
sanubari pengikut Pas dari kecil sehingga tidak dapat berfikir, dan permusuhan
yang ketat hasil daripadanya; kebencian ini menghalang perpaduan walaupun
apabila menghadapi musuh yang sama.
Inilah keadaan yang kita lihat di kalangan orang Melayu sekarang. Politik yang
tidak rasional, politik benci sudah menular sehingga menghancurkan nilai yang
mulia yang diajar oleh agama Islam seperti bersyukur, berterima kasih,
bersaudara sesama Islam dan lain-lain.
MELAYU MASIH KURANG MAJU
Orang Melayu yang juga orang Islam yang teramai sekali di Malaysia belum
selamat. Orang Melayu masih menjadi kaum yang lemah, kaum yang termiskin di
negara kita ini. Ya, Malaysia sudah banyak maju, tetapi orang Melayu masih
kurang maju. Jika kita keluarkan orang Cina dengan segala-gala yang dibina dan
dimiliki oleh mereka, tidak akan ada bandar kecil atau besar di Malaysia, tidak
akan ada perniagaan dan perusahaan, dan tidak akan ada dana daripada cukai
pendapatan dan korporat untuk membiayai segala subsidi, bantuan dan kemudahan
untuk orang Melayu. Orang Melayu akan kembali ke zaman mereka dijajah dahulu,
miskin, tidak berpelajaran dan dihina oleh siapa sahaja. Jangan fikir selepas
UMNO, Pas tetap akan memerintah. Dalam politik, yang tidak dijangka boleh
berlaku.
Orang Melayu belum selamat. Tetapi kita boleh jadi selamat, kita boleh majukan
diri kita, kita boleh menebus sepenuhnya maruah kita, bangsa kita, jika kita
sedar akan bahaya yang kita hadapi sekarang dan kita membuat persiapan untuk
mengatasinya.
Yang pertamanya, jika pun kita harus berpolitik dan berparti, janganlah ada
pemisahan antara kita sehingga apabila kita hadapi musuh ataupun masalah yang
sama, kita tidak dapat bertindak bersama dengan serentak, dengan satu tujuan.
Apakah salahnya kita memiliki pendirian yang sama apabila saudara seagama kita
dibunuh beramai-ramai oleh orang Israel? Apakah dalam perkara ini pun kita
perlu mengutamakan politik parti lebih daripada agama? Apakah tidak ada
langsung persaudaraan Islam antara kita? Janganlah mengkafirkan orang Islam
dengan sewenang-wenangnya sehingga tidak dapat bersaudara atau pun
sekurang-kurangnya bekerjasama di hadapan musuh yang sama. Biarlah musuh yang
sama ini dikalahkan dahulu, dan kemudian kembalikan kepada 'permusuhan' sesama
kita.
KECAMAN DEB TAK BERASAS
Dalam menghadapi masalah dalaman juga kita orang Melayu sering berjumpa musuh
yang sama. Apabila kita lancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk kebaikan semua
orang Melayu dan juga bumiputera lain sepatutnya semua orang Melayu bersatu
hati menyokong DEB. Buat beberapa ketika tidak ada tentangan oleh orang Melayu
terhadap DEB.
Tetapi apabila orang asing dan media mereka mula menuduh kononnya DEB hanya
menguntungkan beberapa kroni Kerajaan, tanpa usul periksa pembangkang Melayu
menyambut tuduhan ini dan mengecam DEB. Yang mereka lihat hanyalah peluang
untuk mengutuk Kerajaan dan mendapat "political mileage" daripada
tuduhan ini. Biarlah orang Melayu gagal dan merana asalkan parti dapat sokongan
lebih sedikit. Tidakkah mereka sedar orang asing ini mempunyai agenda yang lain
dan mereka tidak suka melihat orang Melayu berjaya, terutama kerana kita dapat
mempertahankan kebebasan kita, budaya kita?
Asyik dengan peluang mendapat keuntungan politik, orang Melayu ini lupakan sama
sekali akan peluang dan biasiswa yang membolehkan ratusan ribu anak Melayu yang
dahulu tidak mungkin berpelajaran tinggi, menuntut aneka jenis ilmu sehingga ke
peringkat universiti. Mereka tidak ternampak bagaimana semua Naib Canselor
universiti terdiri daripada orang Melayu, demikian juga majoriti profesor dan
pensyarah. Mereka tidak menghargai lebih 40 dana yang diadakan untuk membantu
peniaga Melayu di semua peringkat, dan puluhan ribu kontrak yang diberi kepada
beribu-ribu kontraktor Melayu. Mereka tidak ambil kira ribuan lesen, AP, dan
saham-saham syarikat orang lain yang diperuntukkan kepada beribu-ribu orang
Melayu melalui Akta Penyelarasan Industri.
Kerajaan juga menyediakan RM 3 bilion sebagai modal kepada PNB yang menubuhkan
beberapa Saham Amanah yang berjaya menjadikan 7.28 juta Melayu pemilik saham
syarikat-syarikat besar di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 34.89
bilion. Saham-saham yang diperuntukkan kepada PNB adalah hasil penyusunan
semula atau penubuhan syarikat-syarikat baru yang disyaratkan oleh DEB supaya
menjual 30 peratus daripada saham mereka kepada bumiputera.
Sesungguhnya jika tidak kerana PNB, Saham Amanah dan badan-badan milik Kerajaan
yang diurus khas untuk orang Melayu, hari ini pencapaian Dasar Ekonomi Baru
hanyalah dua peratus sahaja. Sebabnya ialah apabila saham dijual kepada pelabur
Melayu, mereka terus menjual balik saham itu kepada bukan bumiputera. Demikian
juga dengan lesen, AP dan kontrak yang diberikan kepada mereka.
Hanya beberapa orang sahaja daripada peniaga, kontraktor dan pengusaha Melayu
yang tidak menjual peluang yang diberi kepada mereka untuk mendapat keuntungan
cepat. Mereka ini tekun berusaha dan ada antara mereka yang berjaya. Melihat
bahawa mereka tidak menggagalkan Dasar Ekonomi Baru, Kerajaan memberi lebih
banyak peluang kepada mereka tidak kira siapa mereka, sehingga muncullah
beberapa daripada mereka sebagai orang yang berjaya dalam perniagaan. Apabila
ini berlaku maka datanglah perasaan hasad dengki dan tuduhan bahawa mereka
adalah kroni Kerajaan, kroni pemimpin Kerajaan. Yang menuduh bukan sahaja orang
asing dan media mereka. Tetapi orang Melayu sendiri turut menuduh bahawa DEB
menguntungkan hanya beberapa orang kroni Melayu.
