Objektif Akta Hina Mahkamah

Oleh: SALLEH BUANG

PADA prinsipnya tidak sukar bagi kita memahami apa dia yang dikatakan menghina mahkamah (contempt of court). Beberapa misalan mudah boleh kita gunakan.

Anda diperintahkan oleh mahkamah untuk menyerahkan sesuatu benda kepada pihak tertentu. Anda secara sengaja enggan mematuhi perintah mahkamah itu. Perbuatan anda itu dikira menghina mahkamah.

Anda dilarang melakukan sesuatu (biasanya di bawah satu injunksi yang dikeluarkan oleh mahkamah). Anda sengaja melakukan apa yang dilarang itu. Perbuatan anda itu juga dikira menghina mahkamah.

Anda hadir di mahkamah sebagai saksi, atau sebagai pihak yang bertikai atau hanya sebagai pemerhati (orang awam). Anda lakukan perkara yang tidak senonoh, misalnya membuat bising atau berkelakuan biadab di mahkamah. Anda telah ditegur oleh hakim supaya jangan terus melakukannya. Anda tidak pedulikan teguran dan amaran hakim itu, sebaliknya anda terus lakukan apa yang anda telah buat sebelum ditegur itu. Perbuatan anda itu juga dikira menghina mahkamah.

Suatu kes mal telah berjalan di mahkamah. Anda membuat komen atau ulasan mengenai merit kes itu - misalnya dalam sebuah rencana di akhbar atau dalam satu ceramah kepada orang ramai. Anda katakan, misalnya, bahawa suatu pihak tertentu (katakanlah plaintif atau defendan dalam kes itu) pasti menang lalu anda nyatakan sebab-sebabnya mengapa anda berpendirian sedemikian. Itu juga dikira menghina mahkamah.

Satu kes jenayah telah berjalan di mahkamah. Anda membuat komen bahawa andainya tertuduh lepas dari tuduhan (tidak disabitkan kesalahannya oleh hakim bicara), nescaya negara akan huru hara atau orang awam akan hilang kepercayaan kepada undang-undang atau institusi kehakiman. Itu juga dikira menghina mahkamah.

Satu kes jenayah telah berjalan di mahkamah. Anda membuat komen bahawa tertuduh pasti disabitkan kesalahannya kerana tertuduh ada rekod buruk, lalu anda sebutkan apa dia rekod buruk tertuduh. Itu juga dikira menghina mahkamah.

Suatu kes telah selesai diputuskan di mahkamah, dan tidak dirayu oleh mana-mana pihak. Dalam keadaan ini anda boleh membuat ulasan atau komen tentang keputusan mahkamah itu, tetapi secara betul, berpada dan dengan hujah yang berasas. Sekalipun anda nyatakan bahawa pada hemat anda hakim bicara tersilap kerana sebab-sebab tertentu, itu belum lagi (tidak) dikira menghina mahkamah. Tetapi sekiranya anda pergi jauh dari itu, misalnya anda katakan bahawa si polan menang dalam kes itu kerana hakim menyebelahi pihaknya atau hakim telah dibeli atau dipengaruhi oleh si polan itu, kata-kata anda itu dikira menghina mahkamah.

Dari misalan-misalan mudah di atas, bolehlah kita simpulkan bahawa pada asasnya menghina mahkamah adalah suatu kelakuan yang dikira boleh -

(a) menjejaskan, melengahkan, meremehkan atau menghalang perjalanan atau pentadbiran kehakiman (impede, embarrass, or obstruct the court in its administration of justice) atau

(b) menjejaskan, mengurangkan atau melemahkan kewibawaan dan kehormatan mahkamah (derogate from the courts authority or dignity), atau

(c) menyebabkan pentadbiran keadilan dipandang hina oleh masyarakat (bring the administration of the law into disrepute).

Untuk membuktikan kesalahan menghina mahkamah ini, berasaskan kes-kes yang telah diputuskan di negara ini dan di negara-negara Komanwel lain, bolehlah disimpulkan bahawa tidak perlu dibuktikan wujud satu gangguan sebenar terhadap pentadbiran keadilan disebabkan kenyataan yang dibuat oleh seseorang itu.

