![]()
|
|
Siri Pimpinan Al-Baary Syakhsiah seorang penuntut ilmu sepatutnya mencakupi semua bidang akhlaq yang dianjurkan oleh agama Islam, malah mereka perlu memiliki sifat-sifat yang asasi secara seimbang. Dengan perkataan lain, tidak ada satu sifat yang dimilikinya lebih daripada sifat yang lain ataupun dia tidak melebihkan satu bidang dan pada masa yang sama meng-abaikan satu bidang lain yang tidak kurang pentingnya. Keseimbangan yang dimiliki oleh setiap penuntut ilmu ini sememangnya diperolehi daripada agama Islam yang suci itu sendiri. Kerana kita tahu yang agama Islam ini merupakan satu cara hidup yang umum dan meliputi segalanya, memiliki sifat kesempurnaan dan keseimbangan, menjadi penyusun kepada semua perkara serta menyatukan kebenaran dan pandangan yang mendatang. Keseimbangan pada syakhsiah Rasulullah saw. Seorang penuntut ilmu hendaklah mengikuti dan meneladani syakhsiah Rasulullah saw. di dalam mencari kesempurnaan dan keseimbangan akhlaq peribadi. Hal ini kerana Allah swt. telah menjadikan Rasulullah saw. sebagai ikutan dan teladan yang baik bagi umat manusia seluruhnya. Allah swt. berfirman (al-Ahzab : 21) Mafhumnya : Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah swt. dan (balasan baik) di hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah swt. banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). Sesungguhnya di antara sifat-sifat Rasulullah saw. yang terpuji ialah kesempurnaan yang seimbang pada syakhsiahnya, dengan perkataan lain, beliau memiliki semua sifat asasi bagi seorang manusia. Malahan beliau memiliki sifat-sifat yang cukup tinggi lagi terpuji, dan sifat-sifat ini tidak ada satu pun yang berlawanan ataupun tidak serasi. Begitu juga tidak ada satu sifat pun pada baginda saw. yang mengatasi satu sifat yang lain. Inilah dia sebahagian daripada gambaran yang agong terhadap Rasulullah saw. yang telah menjadikannya satu teladan yang paling baik lagi tinggi dan ikutan yang terpuji bagi kaum muslimin yang datang selepas baginda. Sesungguhnya baginda saw. merupakan satu teladan yang paling agong pada setiap perkara, pada kesabaran dan kelembutannya, kasih sayang dan penghormatannya, rendah diri dan kemesraannya. Beliau juga merupakan contoh yang baik dari sudut keimanan, ibadah, ilmu, dakwah dan jihadnya. Selain itu beliau jugalah teladan yang paling tinggi di dalam institusi pendidikan, pengurusan rumah tangga, kepimpinan, pengurusan hal-ehwal orang-orang Islam dan penyelesai kepada segala permasalahan yang timbul. Semua sifat-sifat terpuji ini terkumpul pada syakhsiah Rasulullah saw. di dalam bentuk yang sempurna dan mencakupi segalanya. Ianya kekal sebagai pedoman dan pengajaran untuk diteladani oleh umat-umatnya yang terkemudian. Penampilan yang baik. Jika seseorang itu minat kepada sesuatu bidang ilmu, ataupun meminati jurusan tertentu sahaja, maka tidak sepatutnya dia meninggalkan bidang ataupun jurusan yang lain, bahkan hendaklah dia memperseimbangkan kesemua sekali. Dia hendaklah pandai menyesuaikan dirinya dengan bidang-bidang lain supaya terbentuk padanya satu penampilan yang seimbang dan mencakupi semua perkara. Itulah penampilan seorang penuntut ilmu yang dianjurkan oleh agama Islam. Sebagai contoh, jika ada yang meminati ilmu tafsir, kita katakan memang baguslah begitu, cuma apa yang perlu