Sinopsis 14 Cerpen Bahasa Malaysia Penulis Kaum India Malaysia
Pengenalan
Maklumat yang dipaparkan di halaman ini adalah petikan Bab Tiga tesis bertajuk "Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia" (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998) oleh Uthaya Sankar SB.
Dalam Bab Tiga, pengkaji mengemukakan sinopsis 14 buah cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh penulis kaum India di Malaysia antara tahun 1988 sehingga 1997.
Walaupun pada mulanya pengkaji telah meneliti lebih seratus buah cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh penulis kaum India, akhirnya hanya 14 cerpen ini didapati sesuai dipilih untuk kajian. Proses pemilihan cerpen-cerpen ini telah dilakukan dengan penuh teliti oleh pengkaji setelah mengambil kira segala aspek dan syarat yang sudahpun dihuraikan dalam bahagian Skop Kajian di Bab Satu.
Selepas mengemukakan sinopsis cerpen, pengkaji meneliti pula imej wanita kaum India yang dipaparkan dalam cerpen-cerpen tersebut. Bagaimanapun, analisis imej berkenaan tidak disertakan di laman ini.
(2)
Post-mortem[1]
Watak
‘Aku’ – seorang pemuda yang tidak disebutkan namanya – ialah seorang
mahasiswa Dental Technician di salah sebuah universiti di Australia. ‘Aku’
pulang ke Malaysia semasa cuti pengajian. Semasa memandu di Kamunting (Perak),
‘Aku’ terlanggar seorang wanita tua.
Wanita
itu ialah emak kepada Periasammi iaitu lelaki yang sudah dijatuhkan hukuman atas
kesalahan mendera sehingga membawa kepada kematian Sinnapayya @ Boy. Wanita itu
memberitahu ‘Aku’ bahawa dia percaya anaknya tidak bersalah; Periasammi
sebenarnya dianaiya teman wanitanya yang bernama Suppamah.
‘Aku’
telah mula meneliti segala laporan akhbar berhubung kes penderaan Sinnapayya dan
perbicaraan mahkamah. ‘Aku’ mula yakin bahawa Periasammi tidak membunuh
Sinnapayya.
Untuk
mencari bukti, ‘Aku’ menemui seorang teman sekolah bernama Teow Tick Kiong.
Rakan itu menceritakan apa yang berlaku dalam kes penderaan Sinnapayya. Kemudian
‘Aku’ mengadakan dua pertemuan dengan Periasammi di penjara. Banduan yang
sedang menunggu hukuman gantung itu berkali-kali mengatakan bahawa dia tidak
bersalah.
‘Aku’
turut menemui Suppamah, seorang pelacur yang pernah bersekedudukan dengan
Periasammi. Wanita itu enggan bercakap dengan ‘Aku’ tentang kes penderaan
Sinnapayya. ‘Aku’ dapat merasakan bahawa Suppamah sedang dalam ketakutan dan
sedang cuba melindungi sesuatu atau seseorang.
Selepas
itu – dalam jangka masa beberapa hari – ‘Aku’ mengadakan pertemuan
dengan Zulfikar Nader Ali iaitu peguambela Periasammi sepanjang perbicaraan kes
di mahkamah. Peguambela itu turut yakin bahawa Periasammi tidak bersalah; tetapi
tidak dapat dibuktikan.
Seterusnya,
‘Aku’ bertemu Inspektor Jijian untuk membicarakan apakah benar dakwaan
Periasammi bahawa dia kononnya dipukul dan dipaksa oleh pihak polis untuk
mengaku mendera Sinnapayya. Namun, inspektor itu tetap menegaskan bahawa dakwaan
itu tidak benar. Dia juga mengatakan bahawa Periasammi sengaja mencipta watak
‘Misai’ untuk melepaskan diri daripada tuduhan mendera Sinnapayya.
Sedikit
demi sedikit ‘Aku’ mula mengumpul pelbagai maklumat berhubung kes tersebut.
‘Aku’ mula melihat beberapa kelonggaran dalam perbicaraan kes. Misalnya,
‘Aku’ mendapati Mak Kiah, jiran Suppamah sebenarnya tidak pasti sejak
bilakah Sinnapayya berada di rumah Suppamah walhal dia menjadi antara saksi
utama semasa perbicaraan.
Akhirnya,
‘Aku’ menemui seorang lagi pelacur bernama Kanaga. Pelbagai maklumat berguna
diperolehi dalam pertemuan ini. Sinnapayya sebenarnya ialah anak Kanaga. Watak
‘Misai’ yang disebut-sebut oleh Periasammi rupa-rupanya ialah Alex, bapa
kandung Sinnapayya.
Alex
ialah bapa ayam yang mengugut Suppamah, Kanaga, Malathi, Nancy dan sejumlah
wanita lain untuk melacur diri. ‘Aku’ berjaya mengumpul segala maklumat yang
perlu untuk membuktikan bahawa Periasammi tidak bersalah. Malangnya, sebelum
sempat ‘Aku’ bertindak lebih lanjut, Alex muncul dan menembak Kanaga.
‘Aku’ pula dipukul hingga koma.
Cabaran Hidup[2]
Muniammah
seorang gadis berumur 23 tahun. Dia telah berhenti sekolah sejak berumur 16
tahun dan menoreh getah di Ladang Heng Keng untuk menampung kos belajar dua
adiknya, Rajen dan Madhu. Ibunya, Minachi telah membunuh diri semasa Muniammah
berumur 14 tahun.
Krishnan,
si bapa, seorang kaki botol dan kaki cemburu. Apabila dia mendapat tahu bahawa
Minachi sedang mengandungkan anak keempat, Krishnan menuduh kononnya anak yang
dikandung itu adalah hasil hubungan
sulit Minachi dengan seorang penyelia ladang tempatnya bekerja. Oleh kerana
tidak dapat menerima penghinaan seperti itu, Minachi membunuh diri dengan
mencurah minyak tanah ke seluruh badan dan membakar diri.
Selepas
itu, Krishnan semakin boros menghabiskan wang dengan berseronok bersama seorang
janda. Kejadian ini berlaku semasa umur Muniammah 18 tahun. Hasil hubungan
tersebut, janda berkenaan mengandung. Lalu Krishnan dan wanita simpanannya lari
meninggalkan Ladang Heng Keng.
Selepas
itu, Muniammah terpaksa bekerja keras untuk menyara hidup kedua-dua adiknya.
Oleh kerana gadis itu memiliki kecantikan, ramailah pemuda yang cuba memikat –
malah mengodanya.
Pada
bulan Februari 1987, penyelia ladang bernama Sarjit Singh cuba memperkosa
Muniammah. Dia diselamatkan oleh Hassan yang berumur 25 tahun. Lalu mereka
berdua jatuh cinta walaupun berlainan kaum dan agama.
Sementara
itu, Sarjit Singh yang gagal memiliki Muniammah mula menyebarkan fitnah kononnya
Muniammah dan Hassan sering melakukan pertemuan sulit di ladang getah. Usahanya
membuahkan hasil apabila para penduduk kaum India mula menghina Muniammah, Rajen
dan Madhu. Mereka juga menentang hubungan cinta antara Muniammah dan Hassan yang
berlainan kaum dan agama. Akhirnya Muniammah memutuskan hubungan cintanya dengan
Hassan.
Waktu
berlalu. Rajen berjaya memasuki politeknik dalam bidang perakaunan. Dia bercinta
dengan anak gadis Encik Daniel, pengurus Ladang Heng Keng. Ini menyebabkan
Muniammah, Rajen dan Madhu dihalau dari ladang tersebut.
Dalam
keadaan itu, hanya Hassan yang tampil untuk membantu. Dia membawa Muniammah dan
adik-adiknya untuk tinggal bersama keluarganya. Lama-kelamaan, cinta Muniammah
dan Hasan mula bercambah semula. Muniammah juga semakin berminat untuk
mempelajari agama Islam secara mendalam.