Orang yang mengeluarkan kenyataan itu boleh disabitkan kesalahannya menghina mahkamah jika kenyataannya itu ada kecenderungan untuk mengganggu perjalanan kehakiman atau pentadbiran keadilan negara (lihat keputusan terbaru Mahkamah Rayuan dalam kes Murray Hiebert lwn. Chandra Sri Ram [1999] 4 AMR 4005).

Dengan bahasa mudah, bolehlah dikatakan bahawa niat sebenar orang yang bercakap atau mengeluarkan sesuatu kenyataan itu tidak relevan sama sekali. Soal yang penting ialah pada zahirnya apakah kenyataan orang itu mempunyai kecenderungan (tendency) mengganggu perjalanan sesuatu kes atau menjejaskan atau menggugat kewibawaan atau kehormatan mahkamah?

Kuasa luar biasa

Di bawah undang-undang semua negara, mahkamah punya kuasa semula jadi (inherent power) untuk mengenakan hukuman ke atas sesiapa sahaja yang menghina mahkamah. Di negara kita, kuasa semulajadi ini ditegaskan dalam Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 13 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Bagi mahkamah-mahkamah syariah, rujukan boleh dibuat kepada enakmen berkenaan. Dalam kes cerai taklik Sheila Majid terhadap suaminya, nyaris-nyaris Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan mengenakan tindakan terhadap defendan (suami Sheila) yang dikatakan menghina Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam kes People vs. Segovia Books Inc. (1988), Mahkamah Rayuan Illinois, Amerika Syarikat, memutuskan mahkamah boleh mengambil tindakan dan menjatuhkan hukuman kerana menghina mahkamah walaupun perbuatan itu merupakan satu kesalahan jenayah di bawah statut tertentu. Ini bermakna walaupun suatu perbuatan itu merupakan satu jenayah di bawah statut tertentu, ini tidak menghalang mahkamah menjalankan kuasanya di bawah undang-undang contempt ini terhadap orang yang menghina mahkamah itu.

Apa yang perlu ditekankan di sini ialah disebabkan kuasa mahkamah ini merupakan satu kuasa penghukuman yang luar biasa (extraordinary sanction) ia perlu dilaksanakan oleh hakim dengan penuh pertimbangan dan amat berhati-hati. Ia tidak boleh dijalankan secara tergesa-gesa. Jauh sekali, ia tidak boleh dijalankan apabila mahkamah tidak berupaya mengawal kemarahannya - lihat kes People vs. Wolf (1987).

Saya kira prinsip yang ditekankan dalam kes Wolf itulah yang telah mendorong Majlis Peguam Malaysia mencadangkan supaya satu akta khas mengenai perkara ini digubal. Saya kira disebabkan keprihatinan majlis itu terhadap nasib yang telah menimpa Zainur Zakaria dalam kes jenayah rasuah Anwar dulu itulah maka ia mencadangkan akta ini.

Matlamat Majlis Peguam

Sehari dua lalu saya telah melawat laman web majlis Peguam untuk mencari kepastian sendiri kalau sekiranya badan itu ada memaparkan teks draf akta yang telah digubal olehnya dalam laman webnya itu. Seperti yang kita sedia maklum, draf akta itu telah diluluskan dalam satu mesyuarat agung tahunan badan itu pada Mac lalu dan kemudiannya telah diserahkan (beserta satu memorandum) kepada Perdana Menteri dan Peguam Negara pada Ogos berikutnya. Saya jangkakan, selain teks deraf akta itu, pasti ada maklumat tambahan mengenai perkara yang sama. Malangnya, lawatan saya ke laman web badan itu tidak berhasil. Mungkin Majlis Peguam boleh mengambil tindakan sewajarnya di masa depan, supaya semua rakyat negara ini dapat memahami apa sebenarnya yang diniatkan oleh badan itu.

Mujurlah Selasa lalu, sebuah akhbar tempatan ada menyatakan serba sedikit tentang apa yang tersimpan dalam hati badan itu ketika ia mengemukakan cadangannya mengenai perkara ini kepada pihak berkuasa (lihat New Straits Times, 12 Oktober 1999 di bawah tajuk Councils proposal on contempt legislation 'not for political reasons.'

