Surat Syeikh Taha Jabir Al-'Ilwaniy kepada DSAI (versi Melayu)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

Yang dikasihi saudara Abu Ihsan
Pemimpin Besar Reformasi-Islah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Saya doakan anda sihat dan sentiasa berada dalam keadaan baik. Saya juga mengharapkan anda
sedang menuju keasrah keadaan yang lebih baik. Semoga Allah akan segera melepaskan kita semua
dari segala kesulitan ini dengan menyelamat, melindungi dan membebaskan anda dari segala percubaan
jahat musuh-musuh yang terdiri daripada pelbagai jenis syaitan - JIN dan MANUSIA.

Saudara yang dikasihi,
Saya sungguh sedih tidak dapat menemui anda dan tidak mendengar suara anda sejak kita berpisah
pada pertengahan September 1998 sehingga hari ini. Demikianlah, Ramadhan al-mubarak berlalu tanpa
kesempatan bertemu atau memberi ucap selamat. Begitu pula setelah menyusul 'ID al-fitr, anda masih
terus terkurung dalam jerjak-jerjak besi penjara. Bagaimanapun dapat juga saya mendamaikan hati
dengan  mebayangkan bahawa anda sebenarnya sedang berjalan menapak jejak para pejuang islah
(al-muslihin) sebelum anda. Memang, sesungguhnya anda  sedang menempuhi jalan yang dilalui oleh
para anbiya' dan muslihin yang pernah tampil dalam sejarah  kemanusiaan. Mereka, samada yang
disebut atau yang tidak disebut dalam al-Quran semuanya telah menempuh tribulasi, baik sendirian atau
pun secara kolektif bersama umat mereka sekali. Demikianlah ketentuan sunnatullah dalam kehidupan
duniawi ini. Untuk dapat berdiri tegak dibumi, ternyata tidak mudah. Ia harus dicapai menerusi
ranjau-ranjau ujian dan tribulasi.

"Alif Lam Min. Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya
berkata: 'Kami beriman", sedang mereka tidak diuji?.. Dan demi sesungguhnya Kami telah
menguji orang orang  yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah
tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya
tentang orang-orang yang berdusta. " al-Ankabut  1:3

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum sampai
kepada kamu ujian dan dugaan, seperti yang berlaku kepada  orang-orang terdahulu
daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan, kemusnahan harta benda dan serangan
penyakit berjangkit serta digoncangkan oleh ancaman bahaya dan musuh sehingga
berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersamanya, "bilakah datangnya
pertolongan Allah?". Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu
bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah." al-Baqarah 214

Sunnatullah yang sedemikian itu adalah abadi, terus menerus berlaku disepanjang sejarah - orang-orang
mu'min diuji dengan aniaya musuh-musuhnya yang terdiri daripada orang munafiqin, musrikin dan
golongan perosak dibumi (al-mufsidin fi al-ard). Tujuannya adalah untuk menyaring  orang-orang
mu'min, memberikan pengalaman kepada mereka, menyediakan mereka memikul beban berat serta
memberikan ketahanan menanggung derita tribulasi. Kerana sesungguhnya beban melaksanakan Islah
itu jauh lebih berat daripada derita ujian mempersiapkan para juru Islah memikul tanggungjawab berat
di hari muka.