Cerpenis[3]
Sejak
di bangku sekolah, Vasanthi berminat menulis cerpen untuk dikirim ke pelbagai
akhbar Tamil. Kekasihnya, Prakash memberikan galakan. Malah dia memuji-muji
hasil karya Vasanthi.
Tetapi
galakan dan pujian itu hanya sementara mereka masih bercinta dan mula-mula
berkahwin. Beberapa bulan selepas berkahwin, sikap Prakash mula berubah. Dia
sudah tidak menggalakkan Vasanti meneruskan minatnya dalam bidang penulisan.
Katanya, kalau Vasanti asyik berkarya, siapa yang akan menjaga kebajikan dirinya
dan hal rumah tangga.
Namun
begitu, apabila Prakash menyedari bahawa Vasanti mengandung anak sulung, dia
mula berlembut. Dengan itu, sepanjang sembilan tahun mengandung, Vasanthi
berpeluang untuk berkarya seperti dahulu. Setelah melahirkan anak sulung,
Vasanthi terlalu sibuk sehingga tidak ada masa untuk berkarya.
Setahun
kemudian, Vasanthi bercadang hendak aktif semula. Seperti yang sudah diduga,
Prakash menghalang dengan keras. Maka berlakulah sedikit pertelingkahan mulut
antara pasangan suami-isteri itu. Vasanthi cuba menerangkan bahawa bidang
penulisan sudah sebati dengan jiwanya. Dia juga mahu membimbing pembaca –
wanita khususnya – melalui karya yang dihasilkan.
Sebaliknya
Prakash menyindir dengan mengatakan bahawa Vasanthi sebenarnya mahu mendapat
ramai peminat daripada kalangan pembaca lelaki. Dia ternyata cemburu.
Apabila
Vasanthi sekali lagi menyatakan keinginannya pada keesokan harinya, Prakash
memintanya agar jangan membazir masa. Katanya, biarlah bidang penulisan menjadi
kenangan masa silam. Prakash meminta Vasanthi menerima hakikat bahawa zaman
penulisannya sudah berakhir.
Selepas
suaminya ke pejabat, Vasanthi mula menangis. Pada waktu itu datang kakaknya,
Mallathi. Vasanthi menerangkan apa yang telah terjadi. Mereka lalu membincangkan
apa agaknya punca sebenar Prakash menghalang Vasanthi daripada meneruskan
minatnya dalam penulisan.
Mallathi
kemudian mencadangkan supaya Vasanthi terus menulis tanpa pengetahuan suami;
iaitu dengan menggunakan nama samaran. Saranan itu membuatkan Vasanthi semakin
runsing memikirkan segala kemungkinan yang mungkin terjadi.
Akhirnya
Vasanthi memutuskan bahawa dia tidak mahu menipu suaminya. Sebaliknya dia mahu
menjadi cerpenis dengan izin suami. Pada masa yang sama, dia mahu Prakash
memperakui dan menghormati keputusannya untuk kekal sebagai cerpenis. Untuk itu,
Vasanthi memutuskan untuk berbincang secara mendalam dengan suaminya.
Dalam Perut Jerung Raksasa[4]
Selvi,
30 tahun, sangat risau kerana adiknya, Saravanan yang berumur 15 tahun terlalu
asyik menonton filem Tamil di pawagam dan video. Pada suatu hari, apabila Selvi
mendapat tahu bahawa Saravanan sudah pergi ke pawagam, dia pun pergi ke situ.
Berjam-jam
lamanya Selvi menunggu di perhentian bas berhampiran pawagam tersebut tetapi
adiknya tidak kelihatan. Gadis itu mula risau. Pada waktu itu, datang seorang
wanita tua bersari putih. Wanita itu rupa-rupanya tahu di mana Saravanan berada.
Dia mula menceritakan kepada Selvi bahawa adiknya sudah jauh tersesat akibat
terpengaruh dengan filem Tamil yang ditontonnya saban hari.
Selvi
mengaku bahawa Saravanan memang gian menonton filem Tamil. Malah sejak kematian
bapanya, kelakuan remaja itu semakin teruk. Saravanan telah memaksa ibu mereka
membeli video dengan mengugut bahawa sekiranya permintaannya tidak dipenuhi, dia
tidak akan menduduki PMR pada tahun tersebut.
Selepas
lama berbual, wanita tua itu membawa Selvi ke suatu tempat yang aneh. Menurut si
wanita, Saravanan sudah sesat dalam dunia yang aneh itu. Untuk menyelamatkannya,
Selvi perlu sangguh menghadapi pelbagai rintangan – “menerejuni gaung,
merempuh belantara, menyelami dasar lautan dan beradu tenaga dengan singa betina
yang kelaparan”.
Demi
kasih-sayang dan keinginan untuk menyelamatkan adiknya, Selvi sanggup melakukan
apa sahaja; termasuk berkorban nyawa. Tiba-tiba Selvi mendapati dirinya berada
di dalam sebuah pawagam yang aneh. Dia mencari-cari kelibat adiknya.
Akhirnya
dia ternampak Saravanan yang seperti orang ketagihan ganja dan hanya mampu
memanggil Selvi dengan suara yang perlahan dan terketar-ketar. Selvi terus
memimpin Saravanan keluar dari dalam pawagam yang berupa seekor jerung raksasa.
Doa
Tahun Baru[5]
Kisah
ini berlaku pada hari sambutan Chithirai
Vishu (Tahun Baru Tamil) pada tahun 1964. Cerita disampaikan melalui sudut
penceritaan watak ‘Saya’ (Rama) yang berumur tujuh tahun yang tinggal
bersama ibu bapa (Amma dan Appa) dan saudara kembarnya, Ragu.
Kisah
bermula pada awal pagi bilamana ‘Saya’ bangun pagi dan menyedari hari itu
ialah sambutan Tahun Baru Tamil. Dalam suasana yang masih gelap, ‘Saya’
dapat menduga segala persiapan yang sedang dibuat oleh Amma. ‘Saya’ juga
terkenangkan kerja-kerja persiapan yang telah dilakukannya bersama Ragu pada
malam sebelumnya.
‘Saya’
lalu mengejutkan Ragu. Mereka pun mula berbual dengan gembira tentang sambutan
tahun baru. Mereka sedar bahawa tidak lama lagi, Amma akan datang mengejutkan
mereka. Sebagaimana tahun lalu, Amma akan meminta mereka menutup mata. Kemudian
Amma akan memimpin mereka berdua berjalan dalam keadaan mata masih tertutup
menuju ke bilik sembahyang. Apabila sampai di sana, mereka akan diarah membuka
mata dan melihat berhala dewa Muruhan sebagai objek pertama.
Menurut
Amma, pada pagi Tahun Baru, Ponggal (Pesta Menuai) dan Diwali,
orang Hindu digalakkan melihat sesuatu objek suci sebaik sahaja mereka membuka
mata pada awal pagi.
‘Saya’
mencadangkan kepada Ragu agar melihat wajah Amma sebagai objek pertama pada pagi
itu. Ragu terus bersetuju dengan cadangan itu. Mereka berdua terasa sangat
bangga dengan keputusan tersebut.
Tidak
lama kemudian, Amma datang dan memimpin mereka ke bilik sembahyang dalam keadaan
mata tertutup. Sewaktu berjalan, ‘Saya’ langsung tidak berasa takut kerana
dia pasti bahawa Amma tentu tidak akan membiarkannya terjatuh.
Sesampai
di bilik sembahyang, Amma menyuruh ‘Saya’ dan Ragu membuka mata. Mereka lalu
membuka mata dan melihat wajah Amma sebagai objek pertama pada pagi tahun baru.
