1.PERHIMPUNAN ZAPIN JOHOR 1996
2.PERKAMPUNGAN ZAPIN JOHOR 1997
3.FESTIVAL TARIAN TRADISIONAL ZAPIN NUSANTARA 1998
4.FESTIVAL ZAPIN JOHOR 2000
5.FESTIVAL KESENIAN MELAYU SEDUNIA 2001

FESTIVAL KESENIAN MELAYU SEDUNIA 2001
Kehadiran Tan Sri SM Salim tambah menceriakan malam persembahan juara-juara Pertandingan Ghazal dan Zapin Johor 2001 sempena Festival Kesenian Melayu Sedunia, baru - baru ini.

Walaupun beliau hanya mendendangkan dua buah lagu, sudah cukup memberi kepuasan kepada orang ramai di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru(MBJB) itu yang hadir untuk menyaksikan satu persembahan warisan budaya bangsa.

Kemunculannya di penghujung acara dengan lagu Zapin Budi dan Joget Kalau Ku Tahu menjadi kemuncak persembahan pada malam yang penuh warna-warni itu.

Dendangan Irama Malaysia yang diiringi tarian zapin gabungan artis budaya Yayasan Warisan Johor(YWJ), murid Sekolah Kebangsaan Perumahan Tampoi Johor Bahru serta dua kumpulan penari berbangsa India dan Cina menggambarkan betapa tarian tradisional kebanggaan Johor itu terus utuh dan popular.

Malah S M Salim semdiri berbangga kerana beliau diberi kesempatan untuk bersama menjayakan usaha melestarikan kesenian ini yang wajar terus dipelihara dan menggambarkan jati diri bangsa.

Persembahan bermula jam 8.30 malam dan turut disaksikan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman itu nyata menghiburkan dengan aksi penari zapin dan pemuzik ghazal membuktikan kehebatan mereka sebagai juara.

Bersesuaian dengan tradisi zapin yang berasal dari Hadramaut yang disebarkan oleh masyarakat arab serta mempunyai unsur-unsur kesenian Islam, persembahan dimulakan dengan bacaan qasidah oleh Abu Shah Abdullah, seorang penggiat seni di YWJ yang kemudian diikuti tari sambutan oleh penari YWJ yang melenggokkan tari zapin.

Pemenang tarian zapin kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi tinggi awam (IPTA) kemudian menguasai pentas yang dihias indah mempersembahkan tari zapin mereka.

Bermula dengan kumpulan murid dari Sekolah Kebangsaan Gelang Patah memperlihatkan lenggok zapin pekajang yang menggambarkan betapa tarian tradisional ini akan kekal dengan pewarisnya bermula dari peringkat kanak-kanak lagi.

Kumpulan Kesuma dari Universiti Malaya(UM) mengungguli kategori IPTA yang baru diperkenalkan tahun lalu kemudian mengambil tempat selepas juara kategori sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Bandar Penawar memperlihatkan kehalusan gerak tari mereka.

selepas persembahan pemenang kedua kategori terbuka ghazal, Kumpulan Sinar Emas Ghazal, Kluang, penonton kemudian berhibur dengan persembahan Kumpulan Sagar Tari zapin Zahepe dan Sharah Al Hidayah, Palembang, Sumatera Selatan yang masih banyak menerapkan unsur padang pasir.

Usaha menyeluruh kerajaan negeri Johor untuk menggilanggemilangkan seni tari zapin dan muzik ghazal pasti akan berterusan, apabila memperlihatkan bakat penyanyi licik bersuara lantang Nur Amira Zatika Ayub yang berusia lima tahun.

Lenggok suaranya ketika menyanyikan lagu Seri Mersing cukup memikat penonton dan beliau diyakini akan menjadi pewaris seni muzik ghazal dan seterusnya menyemarakkannya pada masa akan datang.

Selepas puas dengan lagu Nur Amira, penonton kemudian dihiburkan dengan aksi pemenang zapin kategori warga industri iaitu kumpulan Nemic Lamda, diikuti persembahan warga guru Jabatan Pendidikan Johor Bahru yang mengungguli kategori Jabatan Kerajaan dan kumpulan Sri Laduni Mukim Gemas, Batu Enam, Segamat yang menjuarai kategori mukim.

