Sebenarnya
tidak ada etika yang jitu dalam bidang penulisan cerpen di Malaysia. Tidak ada
syarat atau undang-undang bagi menentukan siapakah penulis dan siapa bukan
penulis. Kecuali ada pendapat yang mengatakan “anda adalah penulis apabila
anda menulis dan jika anda tidak kerap menulis, jangan berpura-pura menggelar
diri anda penulis” (Kenneth Atchity, A
Writer’s Time, 1986).
Suka
diingatkan bahawa “etika” yang dimaksudkan di sini adalah “nilai, moral
serta norma yang mengawal tindak-tanduk seseorang”. Dari aspek penulisan
cerpen, belum ada peraturan langsung yang dijadikan pegangan pengarang. Jadi,
sebenarnya, apa yang disebutkan sebagai “Etika Penulisan Cerpen” tidak –
atau setidak-tidaknya belum – wujud di Malaysia.
Akan
tetapi, ini tidak bermaksud bahawa golongan penulis bebas melakukan apa sahaja.
Penulis sebenarnya adalah sebahagian daripada masyarakat @ khalayak. Jadi,
apabila masyarakat dikawal serta dibendung oleh sekian banyak nilai,
norma,
moral serta etika, tentu sahaja golongan penulis turut dikawal serta dibendung
oleh nilai, norma, moral dan etika yang sama. Pada masa yang sama, ada pula
‘kawalan-kawalan’ lain yang kurang dihadapi oleh masyarakat biasa.
Antara
‘kawalan’ yang dikongsi bersama oleh golongan penulis bersama masyarakat
amnya adalah norma dan nilai masyarakat, undang-undang dan peraturan negara,
moral diri serta ikatan budaya dan agama.
Pada
masa yang sama, sebagai golongan istimewa, penulis juga dikawal secara tidak
rasmi oleh syarat pertandingan, nasihat penulis lain, ideologi @ fahaman,
jatidiri, pendidikan, penerbit dan syarat hakcipta (sekadar beberapa contoh awal).
Jadi,
walaupun tidak terdapat etika yang secara langsung mengawal aktiviti penulisan
seseorang penulis, individu itu tetap tertakluk kepada etika-etika lain. Berikut
huraian ringkas tentang hal-hal yang secara tidak langsung boleh dianggap
“Etika Penulisan Cerpen”:
1)
Norma dan Nilai
Masyarakat
‘Nilai’
(values) merujuk kepada harapan masyarakat terhadap tingkah-laku dan cara
hidup seseorang anggota masyarakat. Tetapi jika seseorang melanggar ‘nilai’,
dia tidak boleh dikenakan hukuman.
Misalnya
apabila penulis menghasilkan karya di mana watak Melayu digambarkan sebagai
mengamalkan budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam, masyarakat tidak boleh
menyaman penulis sewenang-wenangnya. Sebaliknya masyarakat boleh memulaukan
penulis itu sehingga penulis itu sedar akan kesilapannya lalu memastikan
penulisannya di masa hadapan mengambil kira sensitiviti masyarakat.
‘Norma’
(norms) pula adalah peraturan kecil dalam masyarakat. Jika penulis
melanggar norma, dia boleh dikenakan hukuman. Misal kata penulis semacam
menyarankan bahawa kahwin mutaah adalah sunat, maka ahli masyarakat boleh
mengambil tindakan undang-undang ke atasnya. Di peringkat rendah, penduduk
sekampung mungkin boleh menghadapkan penulis itu ke mahkamah penghulu. Atau
pembaca boleh meminta penulis membuat kenyataan rasmi meminta maaf atas apa yang
telah ditulisnya.
2)
Syarat Pertandingan
Sekarang
ini memang banyak pertandingan menulis cerpen dianjurkan oleh pelbagai pihak.
Setiap satu daripadanya disertakan syarat-syarat tertentu. Misalnya “cerpen
mestilah berlatarbelakangkan masyarakat berbilang kaum di Malaysia dalam
menghadapi era pembangunan” (Hadiah
Cerpen Maybank-DBP 1996) atau “hadiah ini adalah untuk cerpen-cerpen yang
ditulis dalam Bahasa Malaysia” (Hadiah
Cerpen Esso-GAPENA X).
Jadi,
apabila penulis mahu menyertai pertandingan – sama ada dengan mengirim cerpen
yang sedia ada atau mahu menulis cerpen baru – dia perlu akur pada segala
peraturan. Di sini, segala peraturan itu menentukan ‘etika’ penulis
berkenaan. Jika dia melanggar ‘etika’ pertandingan (melanggar syarat
pertandingan), cerpennya tidak layak dipertandingkan.