Saudara yang dimuliakan,
Anda telah diuji dengan pesona dunia ketika anda menyertai kerajaan untuk melakukan pembaikan dari
dalam. Ternyata goda pesona kuasa tidak sedikitpun merubah anda atau membawa sebarang kesan
kepada perilaku dan kemurnian peribadi anda. Telah terbukti bahawa anda tettap anda, manusia ikhlas
dan tawadhu, manusia muslim beriltizam dengan nilai-nilai agamanya, nilai-nilai ketinggian moral yang
dibawa oleh para Rasul, berpegang teguh  dengan idealisma dan segala cita-cita unggulnya. Anda tidak
pernah menyimpang dan tidak pernah melakukan sebarang penyelewengan moral atau perilaku
meskipun berada dipuncak kekuasaan. Sebenarnya sudah cukup lama syaitan dan kuncu-kuncunya
menunggu saat anda  berubah. Namun itu tidak pernah terjadi. Malah penantian mereka hanya
membawa kepada kecewa dan putus asa kerana ternyata iman dan keyakinan anda tidak pernah
goncang, moral dan perilaku anda anda juga tidak pernah goyah. Dengan demikian syaitan-syaitan itu
menjadi marah dan sekali gus kecewa. Sejak itulah mereka bertekad untuk menghabisi anda dengan
tidak lagi menyerah kepada faktor masa atau mengharapkan kemungkinan kuasa dan kemewahan yang
mengitari anda akan menjadikan anda lupa daratan. Kali ini syaitan mengerahkan seluruh bala
tenteranya mengeksploitasi apa jua kelemahan dan kecuaian musuhnya. Mereka pun mulalah
melancarkan gerakan konspirasi jahat mereka dengan cuba memaksa anda berlembut dan mengalah.
Mereka mengharap-harap berkata, " kalau ketegasan dan kemurnianku tidak juga dapat memelihara
nama baikku, kenapa tidak aku menjadi seperti mereka sahaja!", seperti yang pernah dikatakan oleh
Saidatina Yusuf a.s., ".... dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka,
mungkin aku akan cenderung kepada mereka..." Yusuf 33. Tetapi anda tidak mengambil sikap
demikian. Sebaliknya anda telah mempertahankan diri sebagaimana Aisyah mempertahankan dirinya
dalam peristiwa al-ijk (berita bohong). beliau menyingkapinya dengan tabah dan sabar. Demikian
jugalah anda telah bersabar. Malah iman dan kepasrahan anda kepada Allah swt, keyakinan terhadap
kesucian dan kemurnian diri anda menjadi kian mengental, lalu anda katakan kepada musuh-musuh
anda itu." lakukan apa yang kalian mahu, katakan apa yang anda suka!, saya tetap tegak dan tegar
sebagai hamba yang beriman dan manusia yang bertaqwa. Saya tidak pernah  dan tidak akan prnah
merubah moral dan ilai-nilai murni saya."

Dalam situasi sedemikian ini berlaku pula trabulasi kegawatan ekonomi serantau yang meliputi juga
Malaysia. Rupa-rupanya ia dilihat sebagai satu peluang bagi musuh musuh anda sehingga mereka hilang
sabar, lalu terserlahlah niat jahat mereka. Seandainya tidak terjadi kegawatan ekonomi serantau itu,
tentulah akan tertunda pertarungan sengit antara anda dengan gerombolan syaitan dan kuncu-kuncunya
itu. Namun penundaan itu sama sekali tidak juga  menguntungkan anda  sebagaimana terbukti dari
peristiwa-peristiwa  yang berlaku. Mereka merancangkan sesuatu, tetapi Allah menghendaki yang lain.
Rupa-rupanya kegawatan ekonomi yang menimpa negara anda itu telah mendedahkan hakikat
sebenarnya, siapa anda dan siapa pula mereka. Hingga kesaat saat tersebut musuh-musuh anda masih
belum berputus asa sepenuhnya dari usaha menghancurkan anda. Mereka menyangka  bahawa setelah
menabur fitnah dan menimbulkan keraguan orangramai terhadap kemurnian dan kewibaan moral anda,
maka anda akan berlembut dan seterusnya sedia tunduk kepada kemahuan dan tekanan mereka,
terutama setelah kegawatan ekonomi mendorong mereka menyerlahkan niat dan tujuan sebenar
mereka  serta mendesak mereka menyatakan tuntutan untuk menguasai dan membolot kekayaan
negara anda dan mengagih-agihkannya dikalangan sesama mereka sehingga akhirnya nanti seluruh
kekayaan negara hanya akan berkisar dikalangan sekelompok opportunist dengan menafikan hak
rakyat mendapatkan bahagian yang telah diperjuangkan selama bertahun-tahun melalui pelbagai strategi
perekonomian dibawah petunjuk dan seliaan anda. Dalam situasi demikian itu anda telah tampil berdiri
bersama rakyat kecil dan miskin untuk cuba mempertahankan hak dan hasil titik peluh mereka.
Malangnya anda sendirian, sedang mereka adalah kelompok besar. Kerana itu mereka cuba
menghancurkan anda. Lalu mereka gunakan cara dan gaya yang mereka warisi dari syaitan-syaitan
yang terdahulu iaitu mencemarkan kehormatan dan menjatuhkan maruahdengan lemparan tuduhan keji
yang pada hakikatnya tidak lain dari kekejian mereka sendiri. Mereka mengharapkan orang akan mahu
mendengar  dan percaya, lalu terjerutlah leher seorang manusia bersih iaitu anda sendiri), dengan tali
nilai-nilai yang cuba diketengahkan dan dimantapkan dinegaranya.