Sebenarnya orang yang dikatakan kroni ini tidak pun dikenali dahulu oleh
pemimpin Kerajaan atau orang ramai. Jika tidak kerana mereka menunjuk bakat dan
tidak menjual peluang yang diberikan kepada mereka tetapi sebaliknya mereka
berusaha sehingga mencapai kejayaan, mereka tidak akan mendapat peluang yang
bertambah. Jika benarlah Kerajaan mengamal kronisme, sudah tentu tidak akan ada
ahli keluarga dan kawan-kawan pemimpin Kerajaan yang miskin dan merana. Tetapi
di Malaysia ramai daripada kawan, rakan, anggota parti dan ahli keluarga yang
terus miskin, tidak mendapat apa-apa peluang daripada Dasar Ekonomi Baru selain
daripada apa yang dinikmati oleh semua rakyat lain, seperti persekolahan,
bekalan elektrik dan air, jalan dan lain-lain.
Siapakah mereka yang menjadi kaya-raya yang terkenal sebagai peniaga dan
pengusaha Melayu yang berjaya? Mereka adalah siapa sahaja yang berusaha
bersungguh-sungguh, yang tidak menjadi Ali dalam perkongsian Ali Baba.
Selidiklah latar belakang mereka. Apakah benar mereka berjaya kerana mereka
kroni atau apakah kerana mereka tidak menjual peluang yang mereka berjaya?
Sebabnya mereka memperolehi peluang yang lebih ialah kerana mereka lebih
mungkin tidak akan menjual peluang mereka dan mereka lebih mungkin berjaya.
Jika yang gagal atau yang menjual peluang diberi peluang lagi maka tidak
mungkin akan ada Melayu dan bumiputera yang berjaya seperti mereka daripada
kaum lain. Malangnya jika ada sahaja Melayu yang berjaya maka timbullah
perasaan hasad dengki dan tuduhan mereka ini adalah kroni Kerajaan.
Jika Kerajaan tidak hendak dituduh mengamalkan kronisme, maka tiap kali
ternampak ada orang Melayu yang berjaya dan boleh berjaya lagi, tiap kali orang
Melayu panggung kepala dalam perniagaan maka awal-awal lagi mereka ini perlu
diketuk supaya jatuh semula, supaya tidak berjaya lagi tetapi terus gagal dan
bankrap perniagaan mereka. Dengan cara ini tidak akan ada sesiapa pun daripada
orang Melayu yang akan berjaya dan Kerajaan akan bebas daripada tuduhan
mengamal kronisme.
Tetapi Kerajaan tidak juga akan terlepas daripada dikecam. Melihat yang menjadi
"millionaires" dan "billionaires", yang duduk dalam
mahligai, yang memiliki semua bangunan pencakar langit, perniagaan dan kilang
yang besar; melihat yang mengambil alih semua syarikat dan khidmat milik
Kerajaan apabila diswastakan, melihat mereka ini semua terdiri daripada bukan
Melayu dan si Melayu hanya menjadi pemandu kereta besar milik orang dan menjadi
kuli yang mengambil upah daripada orang lain, maka kecaman terhadap Kerajaan
tetap akan menjadi nyaring.
Masyarakat Melayu akan mengutuk Kerajaan kerana Dasar Ekonomi tidak berjaya.
Kejayaan dalam bidang-bidang lain seperti PNB dan jumlah biasiswa tidak akan
diberi penghargaan sama sekali. Sesungguhnya jika pembangunan usahawan dan
peniaga Melayu yang berjaya tidak dibebankan ke atas bahu Kerajaan, pembangunan
negara akan menjadi lebih mudah, lebih tinggi dan lebih cepat. Yang melambatkan
pembangunan negara ialah kerana Kerajaan cuba dan terus mencuba untuk
mengimbangkan ekonomi orang Melayu dengan orang bukan Melayu di semua
peringkat, dalam semua bidang.
SUKA JALAN MUDAH
Orang Melayu tidak kekurangan apa-apa. Mereka mempunyai akal fikiran yang
cerdas dan pintar, kemampuan, kecekapan kerja tangan yang tinggi, tenaga yang
sama dengan orang lain. Jika mereka tidak berjaya setelah diberi peluang
berkali-kali, setelah dibantu dengan pelbagai kemudahan dan juga wang, sebabnya
ialah (di sini saya pohon ampun dan maaf daripada orang Melayu) kerana mereka
tidak rajin iaitu mereka malas dan suka kepada jalan yang mudah dan cepat,
tidak kira apa akibatnya.
Mereka tidak sabar, tidak sanggup menunggu sebentar. Mereka hendak kaya saat
itu juga. Justeru itu apabila diberi lesen, lesen dijual; apabila diberi AP
untuk import, AP dijual; apabila diberi kontrak, kontrak dijual untuk dapat
wang tunai. Tidak ada kerja yang dibuat selain daripada merapat orang yang
berpengaruh dan berkuasa untuk mendapat sesuatu kerana mereka Melayu, mereka
bumiputera. Setelah dijual dan mendapat wang, maka mereka datang lagi, minta
lagi.
Sesungguhnya saya berasa amat malu menyatakan semua ini, terutama di hadapan
orang lain, di hadapan seluruh negara, di hadapan dunia. Tetapi mereka sudah
pun tahu semua ini. Saya bukan mendedah perkara yang belum diketahui. Saya cuma
sebut apa yang diketahui umum.
Sebenarnya orang Melayu dan bumiputera lain boleh berjaya jika mereka berusaha
lebih sedikit. Untuk kejayaan mereka perlu jujur kepada diri sendiri. Uruslah
dengan baik dan elak daripada amalan yang tidak baik. Pinjaman untuk perniagaan
mestilah diguna hanya untuk perniagaan, diguna secara cukup cermat, diurus
secara tertib, kerana wang yang dipinjam mesti dibayar balik. Jika belum untung
jangan belanja dahulu kerana harapan akan untung. Kawallah nafsu dan belanja
hanya sebanyak yang mampu sahaja dan amallah amalan-amalan yang sihat bagi
menjayakan perniagaan. Insya-Allah, kita akan berjaya.
