Best View With 800x600
PRESIDEN Pervez Musharraf, seorang anggota tentera veteran dan bekas komando Pasukan Perkhidmatan Elit Khas, mengetahui bagaimana cara untuk memenangi sesuatu pertempuran.
Sekarang, beliau berjaya sepenuhnya mengaplikasikan kemahirannya dalam bidang politik melalui satu pungutan suara.
Pungutan suara itu telah memanjangkan tempoh pemerintahannya selama lima tahun lagi.
Bagaimanapun, jeneral dan ketua angkatan tentera itu yang merampas kuasa dalam satu rampasan kuasa aman pada tahun 1999 lalu menegaskan, beliau berbeza dengan diktator-diktator Pakistan lain.
Malah, beliau berjanji untuk memulihkan Parlimen melalui pilihan raya umum pada awal bulan Oktober depan.
Pungutan suara itu, kata beliau, akan hanya memastikan terdapat kesinambungan dalam reformasinya yang dilakukan untuk menamatkan rasuah dan kegiatan pelampau agama, memulihkan ekonomi dan membina asas `demokrasi tulen'.
Pervez merupakan lulusan dari Kolej Pegawai Pemerintah (CSC) di Quetta, Baluchistan, Pakistan. Beliau seorang anggota tentera yang handal dan mampu menyelesaikan masalah daripada isu kemiskinan kepada keganasan dengan sifat sebagai seorang anggota tentera yang agresif.
Pervez pernah menyaksikan perang Pakistan-India yang meletus pada tahun 1965 dan memerintah sebuah batalion infantri serta sebuah pasukan serangan.
Dengan mempunyai latar belakang akademik yang baik, Perves pernah berkhidmat di CSC dan memasuki Kolej Kajian Pertahanan Diraja Britain sebelum menjadi ketua tentera pada tahun 1998.
Karier ketenteraannya yang cemerlang mungkin tamat setakat itu sahaja sekiranya beliau tidak bermusuh dengan bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif yang pernah menjadikan Perves sebagai ketua tentera. Permusuhan Perves-Nawaz meletus, terutama berhubung cara Nawaz mengendalikan konflik Kashmir pada tahun 1998.
Perves merasa marah apabila Nawaz tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS) dan menamatkan konflik selama dua bulan ketika itu dengan memanggil semula tentera Pakistan - yang mendapat sokongan para pejuang Islam dari Kashmir, India.
Ketegangan memuncak pada bulan Oktober 1999 apabila Nawaz cuba untuk memecat seorang Jeneral kanan ketika Perves dalam perjalanan ke Sri Lanka.
Pervez berlepas pulang dengan segera dan mengarahkan tentera untuk menahan Nawaz dan separuh daripada anggota Kabinetnya.
Kemudian perintah darurat diisytiharkan, Parlimen dan perlembagaan digantung dan Nawaz didakwa dengan percubaan untuk menghalang pesawat yang dinaiki Perves daripada mendarat di Karachi ketika kapal terbang itu mula kehabisan minyak.
Nawaz disabitkan dengan kesalahan cuba merampas pesawat itu dan melakukan rasuah pada tahun lalu dan dihukum penjara seumur hidup.
Bagaimanapun, selepas campur tangan dari keluarga diraja Arab Saudi dengan syarat tidak melibatkan diri dalam politik Pakistan, Nawaz dibuang negeri.
Keadaan itu menyuburkan imej Pervez sebagai seorang `diktator yang lembut' terutamanya jika dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin Pakistan sebelum ini.
Dua tahun selepas Allahyarham Jeneral Zia ul-Haq berkuasa pada tahun 1977, Perdana Menteri yang disingkirkan, Zulfikar Ali Bhutto menjalani hukuman gantung sampai mati.
Keputusan Pervez untuk mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden pada Jun tahun lalu tergugat kerana ketika itu beliau masih lagi berada dalam rejim tentera.
Anggota-anggota Kabinet terdiri daripada orang awam tetapi kuasa paling berkuasa dalam negara ialah Majlis Keselamatan Negara yang mengandungi hanya ketua-ketua angkatan tentera.
Para penganalisis berkata, Pervez membuat keputusan berdasarkan kepada keputusan bersama dan sentiasa bersedia untuk berkompromi bagi memastikan terdapat konsensus di kalangan para komandernya.
Tidak seperti Zia, Pervez tidak melaksanakan sekatan terhadap akhbar-akhbar, walaupun tokoh-tokoh politik telah ditahan selama berbulan-bulan tanpa sebarang dakwaan seperti rasuah.
Reputasi Pervez sebagai seorang patriot yang setia, membantunya mengendalikan pasukan tentera elit. Para pemimpin politik pula bersama dengan beliau ketika menyebelahi Amerika Syarikat dalam perang memerangi keganasan walaupun mendapat tentangan daripada para pelampau Islam.
Namun, kemenangan Pervez dalam pungutan suara itu menyebabkan ramai rakyat biasa sedang tertanya-tanya, adakah beliau bukan seorang lagi Jeneral yang dahagakan kuasa?
Best View With 800x600
Yassin
Revolution is created by
Allah
The almighty -Islam Is My Life-
All contents in Yassin Revolution Website are original. Any critics, comment or anything you want to send to the
webmaster please send your e-mail to these address
yasrev@yahoo.com