Best View With 800x600

Back to Homepage


Yasser pikul beban walaupun kepungan berakhir


SIKAP keras kepala Israel yang tidak mempedulikan desakan masyarakat antarabangsa untuk berundur dari wilayah Palestin yang didudukinya sejak dua bulan lalu mula mengendur kelmarin.

Akur dengan desakan Amerika Syarikat dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon dan barisan Kabinetnya dengan berat hati telah bersetuju untuk `membebaskan' Presiden Yasser Arafat yang dikepung di ibu pejabatnya di Ramallah sejak lebih lima bulan lalu.

Cadangan pengunduran tentera Israel dibuat setelah mencapai satu kompromi apabila pakar keselamatan AS dan Britain menawarkan untuk mengambil alih kawalan terhadap enam rakyat Palestin yang paling dikehendaki oleh Israel yang kini ditahan di ibu pejabat Yasser di Ramallah.

Sebagai tukaran, tentera Israel perlu berundur dari Ramallah dan Yasser diberi kebebasan keluar dari pekarangan pejabatnya untuk ke mana-mana sahaja wilayah Palestin di Tebing Barat dan Genting Gaza.

Sekutu paling rapat Sharon iaitu Presiden AS, George W. Bush menganggap persetujuan Israel untuk membebaskan Yasser sebagai `hari penuh harapan bagi Asia Barat.'

Bagaimanapun, pengakhiran kepungan itu hanya satu permulaan kepada beban yang perlu dipikul oleh Yasser kerana di bahunya kini terletak `tanggungjawab' yang berat.

Sebagai pemimpin Palestin, beliau dibebankan dengan harapan agar dapat menghentikan `keganasan' rakyat Palestin ke atas penduduk Israel seperti yang didakwa oleh Israel dan AS serta sekutu mereka.

Bush berkata, beliau mengharapkan satu tindakan drastik daripada Yasser untuk membendung semua keganasan yang dicetuskan oleh penduduk Palestin menerusi serangan berani mati mereka.

``Yasser kini telah bebas untuk ke mana sahaja dan bebas untuk kembali memimpin dan kita juga berharap beliau dapat melaksanakan tanggungjawabnya itu,'' kata Bush sebaik sahaja Israel menyatakan `persetujuannya' untuk meleraikan kepungan di Ramallah.

Seperti yang ditegaskan sebelum ini, pentadbiran Bush amat berharap untuk mendengar kecaman Yasser terhadap tindakan ganas serangan berani mati rakyat Palestin.

``Satu daripada perkara yang perlu dilakukan oleh beliau (Yasser) ialah mengutuk aktiviti ganas penduduk Palestin dan berusaha untuk membasmi kegiatan itu,'' tegas Bush.

Bush juga secara terang mengakui yang Yasser perlu `bekerja keras' untuk meraih rasa hormatnya kepada pemimpin Palestin itu.

Layanan double standard Bush terhadap Yasser begitu ketara apabila beliau menelefon Sharon tiga kali pada Sabtu lalu dalam usaha mendesak pengunduran Israel di Ramallah tetapi hanya membiarkan Setiausaha Negara AS, Colin Powell `menguruskan' Yasser untuk perkara yang sama.

Sewaktu Bush mengalu-alukan kunjungan Putera Mahkota Arab Saudi, Abdullah Abdul Aziz, para pemerhati melihat tidak ada usaha untuk Bush membuka tawaran bagi menjemput Yasser ke White House.

Namun pada masa yang sama, Sharon telah pun menyatakan hasratnya untuk mengunjungi White House untuk kali kelima bagi bertemu Bush dan Powell.

Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh pentadbiran Bush berkaitan usaha damai di Asia Barat lebih menjurus kepada `amaran dan ingatan' kepada Yasser.

Yasser lebih dilihat sebagai pencetus keganasan di Asia Barat walaupun pada waktu terkurung di pejabatnya di Ramallah, beliau tidak mampu berbuat apa-apa sementara Sharon dan Israel pula dikatakan mangsa `keganasan rakyat Palestin.'

Namun, sebelum Yasser mampu melaksanakan `tanggungjawab' tersebut, Israel telah menunjukkan belang sebenarnya.

Pengunduran tentera Israel di Ramallah tidak membawa erti kerana pada masa yang sama tentera Israel yang dibantu oleh kereta-kereta perisai dan helikopter tempur mula menceroboh dan menyerang bandar Hebron, juga di Tebing Barat.

Sembilan penduduk Palestin di bandar yang paling ramai penduduk di Tebing Barat itu terbunuh pada serangan terbaru Israel itu.

Sementara itu, penguasaan Israel juga masih diteruskan di Baitulaham sewaktu para diplomat AS berusaha keras mencari penyelesaian untuk menamatkan kepungan terhadap Gereja Nativiti - gereja yang dipercayai wujud sejak kurun ke-enam dan dipercayai sebagai tempat kelahiran Nabi Isa a.s.

Ketegangan semakin memuncak di sekitar gereja yang dikepung sejak 2 April lalu itu apabila tentera Israel menembak mati Nidal Abayat, 28, anggota Briged Jihad Al-Aqsa, sayap perjuangan pergerakan Fatah.

Nidal adalah seorang daripada 200 penduduk Palestin yang berlindung di dalam gereja berkenaan dengan 30 daripadanya dikatakan sebagai pengganas oleh Israel.

Walaupun `dimalukan' dengan tindakan Israel yang tidak menghiraukan desakan AS untuk berundur sepenuhnya dari semua wilayah Palestin, Powell masih menaruh harapan untuk memainkan peranannya sebagai pengantara damai di Asia Barat.

Sementara itu, sikap Israel yang masih melengah-lengahkan kemasukan misi pencari fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke kem pelarian Jenin turut mengusutkan usaha damai yang cuba diusahakan oleh Powell.

Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan yang diberi tempoh sehingga 30 April (semalam) untuk menyelesaikan kebuntuan itu nampaknya terpaksa bekerja keras dan turut menerima tekanan kerana sikap angkuh Israel itu.

Masyarakat antarabangsa nampaknya sudah bosan dengan sikap Israel dan penangguhan itu juga tidak boleh diterima oleh misi PBB ke Jenin seperti yang disuarakan oleh jurucakapnya, Stephane Dujarric.

``Kami masih menanti lampu hijau untuk masuk ke sana dan kami tidak mahu menanti lebih lama lagi,'' kata Dujarric.

 


Best View With 800x600

Back to Homepage

Yassin Revolution is created by  IT Student. Kibarkanlah Jalur Gemilang Ke Persada Dunia Dan Ingatlah Islam Itu Indah.

Allah The almighty  -Islam Is My Life-

All contents in Yassin Revolution Website are original. Any critics, comment or anything you want to send to the webmaster please send your e-mail to these address yasrev@yahoo.com