Setakat yang saya faham berasaskan laporan akhbar itu, hasrat utama Majlis Peguam mencadangkan akta itu ialah untuk membendung (setidak-tidaknya mengawal) apa yang disifatkan oleh badan itu sebagai unbridled power (kuasa yang tak terkawal) yang dipegang dan digunakan oleh para hakim. Mengikut R.R. Chelvarajah, presiden badan itu, objektif utama penggubalan akta itu ialah melindungi kedudukan peguam dan litigan yang tampil di mahkamah dan wartawan yang membuat liputan berita mengenai prosiding mahkamah.

Chelvarajah selanjutnya menegaskan bahawa hasrat Majlis Peguam tidak sekali-kali serupa atau sama dengan hasrat ahli politik (It's not for the reasons given by the politicians). Presiden Majlis Peguam itu menambah bahawa akta itu perlu digubal supaya ada ketentuan dan kepastian untuk semua pihak tentang apa dia yang dikatakan menghina mahkamah, apa dia prosedur yang perlu dipatuhi, apa dia hukuman yang boleh dikenakan dan apa dia keterangan yang perlu dikemukakan untuk membuktikan kesalahan itu.

Matlamat pemimpin politik

Mengikut akhbar itu lagi, pemimpin politik Barisan Nasional kebelakangan ini mendesak kerajaan supaya menggubal dan meluluskan akta itu bagi maksud menghalang peguam yang juga ahli politik menggunakan mahkamah untuk meneruskan perjuangan politik mereka.

Sebagaimana kita semua maklum, seruan dan desakan ahli-ahli politik ini timbul setelah mereka melihat lampu hijau yang diberi oleh Perdana Menteri, apabila beliau menyatakan kerajaan bersedia meneliti cadangan Majlis Peguam dan akan membuat keputusan selanjutnya apakah Akta Menghina Mahkamah itu wajar digubal dan diluluskan. Mengulas matlamat ahli politik itu, Chelvarajah menyatakan andainya seorang peguam (ketika berhujah di hadapan hakim bicara) menyalahgunakan mahkamah sebagai satu medan politik, terserahlah kepada hakim menegur dan menghalangnya.

Jika apa yang dikatakan oleh peguam itu tidak relevan pada prosiding mahkamah, hakim bicara punyai kuasa yang luas untuk menghalang perbuatan sedemikian. Rakyat negara ini sudah melihat sendiri bagaimana hakim Augustine Paul menggunakan kuasanya menghalang pasukan peguam Anwar membangkitkan perkara-perkara yang Paul fikirkan tidak relevan kepada prosiding mahkamah, semasa prosiding jenayah rasuah terhadap Anwar masih berjalan dulu.

Chelvarajah berpendapat bahawa skop atau bidang Akta Menghina Mahkamah yang dicadangkan oleh Majlis Peguam itu tidak boleh diluaskan untuk meliputi matlamat yang dikehendaki oleh pemimpin politik (We can't stretch contempt of court to cover things like that).

Pandangan Majlis Peguam negeri

Mengikut Pretam Singh, pengerusi Majlis Peguam Negeri bagi Negeri Sembilan, andainya seorang peguam itu membuat kenyataan politik yang ada kaitan dengan kes yang dikendalikan olehnya di mahkamah, adalah tidak wajar dan bertentangan dengan undang-undang jika tindakan diambil terhadap peguam tersebut atas alasan dia menghina mahkamah. Sebaliknya, jika seorang peguam itu membuat kenyataan politik yang tidak ada kena mengena dengan kes yang dikendalikannya di mahkamah, Pretam berpendapat bahawa peguam berkenaan harus dikenakan tindakan menghina mahkamah (lihat Utusan Malaysia, 12 Oktober 1999, di bawah tajuk berita Akta khusus hina mahkamah sesuai).

Presiden Persatuan Peguam Muslim, Zaitoon Datuk Othman, pula menyarankan supaya satu kajian terperinci dijalankan terlebih dahulu sebelum akta ini digubal dan dilaksanakan. Walaupun cadangan itu pada prinsipnya adalah baik, tambah Zaitoon lagi, kita tidak mahu prinsip keadilan terjejas kerana pihak yang berkenaan terlalu takut jika didakwa menghina mahkamah.

