Sastera Malaysia
Satu
Bahasa, Pelbagai Budaya
Forum
Penulis Pelbagai Kaum: Satu Pertemuan Kreatif pada 8 Januari 1994
mungkin merupakan satu titik permulaan ke arah mencari bentuk sastera kebangsaan
negara kita.
Forum
tersebut yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan
dipengerusikan oleh Prof. Madya Abdullah Tahir (Allahyarham) telah dihadiri oleh
sekitar 80 peserta pelbagai kaum. Penulis pelbagai kaum ini telah berpeluang
untuk saling mengenali sastera pelbagai bahasa yang terdapat di Malaysia.
Salah
seorang panel, Prof. Madya Dr Tang Eng Teik telah memperkatakan rentetan sejarah
sastera Mahua (Malaysian Tionghua) dari tahun 1919 hingga akhir tahun
1980-an.
Kolumnis
akhbar New Straits Times, Wong Phui Nam pula menjelaskan mengapa ada
penulis yang masih menulis dalam Bahasa Inggeris. Beliau berpendapat bahawa
penulis-penulis yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam berkarya tidak seharusnya
mengabaikan idea, matlamat dan budaya negara ini.
Pada
masa yang sama, menurut beliau lagi, untuk menjadi penulis yang berjaya, para
penulis Malaysia amat perlu mengkaji dan meneliti perkembangan sastera dan
sasterawan negara-negara lain. Di sinilah Bahasa Inggeris memainkan peranan yang
amat penting kerana bahasa itu merupakan bahasa antarabangsa.
Suasana
gamat sedikit apabila Dr Krishanan Maniam dari Jabatan Pengajian India,
Universiti Malaya mendedahkan bahawa karya Bahasa Tamil yang tersiar di akhbar
dan majalah tidak dibayar honorarium. Malah, untuk menerbitkan antologi/kumpulan
cerpen mahupun novel Bahasa Tamil, penulis terpaksa mengusahakannya sendiri;
termasuk urusan pemasaran.
Usaha-usaha
baru harus dilakukan bagi memastikan nasib penulis karya
Bahasa Tamil terpelihara, kata beliau. Perlu juga diadakan bengkel penulisan
atau seminar sastera bagi membantu meningkatkan mutu karya mereka. Jika tidak,
mutu dan hasil karya sastera Bahasa Tamil akan terkubur di masa hadapan.
Kajian
terperinci beliau terhadap hal ini dapat dibaca dalam Cerpen Tamil dan
Melayu (1957-1970): Perbandingan Tema dan Struktur (DBP: 1993).
Ketua
pengarang Kumpulan Utusan Melayu Berhad, Johan Jaafar pula membuat semacam
kesimpulan bahawa masih belum berlaku penyatuan antara karya-karya Bahasa
Malaysia, Tamil, Mahua dan Inggeris. Menurut beliau, perlu ada interaksi antara
penulis pelbagai kaum (yang menulis dalam pelbagai bahasa) agar dapat menyumbang
kepada perkembangan Sastera Malaysia.
“Pengelasan
seperti penulis kaum India untuk sastera Bahasa Tamil, penulis kaum Cina bagi
sastera Mahua dan penulis kaum Melayu untuk sastera Melayu akan menyebabkan
penulis menulis mengikut orientasi kaumnya sendiri serta sukar untuk menerima
bentuk penulisan kaum lain,” kata beliau.
Menurut
beliau lagi, perlu ada satu interaksi yang lebih erat dan terancang bagi mencari
jalan ke arah mewujudkan Sastera Malaysia yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Daripada
pemerhatian penulis, forum yang lebih berupa “pertemuan” ini tidak mencapai
sebarang kata sepakat sebagaimana yang telah penulis impikan sebelum
menyertainya.