Juara ghazal kategori remaja iaitu kumpulan Sri Pantai Mersing dan juara kategori terbuka iaitu Ghazal Seri Warisan batu Pahat kemudian mengambil alih untuk menghiburkan dengan nyanyian yang lemak merdu.

Penonton kemudian terhibur dan bersorak apabila melihat aksi menarik Kumpulan Kajanglako darui Jambi Indonesia yang membawa tari zapin Kampung Manggis yang menjadi identiti penduduk daerah itu.

Selain itu, persembahan Kumpulan Japin Pesisir Barito Kuala dari Kalimantan, Indonesia juga unik dengan tari zapin mereka yang memperlihatkan betapa zapin adalah tarian tradisi yang unik dan mempunyai identiti bagi setiap wilayah di Nusantara.

Pemenang tari zapin kategori terbuka, Kumpulan Dana Anak Johor juga hebat dengan persembahan mereka sebelum penonton menyasikan S M Salim ditandu ke pentas.

Seniman itu kemudiannya mengakhiri pesembahan yang diadakan sempena Festival Kesenian Melayu Sedunia yang diadakan minggu lalu.

Sumber :
ZAPIN TAK LAPUK DEK HUJAN
-Mohd Ramzy sanny
HARIAN METRO, ISNIN, 8 OKTOBER 2001 MS/6 & 7

FESTIVAL ZAPIN JOHOR 2000
Festival Zapin Johor 2000 ini adalah salah satu program anjuran Kerajaan Negeri Johor yang dikelolakan oleh Yayasan Warisan Johor secara berterusan sebagai acara tahunan dalam usaha untuk menggemerlapkan lagi kegemilangan ZAPIN MELAYU JOHOR di kalangan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama dan sokongan Jabatan-jabatan Kerajaan yang berkaitan telah berjaya melaksanakan beberapa program sebelum ini seperti:
1. Perhimpunan Zapin Johor 1996.
2. Perkampungan dan Pertandingan Zapin 1997.
3. Perhimpunan Zapin Nusantara 1998.
4. Festival Zapin Johor 1999.

Aktiviti-aktiviti tersebut telah mendapat sambutan yang hangat dan membanggakan daripada kalangan masyarakat Johor dan luar Johor. Dianggarkan seramai lebih 3,000 orang menyaksikan persembahan zapin pada setiap malam festival-festival zapin tersebut diadakan. Oleh itu, pada masa-masa akan datang diharapkan festival seperti ini akan lebih mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat tempatan.

OBJEKTIF

Mengalakkan kewujudan kumpulan-kumpulan zapin dari daerah-daerah, mukim-mukim, jabatan kerajaan dan sekolah-sekokah di Negeri Johor.
Meningkatkan mutu persembahan kumpulan-kumpulan zapin.
Meningkatkan kefahaman dan kesedaran tantang tanggungjawab untuk memelihara dan memperkembangkan warisan budaya.
Memberi peluang kepada peserta menunjukkan bakat dan kreativiti seni dengan mempamerkan kualiti seni yang bermutu tinggi.

PELAKSAAN

Pertandingan ini dikategorikan kepada kategori:
1. Sekolah Rendah,
2. Sekolah Menengah,
3. Terbuka,
4. Jabatan Kerajaan,
5. Kumpulan Mukim.

Festival Tarian Tradisional Zapin Nusantara 1998
PEMERINTAH Malaysia akan mengkaji, mengembangkan dan melestarikan tari zapin dengan menggelar Festival Tari Zapin Nusantara di Johor Baru, Malaysia, Oktober 1998 mendatang.

Festival yang diselenggarakan untuk ketiga kalinya itu akan diikuti oleh Indonesia dan Brunai Darussalam, negara-negara yang seni budayanya mendapat pengaruh pada seni budaya Melayu.

Penasihat festival, Prof Madya Dr Mohammad Anis Mohammad Nor, kepada Pembaruan di Jambi baru-baru ini, mengatakan, diikutsertakannya Indonesia dan Brunai Darussalam dalam festival karena di kedua negara masih terdapat benih-benih tari zapin.

Mohammad Anis datang ke Jambi untuk mengamati perkembangan tari zapin bersama tiga orang stafnya. Ia mengatakan, tari zapin masih hidup di 20 provinsi di Indonesia, di antaranya di Sumatra, Jawa, Kalimantan dan di beberapa daerah Indonesia bagian timur.