‘Saya’ menganggap Amma sebagai objek yang paling indah dalam hidupnya.
Pasangan kembar itu terasa sangat gembira dan megah kerana telah berpeluang
melihat wajah Amma sebagai objek pertama.
Tidak
lama selepas itu, Amma memimpin Appa masuk ke bilik sembahyang dalam keadaan
mata tertutup juga. ‘Saya’ dan Ragu terkejut apabila Appa juga memandang
wajah Amma sebagai objek pertama pada pagi itu. Appa malah mengatakan bahawa
Amma ialah Lakshmi (Dewi Kemewahan dan Kebahagiaan) dalam keluarga mereka.
‘Saya’
dan Ragu terasa sangat kagum mendengar perbandingan itu. ‘Saya’ mengakui
bahawa Amma memang cantik seperti Dewi Lakshmi. Pada pendapatnya, Amma tidak
kurang hebat berbanding Dewi Lakshmi walaupun Amma tidak memiliki empat pasang
tangan seperti yang dimiliki dewi berkenaan.
Keluarga
itu seterusnya mandi dan memakai pakaian baru sempena sambutan Tahun Baru Tamil.
Kemudian mereka sekeluarga sembahyang. ‘Saya’ memohon kepada Tuhan agar pada
masa-masa akan datang, ‘Saya’ dapat memandang wajah Amma dan Appa sebagai
objek pertama pada pagi Diwali, Ponggal dan
Chithirai. ‘Saya’ yakin bahawa permintaannya akan dikabulkan
Tuhan.
Selepas
bersarapan. Mereka berempat pergi ke kuil. Sembahyang khas diadakan di sana.
‘Saya’ dan Ragu bertemu beberapa orang rakan sepermainan. Mereka berbual
tentang beberapa hal. Misalnya tentang pakaian baru yang mereka pakai, tentang
masyarakat majmuk di kampung mereka dan tentang doa tahun baru masing-masing.
Apabila
upacara sembahyang di kuil selesai, Amma, Appa, Ragu dan ‘Saya’ pulang ke
rumah. Tidak lama kemudian, para pekerja ladang tebu datang berkunjung. Amma
mula sibuk menghidangkan makanan dan minuman kepada para tetamu.
‘Saya’
sedar bahawa Amma paling sibuk pada hari-hari perayaan. ‘Saya’ terasa
kasihan dan mula berfikir betapa baik jika Amma mempunyai lapan tangan seperti
Dewi Lakshmi untuk memudahkannya membuat segala pekerjaan. Namun, ‘Saya’
tetap kagum dengan keupayaan Amma melaksanakan segala kerja seorang diri
walaupun hanya memiliki sepasang tangan. Tambahan pula, fikir ‘Saya’, tentu
sukar untuk menjahit baju berlengan lapan jika Amma memiliki empat pasang tangan!
Selepas
semua tetamu selesai makan, Appa meminta Amma membawa kaivisyesyam
(wang yang dilipat menggunakan sirih) untuk diberikan kepada para pekerja ladang
tebu sebagai hadiah tahun baru.
Tidak
lama selepas Amma masuk ke bilik sembahyang untuk mengambil kaivisyesyam,
kedengaran bunyi barang jatuh. Appa, Ragu, ‘Saya’ dan para tetamu
bergegas ke bilik sembahyang. Amma ditemui dalam keadaan tidak bermaya di atas
lantai. Amma dibawa ke bilik dan dibaringkan atas katil. Appa menangis
teresak-esak.
‘Saya’
dan Ragu diminta menunggu di luar bilik. Sesampai di bilik tamu, Ragu juga mula
menangis. ‘Saya’ pula segera berlari masuk ke bilik sembahyang. ‘Saya’
berdoa dan meminta Tuhan memastikan bahawa ‘Saya’ akan dapat memandang wajah
Amma sebagai sasaran pertama pada Diwali, Ponggal dan Chithirai
Vishu pada setiap tahun yang mendatang. ‘Saya’ benar-benar percaya
bahawa Tuhan akan menerima doa tahun baru kanak-kanak yang tidak nakal.
Dua
Alam[6]
Punitha
kononnya dirasuk hantu. Dia meracau-racau dan berkelakuan aneh. Keadaan ini
membimbangkan emaknya. Punita seringkali berkata bahawa dia mahu pergi; tetapi
entah ke mana. Apabila ditanya ke mana, katanya “Saya nak ikut dia. Dia
panggil saya. Saya mesti pergi!”
Si
emak sedaya upaya berusaha meredakan tingkahlaku aneh anak gadisnya. Namun
Punitha tetap berkeras hendak pergi.
Tiba-tiba
dalam khayalan Punitha, dia berada di dalam sebuah gua yang sangat gelap. Muncul
seorang lelaki yang berpakaian agak ganjil. Pakaiannya seperti pakaian zaman
purba. Punita terasa gerun melihatnya. Lelaki itu memegang tangan Punita dengan
kasar dan memimpinnya menuju ke sebuah dewan yang luas.
Punita
diberitahu bahawa dia perlu tinggal di tempat itu. tubuhnya dililit dengan tali.
Gadis itu gagal melepaskan diri. Bagaimanapun, Punita diberitahu bahawa segala
permintaannya akan dipenuhi – kecuali permintaan untuk dibebaskan. Lalu
Punitha meminta makanan.
Punita
berada kembali di alam nyata; di atas katil di bilik tidurnya. Dia kembali
terdiam. Tidak lama kemudian, dia meminta makanan. Apabila makanan dihidangkan,
Punitha makan dengan gelojoh. Tetapi segera pula dia meludahkan nasi itu. Dia
meminta daging ayam dan kambing.
Sejurus
selepas itu, Punita berada di alam lain sekali lagi. Di sekelilingnya terdapat
tengkorak manusia. Tiba-tiba muncul sekumpulan manusia purba yang bertanduk
seperti kerbau. Mereka membawa dulang berisi makanan: ayam, kambing dan ikan.
Punitha makan sehingga kenyang.
Kemudian
dia tertidur. Apabila dia bangun, dia berada semula di alam nyata. Seorang bomoh
India bernama Veerapandian telah datang untuk menghalau hantu yang kononnya
merasuk Punitha. Pelbagai jampi dibaca. Namun, Punitha dengan berani mengarahkan
bomoh itu supaya keluar dari rumahnya. Dua orang pembantu si bomoh cuba memegang
Punita. Tetapi gadis itu tiba-tiba sahaja memiliki kekuatan untuk mampu melawan
mereka.
Serta-merta
Punita mendapati dirinya sedang diheret oleh empat lelaki berperut buncit dan
bertanduk kerbau menuju ke ruang lain di dalam gua tadi. Dia dimasukkan ke dalam
kurungan. Tidak lama kemudian, lebih ramai lagi manusia purba menuju ke arah
tempat Punitha terkurung sambil menari-nari. Salah seorang daripada mereka
membawa sebilah parang yang agak panjang.
Si
bomoh terus berusaha menyelamatkan Punita daripada rasukan hantu. Bomoh itu
mengakui bahawa hantu yang merasuknya sangat kuat. Namun, dia terus berusaha
menghalau hantu berkenaan.
Di
alam khayalan, Punitha diseret menuju ke kuali besar yang diletakkan di atas
dapur. Minyak di dalam kuali itu mendidih. Barulah Punitha mula tertanya-tanya
bagaimana dia boleh berada di masa silam. Dia mula meronta-ronta untuk
melepaskan diri. Punitha mendapat tahu bahawa dia akan dikorbankan untuk dewa
yang disembah oleh manusia purba tersebut.