dititikberatkan ialah jangan sekali-kali dia menumpukan sepenuh perhatiannya kepada ilmu tafsir semata-mata, sehingga dia terlupa langsung akan kewujudan ilmu dan bidang-bidang yang lain. Sepatutnya dia hendaklah mempelajari sekurang-kurangnya had yang paling minimun tentang ilmu Akidah, Hadis, Feqah, Sejarah dan juga ilmu-ilmu teknologi sebagai tambahan kepada ilmu tafsir yang telah diminatinya itu. Ada juga sesetengah penuntut ilmu yang lebih cenderung dan mengutamakan seni penyampaian khutbah dan pidato dan melupakan atau mengabaikan teknik-teknik penulisan, perbahasan dan perguruan. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai seorang yang berstatuskan ulama' hendaklah menguasai kesemua bidang dan teknik-teknik yang disebutkan di atas. Begitu juga ada segolongan penuntut ilmu yang hanya menumpukan sepenuh perhatiannya kepada buku-buku dan nota-nota pelajarannya semata-mata, tanpa menghiraukan langsung soal-soal kemasyarakatan, menyuruh manusia berbuat baik dan meninggalkan mungkar, dakwah dan sebagainya. Hal ini pun tidak sepatutnya berlaku ke atas diri kita selaku orang yang akan bertanggungjawab menyebarkan risalah ini di esok hari. Peribadi kemasyarakatan yang terpuji. Peribadi ataupun syakhsiah seorang penuntut ilmu merupakan syakhsiah Islam yang berlatar-belakangkan kemasyarakat. Peribadi sebeginilah yang berjaya di dalam pergaulannya dengan masyarakat, kerana ia merupakan tindak balas yang terbit daripada ajaran Islam yang Maha agong. Dan juga kerana peribadi yang sebegini merupakan cermin kepada Islam dan perlaksanaannya itu sendiri. Oleh yang demikian, tidak sepatutnya kita sebagai seorang penuntut ilmu, berjaya dengan buku dan nota semata-mata, tetapi kita gagal dengan sahabat, ahli keluarga dan masyarakat serta perkara-perkara lain lagi. Apakah yang kita harapkan dengan ilmu kita jika tidak untuk memberi manfaat kepada orang lain? Apakah yang boleh kita lakukan sekiranya kita berjaya dengan cemerlang tetapi pada masa yang sama kita kehilangan semua manusia di sekeliling kita? Seterusnya jadilah ilmu itu tadi sebagai jeruk yang tidak akan didekati. Kewajipan menjauhkan diri daripada penyakit-penyakit moral. Menjadi kewajipan ke atas setiap muslim agar menjauhi penyakit-penyakit batin seperti takabur, marah, hasad dengki, buruk sangka dan memandang rendah kepada sahabat handai. Juga hendaklah mereka menjauhi penyakit-penyakit masyarakat seperti zalim, penipuan, umpat cela, memperlekeh dan memperkecilkan orang lain, melaknati dan mengutuk, memungkiri janji dan sebagainya. Mereka sepatutnya dididik oleh ilmu yang telah dipelajari, dan dibentuk dengan acuannya yang tinggi, yang mana akhlaq dan peribadi seorang penuntut ilmu itu merupakan biasan dan cermin kepada ilmu itu sendiri. Justeru jadilah dia seorang yang mempunyai peribadi Islam dan kemasyarakatan yang terpuji, terhias dengan perhiasan yang cantik, terhindar daripada segala kelemahan dan keburukan. Peribadi seorang penuntut ilmu itu lemah lembut, mudah mesra, pengasih, penyayang, pemurah, baik hati, berfikiran terbuka, berbudi bahasa dan berpeketi mulia. Selain itu dia juga mampu menanggung segala cabaran dan dugaan, mudah mengaku kesalahan, membalas perbuatan jahat dengan yang baik, mengampunkan orang yang meminta maaf dan suka memuji kebaikan dan kelebihan orang lain.
|