Best View With 800x600
Keputusan kerajaan
mewajibkan semua pelajar pengajian Islam di institusi pengajian tinggi
(IPT) untuk mengambil sekurang-kurangnya satu mata pelajaran tambahan
dalam bidang lain boleh dilihat pada dua perspektif.
Pertama, langkah ini menunjukkan keprihatinan kita betapa sistem pendidikan agama kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat.
Kewajipan baru ini diharap mampu memberikan nilai tambah kepada lulusan agama supaya boleh sama-sama bersaing dengan lulusan daripada program pengajian lain.
Harapan kita, imej lulusan agama yang hanya layak berada di jabatan-jabatan agama atau dalam bidang pendidikan semata-mata akan dapat dikikis.
Kedua, dari aspek lain pula, keputusan Kabinet mewajibkan pelajar aliran agama mengambil subjek sains, sains sosial, undang-undang, perakaunan, ekonomi dan bahasa asing, selain bahasa Arab sebagai teras, juga boleh ditafsirkan kepada kebimbangan kerajaan terhadap lulusan pengajian Islam selama ini.
Lulusan agama nampaknya masih disempitkan dengan asas-asas teologi semata-mata yang menekankan sekadar pahala puasa, sembahyang, zakat dan haji.
Walaupun sejak kebelakangan ini kebanyakan fakulti di universiti tempatan telah pun mengamalkan dasar bebasnya untuk membenarkan pelajar mengambil subjek-subjek di luar pengkhususan masing-masing, sambutan terhadapnya masih dingin.
Kesepaduan ilmu wahyu dengan ilmu yang dihasilkan oleh akal manusia atau lebih tepat lagi percantuman antara ilmu dunia dan akhirat masih dianggap seperti campuran minyak dan air.
Justeru, langkah drastik mewajibkan percantuman ilmu dunia dan akhirat adalah tindakan terbaik bagi membolehkan lulusan pengajian Islam turut memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara.
Langkah ini juga penting dalam kita melahirkan cerdik pandai Melayu beragama Islam yang tidak terlalu jumud dan bersifat idealis serta terpisah daripada realiti masyarakat dan dunia sekelilingnya.
Bagi pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Siti Saudah Hassan, pelajar perlu mengambil peluang ini seluas-luasnya untuk bekalan diri pada masa hadapan.
``Ini bagi memastikan fikiran mereka lebih terbuka dan supaya mereka dapat pergi lebih jauh lagi dalam bidang pekerjaan selepas tamat pengajian,'' katanya.
Menurut Siti Saudah, sehingga kini, UKM memang menggalakkan pelajarnya untuk mengambil kursus-kursus di luar bidang pengajian masing-masing.
Cumanya sebelum ini tidak ada kuasa `paksaan' untuk mereka berbuat demikian sehingga menyebabkan mereka lebih selesa dalam dunia keagamaan mereka.
Jika ada pun pelajar yang berani keluar daripada kepompong fakulti masing-masing, mereka akan memilih jalan selamat dengan mengambil kursus-kursus sastera terutamanya daripada program-program pengajian sains sosial.
Perkara ini bagi Siti Saudah, tidak dapat dielakkan kerana kita tidak boleh mengharapkan pelajar pengajian Islam yang kebanyakannya daripada aliran sastera berani mengambil program pengajian berbentuk sains dan teknologi yang mereka sendiri tidak mempunyai asas.
``Mereka tidak mempunyai pendedahan dalam bidang sains dan teknologi sejak di peringkat awal.
``Sudah pasti mereka tidak `berani' mengambil kursus-kursus sedemikian,'' katanya.
Bagaimanapun bagi Siti Saudah, kini sudah terdapat sedikit perubahan terhadap lulusan pengajian Islam.
Buktinya kini, ketika menjalani latihan industri, pilihan mereka tidak hanya terhad kepada jabatan-jabatan agama semata-mata tetapi kini terdapat ramai di antara mereka yang memilih jabatan-jabatan lain, termasuklah di balai-balai polis.
``Malah kini sudah terdapat lulusan pengajian Islam yang bekerja di Jabatan Kastam, bahagian penguatkuasaan dan ada juga yang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang kaunseling,'' katanya.
Dengan dasar baru yang akan diperincikan oleh Kementerian Pendidikan tidak lama lagi, kita berharap lulusan agama akan lebih ke hadapan dan tidak hanya berada di pejabat-pejabat agama ataupun menceburi bidang pendidikan semata-mata.
Peranan mereka perlu jauh melangkaui hal tersebut.
Mereka harus sama-sama membantu dalam memberikan pandangan mengenai segala keputusan yang dibuat terutamanya berhubung sains dan teknologi.
Hakikat bahawa abad ke-21 akan didominasikan oleh tiga jenis ekonomi berasaskan teknologi komunikasi dan informasi (ICT), biomaterial dan bioteknologi (BBT) dan nanoteknologi (teknologi menghasilkan mesin-mesin halus yang beribu-ribu kali lebih kecil daripada cip-cip mikro yang wujud sekarang) adalah satu fenomena yang tidak boleh diketepikan.
Kita kini sedang dilanda gelombang ICT dan BBT. Era nanoteknologi sudah pun membenih dan kini sedang berkembang pesat.
Dalam perkembangan ini, kita tidak boleh sekadar menjadi pemerhati. Kita perlu turut melibatkan diri.
Dalam konteks ini juga, kita bukan sahaja memerlukan peranan saintis-saintis dan pakar dalam bidang ini untuk `memandu' negara memasuki era ini, tetapi kita juga memerlukan golongan agama supaya arah yang kita tuju itu adalah yang diredhai-Nya.
Ini kerana era ICT dan BBT memberikan pengajaran betapa kita bukan sahaja berhadapan dengan kecanggihan teknologinya tetapi juga melibatkan isu-isu etika yang juga pastinya tidak dapat lari daripada soal-soal agama.
Golongan berpendidikan tinggi agama perlu hadir dan memainkan peranannya di sini. Jika pun bukan sebagai penggerak atau pencetus kepada teknologi ini, peranan golongan berpendidikan tinggi dalam bidang agama ini penting dalam memandu arah supaya teknologi-teknologi baru yang bakal menguasai hidup kita kelak adalah selari dengan kehendak agama.
Untuk memainkan peranan itu, pengetahuan agama semata-mata tidak mencukupi. Mereka perlu melengkapkan diri dengan asas-asas ilmu sains dan juga ilmu-ilmu berkaitan dengannya bagi memahami dengan lebih mendalam perkembangan yang berlaku.
Justeru, langkah mencorakkan pendidikan Islam dan agama kepada satu bidang yang lebih holistik dan sepadu dengan membuka saluran sains dan teknologi yang lebih luas supaya dapat meresapi bidang agama adalah langkah tepat yang perlu dilaksanakan segera.
Kita sebenarnya agak kesuntukan masa dalam hal ini kerana dunia kini sudah pun menempuhi dua era iaitu ICT dan BBT. Tetapi kita masih belum terlewat.
Masih ada ruang waktu untuk kita melahirkan cendekiawan-cendekiawan berpendidikan Islam yang memahami lebih daripada dunia keagamaannya.
Best View With 800x600
Yassin
Revolution is created by
Allah
The almighty -Islam Is My Life-
All contents in Yassin Revolution Website are original. Any critics, comment or anything you want to send to the
webmaster please send your e-mail to these address
yasrev@yahoo.com