Perubahan sistem pendidikan di negara
ini selepas kemerdekaan merupakan hasil daripada segala proses yang bertitik
tolak daripada perancangan program-program kerajaan pada masa itu untuk
melaksanakan berbagai peruntukan dan peraturan yang termaktub dalam Ordinan
Pelajaran 1957 dan Akta Pelajaran 1961. Dasar-dasar pendidikan negara sentiasa
dikaji semula dan kurikulum pendidikan sentiasa dikemaskinikan bagi meningkatkan
mutu pendidikan untuk memastikan keberkesanan pelaksanaannya sebagai persediaan
untuk menghadapi cabaran alaf baru ini. Oleh yang demikian, tidak dapat ditolak
hakikat bahawa dari semasa ke semasa aspek matlamat dan peranan pendidikan
negara telah disesuaikan dengan matlamat dan keperluan rancangan negara. Dalam
hal ini, matlamat pembangunan pendidikan sentiasa diberikan penekanan yang wajar.
Prosesnya telah merangkumi pelbagai aspek pembangunan dalam program pendidikan
berasaskan kepada dasar-dasar umum dan khusus yang diputuskan dari semasa ke
semasa. Justeru itu, banyak perubahan telah berlaku dengan pesatnya dan antara
yang terpenting ialah penggubalan Kurikulum Sekolah Bestari yang telah mengambil
contoh amalan-amalan yang terbaik di seluruh dunia serta menggabungkan
elemen-elemen yang akan membolehkan sistem pendidikan mencapai matlamat Falsafah
Pendidikan Negara. Anjakan paradigma ini telah menjadikan teknologi satu
“cornerstone” penting bagi pendidikan.
Keperluan
Perubahan Dalam Pendidikan Matematik
Perkembangan teknologi telah banyak mempengaruhi setiap liku-liku kehidupan masa kini. Oleh itu, budaya sekolah seharusnya perlu diubahkan daripada sesuatu yang berdasarkan memori kepada berpengetahuan, berpemikiran kreatif dan penyayang dengan menggunakan teknologi terkini (KPM, 1997). Perlaksanaan Sekolah Bestari dapat membuka tempat dan ruang seluas-luasnya kepada teknologi dalam sistem pendidikan. Mengikut pengarang buku “Reshaping Schools Mathematics: A Philosophy and Framework For Curriculum” (National Research Council, 1990) telah membincangkan kepentingan perubahan dalam pendidikan matematik. Antaranya ialah:
pendidikan matematik perlukan perubahan kerana kini ia diperlukan oleh semua rakyat dari pelbagai bidang dan bukannya untuk segelintir masyarakat. Oleh yang demikian, skop dan kualiti Matematik perlu diperkembangkan lagi dengan ide-ide baru yang canggih,
ciri bidang matematik telah berubah untuk menyediakan rakyat yang celik matematik dalam bidang teknologi demi menghadapi cabaran alaf baru,
perkembangan teknologi telah menyebabkan keperluan kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah yang efektif,
pandangan pelajar juga telah berubah di mana kanak-kanak zaman kini ingin belajar dengan lebih aktif dengan pembinaan idea sendiri serta berkeupayaan menganalisa dan menerokai penyelesaiaan masalah mereka,
perubahan dalam persaingan ekonomi antarabangsa juga merupakan suatu aspek yang membawa kepada perubahan dalam pendidikan matematik pada semua peringkat.
Daripada titik ini, pengiktirafan peranan teknologi dalam pendidikan matematik telah membawa pembelajaran matematik melampaui batasan pembelajaran kemahiran sahaja dan juga telah menimbulkan keperluan dalam merombak semula perhubungan konsep serta konseptual dengan pengajaran pembelajaran matematik.
Peranan
Teknologi Dalam Pengajaran Pembelajaran Matematik
Teknologi elektronik – kalkulator dan komputer –
adalah alatan penting dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelesaian matematik.
