From Harakahdaily http://harakahdaily.com Pengundi DUN Sanggang protes Pengundi di Dun Sanggang berjanji memprotes kepimpinan pemerintah Umno/BN yang dianggap bertanggungjawab menangguhkan Kuliah agama di masjid seluruh Pahang dengan cara mengalahkan calon Umno/BN pada pilihanraya kecil, satu April akan datang. Rata-rata pengundi ditemui pada tinjauan Harakah beberapa hari lalu, melahirkan kekesalan kerana menurut mereka tindakan menangguhkan kuliah sebagai usaha 'memadamkan cahaya keimanan' dan beranggapan sebagai usaha meneruskan penyuburan jiwa sekularisma rakyat. Awal Febuari lalu semua kuliah agama di masjid dan surau seluruh Pahang ditangguhkan atas arahan melibatkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Agama Islam Negeri dan Pejabat Agama Islam Daerah. Ada kalangan warga tua menitiskan air mata mengenangkan nasib ilmu dan iman atas perkara sedemikian sedangkan tekanan sedemikian tidak pernah berlaku sepanjang zaman, hatta dizaman penjajahan. Mereka juga kesal kerana konsep penerapan nilai-nilai Islam sebagaimana yang dilaung-laungkan pemimpin Umno/BN sebagai pembohongan dalam usaha memanis dimulut mengabui pandangan rakyat tentang Islam konon yang mereka perjuangkan. Dalam pada itu, Umno/BN dipercayai telah mengesan sentimen rakyat terhadap tindakan menangguhkan kuliah di masjid apabila dengan tiba- tiba mengerakkan program yang dinamakan dakwah berkampung bagi masjid- masjid di Dun Sanggang. Menurut pengundi, program yang dianjurkan atas nama Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh itu dianggap lebih mirip kearah memulihkan imej Islam Umno yang kian busuk. Mereka meletakkan program sebagai missi politik dan mempertikaikan perlaksanaan dibuat dalam Dun Sanggang sahaja dan saat menghadapi pilihanraya kecil. Harakah menerima maklumat 24 masjid di Dun Sanggang telah menerima jadual perlaksanaan khursus dakwah berkampung yang bermula 19 Mei lalu. Selain itu, Harakah juga difahamkan peruntukan segera disalur bagi mengalih tumpuan agar pengundi Dun Sanggang khususnya dan rakyat keseluruhannya tidak lagi sensitif dengan larangan penangguhan kuliah. Walau bagaimana pun tindakan tersebut tidak berjaya kerana isu tersebut semakin rancak diperkatakan. Pak cik Kamaruzaman Khatib Zuki berumur 70 tahun, dari kampung Tanjong Perah, sedih mengenangkan nasibnya dan anak bangsa yang semakin ditekan untuk mendapatkan ilmu keimanan. Menurut Pak Cik Kamaruzaman, beliau sering mengikuti kuliah tafsir di masjid Bandar Kerdau tetapi kini tiada lagi kerana larangan. "Pak cik sudah tua, Pak cik dapatkan ilmu hanya di surau dan masjid sejak kecil lagi, kini surau dan masjid bukan lagi tempat untuk Pak Cik mendapatkan ilmu, dalam usia setua ini apa daya untuk menambah ilmu bagi menamatkan usia jika masjid dan surau bukan tempatnya," katanya sedih. Lebih menyedihkan, apabila Pak Cik Kamaruzaman mengenangkan nasib anak muda bangsa yang akan terus berada dalam kejahilan kerana tidak lagi berpeluang menuntut ilmu. "Sekarang ini tempat untuk mendapatkan ilmu bagi penduduk kampung di masjid dan suraulah, itu pun anak muda susah nak datang, bila masjid dan surau tutup bertambah gelaplah anak muda dengan ilmu, ini yang paling menyedihkan," katanya. Bilal Surau Kampung Baru Sanggang, Tuan Haji Yusof Imam Ismail, 60 juga meluahkan perasaan yang sama. Beliau yang pernah bertugas sebagai Khatib, Bilal dan Imam Ganti di Masjid Sanggang melahirkan rasa terkejut dengan tindakan menangguhkan kuliah dan menggangapnya tindakan tidak wajar. "Tindakan sedemikian akan melahirkan putus asa orang kampung dan ahli khariah untuk mendapatkan ilmu Islam," katanya Haji Yusof berharap larangan ditarik segera kerana menurutnya jika larangan berterusan akan menjahilkan umat. Bilal Masjid Kampung Bintang, Mohd Jaafar Abdul Rahman Imam Lias, 60, memberitahu usaha menambah keilmuan ahli khariah atau pun penduduk kampung yang berkesan hanyalah melalui kuliah di masjid dan surau- surau. Menurutnya, jika larangan berterusan sudah tentu kefahaman ahli khariah dengan ilmi Islam akan terjejas. Di Kampung saya terdapat empat kali kuliah dalam seminggu, inilah ruang untuk memberi dan mendidik ahli kharias dengan ilmu tan tarbiyah Islam, sekarang ini semua tutup, apa nak jadi," katanya. Saudara Ghazni Aziz dari Kampung Telok Sentang berkata Umno sama sekali tak berwibawa untuk mendukung Islam apabila menonjolkan tindakan yang tidak wajar terhadap aktiviti keagamaan dalam pemerintahan. "Tindakan Menangguhkan kuliah sebagai strategi mereka terhadap golongan belia agar tidak memahami politik Islam sebaliknya memperkukuhkan arus sekularisma perjuangan Umno," jelasnya. Beliau juga mahu pengundi-pengundi yang cintakan agama agar bertindak menolak calon Umno pada pilihanaraya kecil nanti. "Kita tak perlu melanjutkan masa kita dengan lunak kata pemimpin Umno/BN yang semakin hari semakin keterlaluan," katanya. |