Mereka menyangka apa yang mereka lakukan itu merupakan satu pukulan maut. Ketika anda diheret
kepenjara pada malam itu - 20 September - yang diikuti dengan pukulan bertubi-tubi ketubuh anda,
tahukah anda khayalan apa yang berputar dalam benak syaitan?  Mereka menyangka anda akan
menjadi mayat!. Selama ini mereka biarkan anda dalam keadaan senang dan selesa. Tentunya anda
akan menjadi amat lemah dengan pukulan pukulan kencang yang bertubi-tubi itu. Dan besok paginya
mereka akan mengumumkan  setelah dikemukakan bukti-bukti nyata tentang pelbagai keburukan moral
yang telah anda lakukan, anda menyesal dan malu lalu membunuh diri. Maka dengan itu tamat dan
tertutuplah lembaran riwayat anda selama-lamanya. Dengan itu juga tertutuplah satu babak sejarah
negara anda yang cukup gemilang.Tetapi sebenarnya babak itu tertutup dengan kesudahan yang tragik.
Mereka tidak tahu bahawa keimanan anda,  keyakinan terhadap kesucian diri anda dan keunggulan
idealisma anda serta perlindungan  Tuhan terhadap anda, semuanya itu tidak akan mengizinkan anda
memberi kesempatan tersebut untuk rebah di hadapan mereka atau tersungkur dengan
pukulan-pukulan mereka. Betapa dahsyatnya pukulan-pukulan yang memang telah mencederakan
tubuh anda, namun ia tidak mungkin sampai menembusi hati dan nurani anda yang kental dengan iman
itu.

Mereka benar-benar tidak menduga bahawa segala perancanaan dan usaha mereka mengupah saksi
saksi dusta bagi mereka perkara mudah dan murah dan tidak ada nilainya - tidak juga dapat merubah
ketegasan dan kekuatan perdirian anda. Dengan mendadak segalanya telah runtuh, lalu tampaklah
belang mereka masing-masing. Mereka pun berkatalah seperti yang pernah dikatakan para pendahulu
mereka, "...keluarkan mereka dari kampung kalian, sesungguhnya mereka adalah
orang-orang yang bersih." al-A'raf 82. Setelah itu  sebahagian dari kalangan pendukung mereka
sendiri ada yang mula menyuarakan keyakinan terhadap kebersihan anda, lalu mereka cari pula tuduhan
tuduhan lain, konon jika anda memimpin negara, itu bererti kemenangan bagi golongan pelampau. Disini
nada suara mereka telah berubah dan para syaitan pun mengumumkan  perubahan taktik serta pindaan
strateginya dengan cuba memencilkan anda dari simpati dunia yang telah berjaya anda raih, sehingga
mereka yang tidak pernah diduga bersimpati dengan orang-orang seperti anda, juga ikut membela
anda. Kali ini syaitan dan kuncu-kuncunya  cuba menghalang anda dari mendapat simpati dan
sokongan mereka dengan cara yang  membayangkan keadaan 'putus asa' iaitu dengan melemparkan
tuduhan yang bukan lagi berupa kekejian kekejian yang mereka sendiri lakukan, tetapi berupa kesucian
yang menyelamatkan anda dari terjerumus bersama mereka kedalam jurang kebejatan. Lalu mereka
pun berkata persis sebagaimana yang dikatakan oleh kaum Lut mengenai Nabi Allah Lut dan
keluarganya, "...keluarkan mereka dari kampung kalian, sesungguhnya mereka adalah
orang-orang yang bersih.". Mereka (Lut dan keluarganya) menolak kekejian, enggan melakukan
rasuan dan tidak sanggup bersekongkol dalam sistem yang serba bejat. Nyatalah bahawa sebenarnya
'kesucian' mereka itulah yang menjadi 'dosa' mereka dan itu pulalah yang 'mewajarkankan'
penyingkiran, pengusiran dan pemenjaraan mereka.

