klik pada latarbelakang-indeks

LATAR BELAKANG SEKOLAH

Sekolah ini asalnya bernama Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Endau. Sekolah ini dibuka pada 10.01.1965. Pada masa itu, sekolah ini belum ada bangunan sendiri dan menumpang di Sekolah Kebangsaan Perempuan Endau. Pada Januari 1966, pelajar-pelajar sekolah ini terpaksa menumpang di Balai Raya Endau.

Awal Oktober 1967, bangunan sekolah ini telah siap dibina dan boleh digunakan. Bangunan ini mempunyai 2 blok bangunan yang mengandungi 8 bilik darjah, sebuah makmal sains, sebuah bilik seni perusahaan dan sebuah bilik sains rumahtangga. Sekolah ini diberi nama Sekolah Menengah Ungku Husin (SMUH) Endau, Johor. Nama ini diambil sempena nama seorang tokoh tempatan yang pernah menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya Endau yang ketiga, bergelarOrang Kaya Shahbandar Endau. Beliau bertanggungjawab membuka dan membangunkan kampung-kampung di sekitar Endau.

Pada bulan September 1974, sekolah ini dijangka mendapat satu blok bangunan tambahan yang mengandungi 6 bilik darjah, sebuah perpustakaan, 2 makmal sains, pejabat, kantin dan tempat basikal. Namun pembinaannya tergendala. Akibatnya seramai 120 orang pelajar terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar, Endau yang jauhnya 5 km dari sekolah ini. Pada awal 1976, pelajar-pelajar tersebut menumpang di Sekolah Kebangsaan Bandar Endau. Pada bulan Mac 1976, bangunan yang terbengkalai telah siap dan dapat digunakan.

Pada 7.7.1977 sekolah ini dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran. Di awal tahun 1982, dibina satu lagi blok bangunan tiga tingkat yang mengandungi 9 bilik darjah, 4 makmal sains dan sebuah tempat letak basikal. Bangunan ini digunakan pada penggal kedua 1983.

Pada bulan April 1990, dibina satu blok bangunan tiga tingkat yang mengandungi 12 bilik darjah, 3 buah makmal sains, 5 buah stor dan 2 buah tandas. Bangunan ini digunakan pada 1 Disember 1991.