Tiba-tiba
Punitha membuka mata dan terpandang si bomoh. Bomoh itu terasa gembira kerana
pada fikirannya hantu yang merasuk Punitha sudah berjaya dihalau. Bagaimanapun,
Punitha tiba-tiba menggigit tangan bomoh Veerapandian. Rupa-rupanya gadis itu
masih belum pulih.
Akhirnya
Punitha dibawa ke hospital sakit mental untuk rawatan. Doktor mengesahkan bahawa
gadis itu sakit jiwa. Dia masih terus meracau dan bercakap sendirian; kononnya
bersama kumpulan manusia purba yang terus meletakkannya dalam sebuah kurungan.
Emak[7]
Syanker
memujuk emaknya supaya menyertai rombongan lima hari ke Kedah dan Kelantan. Pada
pendapat Syanker, emak hanya memerap di rumah sambil menjaga cucu, membuat
kerja-kerja rumah dan menjaga ayam-itik.
Vani,
kakak Syanker juga telah cuba memujuk emak agar setuju pergi makan angin. Pada
mulanya emak memberikan alasan bahawa ayam-itik perlu dijaga. Kemudian dia
memberikan alasan bahawa cucu-cucunya perlu dijaga. Vani menjelaskan bahawa
Syanker boleh memberi ayam-itik makan sepeninggalan emak sementara Vizha pula
boleh menjaga cucu.
Namun
begitu emak tetap berdegil tidak mahu pergi. Vani terpaksa mengaku kalah.
Syanker pula terus memujuk emaknya supaya bersetuju untuk pergi demi menenangkan
fikiran. Sebaliknya emak meminta Syanker sahaja menggantikan tempatnya. Saranan
itu ditolak bulat-bulat oleh anak muda tersebut.
Semasa
kecil, emak memang pernah bercita-cita untuk belajar tinggi sehingga menjadi
doktor. Dia mahu pergi dari satu tempat ke tempat lain untuk berkhidmat kepada
masyarakat. Akan tetapi emak hanya bersekolah hingga darjah tiga. Tidak lama
kemudian, dia dikahwinkan. Sejak itulah cita-cita emak terkubur. Emak sibuk
mengurus hal rumah tangga.
Syanker
merasakan bahawa emak sejak dahulu hanya berkorban untuk orang lain. Kali ini
Syanker mahu emak pergi makan angin
sambil menenangkan fikiran.
Sebaliknya,
emak pula merasakan bahawa dia mahu menghabiskan sisa-sisa hidup bersama anak
dan cucu. Melancong bukan keutamaan dalam hidupnya. Emak mahukan anak-anaknya
hidup gembira. Itulah yang akan menenangkan fikiran dan hatinya.
Apabila
Syanker terus memujuk emak, wanita itu tidak dapat menahan diri daripada
meluahkan apa yang terbuku dalam jiwa. Katanya, dia bahagia tinggal bersama
anak-anaknya. Dia tidak mahu Syanker memaksanya pergi ke suatu tempat yang tidak
dapat menjanjikan ketenangan jiwa.
Akhirnya
Syanker memahami perasaan emak. Serta-merta dia memeluk emak dan berjanji akan
membatalkan program percutian yang dirancang itu.
3.09
Emak II[8]
Emak
mencari pelbagai alasan untuk menghalang Balakrishna @ Ris daripada pergi
bertemu rakan sekelasnya, Khandan @ Han. Walaupun Ris sudah berumur 17 tahun,
namun emak masih mahu mengawal segala apa yang dilakukannya.
Ris
sendiri tidak faham mengapa emak bersikap demikian. Remaja itu menyampah dengan
sikap emak tetapi dia tidak berani membantah. Ini kerana sejak kecil, emak telah
mengawal segala aspek dalam kehidupan Ris. Pada pendapat Ris, mungkin juga emak
terbawa-bawa dengan cara dia mendidik kanak-kanak bermasalah di sekolah tempat
dia mengajar.
Ayah
tidak seperti emak. Dia tegas tetapi penyayang. Sebab itulah Ris lebih selesa
untuk meluangkan masa bersama ayah. Malangnya pada hari berkenaan, ayah telah ke
sekolah atas urusan tertentu. Maka terpaksalah Ris mendapatkan izin emak untuk
pergi ke rumah Han yang terletak di kawasan kampung.
Ris
mula terkenangkan segala sikap buruk emak. Malah Ris berpendapat emak tidak
menghormati ayah. Segala perkembangan ini membuatkan Ris semakin membenci emak.
Ris
juga mengimbas hubungannya dengan Han yang dikenalinya sejak tingkatan satu.
Pemuda itu mengalami sedikit kecacatan pada tangan kiri dan sering menjadi bahan
gurauan rakan-rakan di sekolah. Han cukup rapat dengan Ris walaupun Ris turut
mempermainkan Han pada setiap masa.
Sekali
itu, Ris telah berpeluang membaca diari Han. Di dalam diari itu, Han merujuk Ris
sebagai abangnya. Setelah selesai membaca diari itu, Ris menyedari betapa Han
mengharapkan kasih-sayang daripadanya. Han juga sering diketepikan oleh
rakan-rakan lain. Maka Han sangat bergantung kepada Ris untuk membantunya
bersosial.
Sejak
kejadian itu, Ris menerima Han sebagai adik angkat. Hubungan mereka cukup intim;
tambahan pula Ris anak tunggal. Malangnya emak tidak suka Ris bergaul dengan
Han. Ris hairan dengan sikap emak. Kalau Han seorang gadis, emak ada juga alasan
untuk menghalang hubungan mereka. Demikian fikir Ris.
Setelah
memikirkan segala aspek secara mendalam, Ris memutuskan untuk tetap pergi
menemui Han. Dia pasti bahawa Han memerlukannya. Akhirnya Ris mengayuh basikal
menuju ke kampung di mana Han tinggal. Emak terpinga-pinga melihat Ris pergi.
Ris juga bercadang untuk menceritakan masalahnya kepada Han.
Hari
Penentuan[9]
Fikiran
Selvi tidak tenang mengenangkan keputusan peperiksaan SPM yang akan diumumkan
dalam masa beberapa hari lagi. Dia sedar bahawa bapanya, Paramasivam menaruh
harapan yang cukup tinggi terhadapnya; apatah lagi setelah anak-anak lelaki yang
lebih tua telah mengecewakan harapan si bapa.
Paramasivam
berulang kali melahirkan keinginannya untuk melihat Selvi menjadi guru di
sekolah Tamil tempat dia belajar dahulu. Untuk itu, Paramasivam mahu anaknya
memasuki maktab perguruan selepas mendapat keputusan SPM.
Walau
bagaimanapun, Selvi tetap risau. Sudah dua kali dia menduduki peperiksaan SPM
sebelum ini. Kali pertama, dia gagal dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Kali
kedua pula dia lulus Bahasa Malaysia tetapi gagal dalam semua mata pelajaran
lain.
Namun
begitu, Paramasivam telah menyuruh Selvi belajar di sekolah swasta untuk
mengambil peperiksaan SPM bagi kali ketiga. Pada kali ini pun sebenarnya Selvi
benar-benar tidak yakin bahawa dia boleh lulus. Ini adalah kerana Selvi baru
sahaja ditinggalkan kekasih semasa membuat persediaan untuk menghadapi
peperiksaan. Kejadian itu banyak mempengaruhi Selvi sehingga mengganggu
tumpuannya terhadap pelajaran dan peperiksaan.
Selvi
sering meluahkan perasaan takut dan bimbang kepada rakannya, Halimah. Selvi
mengakui bahawa dia terasa sangat takut dan semacam hendak gila memikirkan
keputusan peperiksaan SPM yang bakal diterima. Dia sedar bahawa dia pasti gagal
mendapat keputusan yang baik. Pada masa yang sama, dia sedar bahawa bapanya
menaruh harapan yang sangat tinggi terhadapnya. Segala perkembangan ini
membuatkan Selvi memberitahu Halimah bahawa dia terfikir hendak membunuh diri
jika gagal lagi dalam SPM.
