Oleh : Ibn Rajab as-Syafie.
Syakhsiah ataupun akhlaq seorang penuntut ilmu merupakan syakhsiah islamiah ilmiah, yang secocok dengan agama Islam dan boleh menerima hakikat Islam itu sendiri. Malah ianya mampu memikul segala tuntutan agama yang suci murni ini. Syakhsiah penuntut ilmu itu tadi selain mencerminkan agama Islam, ianya juga mampu menerima dan mematuhi segala titah perintah agama, seterusnya menjalankan hukum-hukum yang terkandung di dalam agama Islam dengan jayanya.
Hal ini menunjukkan bahawa agama Islam amat mementingkan akhlaq pengikut-pengikutnya. Akhlaq yang dimaksudkan ialah akhlaq yang boleh merubah suasana hidup mereka menjadi lebih teratur dan bercorak kemasyarakatan.
Oleh itu, setiap penuntut ilmu tidak seharusnya hidup di dalam keadaan yang tidak tersusun dan kucar kacir. Bermakna, dia sendiri tidak dapat membezakan ilmu mana yang diperolehi daripada bahan bacaan dan ilmu mana yang boleh diambil daripada pengalaman berkecimpun dalam masyarakat. Seterusnya dia tidak mampu membezakan antara falsafah-falsafah kehidupan dengan kehidupan (akhlaq) sebenar yang dijalaninya saban hari.
Celaan Kepada Mereka Yang Menyatukan Falsafah dan Akhlaq.
Sebagaimana yang kita ketahui, dewasa ini ramai manusia yang tidak dapat membezakan di antara falsafah (teori) dan kehidupan (akhlaq). Oleh itu secara tidak langsung, mereka menyatukan di antara keduanya. Walhal, perbuatan kita menyatukan kedua-dua perkara yang berbeza di atas merupakan suatu penyakit serius yang menyerang umat Islam sekarang!. Kalau kita perhatikan, mereka itu tadi hidup dalam keadaan yang susah lagi payah (kecuali mereka yang dirahmati Allah swt.) tidak dapat membezakan yang mana teori dan mana satu kehidupan hakiki. Justeru itu, jadilah akhlaq Islam berada di lembah sini dan kehidupan masyarakat di lembah yang berlainan. Tidak ada suatu ikatan maupun tali penghubung di antara perkara yang mereka percayai iaitu ilmu akhlaq dan moral, dan di antara kehidupan yang mereka jalani sehari-hari.
Oleh itu, memang menjadi kewajipan penuntut ilmu agar berakhlaq dengan akhlaq Islam di samping mengamalkan segala titah perintah dan suruhan yang ditetapkan. Begitu juga, dia hendaklah mendalami dan menghayati nilai akhlaq itu sendiri agar ianya muncul di dalam setiap tingkah laku, kehidupan dan hubungannya dengan manusia sekeliling. Dan insya-Allah, selepas ini saya akan senaraikan beberapa nokhtah penting yang berkait rapat dengan akhlaq yang semestinya ada pada seorang penuntut ilmu.
1) Ikhlas.
Tajuk ini telah saya sentuh pada bab sebelumnya (Tujuan Yang Betul) dan kita telahpun membincangkannya secara terperinci dengan mengemukakan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sohih. Tetapi di sini, suka saya menambahkan beberapa perkara lagi yang pada pandangan saya ianya sangat berharga dan berguna.
Kalau kita perhartikan perkataan ikhlas ini dalam kaedah bahasa arab, kita akan dapati ianya berasal daripada masdar (kata dasar) perbuatan (feel) akhlaso, yukhlisu ikhlas. Manakala feel thulathinya pula (feel yang merangkumi tiga huruf) kholaso, yakhlusu dan faailnya (pembuatnya) khoolis. Tetapi sekiranya feel rubaie (feel yang merangkumi empat huruf) akhlaso, yukhlisu dan faailnya (pembuatnya) mukhlis.
Peringkat Ikhlas: Khalus kemudian Ikhlas.
Kedua-dua feel (perbuatan) yang saya sebutkan tadi (kholaso) dan (akhlaso) menun-jukkan bahawa peringkat ikhlas ini ada dua, pertama peringkat feel (kholaso) dan kedua peringkat feel (akhlaso).
Peringkat Pertama: (Khalus)
Khoolis adalah faail (kata pembuat) bagi feel (kholaso) yang memberi makna tepu, tulin, tidak dicampur dengan perkara lain, seperti emas yang khoolis ialah emas yang tidak dicampurkan dengan bahan-bahan lain, ia juga dinamakan mas tulin.
Oleh itu setiap penuntut ilmu hendaklah suci niatnya (khoolis) hanya kerana Allah di dalam setiap pekerjaan yang dilakukannya. Dengan perkataan yang lain, niat yang tulin lagi suci murni kepada Allah swt. Maka khoolis ataupun kholus (masdar feel tersebut) hanya dikhususkan kepada Allah sahaja.
Justeru, apabila seseorang penuntut ilmu itu suci niatnya (khoolis) kerana Allah swt. maka agamanya juga akan menjadi khoolis (suci). Penyerahan dirinya kepada Allah juga khoolis (suci), seterusnya kehidupannya sehari-hari pun akan menjadi suci. Akhirnya semua perkara yang dilakukannya adalah suci kerana Allah semata-mata.
Sesungguhnya Allah swt. tidak redha kepada orang Islam yang tidak menjadikan niatnya suci murni kerana Allah, Suci (khoolis) yang dimaksudkan di sini ialah suci dalam erti kata yang mencakupi semua perkara. Agama yang suci dan penyerahan diri yang murni kepada Allah swt.
