Kathakali
Apabila bercakap tentang tarian klasik India, kita ketara memberikan contoh bharatanatyam. Ini mungkin kerana majoriti kaum India di negara kita adalah berketurunan Tamil. Bharatanatyam merupakan tarian klasik yang bemula pada abad ke-2 di Tamil Nadu, India.
Selain daripada bharatanatyam, terdapat juga tarian odissi yang berasal dari Orrisa di bahagian timur India pada abad ke-6 atau ke-7. Satu lagi bentuk tarian klasik yang cukup menarik adalah kathakali, iaitu suatu bentuk dramatari yang mula ditarikan di Kerala oleh orang Malayalam mulai abad ke-17.
Kathakali bermakna “drama cerita” dalam bahasa Malayalam. Ia dipercayai diasaskan oleh Maharaja Veerakeralavarman. Pada asalnya kathakali dipersembahkan pada hari-hari perayaan suci. Akan tetapi mengikut peredaran masa, ia menjadi teater rakyat.
Penari kathakali terdiri daripada golongan lelaki sahaja. Ini adalah kerana dramatari kathakali melibatkan teknik tarian dan latihan yang berat. Latihan yang diberikan meliputi latihan fizikal, urut, latihan mata, tangan dan muka.
Para penari terdiri daripada golongan profesional yang telah mula dilatih sejak berusia tujuh atau lapan tahun. Mereka ini menjadi penari sepenuh masa dan dibayar upah bagi setiap persembahan.
Persembahan kathakali menggunakan bahasa Sanskrit dan bahasa Malayalam dalam nyanyian dan dialog. Ia mengambil cerita-cerita daripada epik Ramayana, Mahabharata dan karya-karya purana.
Teknik tarian adalah mengikut mudra yang diterangkan dalam Natyasastra. Mudra merujuk kepada posisi-posisi asas tangan seperti yang biasa dilihat dalam tarian bharatanatyam. Natyasastra adalah sebuah manual lengkap yang ditulis oleh Bharata tentang seni klasik India; meliputi bidang muzik, tarian dan drama.
Posisi asas penari kathakali disebut mandalastanam. Posisi ini dibentuk oleh kedua-dua belah kaki penari yang dibuka dan dibengkokkan ke tepi; dengan torso (tubuh dan bahu ke punggung) yang tegak dan kedua-dua lengan diangkat ke paras bahu serta dibengkokkan pada siku supaya tangan terhulur ke arah dada. Tidak cukup dengan itu, ibu jari kaki penari sentiasa tertonjol ke atas tanpa menyentuh lantai.
Pergerakan tubuh penari adalah secara isolasi,
berkerat-kerat dan simetrikal. Isolasi di sini bermakna bahawa setiap bahagian
tubuh penari berupaya bergerak secara berasingan. Misalnya, sewaktu mata
digerakkan ke kiri kanan, kepala tidak bergerak.
Apa yang dimaksudkan dengan tubuh yang berkerat-kerat pula adalah bahawa penari berupaya membengkokkan tubuhnya pada setiap tempat tulang bersambung. Misalnya tangan dibengkok pada bahu, siku, pergelangan tangan dan jari-jemari.
Pergerakan tubuh adalah simetrikal kerana seimbang di sebelah kiri dan kanan. Misalnya, jika penari menghentak kaki kiri, maka kaki kanan juga akan dihentak. Setiap pergerakan yang dilakukan di sisi kiri akan turut dilakukan di sisi kanan sama ada secara serentak atau secara berselang-seli.
Dalam tarian bharatanatyam, penari berfungsi sebagai pencerita. Misalnya penari mungkin bercerita tentang kisah Rama dan Sita melalui tariannya. Sebaliknya dalam kathakali, penari bukan menjadi pencerita. Penari memegang satu-satu peranan/watak; misalnya Rama, Sita, Ravana, Hanuman, Krishna, Karna atau Arjuna.
Apabila vokalis (penyanyi) menyampaikan cerita melalui nyanyian, penari akan menginterpretasi peranan yang dipegangnya melalui pergerakan pantomimi (pantomime).
Cerita disampaikan dengan penuh ekspresi melalui penggunaan teknik pergerakan yang disebut abhinaya. Abhinaya atau nritrya merujuk kepada pergerakan pantomimi tubuh badan yang berfungsi menyampaikan cerita — atau disebut story-telling. Maka kathakali berciri danced-mime.
Cerita dalam kathakali disampaikan oleh penari dengan cara lakonan melalui pergerakan tangan (hastabhinaya), lakonan melalui pergerakan mata (netrabhinaya), lakonan melalui ekspresi muka (mukhabhinaya) dan lakonan melalui pergerakan seluruh tubuh badan (angikabhinaya).
Solekan bagi setiap watak selalunya diolah dengan gaya (stylized) mengikut watak dan perwatakan. Watak-watak baik seperti Rama, Krishna dan Arjuna berwajah hijau (pacca) atau merah (pazhappu) serta memakai cutti. Cutti adalah sekeping kadbod putih yang dipakai dari telinga ke dagu melalui pipi.
Watak-watak jahat seperti Ravana pula memiliki warna campuran hijau (pacca), merah (pazhappu) dan putih (vella). Sementara itu, watak-watak binatang mempunyai janggut (taadi) pelbagai warna mengikut watak dan perwatakan masing-masing. Watak Hanuman, si lotong dalam Ramayana misalnya, benjanggut putih.