Saudara yang dikasihi,
Saya telah mengikuti prbicaraan anda (atau apa yang mereka namakan 'perbicaraaan'). Sepanjang
waktu-waktu itu saya menjadi bertambah-tambah yakin terhadap kebenaran. Firman Allah,"..
Sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah."  an-Nisaa' 76. Memang benar, tipu daya
mereka itu lemah sekali. Segala yang mereka rencanakan selama tiga tahun (lebih) itu kini mula runtuh
dan menampakkan kerapuhannya. Dengan itu saya menjadi bertambah yakin terhadap anda, keluhuran
moral dan wibawa anda.Saya juga bertambah yakin bahawa kesudahannya nanti, anda akan menang,
sebagaimana saya yakin bahawa ujian yang sedang anda hadapi ketika ini adalah merupakan proses
mempersiapkan anda untuk peranan besar yang akan anda mainkan insyaallah, peranan menyelamatkan
negara dan bangsa serta rantau ini seluruhnya dari cengkaman golongan perosak dibumi. Peranan anda
pada masa mendatang ialah membina dan memperhebatkan gerakan islah serantau. Saya telah
menelaah catatan-catatan jejak para nabi, kususnya  sejarah konflik mereka dengan golongan
al-mufsidin (perosak) lalu satu temukan suatu perbandingan yang cukup sesuai untuk anda, iaitu Saidina
Yusuf as. yang diuji, dipenjara dan didera. Ternyata rupa-rupanya penjara dan segala tribulasi yang
dilaluinya  adalah persiapan menghadapi tugas tugas baru yang segera menyusul. Walau apa pun yang
sedang dilakukan oleh musuh-musuh anda, tuhan sendiri sedang mempersiapkan anda untuk peranan
yang dengan izin Allah, akan anda jayakan iaitu reformasi korektif terhadap sistem negara anda dan
rantau sekitarnya. Sesungguhnya memang andalah orangnya yang layak dan mampu untuk peranan
tersebut.

Ketika buku anda  Kebangkitan Asia itu terbit, ramai dikalangan pendukung anda (termasuk saya)
yang berasa khuatir dan cemas terhadap diri anda. Ini kerana selama ini dunia Islam belum pernah
mempunyai pemimpin-tokoh islah dan pemikir berwawasan luas yang yang sekaligus mampu beraksi di
pentas politil kontemporer. Tetapi buku anda itu telah menyerlah sebahagian daripada ciri-ciri
keperibadian anda serta potensi dan kualiti kepimpinan anda. Justeru, saya menjadi bimbang, sesuatu
akan terjadi kepada diri anda. Rasa bimbang itu terus bertambah, lebih-lebih lagi kerana pemikiran dan
kandungan buku itu memperlihatkan kekuatan sahsiah penulisnya. Rata-rata orang percaya bahawa
buku itu mengekspresikan pemikiran yang asli, bahawa penulisnya tidak mengupah seseorang menulis
untuknya. Tetapi ia sendiri memang berkemampuan mengekpresikan pemikirannya, falsafahnya,
wawasannya dan agendanya.

