From Harakahdaily http://harakahdaily.com

Penduduk minta BN tunaikan janji

Penduduk kampung Mambang Burlang, dalam Dun Sanggang, Mentakab, menuntut pemimpin Umno segera menunaikan janji yang dibuat sejak pulohan tahun untuk membina jambatan kampung bagi kemudahan penduduk.

Penduduk kampung Mambang Burlang dan dua kampung berhampiran iaitu Kampung Sungai Dingin dan Kampung Gantuk terpaksa menggunakan jambatan gantung yang sudah usang dan hanya boleh dilalui motor dan basikal sahaja.

Menurut penduduk, akibat daripada ketiadaan jambatan menyebabkan kampung mereka ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi berasaskan pertanian kampung walaupun pada hakikatnya mereka sangat hampir dengan bandar Mentakab.

Selain itu, rungut penduduk harga tanah penduduk yang kesemuanya masyarakat Melayu tidak setanding dengan harga tanah berhampiran kawasan bandar yang lain. Pak cik Isa Dolah, projek jambatan biasa sudah lama dipohon dan dijanjikan wakil-wakil rakyat Umno/BN terutama setiap kali menjelang pilihanraya namun sehingga kini janji tinggal janji.

"Penduduk telah berada dalam kesukaran terutama apabila ditimpa musibah yang memerlukan pengangkutan segera. Memang ada jalan darat melalui Kampuny Paya Tambang ke Kampung Songsang tetapi terlalu jauh," katanya. Haji Ismail Jah atau lebih dikenali sebagai Pak cu Mail berkata Kampung beliau telah didiami penduduk sejak sebelum perang Jepun lagi tetapi sehingga kini pihak pemerintah gagal menggadakan kemudahan kepada rakyat.

"Kami merasa kesal kerana pemimpin (wakil rakyat) Umno/BN gagal menyelesaikan masalah menyebabkan penduduk sukar memajukan projek pertanian apabila berhadapan dengan masalah pengangkutan. "Kalaulah wakil rakyat Umno/BN nak beri kemajuan kepada orang Melayu, disini semua Melayu.

Tanah kami tak ada nilai berbanding tanah yang setraf jaraknya dengan kawasan bandar, tetapi sampai kini tak berjaya. "Seingat saya, dulu masa nak pilihanraya tahun 1995, sibuk nak buat jambatan di Kampung Gantok, masa itu rumah kongsi (rumah pekerja jambatan) telah dibuat, tanah telah dirata, bila habir pilihanraya hilang entah kemana, orang kampung tetap kena tipu," katanya kesal.