Belajarlah daripada orang Cina. Ingatlah apabila kita jual lesen, kontrak dan
lain-lain kepada mereka, kos perniagaan mereka meningkat. Kita tidak perlu
tanggung kos membeli lesen dan kontrak. Tetapi walaupun kos bagi peniaga Cina
lebih tinggi masih juga mereka berjaya mendapat keuntungan. Kenapakah dengan
kos yang lebih rendah kita orang Melayu dan bumiputera lain tidak boleh dapat
untung?
Sebenarnya yang diperlukan daripada orang Melayu dan bumiputera lain dalam
bidang perniagaan ialah kerajinan, kawalan diri atau disiplin dan kesabaran.
Kecekapan dan kepintaran dalam perniagaan boleh diperolehi melalui latihan dan
pengalaman. Insya-Allah, dengan sifat-sifat ini orang Melayu dan bumiputera
lain akan berjaya.
Mungkin tuan-tuan dan puan-puan bosan dengan teguran dan kecaman saya ini.
Tetapi apakah saya sebagai orang yang dipilih untuk memimpin tidak harus
perkatakan sesuatu yang benar dan bertujuan baik? Apakah saya sebagai pemimpin
hanya dikehendaki mengikut sahaja, untuk menjadi popular dengan orang yang
menjadi penyokong? Tidak ada maknalah jika pemimpin menjadi pengikut, dan
membisu apabila melihat pengikut membuat atau menuntut benda yang salah, yang
akan merosakkan semua, pemimpin dan pengikut.
KELEMAHAN BUDAYA MELAYU
Oleh itu maafkan saya sekali lagi kerana saya perlu tegur tentang kelemahan
budaya orang Melayu sekarang. Orang Melayu semuanya beragama Islam, agama yang
suci, agama yang mampu membina manusia dan masyarakat yang mulia dan berjaya,
yang bebas daripada aneka jenis jenayah atau pun sekurang-kurangnya yang boleh
mengurangkan jenayah.
Sekali lagi ingin saya ulangi kesan pengIslaman orang Arab Jahiliah. Mereka
menjadi orang yang baik dan berjaya dan dapat mendirikan negara dan empayar
yang termasyhur. Daripada manusia jahil, pembunuh kanak-kanak, penculik
perempuan, pengganas yang tidak mempunyai budaya dan bertamadun, mereka menjadi
manusia yang tertib, beradat-istiadat, bersopan santun dan berperaturan serta
memiliki sistem perundangan yang kemas. Dan mereka berjaya.
Demikian kesan pengIslaman ke atas orang yang jahil. Tetapi kita dapati
walaupun orang Melayu semuanya sudah lama beragama Islam, di masa akhir ini
ramai daripada mereka sudah banyak mengenepikan budaya Islam. Apa sahaja yang
tidak baik dan berdosa dilakukan oleh sebilangan yang tidak kecil daripada
mereka. Menagih dadah, mengidap penyakit AIDS dan HIV, merogol, melakukan
hubungan seks luar tabii, melakukan sumbang mahram, membunuh, termasuk membunuh
ibu dan ayah, abang dan ahli keluarga yang lain, mencuri dan menyamun dan
melakukan berbagai-bagai jenayah - semua ini dilakukan oleh orang Melayu lebih
daripada kaum lain, kaum yang bukan Islam.
Banyaklah alasan yang diberi kenapa orang Melayu lemah moral mereka. Kita
dapati, jika dilihat daripada pakaian dan lagak orang Melayu sekarang, mereka
lebih Islam dan lebih warak dari dahulu. Kalau kita dengar mereka bercakap
demikian juga. Tidak akanlah orang yang begitu berpengetahuan tentang ajaran
Islam, yang kuat nampaknya berpegang kepada Islam, sanggup melakukan begitu
banyak perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan jelas berdosa.
Orang yang kuat imannya tidak mungkin membuat dosa yang banyak, terutama dosa
besar. Tetapi hakikatnya ialah ramai orang Melayu sekarang tidak bermoral,
sanggup melakukan berbagai-bagai jenayah dan dosa besar.
Tidak ada sesuatu yang berlaku tanpa sebab. Kita sekali lagi tidak boleh
berkata ini semuanya takdir. Ingatlah sekali lagi bahawa segala keburukan
datang daripada kita dan bukan daripada Allah s.w.t.
Budaya dan nilai hidup yang dipegang oleh manusia menentukan kelakuan mereka,
jaya atau tidaknya mereka, bahagia dan sejahteranya mereka ataupun sebaliknya.
Budaya dan pegangan kepada nilai hidup yang mulia oleh ramai orang Melayu sudah
luntur. Ramailah daripada kita yang mempunyai teori berkenaan fenomena ini.
Saya juga ingin perkenalkan teori saya, yang mungkin betul atau mungkin tidak.
KESAN "BROKEN FAMILY"
Budaya dan nilai hidup terbentuk sebahagian besarnya daripada didikan ibu bapa
semasa kecil dan semasa belum ke sekolah. Apabila ibu bapa tidak mempunyai
budaya dan nilai hidup yang baik sudah tentu mereka tidak dapat mendidik anak
mereka dengan nilai hidup yang sempurna.
Sebenarnya ramai ibu bapa sekarang tidak memiliki nilai hidup yang baik dan
tidak berasa bertanggungjawab terhadap didikan anak. Ya, majoriti baik dan
bertanggungjawab tetapi terdapat minoriti yang agak besar yang tidak baik jika
dibanding dengan ibu bapa kaum lain. Sementara ibu bapa kaum lain mengawal dan
mengawasi anak supaya mereka tekun belajar di rumah dan di sekolah, ibu bapa
kaum Melayu tidak begitu mengambil berat. Sudah tentu nilai-nilai lain yang
baik juga tidak dipupuk sehingga berkesan.
"Broken family" atau keluarga yang tidak bahagia, dengan penceraian
ibu dan bapa juga terdapat lebih ramai di kalangan orang Melayu. Agama Islam
membenar kita berkahwin dua, tiga atau empat tetapi jika kita tidak dapat
berlaku adil kepada isteri-isteri ini kita disuruh kahwin satu sahaja. Saya
percaya semua yang beristeri lebih daripada satu dalam dewan ini dapat berlaku
adil kepada isteri-isteri, tetapi saya percaya ramai dalam dewan dan di luar
dewan yang tidak dapat.
