From Harakahdaily http://harakahdaily.com Tuduh PAS tidak ikhlas - MCA dicabar buktikan Naib Presiden MCA, Dato' Ong Ka Ting dicabar membuktikan PAS 'bermain wayang' dengan masyarakat Cina di Kelantan dan Terengganu dan bukannya sekadar mengeluarkan kenyataan politik yang tidak berasas. Ketua Unit Kajian Antara Kaum, Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Hu Pang Chau berkata, pemimpin terbabit tidak boleh mengeluarkan kenyataan sembrono tanpa bukti kukuh. "Saya cabar pemimpin berkenaan membuktikan semua dakwaan itu, kalau tidak mampu saya minta dia meletak jawatan sebagai seorang menteri kerana tidak bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dikeluarkan," katanya ketika dihubungi di Sanggang, hari ini. Isnin lalu, sebuah akhbar dipetik melaporkan Ong Ka Ting sebagai berkata, MCA akan membuktikan kepada masyarakat Cina bahawa PAS melaksanakan pemerintahan liberal di Kelantan dan Terengganu menyebabkan disukai semua kaum sebenarnya satu muslihat semata-mata. Menurutnya, PAS sebenarnya tidak ikhlas kerana matlamat mereka untuk memancing undi kaum Cina yang selama ini tidak menyokong parti itu. Hu Pang Chau berkata, pihaknya mempunyai bukti jelas kerajaan PAS mengamalkan sikap liberal dan terbuka terhadap masyrakat Cina di Kelantan sejak lebih sembilan tahun lalu. "Sepanjang pemerintahan PAS tidak ada sebarang aktiviti kebudayaan atau agama masyarakat Cina yang dilarang kerajaan PAS. "Malah kehidupan masyarakat Cina lebih selesa lagi kerana tidak terikat dengan banyak peraturan seperti yang pernah dialami semasa kerajaan Barisan Nasional sebelum 1990," katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, pemimpin terbabit tidak perlu menipu rakyat kerana semua pihak tahu keadaan sebenar MCA dan parti-parti kompenan BN yang lebih gemar mengamalkan kronisme dan janji manis. Beliau yang juga bekas wartawan akhbar berbahasa Cina turut mempersoalkan keikhlasan MCA memperjuangkan nasib orang Cina di negara ini. "Apakah MCA berani menuntut kepada Umno terhadap tambahan kuota menteri setelah BN mendapat sokongan masyarakat Cina pada pilihan raya umum lepas. "Kita sedia maklum Umno menerima kemerosotan undi yang begitu ketara sekali pada pilihan raya umum lalu, dan peluang terbaik MCA mengemukakan tuntutan mengisi kuota menteri dalam kabinet Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad," ujarnya. Selain itu, beliau turut mempersoalkan perjuangan sebenar MCA untuk memastikan kuota pelajar-pelajar Cina yang cemerlang berpeluang melanjut pelajaran ke universiti awam di negara ini," tambahnya. Menurutnya, sehingga kini tidak kelihatan apa yang diperjuangkan oleh MCA untuk masyarakat Cina kecuali kepentingan segelintir pihak yang dekat dengan pemimpin sahaja. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hu Pang memberitahu peluang PAS untuk memenangi pilihan raya kecil di Sanggang cukup terbuka luas memandangkan kesedaran masyarakat Cina dan pengundi baru terhadap kerajaan BN sekarang yang cukup meresahkan orang ramai. Menurutnya, banyak tindakan yang dilakukan kerajaan BN mencemaskan rakyat termasuk menyekat kebebasan akhbar dan mendakwa pemimpin yang pro pembangkang serta memastikan tokoh Umno tidak terdedah kepada pendakwaan. Pada pilihan raya kecil Sanggang 1 April ini dijangka kira-kira 15,276 pengundi termasuk 32.3 peratus pengundi Cina akan mengundi bagi memilih wakil rakyat di kawasan tersebut. PAS diwakili Pengarah Urusan Harakah, Dato' Hishammuddin Yahya dan BN, Redzwan Harun. Hu Pang berkata, beliau bersama rakan-rakan dari Kelantan akan menemui masyarakat Cina di Sanggang untuk menjelaskan keadaan sebenar kehidupan kaum Tionghua di negeri ini. Menurutnya, sebelum ini banyak propaganda termasuk dilakukan MCA dan Umno bagi mengelakkan masyarakat Cina mendekati perjuangan PAS. |