Apa
yang agak aneh, sepanjang forum, panel dominan memperkatakan karya kaum
dan bahasa masing-masing. Panel sekadar “mencadangkan” agar penulis pelbagai
kaum menulis dalam Bahasa Malaysia. Para peminat sastera tanah air tentu maklum
bahawa Tan Bok Hooi, Saroja Theavy Balakrishnan, Lawrence Quek, Eh Pon dan
Prasert Eh Chai (sekadar menyebut beberapa nama) adalah penulis Bukan Melayu
yang mampu mengungkapkan budaya kaum/etnik masing-masing dalam sastera Bahasa
Malaysia.
Karya-karya
bermutu penulis Bukan Melayu yang memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP
terdapat dalam siri antologi Menara (DBP: 1988), Menara 2 (DBP:
1989), Menara 3 (DBP: 1990), Menara 4 (DBP: 1991) dan Menara 5 (DBP:
1993). Tanpa Mengira Warna (DBP: 1993) juga merupakan antologi cerpen
penulis Bukan Melayu.
Tempoh
forum yang relatif singkat juga telah tidak memungkinkan para peserta mengenali
sastera pelbagai bahasa yang diterangkan oleh panel. Tanpa “pengenalan asas”
itu, tentulah sukar untuk mencari satu titik pertemuan antara sastera Bahasa
Malaysia, Tamil, Mahua dan Inggeris. Apatah lagi untuk merumuskan satu bentuk
Sastera Kebangsaan!
Penulis
pelbagai kaum yang sudah sedia menulis dalam Bahasa Malaysia boleh dijadikan
agen atau tali penghubung antara sastera pelbagai kaum di negara kita.
Penulis-penulis ini harus terus mempertahankan identiti dan budaya masyarakat
dalam karya Bahasa Malaysia yang mereka hasilkan.
Selain
daripada membantu memperkayakan sastera Bahasa Malaysia, karya-karya seumpama
ini juga menyumbang ke arah membentuk persefahaman di kalangan masyarakat majmuk.
Cerpen
“Kandasami” (Menara 4) dan “Nayagi” (Menara 5), misalnya,
memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk meneliti secebis daripada
permasalahan dan budaya kaum India yang didedahkan oleh penulis
kaum India sendiri dalam Bahasa Malaysia yang sangat indah dan berkesan.
Penulis
pelbagai kaum juga harus berani menulis tentang kaum-kaum lain. Azizi Haji
Abdullah, misalnya, melalui novel Sinappapal
(DBP: 1993) mempunyai keunikan tersendiri (walaupun masih tepu dengan gaya
Melayu-Islam).
S.M.
Zakir, Anwar Ridhwan dan Uthaya Sankar SB (sekadar contoh) pula menyelongkar
khazanah sastera epik India, lalu memberi interpretasi baru mengikut
perkembangan semasa.
Surat Berita - Kavya - Newsletter Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia! |
Usaha
Biro Antarabangsa PENA mewujudkan interaksi antara penulis pelbagai kaum/bahasa
seharusnya dipuji. Harapan penulis adalah agar pertemuan-pertemuan susulan terus
diadakan dari semasa ke semasa.
Badan-badan
berwibawa seperti Kelab Sastera DBP, Kelab Sastera Bandingan, GAPENA dan
Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) pula disaran menganjurkan pertemuan
antara penulis pelbagai kaum yang dikenal pasti berupaya mengungkapkan budaya
pelbagai kaum dalam sastera Bahasa Malaysia.
Dalam
pertemuan berbentuk diskusi itu nanti, perbincangan bukan lagi tentang titik
persamaan antara karya kreatif Bahasa Malaysia, Tamil, Mahua dan Inggeris.
Sebaliknya perbincangan harus lebih serius terhadap isu sastera pelbagai kaum
yang dihasilkan dalam Bahasa Malaysia tanpa kehilangan identiti budaya
masing-masing penulis pelbagai kaum/etnik.
Uthaya
Sankar SB
Utusan Malaysia, 12 Februari 1994