Sesungguhnya, Barat sangat mengagumi (S-n-gh-u-r) seorang tokoh Senegal yang pernah memimpin
negara tersebut selama satu jangka masa yang panjang. Meskipun 93% rakyatnya beragama Islam,
tetapi tokoh yang beragama Kristian itulah yang dipilih untuk memimpin Senaegal. Para pengamat dan
penganalisis berpendapat bahawa kearifan dan keintelektualnyalah faktor utama yang menjadikan
kepimpinannya itu sebagai suatu kekuatan  pemersatu Senegal dan tonggak kemerdekaannya. Dalam
kaitan ini ramai yang melihat dan menilai anda- menerusi pemikiran sebuah negara berbilang budaya,
agama dan bahasa di rantau yang juga serba majmuk- bahawa anda akan memainkan peranan seperti
S-n-gh-u-r, malah jauh lebih besar lagi.

Ada pula setengah kalangan lain yang membandingkan anda dengan Nelson Mandela. Bagi saya
memang beliau seorang tokoh yang dihormati ramai. Tidak ada salahnya jika orang membandingkannya
dengan anda. Bagaimanapun perlu dicatat bahawa Nelson Mandela memperjuangkan satu nilai asasi
iaitu persamaan di antara golongan berkulit putih dan golongan berkulit hitam di Afrika Selatan. Nilai
(persamaan) yang diperjuangkan oleh Mandela itu memang menempati posisi yang tinggi dalam urutan
nila-nilai. Tetapi perjuangan anda jelas lebih besar dari itu. Anda memperjuangkan sejumlah nilai-nilai
yang diliputi oleh istilah islah. Nilai-nilai yang anda perjuangkan dengan mempertaruhkan seluruh jiwa
raga itu sebenarnya tidak lain adalah nilai-nilai yang diperjuangkan oleh para Nabi dan pejuang-pejuang
islah umumnya. Justeru, anda tentunya tidak mahu menumpu hanya pada sesuatu nilai tertentu sahaja,
tanpa yang lain-lain. Sebaliknya anda menyerahkan hidup anda demi perjuangan mendaulatkan
nilai-nilai yang diwariskan oleh para anbiya' dan pejuang-pejuang islah, iaitu seperangkat (satu set) nilai
yang terliput dalam firman Allah, " ....aku hanya bertujuan untuk melakukan islah (pembaikan )
sedaya upayaku..." -Hud:88. Yang anda mahu adalah islah, dengan nilai persamaan sebagai salah
satu komponen nilai yang membentuknya. Dalam konteks inilah anda akan mengungguli mereka yang
berjuang hanya untuk mendaulatkan sesuatu nilai tertentu sahaja.