Alatan ini membekalkan imej visual bagi ide-ide matematik; mereka juga
mempermudahkan jalankerja untuk mengatur dan menganalisa data; serta mereka
menjalankan komputasi dengan cekap dan tepat. Di samping itu, alatan teknologi
dapat meyokong penyiasatan dan penerokaan yang dijalankan oleh murid-murid dalam
semua aspek matematik, termasuklah geometri, statistik, algebra dan nombor.
Apabila teknologi sedia wujud dalam proses pembelajaran murid-murid, mereka
dapat lebih menumpu perhatian ke atas aktiviti-aktiviti membuat keputusan atau
kesimpulan, merenung atau membuat refleksi, menaakul dan menyelesaikan masalah.
Murid-murid dapat belajar lebih banyak matematik
dengan lebih mendalam dan terperinci lagi apabila menggunakan teknologi yang
sesuai (Dunham dan Dick, 1994; Sheets 1993; Boers-van Oosterum 1990; Rojano
1996; Groves 1994). Teknologi juga dapat digunakan untuk memupukkan pemahaman
konsep matematik. Dalam program matematik, teknologi patut digunakan dengan
meluas dan dengan tanggungjawab, untuk mencapai matlamat serta tujuan
memperkayakan pembelajaran murid-murid di dalam matematik. Kewujudan,
keserbabolehan dan kuasa yang terkandung di dalam teknologi membolehkannya untuk
menyemak semula matematik apakah yang patut murid-murid belajar serta juga
bagaimanakah mereka dapat belajar dengan paling baik.
Teknologi boleh menolong murid-murid dalam membelajari matematik. Sebagai
contohnya, dengan kalkulator dan komputer, murid-murid dapat mengkaji lebih
banyak contoh ataupun perwakilan matematikal daripada kemungkinan dengan hanya
melaksanakannya dengan tangan sahaja. Akibat daripada ini, murid-murid dapat
membina dan meneroka konjekur-konjektur dengan lebih mudah dan senang. Tambahan
pula, kuasa grafik dalam alat teknologi memberikan suatu hubungkait yang
istimewa kepada model-model visual matematik yang begitu berkuasa di mana
murid-murid sendiri pun tidak sanggup ataupun tidak mampu menjanakannya.
Kapasiti untuk menjalankan komputasi dengan alat teknologi telah memperluaskan
renj dan bentuk masalah matematikal yang kini dapat dibawa masuk ke bilik darjah
untuk diperkenalkan kepada murid-murid. Keadaan ini membolehkan murid-murid
menyelesaikan prosedur-prosedur matematikal yang rutin dengan lebih
pantas dan tepat. Justerunya, lebih banyak masa dalam tangan murid-murid
sekarang untuk mengalih perhatian dan fokus mereka kepada permodelan serta
konseptual matematik. Pendekata, teknologi di dalam pembelajaran matematik telah
memerdekakan minda murid-murid.
Teknologi memainkan peranan yang penting di dalam proses membuat, menilai serta
memurnikan sesuatu konjektur bersama-sama dengan aspek pembelajaran dan
penaakulan matematik yang lain. Membuat dan menguji konjektur adalah isipati
kepada pembuktian dalam matematik. Seperti teknologi melukis graf dan
hamparan elektronik yang telah membuat konsep fungsi dan algebra mudah diperoleh
oleh murid-murid; teknologi kalkulator grafik dan perisian geometri dinamik juga
telah membawa kesan yang sama dalam membantu murid-murid membuat penaakulan
matematik. Saling hubungan di antara teknologi, konjektur dan bukti dapat
digambarkan oleh model seperti yang berikut:
Teknologi menggalakkan murid-murid membuat konjektur yang kemudiannya diuji dan
disiasat dengan menggunakan teknologi. Menentukan sama ada konjektur-konjektur
itu benar atau palsu dapat merangsangkan murid-murid untuk berbincang dan
mencari bukti-bukti matematikal untuk menentusahkan pendirian mereka. (Balacheff
, 1990)
Penglibatan murid-murid dengan ide-ide matematikal yang abstrak dapat juga
dipupukkan melalui penggunaan teknologi dalam proses pembelajaran matematik.