3)
Penulis-penulis Lain
Penulis
sering dikatakan hidup dalam kelompok tersendiri. Penulisan kreatif tidak diajar
secara rasmi di sekolah. Jadi, penulis lebih banyak belajar sendiri daripada
penulis-penulis lain. Ini tidak bermakna penulis menyertai kelas panduan menulis
kelolaan penulis lain!
Sebaliknya
penulis muda ‘belajar’ melalui karya-karya yang dihasilkan oleh penulis
mapan. Atau dia mungkin membaca buku proses kreativiti penulis lain. Begitu juga
jika penulis muda itu berpeluang bersemuka dengan penulis lain. Tentu banyak
panduan dan ilmu yang dapat dikongsi bersama.
Misalnya,
apabila saya memberi ceramah penulisan kreatif di mana-mana, saya akan nyatakan
secara ringkas cerpen macam mana yang layak terbit di media mana. Misalnya saya
katakan “Cerpen absurd sesuai bagi Dewan
Sastera tetapi tidak sesuai bagi Dakwah.”
Jadi, penulis lain (yang belum tahu) akan menjadikan itu sebagai ‘etika
penulisan’ – bahawa cerpen absurd kurang sesuai bagi majalah Dakwah.
4)
Undang-undang
dan Akta
Undang-undang meliputi semua. Jadi, penulis tidak terkecuali daripada
dikenakan tindakan undang-undang sekiranya dia melakukan sesuatu yang melanggar
undang-undang.
Katakanlah penulis mengutuk secara langsung seorang individu melalui
karyanya. Jika individu itu dapat membuktikan bahawa individu yang dikutuk itu
adalah dirinya, dia boleh mengambil tindakan undang-undang sivil ke atas penulis
berkenaan.
Begitu juga dari aspek akta, misalnya Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan
Akta Fitnah. Walaupun penulis bebas bersuara, dia tetap tertakluk di bawah
Perlembagaan.
5)
Keluarga
Keluarga juga mampu menentukan ‘etika penulisan’ seseorang penulis.
Ini termasuklah asuhan ibu bapa dan kasih-sayang dalam keluarga. Seorang penulis
dari keluarga yang beretika tentu tidak tergerak hatinya untuk menghasilkan
karya picisan yang boleh meracuni fikiran pembaca. Dia tahu bahawa jika dia
menghasilkan sebuah karya porno dengan nama samaran sekalipun, karya itu nanti
mungkin akan dibaca oleh adik-beradik serta anak-anaknya di masa depan.
Atau mungkin ada pula ibu bapa yang melarang anak mereka daripada menulis
cerpen remaja dengan alasan anak itu sudah dewasa. Jadi, secara tidak langsung,
anak @ penulis itu akan membina ‘peraturan’ dalam diri bahawa dia tidak
boleh menghasilkan karya remaja.
6)
Kesedaran
Penulis
Perkara ini mungkin berkait rapat dengan “Keluarga”. Selain asuhan
keluarga, penulis sendiri mungkin sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang
penulis. Dia sedar bahawa habuan wang bukan perkara utama dalam penulisan cerpen
(memang pun honorarium tidak seberapa!). Sebaliknya apa yang penting adalah
sumbangannya kepada khazanah sastera negara serta tanggungjawab sosialnya
terhadap masyarakat.
Bentuk kesedaran lain mungkin berupa menerima hakikat bahawa hanya karya
yang bermutu akan tersiar; jika dikirim ke media yang sesuai. Jadi, penulis yang
beretika dari segi ini akan tahu cerpen bagaimana harus dikirim ke media mana.
7)
Ideologi @
Fahaman
Ada penulis yang mahu menghasilkan karya realisme sahaja. Mereka jemu –
malah mual – menatap karya yang terlepas daripada ikatan konvensional. Ada
pula penulis yang berpendapat setiap cerpen perlu ada penyelesaian. Sebaliknya
ada penulis yang berpegang pada ideologi bahawa “penulis adalah penimbul
persoalan untuk renungan pembaca”, “penulis penggambar citra budaya”, “show,
don’t tell” dan “pembaca karya saya adalah golongan yang tahu
menggunakan otak”.
Begitu juga apabila penulis memilih untuk berpegang pada fahaman @ aliran
absurd, realisme-magis dan seumpamanya. Idealogi dan fahaman itu akan menjadi
etika yang mencorakkan penulisannya.
Pengalaman 20 penulis boleh dibaca dalam buku
Proses Penciptaan: Menulis Untuk Remaja (Othman Puteh, 1991) untuk memahami
perkara yang disebutkan di sini secara lebih mendalam.
8)
Pendidikan
Ini merupakan perkara umum dalam menentukan etika penulis. Orang yang
terdidik dianggap memiliki pemikiran yang terbuka dan luas. Penulis yang banyak
membaca mampu meluaskan pengetahuan serta ilmu bantu bagi memantapkan
penulisannya. Golongan yang berpendidikan tahu tentang hukum dan peraturan
menulis. Malangnya ada juga penulis yang belajar di sekolah Melayu sejak Tabika
hingga ke peringkat Ph.D, masih tidak tahu menggunakan bahasa dengan betul!
