LONGGOK 7

(puisi-puisi karya zizie ali )

 

MAKI SANG PENYAIR

 

aku masih lapang dada

hanya andai sekadar

cintamu tersandar

pada bahtera,

namun bila kau laungkan

cintamu tetap membara

pada nakhoda tua

yang saban detik

menjilat lendir noda,

nyahlah kau segera

kita tidak perlu bicara.

 

ZIZIE ALI

19.4.2000

 

DARAH..DARAH..DARAH

 

dalam piring

ku lihat darah

dalam cawan

ku lihat darah

dalam cermin

ku lihat darah

darah..darah..darah..

 

ZIZIE ALI

15.4.2000

 

ALGOJO PALING SADIS

 

esok,

mari kita saksikan

wajah algojo paling sadis,

topengnya mula terhakis

selapis demi selapis.

 

ZIZIE ALI

13.4.2000

 

KERANA ANCAMAN

 

kalaulah tidak ramai yang datang

usahlah kau berhati walang,

mereka mengancam

untuk membunuh kami,

kami sayang nyawa kami.

 

ZIZIE ALI

13.4.2000

 

PEMIMPINMU

 

aku tidak pernah mendoakan

agar matinya dalam kehinaan,

aku tidak pernah punya cita

untuk kencing di kuburannya.

 

ZIZIE ALI

13.4.2000

12:10 am

 

PENUDUH TERHORMAT

 

seperti biasa

dia tidak memerlukan dalil

untuk menuduh,

kerana dia sudah dinobat

sebagai penuduh terhormat.

 

ZIZIE ALI

12.4.2000

 

KALIMAH KHABITSAH

 

umpama tumbuhan nan jelek

tumbuh seenaknya

namun akar hanya menempel

di permukaan tanah,

memadai rentapan santai

untuk membongkar segala akar.

 

ZIZIE ALI

12.4.2000

 

 POLITIK RINGGIT

 

berapakah harga

jala yang ditebar

untuk mempastikan

dia tidak dicabar.

 

ZIZIE ALI

11.4.2000

 

USUL DI MAJLIS TERTINGGI

 

yab ds presiden mengusulkan

agar ayat Allah

dicampak ke bakul sampah,

siapa berani membantah?

 

ZIZIE ALI

9.4.2000