PERIHAL PERSATUAN KETUANAN MELAYU UTM.
Semua mahasiswa yang prihatin di kampus,
Sebenarnya saya tidak setuju dengan kenyatan saudara Suhaimi (Presiden PMUTM) yang menyokong penggunaan AUKU walaupun
untuk menghukum kumpulan-kumpulan yang bersifat Chauvinism tersebut. Ini bertentangan dengan prinsip perjuangan reformasi tulen
mahasiswa/i di campus. Walaupun ia mungkin berkesan untuk menunjukkan "double standard" pihak HEP UTM, namun ia adalah
suatu kehinaan kepada semua pejuang reformasi campus yang bertunkus-lumus selama ini untuk menghapuskan AUKU.
Kita mahukan sebuah campus yang bebas dengan kepelbagaian permikiran, ideologi dan budaya. Permikiran seperti yang
diperjuangkan oleh Persatuan Ketuanan Melayu UTM yang berteraskan fahaman Chauvinis itu haruslah dikekang sama sekali tetapi
bukan melalui cara kuku besi seperti menggunakan AUKU atau seperti menggunakan ISA dll. Apakah beza di antara kita
menggunakan AUKU untuk menjatuhkan musuh kita dengan pihak HEP menggunakan AUKU untuk mematahkan perjuangan
mahasiswa/i ? Kita haruslah senantiasa peka terhadap logik yang tidak rasional ini untuk mengelakkan daripada terperangkap oleh
diri sendiri. Perbezaan pemikiran, ideologi dan fahaman itu haruslah diselesaikan melalui cara pendidikan, perdebatan ilmiah, analisis
dan perbincangan.
Suatu hari nanti pihak HEP mungkin akan menggunakan alasan yang sama untuk mematahkan apa-apa persatuan yang
pro-reformasi atau pro-progresif atau pro-Islam menurut definasi mereka sendiri kerana PMUTM sendiri telah mengesahkan rasional
tindakan tersebut. Ini bukanlah suatu cabaran tetapi suatu teguran yang membina kepada saudara Suhaimi. Perbezaan permikiran
manusia bukanlah suatu jenayah yang boleh dibendung dengan menggunakan akta yang dahsyat.
Sebenarnya, kewujudan Persatuan Ketuanan Melayu UTM juga mempunyai implikasi yang agak positif supaya masyarakat campus
sempat menatap muka-muka pejuang chauvinis yang memang sudah jauh ketinggalan zaman itu. Fahaman Chauvinis yang cuba
dibawa oleh kumpulan tersebut juga memberi peluang yang baik kepada kita untuk mengenali sifat perkauman tersebut secara lebih
mendalam. Mungkin ini adalah suatu peluang yang baik untuk kita di campus mula berdebat tentang fahaman Ketuanan Melayu yang
sering diagung-agungkan oleh UMNO.
Walaubagaimana pun, saya ingin mencadangkan supaya pihak PMUTM melancarkan suatu kempen kesedaran di kalangan
masyarakat campus untuk menolak unsur-unsur yang bersifat provokasi dan chauvinis yang dipaparkan oleh Persatuan Ketuanan
Melayu UTM. PMUTM boleh melakukan berbagai-bagai taktik yang berkesan untuk melumpuhkan kumpulan provokator chauvinis
tersebut termasuk mengadakan perdebatan terbuka, risalah, pungutan suara, memorandum, dan sebagainya.
SK Tan