Ada yang bercerai dan ada yang tidak ambil berat akan nasib isteri-isteri yang
tidak diceraikan, dengan tekanan emosi dan perasaan ke atas mereka yang tidak
mendapat layanan yang sewajarnya sebagai isteri. Kita boleh tafsirkan keadaan
yang terdapat sebagai "broken family" atau keluarga yang kurang atau
tidak bahagia. Sudah tentu keluarga seperti ini tidak memberi teladan dan
contoh yang baik bagi anak, tidak dapat mendidik anak dengan berkesan. Tak
mungkin bapa memberi masa dan perhatian kepada semua anak daripada semua
isteri, terutama isteri yang bukan "favourite"nya.
Tidak ada kajian yang dibuat berkenaan keluarga yang "broken" seperti
ini dan kesan terhadap anak mereka. Oleh itu saya tidak tahu pandangan saya,
atau teori saya ini betul atau tidak. Tetapi yang saya tahu bagi mana-mana kaum
atau pengikut agama yang lain, "broken homes' biasanya mempunyai kesan yang
buruk kepada anak.
Mungkinkah "broken homes" menjadi sebagai satu daripada sebab
keruntuhan akhlak yang menjadi-jadi dalam masyarakat Melayu. Jika ia, apakah
kita akan biarkan keadaan ini berterusan? Selain daripada ibubapa, yang
mempengaruhi anak kita iaitu generasi yang akan mengganti kita, ialah guru-guru
di sekolah. Guru boleh membentuk peribadi yang mulia melalui teladan dan
didikan.
Tidak ada sesuatu yang diberi tekanan di Malaysia seperti pendidikan. Kita
memperuntukkan 20 peratus daripada belanjawan kita untuk pelajaran. Daripada
satu juta pekerja Kerajaan lebih daripada 300,000 atau lebih 30 peratus terdiri
daripada guru dan pendidik di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pelajaran
lain.
Sepatutnya kerana tumpuan ini, semua anak kita mendapat didikan yang baik
termasuk didikan akhlak. Guru agama pula memainkan peranan yang amat penting
kerana didikan agamalah yang akan menyedarkan anak-anak kita akan buruk baiknya
sesuatu, akan apa yang salah dan apa yang tidak, yang berdosa dan yang mendatangkan
pahala, akan dosa kecil dan dosa besar, akan balasan syurga dan api neraka di
akhirat kelak.
Sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa majoriti daripada anak-anak kita di
sekolah menerap nilai-nilai yang baik, tahu membeza antara yang salah dengan yang
tidak, yang berdosa dan yang tidak, dan kerana itu mereka berjaya mengelak
daripada perbuatan yang tidak berakhlak, yang ditegah.
Tetapi berbanding dengan kaum lain, penganut agama lain, jumlah anak Melayu
yang tidak baik kelakuan, yang tidak rajin belajar, yang kemudian apabila
membesar terlibat dengan aneka jenis kegiatan yang dilarang, adalah lebih
ramai.
Kenapakah ini berlaku? Apakah tekanan yang diberi semasa mendidik anak Melayu?
Apakah tekanan yang cukup diberi kepada pembentukan peribadi yang mulia, kepada
perbezaan di antara kebaikan dan keburukan, akan apa yang ditegah oleh agama
dan adat resam kita dan apa yang disuruh? Sesungguhnya mereka yang mengabaikan
tugas pendidikan ini, mereka yang sebaliknya mengajar supaya bermusuh dan
membenci sesama orang Melayu dan Islam, mereka yang tidak menyemaikan
nilai-nilai Islam yang sebenar, nilai-nilai yang semuanya mulia, mereka ini
mengkhianati agama dan bangsa Melayu.
Saya tidak syak bahawa jika ibubapa menunjuk teladan yang baik dan pendidik
menjalankan tanggungjawab mereka secara ikhlas, maka banyak gejala sosial di
kalangan orang Melayu dapat dielak daripada berlaku.
Kita tidak nafi ada faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kerosakan akhlak
orang Melayu. Gambar-gambar keganasan dan lucah yang didapati melalui internet
dan televisyen turut menyumbang kepada keruntuhan akhlak. Tetapi ia tidak
menjawab soalan kenapa lebih ramai orang Melayu yang terlibat dengan gejala
sosial. Dalam perkara ini kita harus ikhlas dan memperkatakan yang benar. Hanya
dengan mengetahui sebab yang sebenar baharulah dapat kita mengubatinya.
KENYATAAN NEGARA ISLAM DIPOLITIK
Debat berkenaan negara Islam masih berterusan. Ia tidak mendatangkan banyak
faedah kerana yang diutamakan bukan kenyataan, bukan kebenaran tetapi kepentingan
politik pihak tertentu. Apabila kita menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah
negara Islam, sebabnya ialah supaya perkara ini tidak dijadikan isu politik
yang memecahbelahkan umat Islam di Malaysia. Dakwaan ini kita buat kerana
segala syarat yang mengikut ajaran Islam bagi kita menjadi negara Islam
terdapat di Malaysia ini.
Kita tidak buat kenyataan ini untuk mendapat pengiktirafan daripada parti
tertentu. Parti ini adalah parti politik yang mengutamakan kepentingan
politiknya semata-mata. Demikian parti ini sanggup mendakwa orang yang tidak
menyokongnya adalah kafir, bukan Islam; orang yang mengundi mereka akan ke
syurga dan lain-lain lagi. Jika perkara-perkara seperti ini yang jelas tidak
benar dan bertentangan dengan agama Islam sanggup mereka perkatakan, apakah
mungkin mereka menerima kenyataan bahawa Malaysia adalah negara Islam? Sudah
tentu tidak.
Yang penting ialah kita tahu dan kita yakin akan keIslaman negara kita. Jika
kerana kita dituduh tidak melaksanakan hukum hudud tafsiran mereka maka negara
kita tidak Islam, ini tidak harus mengurangkan keyakinan kita akan keIslaman
negara kita. Jika syarat mereka hendak dijadikan ukuran, hari ini tidak ada
satu pun negara Islam di dunia. Ini adalah kerana tidak ada satu pun negara di
dunia yang menguatkuasakan hukum hudud seperti yang ditafsir oleh parti ini.
Kita tidak tolak hukum hudud yang sebenar. Kita terimanya seperti juga kita
terima semua ajaran Islam. Tetapi kita tahu ajaran Islam tidak sebegitu ketat
atau keras sehingga kita mesti melaksanakannya tanpa mengambil kira keadaan dan
akibatnya.
