Pe(r)juang(an) Bahasa Malaysia

__________________________________________________

 

         

[View English version >>> HERE]

       

Uthaya Sankar SB merupakan nama yang tidak asing dalam dunia sastera Malaysia. Pengarang berketurunan Malayalam ini juga pernah menggunakan nama-nama pena Shafie Uzein Gharib, Hanuman O dan Leonard Loar. Beliau lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak Darul Ridzuan. Negeri kelahirannya sering menjadi latar dalam karyanya.

 

Beliau mendapat pendidikan formal di Sekolah Rendah Kebangsaan Aulong, Sekolah Menengah Darul Ridwan, Sekolah Menengah King Edward VII, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

        

Berpengalaman luas sebagai pensyarah kursus Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pengajian Malaysia di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM), HELP Institute, Institut Teknologi Kreatif Limkokwing (LICT), The One Academy, Yamaha Academy of Arts & Music, Kolej Prime USJ, Kolej Antarabangsa MSC, Kolej Antarabangsa Summit, Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej Antarabangsa SIT dan Kolej Optima; penyunting berita televisyen (Bahasa Malaysia), penyampai berita TV (Bahasa Malaysia),  pengulas segmen Akhbar Hari Ini dan Urus Setia Bilik Operasi Unit Bencana RTM di Radio Televisyen Malaysia (RTM); serta penyunting berita di Bernama Radio24.

   

Minat untuk menulis cerpen timbul lantaran rasa mual sewaktu beliau membaca karya-karya klise yang termuat dalam antologi cerpen remaja yang terbit sebelum 1988. Baginya, penulis perlu menghormati minda dan intelektualiti pembaca.

       

Uthaya Sankar SB yakin bahawa hanya orang yang tahu menggunakan otak akan membaca karyanya. Jadi, beliau mahu menghormati minda dan intelektualiti mereka. Itulah sebabnya beliau tidak gemar menulis cerpen yang terlalu konvensional.

      

Karya Uthaya Sankar SB pernah memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992, 1993 & 1996), Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1993), Hadiah Cerpen Esso-Gapena (1996), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97 & 1998/99) serta Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (2003).

        

Penerima Anugerah Duta Keamanan (Ambassador for Peace) daripada Universal Peace Federation pada 24 Ogos 2008 atas sumbangan terhadap keamanan, persefahaman dan perpaduan melalui penulisan.

 

Kumpulan cerpen persendirian Uthaya Sankar SB berjudul Orang Dimensi (DBP: 1994), Siru Kambam (DBP: 1996 & 1997), Yang Aneh-aneh (Sasbadi: 1997), Surat dari Madras (DBP: 1999), Nayagi (JPMUM: 2000), Sasterawan Pulau Cinta (USSB: 2001), Rudra Avatara (USSB: 2008) dan Kathakali (USSB: 2009).

 

Beliau juga menghasilkan novel retorik parodi Hanuman: Potret Diri (DBP: 1996), novel Panchayat (USSB: 2002), Koleksi Cerita Ikan (Maselga: 1997), Cerita Rakyat Asia Co-mel (Percetakan Nasional: 1997)  serta kumpulan cerita rakyat India bertajuk Nari Nari (DBP: 1995 & 2000) dan Munis dengan Harimau (Fajar Bakti: 1996).

 

Beliau turut menyelenggarakan Vanakam (USSB: 2002) iaitu antologi sulung cerpen Bahasa Malaysia penulis kaum India Malaysia.

     

Hasil karya Bahasa Malaysia pengarang ini pernah disiarkan - antara lain - dalam majalah Nila, Dakwah, Karya, Dewan Pelajar, e-baca, Dewan Siswa, e@siswa, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Siasah, Sarina, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Kosmik, Dewan Agama dan Falsafah, Minda dan Dewan Sastera serta akhbar Mingguan Malaysia, Metro Ahad dan Mingguan Watan; manakala tulisan Bahasa Inggeris pula di akhbar New Straits Times. Karyanya (cerpen dan drama) turut diterjemah untuk disiarkan dalam media cetak dan media elektronik Bahasa Tamil serta media cetak Bahasa Mandarin.

     

Uthaya Sankar SB adalah pengasas dan Presiden Kavyan sejak Ogos 1999. Beliau turut menangani surat berita Kavya yang diterbitkan secara maya mulai Julai 2002.

       

Maklumat lanjut di SINI. Pemikiran Uthaya Sankar SB boleh dibaca melalui blognya DI SINI.

 

__________________________________________________

 

Bahasa Menunjukkan Bangsa; Bahasa Jiwa Bangsa

Uthaya Sankar SB – Kumpulan Sasterawan Kavyan

27 Jalan 25/82-B, Taman Sri Muda, 40400 Shah Alam

www.kavyan.cjb.netwww.ekavyan.cjb.net

012-3368142info@kavyan.cjb.net