Jika
Selvi gagal, dia memutuskan untuk tidak akan bertemu muka dengan bapa dan
emaknya lagi. Dia lebih rela mati. Malah dia sedar bahawa ramai gadis dan wanita
di kawasan tempat dia tinggal membunuh diri dengan meminum racun lalang. Selvi
memutuskan untuk membunuh diri dengan cara yang sama jika dia ternyata gagal
dalam peperiksaan SPM bagi kali ketiga.
Akhirnya
keputusan diumumkan. Apa yang sudah sedia diduga dan ditakuti oleh Selvi
benar-benar terjadi. Dia gagal dalam semua mata pelajaran kecuali Bahasa
Malaysia dan Bahasa Tamil. Tanpa berfikir panjang, Selvi menuju ke arah air
terjun sambil mendakap erat beg kain berisi sebotol besar racun lalang. Dia
sudah nekad untuk membunuh diri.
Semasa
Selvi duduk menangis di tepi air terjun mengenangkan jasa bapa dan emaknya,
tiba-tiba dia ternampak seorang gadis yang berlari ke arah air terjun tersebut
dan dengan pantas terjun ke dalam air. Tanpa berfikir panjang, Selvi turut
terjun ke dalam air dan menyelamatkan gadis itu daripada lemas.
Gadis
itu ialah Maliga yang turut gagal dalam peperiksaan SPM. Bapanya, Vellu telah
memarahinya. Sebab itulah Maliga cuba membunuh diri. Setelah Maliga diselamatkan,
dia dibawa pulang oleh Maliga yang buat seketika sudah melupakan tujuan asalnya
datang ke kawasan air terjun berkenaan. Vellu pula mengucapkan berbanyak terima
kasih dan menyatakan rasa terhutang budi kepada Selvi kerana menyelamatkan nyawa
Maliga.
Tidak
lama kemudian, Paramasivam bertanyakan keputusan yang diperolehi oleh Selvi
dalam peperiksaan SPM. Gadis itu berterus-terang memberitahu bapanya bahawa dia
gagal lagi. Walau bagaimanapun, Paramasivam tidak marah. Dia menggalakkan Selvi
mencuba lagi jika dia mahu.
Kakak, Tolonglah Saya![10]
‘Aku’
sedang dalam penerbangan dari Hyderabad menuju ke New Delhi menaiki pesawat Air
India pada Julai 1992. Baru sehari dia berada di India. Kedatangannya ditaja
oleh kerajaan Malaysia untuk membuat promosi bagi meluaskan pasaran barangan
Malaysia di India.
Seorang
lelaki Jerman yang yang tinggi lampai dan hanya dikenali sebagai Joe duduk di
sisinya. Joe cuba mengajak ‘Aku’ berbual tentang kecantikan awan yang
kelihatan melalui tingkap pesawat. Mereka turut membincangkan laporan akhbar The
Pioneer tentang amalan satee di
sebuah kampung terpencil di India. Joe ingin tahu apakah satee turut diamalkan di Malaysia. ‘Aku’ cuba menerangkan
asal-usul serta amalan satee pada
zaman moden.
Walau
bagaimanapun, perhatian ‘Aku’ lebih banyak tertumpu kepada seorang anak
gadis yang duduk bersama seorang lelaki tua tidak jauh dari tempat duduk
‘Aku’ dan Joe. Lelaki tua itu sedang tidur. ‘Aku’ cuba berbual dengan
anak gadis itu menggunakan bahasa Tamil lalu mendapat tahu bahawa namanya Ameena
Badarudeen dan umurnya dua belas tahun. Ameena menyatakan rasa kagum kerana
dapat berjumpa orang Malaysia.
Tidak
lama kemudian, lelaki tua itu tersedar. Dia memarahi Ameena menggunakan bahasa
Hindi yang tidak difahami oleh ‘Aku’. Anak gadis itu duduk diam dan
kepalanya tertunduk agak lama. Sementara itu, Joe pula mengajak ‘Aku’
berbual tentang perebutan tapak Masjid Babri oleh kumpulan beragama Islam dan
Hindu.
Tidak
lama kemudian, ‘Aku’ mendapati lelaki tua tadi sudah kembali tidur.
‘Aku’ cuba mengajak Ameena berbual. Anak gadis itu segera berlari ke arah
‘Aku’ dan merangkul lehernya. Ameena menjelaskan bahawa lelaki tua itu
bernama Yaahya. Ibu bapa Ameena sudah menjualnya kepada Yaahya untuk dijadikan
isteri dan seterusnya dibawa ke negara Arab. Sambil menangis, Ameena meminta
pertolongan daripada ‘Aku’ untuk menyelamatkannya.
‘Aku’
sedar bahawa dia perlu bertindak segera untuk membebaskan Ameena daripada
menjadi mangsa Yaahya. Lantas ‘Aku’ pergi ke bahagian hadapan kapal terbang
dan menceritakan kepada para penumpang apa yang terjadi. Rata-rata para
penumpang dari pelbagai negara bersetuju bahawa Yaahya dianggap telah menculik
gadis di bawah umur dan perbuatannya mencabul hak kanak-kanak.
‘Aku’
mengedarkan petisyen untuk ditandatangani oleh para penumpang. ‘Aku’
bercadang hendak menyerahkan Yaahya kepada pihak berkuasa apabila pesawat Air
India mendarat di New Delhi. Sewaktu semua ini berlaku, Yaahya hanya mampu duduk
diam sambil menahan perasaan marah dan malu.
‘Aku’
dan Joe terasa sangat gembira di atas kejayaan dan keberanian ‘Aku’
bertindak segera dan secara yang bijak. Walau bagaimanapun, beberapa saat
sebelum pesawat mendarat, Ameena tiba-tiba menjerit dan mengatakan bahawa Yaahya
tidak menculiknya; sebaliknya dia kononnya berkahwin dengan Yaahya secara rela.
Ini sekaligus bermakna segala usaha ‘Aku’ untuk menyelamatkan gadis itu
akhirnya sia-sia sahaja. ‘Aku’ hanya mampu terpinga-pinga melihat Ameena
berlari ke arah Yaahya.
Kandasami[11]
Kandasami
ialah seorang lelaki berumur 46 tahun. Tiga puluh tahun lalu – semasa umurnya
16 tahun – dia lari dari rumah di India dan menaiki kapal percuma yang
disediakan oleh kerajaan British untuk membawa buruh ke ladang getah di Malaya.
Memandangkan bahawa dia boleh bercakap dan menulis bahasa Inggeris serba sedikit,
sepuluh tahun kemudian, Kandasami diambil bekerja di Jabatan Kereta api Tanah
Melayu. Dia menjadi porter di stesen
Alor Setar.
Kisah
yang dipaparkan dalam cerpen ini berlaku pada 25 September 1950. Kandasami
berada dalam dilema berhubung rancangannya untuk pulang ke India. Dalam masa
seminggu – 2 Oktober 1950 – dia
akan bertolak ke India dan terus menetap di sana. Tiket sudah dibeli sebulan
lebih awal. Kandasami bakal menaiki kapal Sri Laksmi dari Pulau Pinang menuju ke
Tamil Nadu, India.
Kandasami
begitu asyik meneliti tiket tersebut. Apabila ditanya oleh Darus, dia berdalih
dengan mengatakan bahawa kertas yang dipegangnya adalah surat untuk menguruskan
pasport anak jirannya. Darus lalu memuji Kandasami sebagai seorang pemimpin yang
benar-benar mengambil berat tentang nasib bangsanya.