Kita tahu dalam keadaan tertentu kita diberi kelonggaran supaya agama kita
tidak menjadi beban yang menyusah dan membawa mudarat kepada kita. Jika kita
sakit, jika kita tidak dapat berdiri, jika kita berada di tempat yang jauh,
tempat yang tidak selesa, kita boleh sembahyang umpamanya dengan cara lain
daripada yang biasa, kita boleh campur dan pendekkan sembahyang waktu kita,
kita tidak perlu buat gerakan tubuh badan seperti biasa. Demikian juga dengan puasa,
mengeluarkan zakat dan membuat kerja haji semuanya mengikut keadaan. Berkenaan
dengan lafaz dua kalimah syahadat pun, jika kita dipaksa dengan seksaan supaya
menyatakan penolakan dua kalimah ini, kita boleh menyuarakan penolakan tersebut
asalkan kita terus berniat menolak kenyataan yang dipaksa kita buat. Dalam hati
kita, kita terus naik saksi akan Allah yang satu yang kita sembah, dan Nabi
Muhammad adalah RasulNya.
Agama Islam tidak diturunkan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi beban kepada
penganutnya, untuk menyeksa mereka. Jika ini berlaku sebabnya ialah kerana umat
Islam sendiri menolak nikmat kemudahan yang diberi oleh Allah s.w.t, dan cuba
menjadikan agama Islam sebagai beban yang menyusahkan mereka, menjadikan mereka
lemah dan tidak berupaya mempertahankan dan memajukan diri mereka.
HUKUM HUDUD
Demikianlah dengan hukum hudud. Tujuan hukum dalam Islam ialah untuk mewujudkan
masyarakat Islam yang bahagia, masyarakat yang bebas daripada ketidakadilan.
Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menekankan keutamaan dan pentingnya
keadilan dilakukan. Jika pelaksanaan hukum dalam Islam membawa kepada
ketidakadilan maka sebabnya ialah kerana orang Islam lebih mengutamakan cara
penghakiman - "legal process" daripada keadilan.
Undang-undang yang dicipta oleh manusia yang membawa kepada ketidakadilan
bukanlah undang-undang Islam, walau apa pun nama yang diberi kepadanya. Semua
kita, orang Islam dan bukan Islam, tahu bahawa keadilan bermakna penjenayah
yang mesti dihukum dan bukan mangsanya. Undang-undang gubahan manusia yang
menghukum mangsa sebagai bersalah sudah tentu tidak adil dan tidak Islam. Yang
salah bukan ajaran Islam tetapi mereka yang membuat tafsiran kerana kepentingan
politik mereka. Orang yang membuat undang-undang supaya mangsa rogol dihukum dengan
hukuman yang berat, sementara perogol dibebas, orang ini tidak berpegang kepada
ajaran Islam yang sebenar supaya berlaku adil.
Demikian jika seorang wanita mendakwa ia dirogol oleh orang tertentu dan
terdapat pada wanita itu tanda-tanda atau alasan jelas yang ia dipaksa dan di
zaman ini kita mempunyai cara untuk menentukan air mani datang daripada perogol
yang dituduh atau tidak, apakah hendak kita ketepikan semua bukti ini kerana
prosedur tertentu tidak dapat kita turuti?
Dalam Surah An-Nisaa, surah khas untuk perempuan, Ayat 58, Allah menegaskan:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah
kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di
antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil". Dalam surah
yang sama ayat 112, Allah telah berfirman bahawa:
"Menuduh orang yang tidak bersalah (menuduh seorang yang telah dirogol dan
kemudian hamil dan melahirkan anak sebagai telah berzina sedangkan ia telah
dirogol) iaitu tuduhan yang salah, itu adalah satu pemalsuan dan berdosa."
Fikirkanlah apabila anak itu dilahir maka rupanya sama seperti orang yang
dituduh merogol, dan semakin lama semakin jelas siapa yang menjadi bapa kepada
anak yang telah membesar; dan di zaman ini kita mempunyai cara untuk menentukan
siapa bapa kepada anak, apakah tuduhan yang dibuat oleh pendakwa dan hukuman
yang dibuat oleh hakim tidak merupakan ketidakadilan, tuduhan yang palsu dan
berdosa kerana yang dituduh sebenarnya tidak bersalah?
Orang yang menuduh mangsa rogol sebagai berzina jelas melakukan kesalahan dan
berdosa. Sudah tentu orang yang menggubal undang-undang yang tidak adil, yang
mendakwa dan menghukum secara tidak adil, mereka semua bersalah dan berdosa.
Dalam Al-Quran Allah telah berkali-kali menegaskan supaya menghukum dengan
adil.
Surah 4 (An-Nisaa), Ayat 58 yang telah saya sebut menegaskan:
"Apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu
menghukum dengan adil." Surah 16 (An-Nahl) Ayat 90 bermaksud :
"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta
memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan
perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman."
Demikian juga Surah 7, (Al-Araaf), Ayat 29: "katakanlah: Tuhanku menyuruh
berlaku adil (pada segala perkara), ...." Dan dalam Surah 49 (Al-Hujurat),
Ayat 6, Allah berfirman : "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang
kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk
menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan
perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) -
sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
Yang jelas ialah agama Islam menekankan akan pentingnya keadilan dalam tiap
sesuatu yang dilakukan oleh orang Islam. Jika sesuatu yang dilakukan atau jika
satu undang-undang yang dicipta oleh manusia biasa, walau bagaimana alim
sekalipun tetapi akan membawa kepada ketidakadilan maka ia tetap tidak Islam
dan bertentangan dengan ajaran Islam. Sebab itu orang Islam mesti menolak
undang-undang yang digubal oleh orang yang berkepentingan yang jelas membawa
kepada ketidakadilan, walau apa pun nama yang diberi kepada undang-undang
itu.
Mereka yang menyebabkan Islam dipandang hina oleh semua kerana begitu tidak
adil hasil tafsiran mereka, mereka akan tanggung dosa di akhirat kelak. Ini
telah dijanji.