''Tari zapin lebih berkembang dan terpelihara di Sumut, Riau, Jambi, Sumbagsel, dan Kalbar. Karena itu panitia secara khusus mengundang kelima provinsi tersebut menyemarakkan festival yang bernuansa tradisional dan unik,'' katanya.

Dijelaskan festival itu benar-benar dimaksudkan untuk menggali, mengembangkan dan melestarikan tari zapin yang ada di negara-negara yang akar budayanya tidak terlepas dari seni budaya Melayu seperti Indonesia dan Brunai.

Dalam festival juga akan dilaksanakan seminar tentang tari zapin, magang seni tari zapin dan pergelaran seni budaya Melayu.

Mohammad Anis mengatakan, tari zapin sebenarnya berasal dari Arab. Tari-tarian tradisional bernuansa Islami ini berkembang di negara-negara berbudaya Melayu karena di negara-negara itu cukup banyak tersebar bangsa Melayu keturunan Arab.

Koordinator Tim Kesenian Tingkat I Jambi, Kiki Fikri, mengatakan, tarian zapin di Jambi ada tiga macam, yaitu zapin sarah yang berkembang di Kampung Manggis, zapin Arab di Desa Arab Melayu dan zapin dana bedana dikembangkan Tim Kesenian Tingkat I Jambi.
PERKAMPUNGAN ZAPIN JOHOR 1997
Yayasan Warisan Johor melalui program keseniannya telah berjaya menganjurkan Perkampungan Dan Pertandingan Zapin Johor 1997 pada 21 hingga 22 Oktober 1997 bertempat di Stadium Perbandaran Pasir Gudang Johor. Pertandingan yang bersifat festival ini bertujuan untuk mendedahkan Seni Zapin Johor secara meluas kepada peserta-peserta dengan pengisian acara yang rapi sepanjang tenpoh ianya diadakan. Peserta-peserta termasuk ketua rombongan jurulatih, guru-guru pengiring, penari-penari dan pemuzik telah diwajibkan untuk mengikuti acara-acara yang dianjurkan oleh penganjur sebelum pertandingan pada waktu malamnya. Antaranya ialah sesi keilmuan, sesi latihan, raptai yang diadakan di Kolej Tun Hussein Onn, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.

Pertandingan yang berlangsung selama dua hari ini memperlihatkan kehebatan 15 kumpulan yang terpilih mewakili daerah-daerah di negeri Johor. Mereka terdiri daripada :
1. Kumpulan Suriani, Mersing
2. Kumpulan Rakan Seni Budaya, Mersing
3. Kumpulan C.R.G., Kluang.
4. Kumpulan Seri Remaja,Kluang.
5. Kumpulan Cempaka Sari, Johor Bahru.
6. Kumpulan sek.Men. Permas Jaya, Johor Bahru.
7. Kumpulan Dato' Bentara Luar, Batu Pahat.
8. Kumpulan Tunas Budaya, Batu Pahat.
9. Kumpulan Sek.Men. Laksamana, Kota Tinggi.
10. Kumpulan Majlis Kebudayaan, Kota Tinggi.
11. Kumpulan sek.Men Sultan Abu Bakar, Muar.
12. Kumpulan Sri Matahari, Muar.
13. Kumpulan Wardina, Pontian.
14. Kumpulan Sri Mandakini, Pontian.
PERHIMPUNAN ZAPIN JOHOR 1996
Johor mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan seramai 800 orang penari zapin dari lapan daerah di Negeri Johor untuk membuat persembahan beramai-ramai di Perhimpunan Zapin Johor 1996 do Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru pada 29 November 1996. Persembahan yang berkonsepkan "Impian Pelangi" ini mendapat tepukan gemuruh dari para penonton yang menyaksikan persembahan tersebut. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato' Haji Abdul Ghani Othman.

Malam gilang-gemilang itu berjaya memperlihatkan kehebatan penari-penari zapin negeri yang masih mampu mempertahankan budaya bangsa dan membuktikan liuk lintuk tarian zapin tetap diminati meskipun terpaksa bersaing dengan budaya Barat yang kian menular.

Sebelum ini pihak penganjur, Yauasan Warisan Johor telah melaksanakan satu program iaitu Kursus Guru-guru Tari Zapin yang diadakan di Gunung Ledang Resort pada 9 hingga 13 April 1996 di bawah kelolaan Prof. Madya Dr. Mohd. Anis Mohd. Noor.