Segala
pujian tersebut membuatkan Kandasami terasa semakin bersalah dan hatinya
berbelah-bagi. Dia memang terlibat dalam pelbagai aktiviti sosial untuk membantu
masyarakat India di Tanah Melayu; khususnya di Alor Setar. Tidak seorang pun
tahu bahawa dalam masa seminggu lagi, lelaki yang mereka puji dan harapkan itu
akan pergi ke India untuk memulakan hidup baru.
Selepas
berbual dengan Darus tentang beberapa hal berhubung tanda-tanda kemerdekaan
Tanah Melayu, Kandasami berjalan pulang. Dia ternampak isterinya, Theivanai yang
mengandung enam bulan – anak keenam – sedang mengambil air di pancuran awam.
Kandasami terus membantunya. Dalam diam, Kandasami terasa amat bersalah kerana
dalam masa seminggu lagi dia akan meninggalkan Theivanai dan anak-anak untuk
kembali ke India.
Sebenarnya,
sebelum ini Kandasami pernah mencadangkan kepada Theivanai agar mereka
anak-beranak sama-sama pulang ke India. Tetapi Theivanai tidak bersetuju.
Katanya, tidak pernah ada hasrat dalam jiwanya untuk pulang ke India.
Kandasami
pernah cuba memujuk Theivanai dengan mengatakan bahawa segala hasil daripada
titik peluhnya sudah dihantar ke India. Bapa dan adik Kandasami telah
menggunakan wang yang dikirim dengan bijak sehingga berjaya membeli rumah batu
serta sepuluh ekar tanah. Adiknya telah mencadangkan agar Kandasami pulang ke
India dan mereka akan sama-sama membuka kedai runcit di kampung mereka.
Kandasami yakin bahawa mereka sekeluarga akan mampu hidup senang dan mewah di
India.
Namun
begitu, Theivanai tetap berkeras mengatakan bahawa dia mahu menghembuskan nafas
terakhir di Tanah Melayu yang menjadi tanah tumpah darahnya. Malah dia mula
mempersoalkan apakah Kandasami sangguh meninggalkan perjuangannya untuk membela
kaum India di separuh jalan.
Kandasami
berkali-kali cuba memujuk Theivanai agar bersetuju dengan cadangan agar mereka
sekeluarga pulang ke India. Namun begitu, isterinya tetap tidak mahu turut sama.
Akhirnya Kandasami telah memutuskan untuk membeli tiket kapal tanpa pengetahuan
isteri dan anak-anak.
Kandasami
akan pergi sendirian. Dia yakin bahawa setelah menderita seketika di Tanah
Melayu, Theivanai dan anak-anak juga akan turut memutuskan untuk ke India.
Kandasami yakin dengan andaiannya itu. Walau bagaimanapun, dia masih mengalami
dilema berhubung tindakannya membelakangkan tanggungjawab terhadap keluarga dan
masyarakat.
Kandasami
sudah nekad untuk pulang ke India sebagaimana sudah dirancang. Sementara itu,
Tuk Haji Meriam pula membenarkan Kandasami menggunakan rumahnya di tepi sungai
sebagai tempat bagi mengadakan kelas bacaan untuk penduduk India di kampung
mereka. Malah Tuk Haji Meriam tidak meminta apa-apa bayaran memandangkan bahawa
rumah itu akan digunakan untuk tujuan kebajikan.
Apabila
beliau memuji sikap tanggungjawab Kandasami terhadap masyarakatnya, lelaki itu
terasa malu sendiri. Dia sedar bahawa buat masa ini, dia sedang berpura-pura
sahaja kerana dalam masa beberapa hari sahaja lagi dia akan meninggalkan Tanah
Melayu dan semua penduduk kaun India di sini untuk pulang ke Tamil Nadu.
Kandasami menganggap dirinya “hipokrit nombor satu”. Dia sedar bahawa
hakikat itu akan diketahui umum tidak lama lagi. Namanya pasti tercemar di mata
masyarakat yang selama ini menganggapnya sebagai pemimpin yang sangat prihatin
terhadap nasib kaum India.
Walaupun
begitu, Kandasami tetap tidak peduli. Dia tidak mahu segala hal yang berlaku itu
menghalang rancangannya untuk pulang ke India. Semua ini berikutan tindakan
adiknya yang mengutus surat dari India untuk memujuk Kandasami agar pulang ke
India yang sudahpun merdeka pada waktu itu. Kata si adik, ada ura-ura akan
berlaku keadaan huru-hara di Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu merdeka, orang
India tetap tidak akan diberi hak sama rata dengan kaum asli.
Akhirnya,
hari yang ditunggu pun tiba. Tanpa diketahui oleh sesiapa, Kandasami sampai ke
pelabuhan di Pulau Pinang. Dia masih dalam dilema apabila teringatkan isteri,
anak-anak, sahabat dan sekian ramai kenalan yang akan ditinggalkannya.
Kandasami
terus duduk di luar bilik penantian sambil menatap tiket di tangan. Tiba-tiba
datang seorang lelaki tua yang berwajah sedih. Dia mengatakan bahawa isterinya
sedang sakit tenat di India. Dia perlu pulang segera tetapi tiket kelas tiga
sudah habis dan dia tidak mampu membeli tiket kelas pertama. Dia merayu agar
Kandasami menjual tiket kepunyaannya.
Tanpa
banyak soal, Kandasami menyerahkan tiketnya kepada lelaki tua berkenaan. Selepas
kapal meninggalkan pelabuhan, Kandasami memutuskan untuk pulang ke rumah. Dia
membayangkan kehidupan yang bahagia di samping anak-isteri dan jiran pelbagai
kaum dan agama.
Nayagi[12]
Madhavi
berumur 16 tahun. Dia tinggal bersama emak dan seorang adik perempuan. Kakaknya
Malathi sudah berkahwin. Walaupun masih berusia muda, Madhavi mengasuh
kanak-kanak lelaki bernama Hari Kumar. Malah, anak yang tidak beribu itu cukup
rapat dengan Madhavi dan tidak mahu berenggang dengannya.
Hari
Kumar ialah anak bongsu kepada Ravi Kumar yang berumur 32 tahun. Anak sulung
bernama Vijay Kumar, 17 tahun. Pertalian keluarga Madhavi amat kompleks.
Misalnya, nenek Madhavi (Laxmi) ialah kakak kepada Senggoda Kurunadhar.
Anak-anak Laxmi bernama Ravi Kumar, Siva Kumar dan Abhirami. Senggoda Kurunathar
telah berkahwin dengan Abhirami iaitu anak kepada kakaknya. Ini memang amalan
tradisi dalam budaya India.
Anak-anak
kepada pasangan Senggoda Kurunathar dan Abhirami ialah Malathi, Madhavi dan
Pallavi. Kemudian, Ravi Kumar sepatutnya berkahwin dengan Malathi iaitu anak
kepada kakaknya. Walau bagaimanapun. Ravi Kumar berkeras untuk berkahwin dengan
kekasihnya, Chellama yang sudah pun mengandungkan Vijay Kumar. Akhirnya Malathi
dikahwini Siva Kumar.
Sementara
itu, Chellama pula meninggal dunia semasa melahirkan anak ketiga iaitu Hari
Kumar. Lalu Madhavi mengasuhnya dengan penuh kasih sayang seperti seorang ibu.
Pada masa yang sama, Madhavi menaruh hati kepada Vijay Kumar, abang kepada Hari
Kumar. Pemuda itu memiliki semangat nasionalisme Tanah Melayu yang cukup kuat
dan kental. Selain berpendidikan, Vijay Kumar juga menyokong usaha meningkatkan
taraf wanita dalam masyarakat. Dia percaya bahawa golongan wanita @ ibu menjadi
titik mula kepada kelahiran warga berjiwa merdeka.