Saya fahamkan kata-kata Zaitoon itu sebagai bermakna bahawa ahli profesion guaman tidak akan boleh berfungsi dengan baik dan menjalankan tugas mereka kepada anak guam mereka dengan betul jika mereka sentiasa merasa tertekan kerana diselubungi oleh rasa ketakutan (under a climate of fear).

Amalan di UK

Jika kita teliti kandungan Akta Menghina Mahkamah 1981 UK, kita akan dapati bahawa antara matlamat utama akta itu digubal dan dilaksanakan di negara itu ialah untuk mengawal dan memberi satu garis panduan kepada para wartawan mengenai apa yang biasa disebutkan di kalangan pengamal undang-undang sebagai contempt publications.

Kita lihat misalnya bahawa di bawah akta itu hakim boleh menghalang akhbar dari menyiarkan apa-apa berita mengenai sesuatu kes yang sedang berjalan di mahkamah. Hakim juga boleh memerintahkan akhbar supaya menangguhkan penyiaran berita apa-apa perkara yang sedang dibangkitkan di mahkamah, andainya hakim berpendapat bahawa penyiaran perkara itu boleh memudaratkan (prejudice) perjalanan kes berkenaan.

Akta itu juga memberi kuasa kepada hakim untuk menghalang akhbar dari menyiarkan apa-apa berita mengenai sesuatu kes yang belum berjalan di mahkamah, tetapi akan dijalankan pada bila-bila masa (proceedings not under way but are imminent), supaya tidak berlaku apa-apa gangguan atau ugutan terhadap mana-mana saksi yang akan dipanggil dalam kes itu.

Akta itu juga memberi kuasa kepada hakim untuk menghalang akhbar dari menyiarkan apa-apa sahaja perkara tertentu berhubung sesuatu kes yang sedang berjalan. Di bawah akta UK itu juga, andainya seorang wartawan enggan memberitahu mahkamh sumber maklumatnya (source of information) atau menyerahkan benda-benda seperti filem atau gambar apabila diperintahkan oleh mahkamah, wartawan itu boleh dihukum kerana menghina mahkamah.

Rakyat negara ini sendiri telah melihat bagaimana hakim Augustine Paul menggunakan kuasanya menghalang media tempatan menyiarkan perkara-perkara tertentu semasa prosiding jenayah rasuah terhadap Anwar sedang berjalan dulu. Kewujudan akta akan menjelaskan lagi secara terperinci kuasa sedemikian itu.

Kesimpulan

Memang ada baiknya perkara yang belum jelas dijelaskan. Memang ada baiknya kesalahan menghina mahkamah, satu-satunya saki-baki jenayah berteraskan common law, dijadikan satu kesalahan jenayah berteraskan statut moden. Memang ada baiknya, andainya benar atau berasas persepsi unbridled powers seorang hakim (seperti yang dikatakan oleh Chelvarajah di atas), kuasa hakim itu diperincikan tentang had dan batasannya serta dikawal dari segi prosedurnya. Setidak-tidaknya, penjelasan sedemikian akan memudahkan semua hakim mengetahui apa sebenarnya had dan batasan kuasa mereka.

Memang ada baiknya dibuat pemisahan antara pelaksanaan tugas seorang peguam untuk membela anak guamnya di mahkamah dengan aktiviti serta usahanya untuk meningkatkan atau menguntungkan kerjaya politiknya.

Persoalannya ialah bagaimana mencari imbangan sebaik mungkin? Pada hemat saya, kumpulkan pendapat semua pihak yang ada kepentingan. Dengar dulu semua pandangan, baik yang pro atau yang kontra, sebelum satu rumusan dibuat atau keputusan dicapai. Tidak ada manfaatnya meluluskan suatu akta secara tergesa-gesa, apatah lagi jika ia didorong oleh suatu motif atau matlamat yang hanya berat sebelah - tidak kiralah berat kepada pihak mana sekalipun.