Satu lagi aspek penting dalam solekan penari kathakali adalah pada mata mereka. Beberapa minit sebelum persembahan bermula, penari akan memasukkan sejenis bijian ke dalam mata. Rasa pedih yang dialami membuatkan mata mereka merah menyala. Mata yang merah ini, apabila beraksi menggunakan netrabhinaya, pasti memberi kesan dramatik kepada dramatari berkenaan.
Sebagaimana solekan muka, pakaian para penari juga dihias pelbagai warna bergemerlapan. Kain sepanjang 55 ela diikat menjadi skirt yang kembang. Walaupun berat, tetapi hayunan skirt sewaktu penari beraksi memberi kesan pergerakan lembut yang berterusan. Mahkota (kiritam) yang dipakai oleh penari adalah berbeza saiz dan bentuk mengikut watak yang dipegang.
Kathakali selalu dipersembahkan pada sebelah malam di tanah lapang di luar kuil dewa Visnu. Persembahan ini biasanya akan berlanjutan hingga subuh keesokannya. Biasanya persembahan diatur penuh teliti agar apakala matahari mula terbit pada keesokan hari, pada waktu itulah perang sampai ke kemuncak dan watak protagonis membunuh watak antagonis.
Sepanjang persembaban, satu-satunya sumber cahaya adalah dari sebiji lampu minyak gergasi yang diletakkan di tengah tanah lapang (pentas terbuka). Lampu ini merupakan jenis yang biasa terdapat di rumah-rumah masyarakat India berketurunan Malayalam. Nyalaan api yang terliuk-liuk — kadang-kadang terang, kadang-kadang malap — turut berperanan memberi mood dan kesan dramatik pada persembahan kathakali.
Terdapat tiga ciri utama dalam persembahan kathakali. Pertama adalah todoyam iaitu persembahan di belakang tirai. Ia biasanya ditarikan oleh para penari yang masih muda bagi “memanggil’ dewa-dewi datang menyaksikan persembahan yang bakal diadakan. Persembahan ini berciri nritta (pure dance) iaitu tarian tanpa cerita yang mementingkan teknik gerak tari yang sukar.
Bahagian kedua adalah purappadu yang juga berciri nritta. Vokalis akan menyanyikan lagu pengenalan bagi setiap watak yang akan datang menari di tengah tanah lapang (pentas). Bahagian pengenalan ini mampu memberi sedikit gambaran kepada penonton tentang apa yang akan dipersembahkan kemudian.
Bahagian tirainooku merupakan satu lagi ciri utama kathakali. Tirainooku bermakna “melihat dari sebalik tabir”. Setiap kali sesuatu watak baru muncul, penari berkenaan akan menari dahulu di belakang tirai dengan iringan muzik gendang. Bahagian ini selalunya penuh suspen dan dramatik. Lebih-lebih lagi apabila watak-watak agresif seperti Ravana semacam ‘mengamuk’ di belakang tirai berkenaan.
Biasanya para penonton sudah sedia mengetahui jalan cerita dramatari yang dipersembahkan. Tambahan pula cerita-cerita diambil daripada epik Hindu yang sudah sedia mashyur. Walau bagaimanapun persembahan yang penuh dramatik membuatkan orang ramai sanggup berjaga sepanjang malam untuk menyaksikan keseluruhan persembahan. Dan pada subuh keesokan harinya, bilamana watak baik mengalahkan watak jahat — dan matahari mula terbit di ufuk timur — para penonton bersorak menyambut kemenangan sebelum pulang dengan jiwa yang puas.
Malang sekali dramatari yang penuh dramatik ini kurang diberi perhatian di Malaysia. Hanya sesekali — pada hari-hari perayaan orang Malayalam — barulah kathakali dipersembabkan. Itu pun secara kecil-kecilan sahaja.
Kathakali tidak ditonjolkan kepada masyarakat umum secukupnya. Malah ramai individu dalam masyarakat India sendiri tidak tahu apa-apa tentang dramatari kathakali yang berasal dari Kerala. Dramatari yang dipersembahkan pada masa kini pula sudah banyak diubah suai dan dipermudahkan teknik taninya. Maka kesan dramatiknya sudah semakin berkurangan.
Amat menyedihkan apabila suatu bentuk seni persembahan kaum India semakin hilang begitu sahaja. Lebih menyedihkan apabila generasi muda rata-rata tidak menyedari tentang ‘kepupusan’ yang berlaku kerana mereka sejak awal-awal lagi tidak menyedari akan kewujudan seni persembahan ini.
[Baca cerpen "Kathakali" di >>> SINI]
Walaupun kathakali kurang dipersembabkan di Malaysia, mereka yang berminat untuk mendalami dramatani ini boleh membaca tentangnya dalam beberapa buku; atau menonton melalui kaset video yang boleh didapati di Temple of Fine Arts, Kuala Lumpur. Kathakali Melapadam pula adalah antara kaset audio yang memuatkan muzik dan lagu persembahan kathakali.
Antara buku yang wajar dibaca untuk menambah ilmu dan pengetahuan mengenai kathakali adalah Indian Theatre: Traditions of Performance (1990), The Art of Kathakali (1961), Kathakali (1955), Kathakali: An Introduction to the Dance-drama of Kerala (1970) dan Language of Kathakali: A Guide to Mudras (1948).
Dewan Siswa, Oktober 1995