Maka akan berkatalah orang tertentu, "Orang yang bercakap ini tidak
berpelajaran agama, tidak tahu bahasa Arab dan tidak berhak bercakap berkenaan
agama". Selain daripada mereka ini bersikap angkuh dan sombong dengan
kononnya ilmu pengetahuan yang sedikit yang ada pada mereka - dan sikap ini
tidak disukai oleh Allah s.w.t. dan bertentangan dengan ajaran Islam, mereka
harus diingatkan bahawa dunia Islam memandang tinggi terhadap negara Malaysia
dan secara terbuka menyatakan bahawa Malaysia adalah contoh Negara Islam,
contoh yang ingin mereka ikut. Mereka tidak anggap Malaysia sebagai contoh
negara Islam kerana gelagat orang yang cuba memperalatkan Islam untuk politik
parti mereka. Mereka anggap Malaysia sebagai contoh kerana pentadbiran dan
pembangunannya serta juga pegangannya kepada agama Islam mengikuti kehendak
agama Islam. Dan banyaklah anugerah yang diterima oleh negara ini kerana amalan
ajaran Islamnya.
Orang yang dikatakan tidak layak dan tidak berhak kononnya bercakap berkenaan
dengan agama telah dijemput oleh orang Islam di negara lain untuk bersyarah
berkenaan dengan Islam, dan buku-bukunya yang ditulis berkenaan dengan Islam
juga diterima baik oleh ramai orang Islam, diterjemah oleh mereka ke dalam
bahasa mereka termasuk bahasa Arab dan diedar dengan meluas. Oleh itu janganlah
pihak tertentu angkuh dan mendakwa hanya mereka sahaja yang boleh bercakap
berkenaan dengan agama Islam.
MALAYSIA JELAS NEGARA ISLAM
Jika kita mendakwa bahawa Malaysia adalah negara Islam, sebabnya amat jelas.
Orang Islam di Malaysia bebas hidup secara orang Islam, tidak dihalang berbuat
ibadat, dan mereka menikmati keadilan seperti yang dituntut oleh agama Islam.
Sudah tentu mereka yang melakukan jenayah atau menyalahgunakan Islam untuk
kepentingan lain; mereka yang menentang pemerintah dengan keganasan dan
cara-cara lain, mereka yang menyembunyi ajaran Tuhan mengikut Surah Al-Baqarah,
Ayat 174 yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah)
apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah dan membeli
dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi
dalam perut mereka selain dari api neraka, dan mereka pula akan beroleh azab
seksa yang tidak terperi sakitnya."
Demikian juga dalam Surah An-Nahl ayat 25: Tuhan berfirman bermaksud, "
mereka dibiarkan menuduh dengan yang demikian supaya mereka memikul dosa-dosa
mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat dan memikul sebahagian dari dosa-dosa
orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang
benar; sesungguhnya beratnya dosa-dosa yang mereka lakukan."
Sehingga sekarang pihak tertentu tidak dapat menjelaskan negara Islam yang
kononnya mereka akan dirikan di Malaysia jika mereka berkuasa. Yang diumumkan
ialah cara-cara pemerintahan yang tidak berbeza dengan yang terdapat sekarang -
iaitu secara tidak langsung mengakui akan kebenaran kenyataan bahawa Malaysia
adalah Negara Islam sejak kita merdeka. Mereka tidak sebut dengan jelas akan
hasrat mereka untuk melaksanakan hukum yang didakwa oleh mereka sebagai Hukum
Hudud supaya kita semua tahu jenis keadilan atau ketidakadilan yang hendak
dilaksanakan oleh mereka jika, Na'uzubillah, mereka berkuasa.
Perbahasan berkenaan Malaysia sebagai Negara Islam tidak perlu diteruskan.
Tidak ada perubahan dalam Perlembagaan Malaysia yang perlu dibuat untuk
menjadikan Malaysia negara Islam. Malaysia sudah pun Negara Islam. Hanya yang
perlu dibuat ialah menentukan negara ini tidak disesatkan oleh pihak tertentu
kerana kepentingan politik mereka sehingga tidak lagi Islam, sehingga menjadi
lemah dan ditindas oleh musuh-musuh Islam.
BANYAK JUGA KEMAJUAN DICAPAI
Walaupun saya tidak puas hati berkenaan berbagai-bagai perkara yang telah saya
sebutkan dalam ucapan saya ini, tetapi saya perlu mengaku bahawa sebenarnya
kita telah mencapai banyak juga kemajuan.
Yang pertamanya dalam dunia di mana kebanyakan daripada negara membangun
kehilangan kebebasan dan kemerdekaan mereka, di mana ekonomi mereka runtuh dan
kemiskinan melanda ramai daripada rakyat mereka, kita masih bebas menyuarakan
pendapat kita, berkecuali di mana perlu, dan memulih ekonomi serta mengurangkan
kemiskinan. Rakyat kita hidup bahagia, dalam keadaan aman dan selamat, bebas
daripada ketidakadilan, bebas daripada ancaman kumpulan-kumpulan ganas yang
ingin meruntuhkan demokrasi dan menjatuhkan Kerajaan negara kita.
Walaupun DEB tidak berjaya sepenuhnya tetapi jurang perbezaan di antara bumiputera
dengan bukan bumiputera telah kita kurangkan. Jika dahulu bumiputera hanyalah
petani dan nelayan yang miskin dan merana, hari ini terdapat ramai juga
bumiputera yang berjaya, yang berkebolehan dalam bidang perniagaan dan
perusahaan, yang mempunyai kepakaran dalam berbagai-bagai bidang profesional.
Mereka bukan sahaja mampu bersaing dalam negara tetapi berjaya juga di
negara-negara asing.
Ramai daripada Melayu/bumiputera yang terkenal sebagai pakar dalam bidang
pentadbiran, bidang kewangan, pembangunan ekonomi dan pemulihannya sehingga
mereka dijemput oleh negara-negara lain untuk menasihat dan membantu menangani
masalah ekonomi dan kewangan mereka.
Bandar-bandar di Malaysia mempunyai segala kemudahan yang terdapat di
negara-negara maju. Sistem kereta api komuter elektrik, sistem kereta api
ringan atau LRT, jalan-jalan bertingkat, bangunan pencakar langit, termasuk
yang tertinggi sekali dalam dunia, pusat beli-belah yang memasar barangan
tempatan yang canggih dan juga jenama asing yang terkenal - semua ini terdapat
di Malaysia.
Kawasan luar bandar juga telah dibangun dengan baik. Hampir tidak ada kampung
yang tidak dibekal dengan air dan elektrik, jalan bertar, sekolah dan klinik
kesihatan, kemudahan telefon dan lain-lain lagi yang tidak terdapat sebelum
merdeka; yang tidak juga terdapat di negara membangun yang lain yang mencapai
kemerdekaan bersama dengan kita.
