Wanita seorang manusia.

Oleh : Ibnu Rajab As-Syafie.

Kedatangan Islam membawa era perubahan kepada kaum wanita, tetapi masih ada di kalangan manusia yang mengingkari kemanusiaan wanita. Satu pihak yang lain pula mengutuk dan mencela mereka. Pun begitu, ada juga yang menerima kemanusian mereka tetapi golongan ini menganggap wanita dijadikan untuk berkhidmat kepada lelaki.

Manakala agama Islam, sudah menjadi kelebihannya menghormati kaum wanita, menyatakan kemanusian mereka serta mengakui keahlian mereka daripada segi kewajipan, tanggungjawab, menerima pembalasan dan syurga Allah swt. Justeru menganggap wanita adalah insan mulia, hak mereka adalah sama sebagaimana hak lelaki, kerana mereka berasal daripada rumpun yang satu, mereka adalah saudara yang berbapakan Adam a.s. dan beribukan Hawa’ a.s.

Oleh yang demikian, pada dasarnya lelaki dan wanita adalah sama dari segi asal keturunan, sifat-sifat kemanusian, kewajipan, tanggungjawab, pembalasan dan hala tuju.

Firman Allah swt dalam surah al-Nisa’ ayat 1: Mafhumnya : Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Semua manusia, lelaki maupun perempuan telah dijadikan oleh Allah swt. dari diri yang satu, daripada diri inilah dijadikan pula pasangannya yang saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-‘Araf ayat 189: Maksudnya : Dialah (Allah swt.) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Dia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra di antara satu sama lain.

Allah swt. membiakkan daripada keluarga yang satu ini lelaki dan perempuan yang banyak, mereka semua adalah hamba kepada Tuhan Yang Esa, mereka juga merupakan anak-anak kepada ayah dan ibu yang satu, oleh itu mereka adalah bersaudara. Tali persaudaraan itulah yang menjadi pengikat antara mereka semua.

Oleh yang demikian, kita melihat ayat yang pertama tadi menyeru manusia agar bertaqwa kepada Allah swt. (Tuhan mereka Yang Esa) dan menjaga hubungan silaturrahim antara mereka (manusia sejagat). Mafhumnya : “ Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah swt. sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.”

Justeru itu, kaum lelaki (di dalam konteks ayat ini) merupakan saudara kepada kaum wanita, begitu juga wanita adalah saudara perempuan kepada lelaki. Daripada Aisyah r.a Nabi s.a.w telah bersabda: Maksudnya : Adapun wanita itu (merupakan) saudara perempuan bagi laki-laki.

Manakala dalil yang menunjukkan persamaan di antara lelaki dan perempuan dari segi tanggungjawab, agama dan ibadah, ialah firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Ahzab ayat 35: Mafhumnya : Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah swt.) serta orang-orang permpuan yang merendah diri (kepada Allah swt.), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang berzikir kepada Allah swt. banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang berzikir kepada Allah swt. banyak-banyak, Allah s.w.t telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

Dari segi tuntuan agama dan kemasyarakatan pula, firman Allah s.w.t di dalam surah at-Taubah ayat 71 : Mafhumnya : Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat serta taat kepada Allah swt. dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah swt. sesungguhnya Allah swt. Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

Begitu juga persamaan yang Allah s.w.t tentukan kepada Nabi Adam as. dan isterinya Hawa’ dari segi tanggungjawab dan tuntutan. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 35 : Mafhumnya : Dan Kami berfirman: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja yang kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka jadilah kamu daripada golongan orang-orang yang zalim.

Perkara baru di dalam kisah ini (sebagaimana yang diceritakan oleh al-Quran) ialah perbuatan menghasut dinisbahkan kepada syaitan bukannya Hawa’ (sebagaimana yang diceritakan oleh kitab Taurat). Firman Allah s.w.t di dalam surah yang sama ayat 36: Mafhumnya : Setelah itu syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga yang menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada didalamnya.

Begitu juga Hawa tidak keseorangan memakan buah (al-khuldi) yang dimaksudkan di dalam ayat tadi, bahkan dia juga tidak memulakannya. Sebaliknya kesalahan memakan buah tersebut merupakan kesalahan mereka bersama. Oleh yang demikian, mereka berdua bertaubat kepada Allah s.w.t . FirmanNya di dalam surah al-‘Araf ayat 23 : Mafhumnya : Mereka berdua merayu : Wahai Tuhan kami, kami telah menganiayai diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami terdiri daripada orang-orang yang rugi.

Bahkan ada ayat yang menisbahkan kesalahan tersebut kepada Adam a.s semata-mata. Firman Allah s.w.t di dalam surah Taha ayat 115 : Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah berpesan kepada Adam as. pada masa lalu, tetapi dia lupa; dan Kami mendapatinya tidak mempunyai keazaman yang teguh.

FirmanNya lagi di dalam ayat 120, dari surah yang sama: Mafhumnya : Setelah itu syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya dengan berkata: Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan engkau hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang?

Seterusnya ayat 121: Mafhumnya : Dan dengan itu, derhakalah Adam kepada Tuhannya lalu dia tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).