Dalam
pada itu, Ravi Kumar juga menaruh hati terhadap Madhavi. Dia sebenarnya ingin
menikmati hidup berkelamin selepas kematian isterinya, Chellama. Walau
bagaimanapun, dia memberi alasan kononnya dia bukan mahu mengahwini Madhavi
untuk kepuasan badan. Sebaliknya untuk menjadikan Madhavi ibu kepada Hari Kumar.
Laxmi
dan Abhirami menerima baik cadangan Ravi Kumar. Mereka menganggap langkah itu
amat wajar memandangkan sepatutnya Ravi Kumar dulu berkahwin dengan Malathi,
kakak Madhavi. Jadi ini peluang baik untuk mengeratkan semula hubungan
kekeluargaan. Dengan itu, segala persiapan dibuat untuk majlis peminangan.
Pada
mulanya, apabila Ravi Kumar memberitahu bahawa dia akan datang ke rumah untuk
meminang Madhavi, gadis itu benar-benar yakin bahawa dia sebenarnya akan
dijodohkan dengan Vijay Kumar. Dia mula membayangkan betapa indahnya hidup
bersama Vijay Kumar yang dicintainya dalam diam.
Bagaimanapun,
segala mimpi indah dan harapan yang menggunung musnah sebaik sahaja Madhavi
mengetahui siapakah bakal pengantin lelaki. Namun begitu, gadis itu tidak mudah
menyerah. Dia menentang keputusan emak dan neneknya. Ini bermakna dia sekaligus
menentang amalan tradisi.
Abhirami
cuba memujuk Madhavi dengan mengatakan bahawa Ravi Kumar tidak berniat jahat.
Tambahan pula, ketiga-tiga anak Abhirami adalah perempuan belaka. Apabila Ravi
Kumar tidak mengharapkan mas kahwin (dowri),
Abhirami menerima sahaja permintaan lelaki itu untuk memperisterikan Madhavi.
Madhavi
dengan tegas mengatakan bahawa dia masih sanggup menjaga Hari Kumar sebagai
seorang ibu tanpa perlu berkahwin dengan Ravi Kumar. Maka timbullah perbalahan
dan pertelingkahan mulut antara Madhavi dengan Abhirami dan Laxmi. Pelbagai cara
digunakan untuk memujuk – malah memaksa – Madhavi menerima Ravi Kumar
sebagai suami.
Di
tengah suasana yang tegang, Madhavi mendedahkan pula bahawa dia mahu berkahwin
dengan Vijay Kumar, anak sulung Ravi Kumar. Kenyataan itu merupakan tamparan
hebat kepada Abhirami dan Laxmi. Mereka menentang pilihan Madhavi. Malah
akhirnya mereka memberitahu Madhavi bahawa jika dia sayangkan Hari Kumar serta
mahu menjaga nama baik keluarga, dia perlu menerima Ravi Kumar sebagai suami.
Sebaliknya, jika dia memilih Vijay Kumar, keputusan itu bermakna dia tidak boleh
menjaga Hari Kumar dan dianggap telah mencemar maruah keluarga.
Madhavi
mengalami dilema yang cukup hebat. Dia terperangkap antara Abhirami, Laxmi, Ravi
Kumar, Vijay Kumar dan hatinya sendiri. Namun akhirnya, benar-benar di luar
jangkaan emak dan neneknya, Madhavi mendukung Hari Kumar dan dengan berani
mengumumkan bahawa kanak-kanak itu ialah adik iparnya. Ini bermakna, Madhavi
kekal dengan keputusan untuk memilih Vijay Kumar sebagai pasangan hidup.
Sebuah Cerita Biasa[13]
Kannama
seorang balu beranak dua. Anak sulung, Rajoo sudah berkahwin dengan Yasoda dan
mereka tinggal di bandar. Kannama pula tinggal bersama Karpagam yang berumur 12
tahun.
Rajoo
memelihara seekor burung nuri. Yasoda tidak menyukai burung itu. Burung nuri itu
– ia menjadi pencerita dalam cerpen ini – juga membenci Yasoda. Ia memberi
pelbagai komentar berhubung gaya hidup Yasoda dan Rajoo.
Tidak
lama kemudian, rumah Kannama di kampung dirobohkan oleh pihak berkuasa. Lalu
Rajoo membawa Kannama dan Karpagam ke rumahnya di bandar. Sejak awal lagi Yasoda
tidak menyenangi kedatangan mereka. Walau bagaimanapun, Rajoo memberi kata dua:
jika Yasoda tidak suka Kannama dan Karpagam tinggal bersama mereka, Yasoda boleh
balik sahaja ke rumah ibu bapanya.
Hampir
dua minggu sudah berlalu. Rasa benci Yasoda terhadap Kannama dan Karpagam
semakin bertambah. Si burung nuri yang menjadi pencerita pula semakin intim
dengan Karpagam. Ia benar-benar sayangkan gadis itu. Ia menganggap Karpagam
seorang anak yang sangat baik dan berbudi pekerti tinggi. Burung nuri itu sangat
membenci Yasoda tetapi sebaliknya sangat menyayangi Karpagam.
Pada
suatu pagi, Yasoda mengatakan bahawa wang RM50 yang disimpannya untuk membeli
sari baru sudah hilang. Dia menuduh Karpagam mencurinya dari bilik tidur.
Karpagam berkali-kali cuba meyakinkan Yasoda bahawa dia tidak mencuri. Namun,
Yasoda tetap menuduh gadis itu. Karpagam dipukul tanpa belas kasihan. Segala
rayuan yang diajukan olah Kannama nampaknya tidak membuahkan hasil.
Tidak
lama kemudian, Rajoo pulang selepas bersenam di luar. Yasoda menceritakan
tentang kehilangan wang. Rajoo dapat menduga bahawa Yasoda kemungkinan besar
sedang cuba mencari alasan untuk menghalau Kannama dan Karpagam dari rumah itu.
Walau bagaimanapun, untuk bersikap adil, Rajoo mencadangkan agar mereka mencari
wang yang hilang itu dengan teliti. Dia berpendapat mungkin Yasoda tersalah
letak di mana-mana.
Mereka
berempat masuk ke bilik tidur Yasoda dan Rajoo. Masing-masing mencari
kalau-kalau wang itu tercicir di mana-mana. Sementara itu, si burung nuri pula
terus menanti dalam sangkar. Ia tetap yakin bahawa Karpagam tidak bersalah. Ia
berharap rahsia dan penipuan Yasoda akan segera terbongkar.
Tidak
lama kemudian, burung nuri itu ternampak Yasoda keluar dari bilik tidur. Dia
dengan penuh hati-hati pergi ke bilik tidur Kannama dan Karpagam. Kemudian dia
meletakkan sesuatu di bawah bantal Karpagam sebelum berlari semula dan masuk ke
bilik tidur di mana Rajoo, Kannama dan Karpagam masih cuba mencari wang RM50
yang mungkin tercicir di sana.
Burung
nuri itu menduga bahawa Yasoda tentu sahaja sedang cuba mengenakan Karpagam. Ia
fikir, Yasoda telah menyembunyikan wang di bawah bantal. Jadi, apabila bilik itu
diselongkar nanti, wang yang dicari akan ditemui; dan Karpagam akan dituduh
mencurinya.
Maka
burung nuri itu mula bising untuk menarik perhatian Karpagam. Tidak lama
kemudian, Karpagam keluar dari bilik tidur abang dan kakak iparnya. Burung nuri
itu cuba menceritakan apa yang telah berlaku. Tetapi tentulah Karpagam tidak
memahami bahasa burung.