Saudara yang tercinta,
Peranan anda dalam konteks negara anda sendiri ditentukan berdasarkan masalah-masalah besar yang
dihadapinya, iaitu kebobrokan sistem politiknya. Kperluan mereformasikannya serta agenda
bertindaknya telah anda jelaskan sendiri dalam ucapan -ucapan dan pidato-pidato anda. Selain itu
sebenarnya anda punya peranan yang lebih luas dari daerah geografis negara anda. Peranan anda
adalah meliputi seluruh wilayah serantau yang memang sangat memerlukan suatu gelombang besar
reformasi-islahi sebagaimana yang anda sebutkan sendiri dalam pelbagai petemuan, khususnya dalam
persidangan-persidangan di mana anda telah berjaya menghimpunkan buat kali pertama ratusan pemikir
serantau dari pelbagai agama dan budaya untuk mencari unsur-unsur positif yang dapat dikongsi demi
kesejahteraan bersama kini dan nanti. Unsur-unsur positif yang dimiliki bersama di kalangan pelbagai
agama dan budaya negara-negara Asia Tenggara itu dapat menyumbang ke arah penciptaan rantau
makmur dan sejahtera demi kepentingan rantau ini sendiri, malah dunia seluruhnya. Di waktu yang sama
anda juga punya peranan lain yang memang dapat dibaca oleh siapa sahaja yang mengikuti gerak
langkah anda dan usaha-usaha gigih anda menyerlahkan unsur-unsur positif tamadun  serantau dan
mengimbau perhatian umum kepada isu-isu tersebut terutama sepanjang tempoh anda memimpin
UNESCO dan institusi -institusi antarabangsa lainnya yang memberikan perhatian istimewa kepada
isu-isu seperti itu. Dengan demikian anda telah memperlihatkan keluasan wawasan anda yang meliputi
pemikiran-pemikiran berskala global. Sekaligus anda juga telah menyerlahkan kefahaman anda yang
cukup mendalam, yang lahir dari dari kefahaman anda terhadap ciri kesejagatan Islam, agama yang
memang anda fahami dan hayati dengan penuh iltizam. Seperti yang kita sedia maklumi bahawa
kesejagatan Islami ini tidak bertolak dari suatu kuasa yang terpusat dari diri sendiri lalu mengembang
merentasi batasan-batasan bangsa, negara, budaya atau agama. Sebaliknya ia adalah kesejagatan yang
bertitik tolak dari hakikat Tuhan Yang Esa dan bapa yang sama sebagaimana yang dipesan oleh
Rasulullah s.a.w. dalam haji perpisahannya bahawa semua manusia seluruhnya berasal dari Adam, dan
Adam pula dari tanah. Semua manusia bersaudara, sama setaraf bak gigi sikat, tidak ada lebihnya
orang Arab dari 'Ajam (bukan Arab), juga yang putih dari yang hitam kecuali kerana taqwa. Sementara
taqwa adalah prestasi usaha manusia yang dibina  di atas nilai-nilai unggul agama samawi. Bumi ini pula
adalah rumah yang dikongsi bersama oleh semua manusia yang merupakan sebuah keluarga besar.
Kesejagatan yang betitik-tolak dari nilai-nilai inilah- sebagaimana yang sama-sama kita fahami- satu
satunya jalan keluar dari lingkaran dominasi pusat-pusat kuasa yang memecahbelahkan manusia,
mengadu domba dan menyeret mereka ke kancah silang sengketa dan peperangan. Mereka jugalah
yang membelah-belah dunia ini kepada Dunia Pertama, Dunia Kedua dan Dunia Ketiga;
Negara-negara Utara dan Negara-negara Selatan dan demikianlah seterusnya.

Bilangan orang-orang yang punya pengalaman dan wawasan seperti anda memang amat sedikit. Walhal
orang-orang seperti itulah yang sangat diperlukan untuk melindungi ini dari kerosakan,
menyelamatkannya dari kesesatan dan membawanya keluar menuju alam nilai-nilai yang dapat
menyatukan manusia menjadi keluarga besar yang sejahtera, hidup rukun di dunia yang merupakan
merupakan rumah bersama yang diciptakan oleh Allah s.w.t. untuk mereka melaksanakan misi
kekhalifahan dibumiNya dengan memelihara nilai-nilai yang diamanahkanNya-nilai-nilai tawhid,
kesucian dan ketamadunan atsa kesedaran bahawa segala yang terjadi adalah hasil interaksi di antara
Tuhan, manusia dan alam.

Sesungguhnya saya amat merindui anda, rindu untuk menemui anda dan keluarga di rumah anda. Saya
juga amat merindui Malaysia. Tetapi saya telah bertekad untuk tidak mengunjunginya sebelum Tuhan
membebaskannya dari bencana dengan pengembalian anda ke tampuk kepimpinannya. Ya Tuhan!
Andainya rakyat Malaysia seluruhnya sedar apa kehilangan mereka dan apa kerugian mereka sejak 2
September 1998 hingga sekarang, pasti tidak seorang pun di antara mereka yang dapat menikmati
makan minum, tidur lena atau merasa lapang sebelum kembalinya hak ke tempatnya dan kembalinya
putera terbaik Malaysia ke tampuk kepimpinannya.

Saya berdoa agar Tuhan Yang Maha Berkuasa melindungi anda dari angkara manusia, memlihara anda
sebagaimana Ia memelihara hamba-hambanya yang salih, melepaskan kita semua dari bencana dengan
kurnia keselamatan, pembebasan, kemenangan dan kepulangan anda kepangkuan keluarga kecil
anda-isteri dan anak-anak, keluarga besar anda warga Malaysia serta para aktivis islah penentang
kebejatan seluruhnya.

Selamat tinggal, semoga Allah sentiasa bersama anda, wassalam.

Saudaramu,
(tandatangan)
Taha Jabir al-'Ilwaniy.