Teknologi memperkayakan kualiti dan jenis penyiasatan matematik dengan memberi
satu laluan untuk mengkaji ide-ide matematik daripada pelbagai perspektif.
Pembelajaran murid-murid dibantu dengan maklumbalas yang dapat dihasilkan oleh
teknologi. Contohnya, dengan mengheret satu nodus dalam suatu persekitaran
geometri dinamik, bentuk dalam paparan akan berubah ataupun dengan menukarkan
rumus-rumus yang telah ditakrifkan pada hamparan elektronik, perubahan
nilai-nilai yang berkaitan dapat dilihat dengan serta merta. Teknologi
memberikan satu fokus di mana murid-murid dapat berbincang di antara satu sama
lain dan juga dengan guru tentang objek yang dipaparkan pada skrin serta tentang
pelbagai kesan-kesan transformasi yang dinamik yang dihasilkan dengan bantuan
teknologi.
Teknologi
memberi peluang kepada guru untuk memilih dan mengubahsuai tatacara proses
pembelajaran mengikut pelbagai kehendak dan rentak murid-murid. Murid-murid yang
mempunyai perhatian yang mudah diganggu, sekarang dengan teknologi, mereka dapat
menumpu perhatian yang lebih berfokus terhadap menyelesaikan tugasan matematik
dengan menggunakan teknologi seperti komputer.
Murid-murid yang menghadapi masalah dengan prosedur-prosedur matematik yang tertentu pula, dapat memperkembangkan dan meneroka pemahaman matematikal yang lain dahulu; yang kemudiannya dapat membantu murid-murid ini belajar dan memahami prosedur-prosedur itu. Peluang dan kemungkinan yang begitu meluas dalam melibatkan murid-murid dengan cabaran-cabaran matematik dapat dipertingkatkan lagi dengan penggunaan teknologi.
Keberkesanan penggunaan
teknologi dalam sebuah bilik darjah matematik bergantung kepada seseorang guru.
Teknologi bukanlah satu penawar mujarab kepada masalah-masalah dalam proses
pengajaran pembelajaran matematik. Seperti mana-mana alat bantu mengajar yang
lain, teknologi boleh digunakan sama ada secara optimum ataupun dengan serba
kekurangan. Guru patut menggunakan teknologi untuk mempertingkatkan lagi peluang
pembelajaran murid-murid dengan memilih atau membina tugasan-tugasan matematik
yang bernas serta yang dapat mengambil kesempatan untuk mengeksploitkan apa yang
dapat suatu teknologi itu buat dengan berkesan seperti dalam melukis graf,
membuat visualisasi dan menjalan komputasi. Sebagai contohnya, guru boleh
menggunakan simulasi untuk memberi murid-muridnya suatu pengalaman situasi
masalah yang sukar direkacipta tanpa teknologi. Ataupun guru boleh menggunakan
sumber data dan sumber maklumat dari internet dan “World Wide Web” untuk
merekabentuk tugasan-tugasan matematik bernas bagi murid-murid. Hamparan
elektronik, perisian geometri dinamik dan mikrodunia komputer merupakan
alat-alat teknologi yang berguna untuk mengemukakan masalah-masalah matematikal
yang bernas.