Tanpa
banyak soal, Karpagam mengeluarkan wang kertas RM50 dari dalam saku baju! Wang
itu dilipat menjadi kecil dan disembunyikan di dalam rekahan kecil pada sangkar
burung. Si burung nuri amat terkejut melihat segala kejadian itu. Ia tidak faham
apa yang telah dan sedang berlaku. Ia cuba bertanya tetapi tentulah Karpagam
tidak memahami bahasa burung. Tanpa berlengah, Karpagam pun terus berlari masuk
semula ke dalam bilik di mana abang, kakak ipar dan emaknya berada.
Wanita[14]
‘Saya’
ialah seorang pemuda yang mempunyai pandangan tidak konvensional berhubung
kedudukan golongan isteri khasnya dan wanita amnya di sisi golongan suami
khasnya dan lelaki amnya. Dia berpendapat bahawa kaum wanita akan tetap kekal
sebagai hamba buat selama-lamanya jika mereka terlalu mendewa-dewakan nama si
suami. Pada pendapat ‘Saya’, walaupun suami dan isteri sudah bersatu hati
dan jiwa, mereka masih juga dua individu yang berbeza. Ini bermakna si isteri
masih ada harga diri dan martabat diri.
Demikian
‘Saya’ sering memberitahu para pekerja wanita di tempat kerjanya. ‘Saya’
tidak bersetuju dengan amalan kebanyakan wanita kaum India yang membuang nama
sendiri lalu menukarnya dengan nama suami selepas sahaja berkahwin. ‘Saya’
menganggapnya sebagai tindakan yang bodoh dan kurang bertamadun. Malah begitulah
juga dia memberitahu tunangannya.
Sikap
‘Saya’ kurang disenangi oleh banyak pihak; khususnya golongan wanita yang
menganggap ‘Saya’ cuba mempengaruhi mereka dengan pandangannya yang ‘tidak
betul’. Ini telah menyebabkan ‘Saya’ dibuang kerja oleh majikan di Asiana
Shoe Manufacturer.
Selepas
itu, ‘Saya’ bekerja sebagai kerani akaun di Kilang Kasut Malaysian Flavour.
Salah seorang daripada rakan sekerjanya ialah
Citra, 28 tahun. Wanita itu pada mulanya dikenali dengan sapaan “Cik
Citra”. Tetapi setelah dia berkahwin dengan En. Ramachandran, pengurus jualan
kilang berkenaan, namanya ditukar kepada “Puan Ramachandran”. Nama pada pas
kerja diubah. Nama dalam hal surat-menyurat diubah. Rakan sepejabat pula
memanggilnya “Puan Rama”. Tanda nama pula ditukar daripada “Citra”
kepada “Puan Ram”.
Perkembangan
ini tidak menggembirakan ‘Saya’. Pada suatu hari, ‘Saya’ berpeluang
untuk bertemu Citra @ Puan Rama di kantin kilang. ‘Saya’ tetap menyapa
wanita itu dengan panggilan “Cik Citra”. Tindakan ini menimbulkan kemarahan
wanita berkenaan. Dia meminta supaya dipanggil dengan nama “Puan Rama”. Dia
menerangkan bahawa nama “Cik Citra” hanya boleh digunakan sementara dia
belum berkahwin dahulu.
‘Saya’
seterusnya berpura-pura tidak tahu dan mula bertanyakan sebab sebenar pertukaran
nama itu dibuat. ‘Saya’ bertanya apa akan berlaku jika seorang wanita itu
berkahwin misalnya dengan lelaki bernama Ramu. Nama si wanita menjadi “Puan
Ramu”. Apakah jika si suami meninggal dunia maka si wanita tadi dikenali
sebagai “Balu Ramu”? Bagaimana pula jika pasangan itu bercerai; apakah
wanita itu menjadi “Janda Ramu”? Dan bagaimana pula jika wanita itu
mengahwini lelaki lain selepas itu?
Pertanyaan
berupa sindiran tajam itu benar-benar membuatkan Citra marah. Dia cuba beredar
dari kantin tetapi ditahan oleh ‘Saya’ yang meminta penjelasan berhubung
amalan wanita kaum India menggunakan nama suami.
Citra
memberi pelbagai alasan. Misalnya dengan mengatakan bahawa selepas berkahwin,
wanita itu bukan lagi sama dengan dirinya yang lama. Maka ‘Saya’ memintas
dengan bertanya mengapa dalam sijil kelahiran anak-anak, nama asal si isteri
digunakan; bukan nama yang dipinjam daripada nama suami.
Kemudian
Citra mengaitkan pula perkembangan itu dengan wanita zaman moden yang sudah
maju, merdeka dan bebas. Kenyataan itu juga dibidas secara sinis oleh
‘Saya’. Rata-rata setiap alasan yang dikemukakan terus sahaja dikritik
dengan pedas dan bijak oleh ‘Saya’. Apatah lagi apabila Citra mengaitkan
penggunaan nama suami oleh isteri sebagai trend masa kini. Katanya lagi, trend
itu dipinjam daripada perjuangan wanita barat yang maju dalam pelbagai bidang.
Terus pula ‘Saya’ mengingatkan bahawa wanita barat pada masa sekarang sedang
berjuang meminta hak untuk kembali menggunakan nama sendiri @ nama asal walaupun
selepas berkahwin.
‘Saya’
dan Citra terus berbahas beberapa lama. Akhirnya Citra bergegas pergi setelah
memberi alasan bahawa waktu rehat sudah lama berakhir.
Pada
hari-hari seterusnya, Citra tidak mahu bercakap dengan ‘Saya’. Tunang
‘Saya’ juga kurang bersetuju dengan sikap ‘Saya’ yang tidak membenarkan
dia menggunakan nama ‘Saya’ selepas mereka berkahwin nanti.
Seminggu
berlalu. Citra sudah menukar tanda namanya daripada “Puan Ram” kepada
“Puan Ramachandran”; menggunakan saiz huruf yang lebih besar pula.
‘Saya’ pula menerima notis dibuang kerja atas alasan mengganggu ketenteraman
pekerja wanita. ‘Saya’ memang telah menjangkakan akan menerima notis seperti
itu.
Nasib
‘Saya’ lebih malang kerana tunangnya meninggalkan pesanan dalam answering
machine; memintanya memutuskan pertunangan mereka kerana gadis itu tidak
mampu menurut segala permintaan ‘Saya’ yang dianggap pelik dan non-trendy. Gadis itu mengatakan bahawa dia mahukan seorang suami
yang normal – dengan erti kata, suami yang membenarkan isteri menggunakan
namanya!
‘Saya’ memutuskan bahawa “Wanita adalah selamanya hamba abdi yang lemah selagi mereka tidak memerdekakan diri dan minda. … selagi mereka masih menganiaya diri sendiri; mengikat diri pada amalan karut yang tidak berasas.”
Penutup
Petikan Bab Tiga tesis "Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia" di atas pasti membantu pengkaji/pembaca mengenali citra watak wanita secara lebih dekat. Bagaimanapun, kajian ini hanya mengkhusus pada watak wanita kaum India.
Surat Berita - Kavya - Newsletter Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia! |
[1]
Uthaya Sankar SB, “(2) Post-mortem” dalam Othman Puteh (ed.) Angin
Pagi, (KL: Fajar Bakti, 1994), hlm. 130-141.
[6]
M. Mahendran, “Dua Alam” dalam Kamariah Mohamed Ali (ed.), Tanpa
Mengira Warna (KL: DBP, 1993), hlm. 99-109.
[7]
Uthaya Sankar SB, Orang Dimensi (KL: DBP, 1994), hlm. 1-5.
[9]
Saroja Theavy Balakrishnan, “Hari Penentuan” dalam Kamariah
Mohamed Ali (ed.), op cit., hlm. 31-39.
[10]
Uthaya Sankar SB, Siru Kambam (KL: DBP, 1996), hlm. 127-138.
[14] Uthaya Sankar SB, “Wanita” dalam Menara 6, op. cit., hlm. 81-88.