9)
Penerbit
Manuskrip yang dihasilkan oleh penulis perlu sampai ke tangan pembaca. Di
sinilah penerbit memainkan peranan. ‘Penerbit’ di sini saya rujukkan juga
kepada majalah dan akhbar selain buku.
Setiap penerbit memiliki citarasa sendiri dalam penerbitan. Penulis perlu
memahami citarasa mereka sebelum mengirim manuskrip. Pada masa yang sama, ada
pula penerbit yang meminta penulis menulis sekian-sekian buku dengan
sekian-sekian tema bagi bacaan sekian-sekian golongan. Panjang manuskrip,
sekian-sekian. Dalam keadaan seperti ini, penulis menurut ‘etika’ yang
ditentukan oleh penerbit.
Surat Perjanjian/Lesen Penerbitan DBP misalnya antara lain menyebut
begini:
“Pengarang dengan ini memberi jaminan kepada
Penerbit bahawa Karya ini dalam bentuknya yang ada sekarang ialah sebuah karya
sastera yang berbentuk asal dan bahawa tiada orang lain selain daripada
Pengarang adalah pemilik hakcipta yang sebenar bagi Karya ini …”
Ada kalanya, penulis memang memahami citarasa penerbit. Maka jika dia
telah menghasilkan cerpen dengan tema yang sekian-sekian, dia tahu penerbit mana
yang paling mungkin akan menerbitkannya. Maka dia pun mengirim manuskrip itu
kepada penerbit berkenaan.
10)
Penaung
dan Penulis Upahan
Keadaan ini biasa kita perhatikan menjelang pilihanraya parti-parti
politik. ‘Penaung’ akan meminta ‘penulis upahan’ menghasilkan
sekian-sekian karya untuk sama ada mengangkat-angkat ‘penaung’ atau
menjatuh-jatuhkan lawan ‘penaung’; atau kedua-duanya sekali.
Dalam mana-mana keadaan, penulis hanya menjadi tukang tulis bagi ‘penaung’.
Namun, tidak boleh pula dikatakan bahawa penulis itu tidak beretika kerana
mungkin pegangan @ ideologi penulis itu adalah “yang penting bukan mutu atau
keikhlasan; tetapi kepuasan dan wang”.
11)
Pegangan
Agama
Pertama sekali, penulis yang beragama akan sedar bahawa semua agama
adalah sama. Semuanya mengajar umat manusia berbuat baik. Apabila seorang
penulis mempunyai pegangan agama – bukan setakat ‘berpengetahuan agama’
atau ‘beragama’ – maka dia akan secara automatik memiliki etika tulen
dalam penulisan karya sastera.
Agama adalah ‘cara hidup’. Jika golongan penulis menghayati sepenuhnya
ajaran agama – tanpa perlu menjadi ulamak – dengan fikiran yang waras –
bukan secara yang fanatik – maka tidak perlu ada apa-apa Etika Penulisan
secara bertulis untuk dikuatkuasakan.
Jadi,
walaupun sudah disebutkan sedari awal bahawa tidak ada etika khusus bagi penulis,
namun perlu diakui bahawa keadaan ini tidak bermakna penulis tidak beretika!
Telah juga dijelaskan bahawa sebagai sebahagian daripada masyarakat,
penulis turut tertakluk di bawah sekian banyak undang-undang, peraturan, norma
dan nilai dalam masyarakat. Semua itulah yang secara tidak langsung dijadikan
Etika Penulisan Cerpen.
Pun begitu, penulis tidak terikat kepada syarat-syarat yang dikemukakan.
Misalnya, jika dia tidak menulis cerpen untuk masuk pertandingan, dia tidak
perlu memikirkan soal syarat pertandingan. Pada masa yang sama, tidak salah jika
dia menjadikan syarat umum pertandingan sebagai panduan dalan menghasilkan karya;
walaupun karya itu tidak akan dipertandingkan.
Penulis sebagai golongan istimewa mempunyai kebebasan untuk bersuara melalui teks yang dihasilkannya. Tetapi penulis tulen akan akur kepada hakikat tanggungjawab sosial yang dipikulnya. Apatah lagi apabila dia sedar bahawa bakat penulisan yang ada pada dirinya adalah anugerah Tuhan sebagai tanda cinta-Nya.
Soalnya sekarang, adakah saudara seorang penulis yang beretika? Fikir-fikirkanlah dan renung-renungkanlah.
Teks ini ditulis berdasarkan pendapat dan pengalaman Uthaya Sankar SB untuk manfaat Penulis Angkatan Baru