Teknologi tidak akan menggantikan seseorang guru matematik. Pada amnya, apabila
murid-murid menggunakan alat-alat teknologi dalam aktiviti matematik, mereka
biasanya nampak lebih meluangkan banyak masa bekerja dan mencari penyelesaian
bagi masalah matematik sehingga menwujudkan satu keadaan di mana peranan guru
nampaknya tidak penting lagi. Tetapi gambaran ini adalah tidak tepat dan mudah
disalahfahamkan. Seorang guru matematik sebenarnya memainkan banyak peranan
penting di dalam sebuah bilik darjah yang kaya dengan teknologi - membuat
keputusan yang akan membawa kesan yang penting kepada pembelajaran
murid-muridnya. Pada peringkat awalnya, gurulah yang mesti mempertimbangkan dan
membuat keputusan tentang bilakah dan bagaimanakah teknologi akan digunakan di
dalam bilik darjah. Sambil murid-murid menggunakan teknologi seperti kalkulator
ataupun komputer dalam bilik darjah, guru pula dapat menggunakan peluang ini
bukan sahaja untuk memantau dan mencerap murid-murid tetapi juga untuk memokus
kepada pemikiran dan penaaklulan murid-murid. Tambahan pula, sambil murid-murid
bekerja dengan teknologi, murid-murid dapat mempamerkan pelbagai pemikiran dan
penaakulan matematikal mereka, yang
pada amnya susah dicerap oleh guru tanpa bantuan teknologi. Maka teknologi dapat
membantu dalam pentaksiran, memberi peluang untuk guru mengkaji serta memeriksa
proses yang telah digunakan oleh murid-murid dalam penyiasatan matematik mereka
dan hasil penyiasatan masing-masing. Justerunya, dengan teknologi, maklumat yang
berlimpah banyak sedia ada bagi guru untuk membuat refleksi dan membuat
keputusan memilih tindakan susulan bagi pengajaran matematiknya.
Teknologi
mempengaruhi matematik apakah yang patut diajar.
“Technology
is dramatically changing mathematics; as a result, the mathematics that students
learn also must change. It has been said that same mathematics has become more
important because technology requires it; some mathematics has become less
important because technology replaces it; and some mathematics has become
possible because technology allows it.”
Trafton
and Claus (1994)
Teknologi bukan hanya setakat mempengaruhi bagamanakah matematik
diajar dan dibelajari tetapi juga,
mempengaruhi apakah
yang patut diajar serta bilakah topik itu
diajar.
Dengan teknologi dalam tangan, kanak-kanak muda
boleh
meneroka dan menyelesaikan masalah yang melibatkan nombor-nombor besar, ataupun
mereka dapat menyiasat ciri-ciri bagi bentuk-bentuk
dengan menggunakan perisian
dinamik geometri. Di sekolah
rendah, murid-murid
boleh mengatur dan menganalisa set data yang besar. Manakala
murid-murid
di
sekolah menengah rendah pula dapat membelajari perhubungan linear and ide
kecerunan serta perubahan seragam dengan perwakilan komputer.
Senario di sekolah menengah atas pula, murid-murid dapat
menggunakan simulasi untuk mengkaji
taburan
sampel dan mereka dapat bekerja dengan sistem algebra komputer
yang dapat
menjalankan kebanyakan manipulasi simbolik dengan
cekap. Pada hakikatnya, manipulasi simbolik sedemikian telah menjadi
tumpuan bagi
kurikulum
sekolah menengah atas
yang tradisional. Oleh
itu, pembelajaran algebra
tidak lagi
perlu dihadkan kepada situasi ringkas di
mana
manipulasi simbolik adalah mudah
secara relatif.
Dengan menggunakan alat teknologi, murid-murid dapat
menaakul isu-isu yang lebih am
dan lebih luas,
seperti perubahan parameter.
Tambahan pula, dengan teknologi murid-murid
dapat memodelkan masalah-masalah dunia sebenar serta menyelesaikan
masalah-masalah kompleks
dan rumit
yang pada satu ketika dahulu
tidak dapat diperolehi
oleh murid-murid.
