AKHLAQ PENUNTUT ILMU.

Oleh : Ibn Rajab As-Syafie.

3. KESUNGGUHAN.

Sifat ketiga yang perlu ada pada seorang penuntut ilmu ialah kesungguhan. Hal ini kerana, seorang penuntut ilmu sememangnya bersungguh-sungguh di dalam kehidupannya, perbuatannya dan pengisian masanya. Sifat seperti ini sebenarnya mencerminkan setiap sudut kehidupannya sebagai seorang penuntut ilmu malah ia juga menjadi sandaran kepada pekerjaan-pekerjaan yang dilakukan selagi hayat dikandung badan.

Agama Islam menghendaki setiap penganutnya memiliki sifat yang mulia ini. Sebaliknya ia tidak mengiktiraf seseorang yang hidup di dalam keadaan yang penuh dengan hiburan, membuang masa, bermain-main dan sebagainya. Seorang muslim sejati tidak boleh tergolong bersama golongan mereka yang telah hilang puncanya. Yang sentiasa mensia-siakan umurnya di dalam perkara-perkara keji dan maksiat serta menghabiskan masanya dengan hiburan, gelak ketawa, lepak dan sebagainya.

Penuntut ilmu merupakan hamba sebenar bagi Tuhan Yang Rahman. Mereka ini telah disifatkan oleh Allah di dalam firmannya (surah al-Furqan : 72);

Mafhumnya: Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.

Oleh yang demikian, mereka tidak suka melayan ataupun mencampuri orang-orang yang hanya mementingkan hiburan, mereka juga tidak suka bertandang bersama membuang masa, berlepak dengan kaki-kaki lepak, sebaliknya merekalah yang menjadi pendokong firman Allah swt. (surah al-An’am : 68-70);

Mafhumnya :Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa-dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah swt.) supaya mereka bertaqwa.

Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia...

Kerja lebih banyak daripada masa.

Kesungguhan seorang penuntut ilmu bergantung kepada kefahamannya yang jitu lagi padu kepada Islam itu sendiri, mempunyai pandangan yang positif terhadap masa dan usia mereka, faham akan tanggungjawab dan tuntutan agama, kepentingan mengambil peluang dari masa yang terluang, seterusnya pandai memprogram dan merancangkan setiap detik yang dilaburkan.

Mereka mengetahui konsep "kerja lebih banyak daripada masa" dengan itu mereka mengambil faedah dari hari, jam dan juga detik yang mereka laburkan. Selain itu mereka merasakan tidak ada masa untuk dilaburkan di jalan-jalan maksiat, bahkan mereka tidak mempercayai langsung akan adanya "masa kosong" sebagaimana yang didakwa oleh orang-orang yang tidak mempunyai tanggungjawab yang besar. Apa yang mereka perkatakan ialah terlalu banyak kerja dan tenggungjawab, lantas mendakwa "kurangnya masa", justeru mengharap jikalau ada masa yang boleh dijual beli, supaya mereka boleh membeli masa orang-orang yang lalai dan rugi.

Gambaran Kesungguhan Penuntut Ilmu.

Kamu tidak akan melihat seorang penunut ilmu yang sebenar berada bersama-sama di tempat umum seperti majlis-majlis keramaian, hiburan, dan sebagainya. Juga susah untuk kamu melihat diri mereka keluar bersiar-siar, melepak di tempat-tempat membeli belah ataupun di kaki-kaki lima yang pastinya mencuri masa dan usia mereka dengan sia-sia. Amatlah tidak layak bagi seseorang penuntut ilmu untuk duduk di hadapan telivisyen lama-lama, mengikuti rancangan-rangcangan bersiri dan lakonan-lakonan. Tidak elok juga mereka melaburkan masa yang banyak untuk ziarah menziarahi antara satu sama lain, samentelahan lagilah untuk duduk bersama mereka yang lalai, membuang masa bersama mereka di dalam keadaan sia-sia, lawak jenaka, umpat mengumpat, cela mencela dan sebagainya.

Sebaliknya penuntut ilmu mestilah seorang yang bersungguh-sungguh, masa mereka adalah bersama buku-buku dan kertas, sebab itulah kamu melihatnya sentiasa duduk di meja, membaca dan mengulangkaji, atau menulis dan mengarang, atau memikirkan sesuatu permasalahan, ataupun kamu melihatnya bersama rakan-rakannya berada di masjid, rumah, persatuan dan pertubuhan tertentu mengadakan sesi perbincangan ilmu, mengajar dan memberikan tunjuk ajar serta pedoman kepada masyarakat.

Kesungguhan Bukan Bererti Melarikan Diri Ataupun Menyepi.

Sukalah saya tegaskan di sini bahawa kesungguhan seorang penuntut ilmu bukan bererti dia wajib menghindarkan diri daripada manusia ataupun lari daripada kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, tidak harus bagi seseorang penuntut ilmu itu lari daripada ahli keluarga dan kaum kerabat, dengan kata lain memotong tali persaudaraan, ataupun meninggalkan sahabat,rakan taulan serta jiran-jiran. Sebaliknya wajib ke atasnya untuk menyertai program-program keramaian yang berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan.

Setiap penuntut ilmu hendaklah pandai membezakan di antara perkara-perkara kebajikan dan dakwah keagamaan, justeru melaksanakan kedua-duanya dengan sama rata. Begitu juga dia hendaklah bijak mengatur jadual pembelajaran dan pengajarannya. Kemudian dia mengkhususkan setiap perkara apa yang sepatutnya, dengan tidak melebihkan satu perkara dan mengurangkan satu perkara yang lain.

Begitu juga saya tegaskan bahawa kesungguhan bukanlah bererti seseorang penuntut ilmu itu mesti menyepikan diri daripada kehidupan, menjadi pengecut atas dasar belajar! Maka, sifat menyepikan diri ini sebenarnya satu penyakit jiwa yang wajib dihindari oleh setiap penuntut ilmu. Sebaliknya dia hendaklah mempunyai perwatakan yang ceria, murah senyum, lembut, dan bersifat dengan sifat-sifat yang seumpamanya yang menjadi daya tarikan masyarakat untuk berurusan dengannya.