PEMIMPIN; RESPONDEN PALING BEBAL (ISU MESIN PERMAINAN VIDEO)

Pendekar-pendekar kerajaan bertempikan lagi untuk menunjukkan siapa yang paling bodoh di antara mereka. Kali ini isu mesin permainan video pula yang menjadi mangsa. Kebetulan, pada masa artikel ini ditulis, berbondong-bondong tauke mesin permainan judi menutup premis masing-masing buat beberapa ketika sementara menunggu 'suhu' badan pendekar-pendekar ini menjadi 'suam'.

Tindakan kerajaan mengharamkan secara total premis-premis permainan video ini sekali lagi menunjukkan pemimpin-pemimpin mereka tidak pernah turun hingga ke akar umbi bagi menyelidik punca sebenar gejala-gejala sosial yang dikatakan faktor utama yang menyumbang kepada pengharaman premis video terbabit. Apakah kerajaan boleh menafikan gejala sosial dengan tindakan tersebut? Apakah kerajaan mengkaji sedalam-dalamnya punca gejala sosial itu? Apapun jawapan yang diberi, jelas di sini bahawa pemimpin kerajaan tidak lagi mampu untuk mendefinisikan dengan baik maksud sebenar gejala sosial.

Pengharaman kerajaan tentang mesin video perjudian amatlah wajar dan disokong oleh semua pihak. Walau bagaimanapun apabila kerajaan turut mengheret permainan video yang tidak berunsur perjudian ke dalam gelanggang ini, terlihat sikap kerajaan yang amat sinonim iaitu melatah melebih-lebih. Idea di sini bukan bermakna kita menyokong atau membantah pembukaan premis permainan video. Itu masuk dalam surah yang lain. Yang menjadi pokok adalah keikhlasan kerajaan untuk menangani gejala sosial.

Pengharaman atau penghalalan sesuatu perkara itu mesti didasarkan dengan bacaan yang mendalam. Bacaan ini hendaklah dibuat oleh mereka yang arif tentang struktur sosial dan terdiri daripada ahli yang mengkajinya. Mereka inilah yang layak untuk berbicara tentang gejala sosial dan puncanya. Bukannya para pemimpin yang hanya keluar TV dan suratkhabar apabila timbul sesuatu isu dan tenggelam apabila isu itu reda. Mereka ini berkepentingan untuk mencari tempat dalam ruang politik mereka sendiri.

Adakah pemimpin kerajaan sedar bahawa punca sebenarnya berlaku gejala sosial di Malaysia adalah daripada mereka? Mereka-mereka inilah sebenarnya yang membolot kekayaan negara melalui amalan rasuah, korupsi, nepotisma dan sebagainya hingga memaksa rakyat miskin untuk merempat mencari rezeki di negara yang serba mewah ini. Struktur masyarakat yang majoritinya masih susah memungkin pelbagai situasi berlaku untuk memastikan perut mereka diisi dengan sesuap nasi, semangkuk bubur ataupun sekeping capati.

Anak-anak mereka yang terbiar tanpa disediakan tempat rekreasi yang khusus oleh kerajaan biasanya akan mencari tempat bersantai yang murah, percuma dan jauh dari leteran ibubapa. Inilah yang menyebabkan mengapa mereka berkumpul beramai-ramai untuk bersosial di beberapa tempat antaranya pusat permainan video. Pusat-pusat ini menjadi tumpuan kerana disinilah tempat mereka merehatkan fikiran serta berhibur bersama kawan-kawan.

Pusat rekreasi yang diwujudkan oleh kerajaan memang banyak. Pusat rekrerasi yang dimaksudkan pula hendaklah sesuai dengan jiwa anak muda. Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohammad semasa zaman remaja tentu sekali tidak berminat untuk lepak di taman-taman bunga selepas habis waktu sekolah. Mereka akan mencari tempat yang sesuai dengan jiwa dan kemampuan mereka. Begitu juga dengan anak muda sekarang. Mereka mahukan sesuatu bentuk hiburan yang mencabar dan lain daripada yang lain.

Tetapi kebanyakan prasarana yang disediakan hanya sesuai digunakan oleh golongan dari kelas menengah dan atasan. Mereka yang berpendapatan rendah tidak mampu untuk menikmati kemudahan-kemudahan ini. Mana mungkin seorang anak seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai penjaga tandas awam mampu untuk lepak di Sunway Lagoon atau menonton wayang di pawagam GSC Mid Valley.

Gejala sosial yang berlaku dalam mana-mana negara berkait rapat dengan keadaan sosial dan ekonomi masyarakat berkenaan. Bukanlah bermakna setelah premis permainan video diharamkan, maka remaja-remaja ini beramai-ramai akan menangis bercucuran air-mata menyesali perbuatannya pada masa dahulu. Tidaklah bermakna apabila permainan video diharamkan, maka negara akan mempunyai belia yang bersedia untuk memimpin negara. Dan yang paling utama, bukanlah dengan menutup premis-premis ini, maka parti politik tertentu akan meningkat bilangan keahliannya.

Paling menonjol kebebalannya adalah Presiden GPMS, Dato Suhaimi Ibrahim yang turut menyeru kerajaan supaya menutup premis snuker. Baru beberapa bulan lepas Menteri Belia Sukan bertitah bahawa kerajaan akan mengkaji semula had umur masuk ke premis snuker bagi menarik minat ramai remaja untuk menceburi sukan snuker. Jelas sekali Suhaimi tidak dapat menyelam ke dasar sesuatu masalah yang melibatkan belia. Dia menganggap premis-premis ini sebagai punca rosaknya belia negara hari ini. Watak Presiden GPMS kali ini hanyalah watak yang murah yang boleh dilakonkan oleh sesiapapun yang terdesak untuk mencari populariti murahan.

Apakah pusat permainan video lebih memudaratkan masyarakat berbanding kedai nombor ekor atau pelacur di Lorong Haji Taib yang bekerja pada malam Jumaat? Kenapa tidak diharamkan sahaja perkara-perkara ini? Disinilah letaknya keikhlasan kerajaan untuk membendung gejala sosial di Malaysia. Pengharaman premis mesin permainan video oleh kerajaan bolehlah dirumuskan sebagai perbuatan melatah seorang datuk bertongkat apabila dijerkah oleh cucu-cucunya.

Bapak kepada gejala sosial di Malaysia adalah rasuah, korupsi, kronisma, nepotisma dan yang sewaktu dengannya. Bapak-bapak gejala sosial inilah yang telah diijabkabul beramai-ramai dengan beberapa kerat manusia yang tidak mampu untuk berdikari. Pada manusia-manusia ini pula, hanya perkahwinan ini sahaja yang akan membahagiakan mereka hingga ke anak cucu. Gejala-gejala inilah sebenarnya punca kepada keretakan dan kepincangan struktur sosial dalam masyarakat. Gejala-gejala inilah yang wajib dihapuskan oleh kerajaan secara total sebelum membunuh anak-anak kecil mereka yang tidak berdosa.

cKnon