Purata pendapatan seseorang atau "per capita income" yang hanya 300
dolar Amerika di waktu kita mencapai kemerdekaan, hari ini adalah sebanyak
4,000 dolar Amerika dengan kuasa membeli sebanyak 10,000 dolar Amerika. Masih
ada mereka yang miskin tetapi peratusannya telah berkurangan daripada hampir 50
peratus kepada hanya tujuh peratus.
Malaysia menjadi negara dagangan yang ke-17 terbesar antara 192 buah negara di
dunia. Jumlah import dan eksport kita adalah hampir 170 bilion dolar Amerika
atau 646 bilion ringgit setahun. Selama 54 bulan berturut-turut kita mencatat
lebihan eksport daripada import. Simpanan Rizab kita berjumlah 33 bilion dolar
Amerika atau 125.40 bilion ringgit. Tidak ada masalah bagi kita membeli
barangan dari negara asing.
Rumah rakyat Malaysia tidak lagi diperbuat daripada buluh atau papan dengan
atap nipah tetapi dengan bata dan konkrit dan bumbung genting, lengkap dengan
air paip dan lampu elektrik. Ratusan ribu rumah kos rendah dibangun setiap
tahun. Jika mereka tidak memiliki kereta bermotor, pekerja biasa memiliki
motorsikal.
Kehidupan orang Melayu dan bumiputera lain juga sudah lebih baik dari dahulu.
Bagi yang sanggup bekerja tanpa terlalu memilih memang ada kerja bagi mereka.
Jika ada begitu ramai pekerja asing, sebabnya ialah kerana rakyat Malaysia
tidak sanggup membuat kerja tertentu dan peluang kerja begitu banyak.
Petani dan nelayan terus miskin berbanding dengan pekerja lain dan kemiskinan
mereka tidak mungkin diatasi sampai bila-bila kerana petani dengan tanah seluas
dua hektar atau kurang dan bekerja hanya separuh masa bagi beberapa bulan dalam
setahun tidak mungkin mendapat pendapatan yang sama dengan pekerja bergaji yang
bekerja lapan jam sehari sepanjang tahun selain dari hari-hari lepasan. Jika
petani dan juga nelayan yang menangkap ikan di pesisir pantai sanggup mengguna
masa yang banyak yang ada pada mereka untuk membuat kerja-kerja lain, untuk
mengeluarkan barangan kerja tangan, pendapatan mereka tetap akan meningkat dan
mereka tidak lagi akan menjadi orang yang miskin.
Subsidi yang bertambah bukan cara untuk mengatasi kemiskinan mereka, demikian
juga menaikkan harga hasil pertanian dan tangkapan ikan mereka. Harga hasil
usaha mereka sudah pun jauh lebih tinggi daripada harga keluaran yang sama di
negara jiran. Jika harga dinaikkan yang akan kita lihat ialah lebih banyak
penyeludupan.
Selain daripada kemiskinan petani, nelayan dan mereka yang terlalu memilih
kerja, rakyat Malaysia termasuk orang Melayu dan bumiputera lain, hidup lebih
bahagia dan akan bertambah bahagia dengan pertumbuhan ekonomi negara yang
pesat.
Sesungguhnya bangsa yang berjaya ialah bangsa yang rajin dan sanggup menghadapi
cabaran hidup. Tidak ada bangsa yang mundur kerana warna kulit atau kerana kaum
atau agama atau kerana hidup di alam tropika. Kita telah buktikan bahawa
apabila orang Melayu dan bumiputera lain sanggup berusaha mereka akan dapat
menguasai semua ilmu dan kecekapan untuk menjadikan mereka orang yang berjaya.
Orang Melayu sebagai orang Islam boleh berdoa dan meminta daripada Allah s.w.t.
supaya mereka berjaya, tetapi ingatlah Tuhan telah berfirman dalam Al-Quran
bahawa Ia tidak akan mengubah nasib sesiapa jika tidak ada usaha oleh mereka
untuk mengubah nasib sendiri.
Ingatlah juga bahawa segala keburukan yang menimpa kita adalah kerana kita
sendiri dan segala kebaikan datangnya daripada Allah s.w.t. Oleh itu janganlah
cepat mendakwa bahawa nasib buruk kita sebagai telah ditakdir oleh Allah s.w.t.
Nasib buruk kita disebabkan oleh tidak ada usaha atau kurang usaha oleh diri
kita sendiri. Apabila kita berusaha maka Allah s.w.t. akan memberi kejayaan
kepada kita dan itu juga adalah takdir.
Saya pohon maaf kerana bahasa yang kasar yang saya gunakan dalam ucapan ini.
Tetapi saya tidak mencarut dan tidak memanggil sesiapa dengan nama yang buruk
yang mengaibkan. Bahasa saya bukan bahasa buku kerana saya bukan pakar bahasa
atau ahli sastera. Hanya yang saya ingin ialah supaya orang memahami apa yang
hendak diperkatakan oleh saya.
Saya guna bahasa biasa ini kerana lebih senang menyatakan perasaan saya sebagai
seorang Melayu yang sayang pada bangsanya, sayang sejak saya faham saya adalah
daripada bangsa Melayu lebih 65 tahun dahulu, di waktu mana saya mula sedar
bahawa saya daripada bangsa yang terhina, bangsa yang dijajah, bangsa yang
tidak mempunyai maruah, bangsa yang berasa dirinya begitu rendah berbanding
dengan bangsa-bangsa lain, kaum-kaum lain.
TELAH USAHA SEDAYA UPAYA
Seperti juga dengan orang lain dalam keadaan yang sama, saya berangan-angan
untuk menukar persepsi saya, persepsi orang Melayu, persepsi orang asing
terhadap bangsa saya. Saya tidak mimpi boleh membuat apa-apa ke arah itu selain
daripada sebagai rakyat biasa. Tetapi Alhamdullillah, saya diberi peluang
berkat sokongan ahli UMNO, orang Melayu, orang Malaysia yang lain, dengan izin
Allah s.w.t untuk menjadi seorang yang memainkan peranan yang besar juga dalam
menukar sedikit prestasi bangsa saya, bangsa Melayu, mengubah persepsi terhadap
bangsa ini.
Saya telah cuba sedaya upaya. Terdapat sedikit kejayaan kata orang. Saya tidak
berhak menilai kecapaian saya sendiri. Itu adalah hak orang lain. Tetapi saya
telah berusaha bersungguh-sungguh. Ada masanya yang saya gembira sedikit dengan
apa yang saya anggap sebagai kejayaan saya. Tetapi yang lebih saya rasai ialah
kekecewaan-kekecewaan kerana sedikit sangat hasil yang saya dapati daripada
tugas saya yang utama - tugas untuk menjadikan bangsa saya bangsa yang maju,
bangsa yang dihormati, bangsa yang bermaruah tinggi, bangsa yang mulia.