Teknologi juga telah mengaburkan sempadan-sempadan yang memisahkan topik-topik di dalam algebra, geometri dan analisis data. Kini teknologi membenarkan murid-murid menggunakan ide dari satu bidang matematik untuk membantu mereka memahami ide dalam bidang yang lain dengan lebih jelas. Teknologi dapat menolong guru menghubungkaitkan perkembangan kemahiran dan prosedur kepada pemahaman matematikal yang lebih am. Oleh kerana itu, setengah kemahiran yang pada satu masa dahulu dianggap penting telah dijadikan kurang mustahak peranannya oleh teknologi. Akibatnya, murid-murid kini dapat dirangsangkan untuk bekerja pada peringkat matematikal yang lebih tinggi dan abstrak. Belajar dengan menggunakan manipulasi virtual ataupun dengan “Logo” dapat menggalakkan kanak-kanak muda memperluaskan pengalaman fizikal mereka serta memperkembangkan pemahaman awalan mereka tentang ide-ide canggih, seperti menggunakan algoritma. Perisian geometri dinamik dapat menggalakkan kajian ke atas keluarga objek geometrik, dengan fokus yang eksplisit terhadap transformasi geometrik. Sama juga, utiliti melukis graf dapat mempermudahkan kajian dan penerokaan ciri-ciri berbagai kelas fungsi. Disebabkan teknologilah, banyak topik dalam matematik distrik kini telah mengambil peranan yang penting di dalam bilik darjah matematik yang kontemporari. Perubahan yang paling ketara dalam isi kandungan kurikulum matematik serta dalam matlamat proses matematik ialah pengurangan tumpuan kepada aspek kerja komputasi matematikal yang boleh dilaksanakan dengan teknologi; dan disebaliknya meningkatkan penekanan ke atas pemikiran konseptual serta penyelesaian masalah. Isi kandungan dan proses matematik kini dipertingkatkan serta diperluaskan kepada ide-ide dan aplikasi matematik yang lebih kompleks daripada yang dapat diperoleh murid-murid melalui isi kandungan tradisional. Oleh yang demikian, sempadan-sempadan bagi lanskap matematik telah berubah dan bertukar.
Saidina Omar Al-Khattab r.a pernah berkata, “Didiklah
anak kamu mengikut zamannya. Jangan kamu didik mereka mengikut zaman kamu.”
Kata-kata ini memang berhubungkait dengan penggunaan teknologi dalam pendidikan
matematik. Sehubungan ini peranan seorang guru matematik adalah amat penting dan
dia perlu saling melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran sezaman
supaya pengajaran dan pembelajarannya dengan menggunakan teknologi sentiasa
berkesan.
Alvin Tottler pula pernah berkata, “The illiterates of the future are not
those who cannot read and write, but those who do not want to learn, unlearn and
relearn.” Dalam konteks pendidikan guru dan dalam usaha untuk memartabatkan
lagi profesionalisme keguruan, maka ini bermakna
bahawa guru juga perlu “learn”, “unlearn” dan “relearn”.
Dalam masyarakt alaf baru ini yang berorientasi kepada teknologi komunikasi dan
maklumat, teknologi memainkan satu peranan yang besar dalam pendidikan matematik.
dan ini telah membawa satu perubahan yang ketara dalam corak pengajaran
pembelajaran matematik tradisional. Guru sekarang menganjak peranannya sebagai
sumber utama memberi dan menyampaikan maklumat kepada peranan sebagai
pemudahcara dan pengurus untuk mendapat maklumat.
Kewujudan teknologi dalam pendidikan matematik bukan
sahaja mengubah corak dan cara guru mengajar matematik tetapi turut mengubah
kandungan matematik yang dipelajari oleh murid. Matlamat pendidikan matematik
adalah untuk melahirkan warga yang bukan sahaja berupaya untuk mengaplikasikan
apa yang mereka telah pelajari dalam situasi dunia sebenar tetapi juga berupaya
menyelesaikan masalah yang belum pernah mereka temui.
Pengaplikasian teknologi dalam pendidikan matematik
khususnya dan amnya dalam pendidikan sejagat sudah sampai masanya ke arah
mewujudkan generasi berteknologi mengharungi era globalisasi yang berdaya saing
dalam k-ekonomi selaras dengan wawasan 2020 negara. Institusi pendidikan sebagai
wadah terpenting semestinya melakukan inovasi drastik ke arah pencapaian
matlamat. Potensi dan teknologi yang amat canggih perlu dimanafaatkan sewajarnya
dan sepenuhnya. Oleh itu, untuk mencapai matlamat pendidikan di Malaysia, satu
anjakan paradigma diperlukan dalam cara berfikir dan penggunaan teknologi.