Best View With 800x600

Back to Homepage


Pesalah trafik mesti patuh

Saya tertarik untuk membicarakan topik bayaran saman dan Ops Warta II yang akan dilancarkan untuk memburu pesalah trafik yang gagal menjelaskan saman.

Saya menyokong tindakan pihak Polis Trafik melancarkan operasi tersebut bukan kerana saya tidak melakukan kesalahan trafik tetapi atas kesedaran sebagai seorang rakyat Malaysia.

Sebagai warganegara tulen, setiap rakyat harus menghormati undang-undang negara termasuk undang-undang jalan raya.

Untuk apa undang-undang digubal jika kita tidak mahu mematuhinya. Undang-undang harus dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat dan darjat siapa pun.

Saya merujuk kepada kes seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menerima 32 saman lalu lintas di antara 1997 hingga tahun lalu.

Kenapa kejadian seperti ini berlaku? Jawapannya kerana melanggar undang-undang.

Apakah undang-undang hanya harus dipatuhi oleh orang biasa sahaja. Orang berpangkat terutama pemimpin masyarakat boleh membuat sesuka hati.

Jika pemimpin sendiri melanggar undang-undang, bagaimana orang bawahan hendak menghormati pemimpin dan undang-undang.

Satu lagi kes di mana seorang pemandu lori dari Kuala Terengganu yang terpaksa menjual tiga ekor lembunya untuk menjelaskan 30 saman berjumlah RM4,000 dan seorang pemandu yang terpaksa meminjam wang daripada kawannya untuk menjelaskan saman.

Apa yang saya ingin pertikaikan di sini ialah pesalah-pesalah trafik menyalahkan pihak Polis Trafik kerana membiarkan mereka beratur panjang untuk membayar saman.

Saya ingin bertanya kepada pesalah-pesalah yang boleh dianggap sebagai `jahil' kerana terperangkap dalam malapetaka yang diciptanya sendiri.

Pertama kenapa anda tidak memikirkan masalah ini apabila anda melakukan kesalahan? Kenapa apabila sudah terpaksa beratur panjang, pihak Polis Trafik pula yang hendak disalahkan kerana gagal menyediakan tempat membayar saman yang banyak.

Kenapa apabila terima surat saman beberapa bulan dahulu, tidak cepat-cepat dibuat bayarannya? Kenapa harus tunggu sehingga hari-hari terakhir baru hendak ambil cuti sakit dan sebagainya semata-mata untuk membayar saman? Di sini jelas kepada kita bahawa pesalah-pesalah trafik ini memang mencipta kebodohan sendiri.

Janganlah kita berfikiran bahawa Polis Trafik tidak akan membuat tindakan susulan beberapa bulan selepas saman dikirimkan maka kita boleh menganggap kita sudah terlepas daripada membayar saman.

Saya berpendapat tindakan Polis Trafik bertujuan untuk memberi peluang kepada pesalah-pesalah trafik membayar saman tetapi pesalah-pesalah ini pula berasa mereka lebih berkuasa daripada undang-undang.

Satu perkara lagi yang saya ingin sentuh ialah kenapa pesalah-pesalah mempertikaikan pihak Polis Trafik gagal menyediakan tempat yang banyak untuk pesalah membayar saman.

Apa rasionalnya menyediakan tempat-tempat yang banyak jika pesalah yang membayar saman hanya membayar pada saat-saat akhir.

Apakah pesalah trafik tidak pernah terfikir berapa banyak kos untuk menyediakan tempat-tempat tersebut sedangkan ia digunakan untuk beberapa hari sahaja. Selepas itu ke mana alatan itu hendak dibawa.

Jika disimpan sahaja nanti pesalah akan mengatakan jabatan polis membazirkan wang rakyat dan apa-apa lagi.

Jangan kerana urusan perniagaan dijadikan alasan untuk melanggar undang-undang. Fikirkan pula tentang hak-hak pemandu-pemandu lain di atas jalan raya.

Adakah pesalah trafik akan bertanggungjawab jika berlaku malapetaka ke atas pemandu lain?

Orang yang tahu memandu laju melebihi had sedangkan dia tahu itu kesalahan dan mungkin menyebabkan kemalangan dan kematian boleh dikategorikan sebagai membunuh diri dan perbuatan ini adalah haram.

Apa pun, syabas saya ucapkan kepada Polis Trafik kerana menjalankan tugasan yang sangat baik apabila memburu pesalah trafik yang liat mematuhi undang-undang.

Jangan tunduk kepada sebarang desakan pesalah kerana masalah yang timbul bukan hasil tindakan Polis Trafik tetapi angkara kebodohan pesalah trafik sendiri.

Juga jangan tunduk kepada pemimpin yang tidak jujur serta jauhilah rasuah.

 

 


Best View With 800x600

Back to Homepage

Yassin Revolution is created by  IT Student. Kibarkanlah Jalur Gemilang Ke Persada Dunia Dan Ingatlah Islam Itu Indah.

Allah The almighty  -Islam Is My Life-

All contents in Yassin Revolution Website are original. Any critics, comment or anything you want to send to the webmaster please send your e-mail to these address yasrev@yahoo.com