Begitu juga ada ayat yang menisbahkan taubat kepada Adam as. seorang sahaja. Firman Allah dalam surah yang sama, ayat 122 Mafhumnya : Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat) lalu Allah s.w.t menerima taubatnya serta dia diberi petunjuk.

Ayat-ayat al-Quran ini jelas menunjukkan asal kesalahan datangnya daripada Adam a.s sendiri, isterinya (perempuan) hanya sebagai pengikut.

Walau bagaimanapun, kesalahan Hawa’ (sekiranya Hawa’ melakukan kesalahan) tidak dibawa dan tidak dijatuhkan kepada anak-anaknya (perempuan), tetapi sebaliknya kesalahan tersebut hanya dinisbahkan kepadanya sahaja. Anak-anaknya tidak akan menanggung kesalahan tersebut, kerana tidak ada sesiapa yang akan menanggung kesalahan (pekerjaan) orang lain. Hal ini ditegaskan di dalam firman Allah s.w.t (surah al-Baqarah ayat 134 & 141 ): Mafhumnya : Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.

Dalil yang menyatakan persamaan di antara lelaki dan perempuan dari segi balasan dan masuk syurga pula ialah firman Allah s.w.t di dalam surah Al Imran ayat 195: Mafhumnya : Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku takan mensia-siakan amal orang-orang yang beramal daripada kalangan kamu, samada lelaki ataupun perempuan (kerana) setengah daripada kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain.

Di sini jelaslah ayat al-Quran yang menyatakan bahawa setiap amalan tidak akan hilang lenyap begitu sahaja di sisi Allah s.w.t sama ada pembuatnya itu lelaki ataupun perempuan. Keduanya adalah sama, berasal daripada tanah yang sama, juga latarbelakang yang sama.

FirmanNya lagi di dalam surah al-Nahl ayat 97: Maksudnya : Sesiapa yang beramal soleh daripada lelaki ataupun perempuan, sedang mereka beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan mereka dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan balasan dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka kerjakan.

Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Nisa’ ayat 124 : Maksudnya : Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang mereka beriman maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya walau sedikit pun).

Dari segi hak harta benda, agama Islam telah memansuhkan peraturan umat-umat (arab dan bukan arab) yang mengharamkan perempuan dari memiliki dan mewarisi harta benda, ataupun yang menghadkan kebebasan mereka dalam menggunakan hak milik mereka, ataupun suami yang mengambil harta isteri tanpa hak. Sebaliknya Islam telah menetapkan hak milik dan hak kebebasan kepada wanita untuk menggunakan harta benda mereka secara terperinci dan mengikut syarak.

Oleh yang demikian, Islam telah mensyariatkan wasiat serta peninggalan harta pusaka kepada wanita sebagaimana yang ditetapkan kepada kaum lelaki. Selain daripada itu, Islam juga memberikan kepada mereka hak-hak berjual beli, sewaan, hadiah, pinjaman, wakaf, sedekah, wakil, gadaian dan sebagainya. Begitu juga hak membela harta benda daripada dicerobohi (seperti membela diri mereka), dengan mengetengahkan perkara tersebut kepada hakim serta pelbagai hal-hal lain yang berkaitan.

Selain itu Islam juga memberikan kepada kaum wanita hak menuntut ilmu seperti kaum lelaki, bahkan kewajipan menuntut ilmu dikira sebagai perkara wajib ke atas mereka. Sabda Rasulullah s.a.w : Maksudnya : Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap orang muslim.

[Setiap orang muslim] yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut meliputi kaum lelaki dan kaum wanita, hal ini telah disepakati oleh para ulama (ijma’).

Begitu juga hak solat berjemaah di masjid, kerana kaum wanita dituntut mengerjakan segala ibadah sebagaimana kaum lelaki juga. Ibadah-ibadah tersebut ialah seperti solat, puasa, zakat, haji dan rukun-rukun Islam yang lain. Mereka diberi pahala sebagaimana orang lelaki diberi pahala, sebaliknya mereka dikenakan dosa jika mereka meninggalkannya sebagaimana orang lelaki juga dikenakan dosa. Bahkan mereka juga dituntut menunaikan kewajipan bermasyarakat seperti lelaki.

Firman Allah s.w.t (surah al-Taubah ayat 71): Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan.

Di antara hak mereka juga ialah memberi perlindungan kepada sesiapa yang meminta perlindungan, mereka juga hendaklah menghormati perlindungan tersebut. Hal ini sebagaimana yang telah dilakukan oleh Ummu Haani’ binti Abi Tolib pada hari pembukaan Mekah. Beliau telah melindungi beberapa orang musyrikin (daripada kabilahnya). Seorang daripada adik beradik lelaki beliau ingin membunuh salah seorang daripada mereka. Maka, beliau pun mengadu kepada Rasulullah S.A.W. dengan berkata : “Wahai Rasulullah, anak ibuku (adikku) ingin membunuh seorang lelaki yang aku lindungi (fulan bin Habirah)!” Maka Rasulullah S.A.W. bersabda: Maksudnya : Sesungguhnya kami melindungi siapa yang telah engkau lindungi wahai Ummu Hani’.