Saya pohon maaf kerana kegagalan saya. Saya berdoa supaya di kalangan orang
Melayu akan muncul pemimpin yang lebih mampu menukar sifat-sifat tertentu yang
ada pada orang Melayu dan bumiputera lain supaya mereka akan memiliki budaya
yang lebih sesuai dengan kejayaan.
Daripada segi pertubuhan yang mampu melakukan perubahan ini, kita sudah ada.
UMNOlah parti yang sesuai dan mampu menukar budaya Melayu. UMNO telah berjaya
menyatupadukan orang Melayu dan mengikis sifat rendah diri mereka sehingga
mereka berani bangun untuk menghadapi penjajah, untuk menuntut hak mereka.
Tetapi amat malang sekali kejayaan yang sedikit ini telah merosakkan, atau
"undermine" pemikiran orang Melayu sehingga mereka anggap mereka
sudah selamat dan boleh membuat apa sahaja.
Hari ini semangat kebangsaan mereka sudah luntur dan kemampuan mereka
menghadapi cabaran sudah menurun. Kalau hari ini mereka dijajah kemampuan
mereka untuk melawan penjajah tidak boleh dijamin.
Kerana perpecahan di kalangan mereka kuasa politik mereka pun sudah susut.
Mereka belum sedar akan hakikat ini tetapi hari ini apabila hak dan kedudukan
mereka dicabar secara terbuka mereka tidak berupaya mempertahankan diri mereka.
Mereka mencari perlindungan daripada kuasa politik. Tetapi kerana perpecahan
kuasa politik mereka tidak sebegitu kuat seperti dahulu. Dan satu hari kuasa
ini boleh luput sama sekali.
Ini tidak mengapa jika individu Melayu sudah menjadi orang yang gagah yang
memiliki kebolehan yang tersendiri, kebolehan dalam bidang ilmu dan ekonomi,
kebolehan bersaing tanpa keistimewaan yang hari ini mereka anggap sebagai hak
mereka. Tetapi mereka bukan sahaja tidak menjadi individu yang gagah;
sebaliknya mereka tidak sanggup menghadapi persaingan barang sedikit pun.
Mereka begitu takut kepada kaum lain. Tanpa pengalaman bersaing dengan orang
lain, jika perlindungan tiba-tiba hilang maka tidak mungkin sama sekali mereka
"survive".
MELAYU BELUM SELAMAT
Orang Melayu jelas belum selamat. Janganlah ingat kuasa orang Melayu dalam
arena politik akan kekal selama-lamanya, akan menjamin keselamatan orang Melayu
sampai bila-bila. Sedarlah tidak ada yang kekal dalam masyarakat manusia, sudah
tentu tidak ada yang kekal dalam politik manusia.
Ada bangsa yang tidak pernah bangun dan ada bangsa yang maju tetapi kemudian
runtuh dan hilang dari muka bumi ini. Kita tidak bercita-cita besar untuk
menjadi bangsa yang teragung, bangsa yang menjadi kuasa besar. Tetapi kita
ingin terus bebas, merdeka dan tidak dihina, dijajah sekali lagi.
Untuk ini pun kita perlu berjaga-jaga dan berusaha supaya bukan sahaja kekuatan
politik kita dipulih dan dikekalkan tetapi kemampuan tiap seorang daripada kita
dalam bidang tertentu, bidang ilmu dan kecekapan perniagaan dan perusahaan
dipertingkatkan sehingga dapat kita menghadapi dan mengatasi segala saingan dan
cabaran secara bersendirian.
KEMBALI KE JALAN BENAR
Untuk ini kita perlu kembali kepada budaya dan nilai-nilai mulia bangsa kita
dan kepada ajaran agama kita. Hari ini banyak negara bukan Islam mendakwa
bahawa orang Melayu dan negara Malaysia adalah "moderate" atau
sederhana dari segi keIslamannya. Ini tidak benar sama sekali. Kita bukan
"moderate Muslims". Kita adalah "Muslim fundamentalists"
iaitu kita berpegang kepada asas-asas atau "fundamentals" ajaran
Islam, asas yang terdapat dalam Al-Quran dan Hadis yang sahih.
Ajaran Islam yang "fundamental" dan sebenar tetap akan menjadi kita
orang Melayu sebagai manusia yang baik dan berjaya. Betapa tidak? Bukankah
Islam menyuruh semua orang Islam bersatu dan bersaudara; bukankah Islam
menyuruh orang Islam membaca; iaitu mempelajari ilmu, bukankah Islam menyuruh
kita menuntut kebahagiaan di akhirat dan jangan lupa akan kebahagiaan kita di
dunia, bukankah agama Islam menyuruh kita bermusuh hanya dengan orang yang
bermusuh dengan kita, bukankah agama Islam melarang perbuatan yang mungkar dan
menyeru kepada yang maaruf, berlaku adil dan bermacam-macam lagi yang baik dan
membina?
Tetapi ramai daripada kita orang Melayu yang semuanya beragama Islam, ramai
yang mengikut nafsu dan mencipta serta menafsir ajaran Islam untuk menghalalkan
perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama kita. Dan lepas itu kita tidak
faham kenapa kita gagal.
Tugas UMNO, tugas kepimpinan UMNO, tugas semua ahli UMNO ialah untuk menyeru
dan memberi panduan serta contoh teladan kepada semua orang Melayu supaya
kembali kepada jalan yang benar. Dan ini perlu kita buat dengan memberi ingatan
dan menunjuk cara yang baik kepada orang Melayu.
Oleh itu marilah kita perbaharui ikrar kita untuk menjayakan matlamat UMNO
untuk menjadikan orang Melayu orang yang berjaya, orang yang tidak pernah
luntur pegangan kepada ajaran Islam yang sebenar. Insya-Allah dengan usaha
gigih ke arah ini Allah s.w.t. akan makbulkan hasrat kita yang mulia ini.
Dengan berdoa supaya UMNO terus berwibawa dan meneruskan perjuangan asalnya,
saya dengan ikhlas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan UMNO bagi tahun 2002 ini.
© 2000 Pemuda UMNO
Cawangan Taman Bukit Kepayang. All rights reserved.