Firman Allah di dalam suratuz Zumar ayat 2-3: Mafhumnya: Sesungguhnya Kami telah turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (al-Quran) dengan kebenaran, maka sembahlah Allah dengan sebenar-benar ikhlas. Ingat-lah hanya bagi Allah sebuah agama yang khoolis (suci murni dari syirik).
Peringkat kedua: Ikhlas.
Selepas kita berjaya merealisasikan peringkat menyucikan agama Allah (khoolis), barulah datangnya ikhlas. Ikhlas ini masdar (kata dasar) bagi feel yang kedua iaitu (akhlaso). Ikhlas kepada Allah merupakan roh agama, iaitu ikhlas mengerjakan kesemua perintah dan tuntutan agama seperti yang dikenakan ke atas umat-umat terdahulu, yang mengikuti ajaran nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu. Ianya digambarkan dalam ayat 5 surah al-Bayyinah:
Maksudnya: Mereka tidak disuruh melainkan beribadah kepada Allah, melakukan segala pekerjaan agama dengan penuh keikhlasan, mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Itulah agama yang betul lagi lurus (suci).
Oleh yang demikian, agama yang betul lagi lurus (khoolis ataupun suci) adalah agama yang dapat merealisasikan konsep ikhlas pengikutnya kepada Allah, yang digambarkan dengan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Begitu juga, apabila seseorang muslim itu khoolis (suci murni) kepercayaan kepada Allah, maka dengan sendirinya dia telah mengikhlaskan agama dan kehidupannya kerana Allah. Seterusnya jadilah dia seorang insan muslim yang berjaya mengikuti jalan Allah yang lurus.
Untuk kita lebih memahami konsep khoolis dan ikhlas ini, marilah kita perhatikan firman Allah di dalam suratuz Zumar ayat 11-15 yang mafhumnya: Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya aku telah disuruh beribadah kepada Allah swt. dengan ikhlas,taat mengerjakan agama-Nya (yang khoolis). Dan aku juga telah disuruh menjadi orang pertama yang menyerah diri kepada-Nya. Katakanlah, sesungguhnya aku takut menghadapi siksaan yang pedih lagi lirih pada hari pembalasan jika aku derhaka kepada tuhanku. Katakanlah, Hanya Allah sahajalah yang aku sembah dengan ikhlas, bagi-Nya sahaja agamaku (yang khoolis). Maka sembahlah (wahai orang-orang kafir) apa-apa yang kamu suka selain daripada-Nya (jika kamu tidak takutkan azab siksaan-Nya).
Tiga Peringkat: Khoolis, Mukhlis dan Mukhlas.
Sebelum kita meneruskan bicara, marilah kita perhatikan betapa uniknya bahasa arab yang dipilih oleh Allah untuk dijadikan bahasa al-Quran seterusnya menjadikannya bahasa ahli syurga. Kalau kita perhatikan, dengan berlakunya sedikit perubahan (seperti baris) ke atas perkataan dalam bahasa arab, lansung membawa perbezaan daripada segi maknanya. Oleh sebab itu, khoolis bererti suci, murni ataupun tulin. Mukhlis pula bermakna ikhlas, manakala mukhlas pula bererti orang-orang yang Allah sucikan (hati-hati mereka).
Oleh itu, selepas setiap penuntut ilmu itu berjaya merealisasikan dua konsep yang lepas, iaitu konsep khoolis kemudian ikhlas kepada Allah, maka insya-Allah Dia akan memulia dan menyucikan penuntut tersebut daripada sekalian makhluk-Nya. Justeru, dia akan tergolong di kalangan orang-orang yang suci di sisi Allah (mukhlas). Sesungguhnya Allah telah menyifatkan Nabi-nabi sebagai hamba-Nya yang mukhlasin (jama' muklas), kerana mereka telah menyucikan (khoolis) kepercayaannya kepada Allah, kemudian ikhlas pula mengerjakan segala tuntutan Allah, maka akhirnya Allah menjadikan mereka semua orang-orang yang suci murni (mukhlasin).
Sifat inilah yang Allah berikan kepada nabi Yusuf as. Firman-Nya dalam surah Yusuf ayat 24:
Maksudnya: Begitulah kami memalingkannya daripada melakukan perkara-perkara budan mungkar, sesungguhnya dia tergolong di dalam golongan hamba-hambaku yang mukhlasin.
Begitu juga Allah telah menceritakan perihal Iblis laknatullah yang tidak dapat memperdayakan umat manusia yang mukhlasin. Firman Allah swt. di dalam surah al-Hijr ayat 39-42: Mafhumnya: Iblis berkata: Wahai tuhanku, oleh kerana engkau memutuskan bahawa aku sesat, maka sudah pasti aku akan menjadikan pandangan mereka (manusia) baik kepada perkara-perkara mungkar (maksiat) di dunia, dan aku akan menyesatkan mereka semua. Kecuali hamba-hambamu yang mukhlasin (yang telah engkau sucikan hati-hati mereka). Allah berfirman: Ini adalah jalan yang lurus, aku pasti akan menjaganya. Sesungguhnya engkau (iblis) tidak ada kuasa terhadap hamba-hambaku itu.
Justeru itu, kita sebagai penuntut ilmu hendaklah bersifat dengan ketiga-tiga sifat tersebut. Pertama kita mesti khoolis (sucikan) diri kita, kehidupan kita dan juga agama yang kita anuti ini hanya kepada Allah. Kemudian kita berusaha sedaya upaya untuk mengikhlaskan segala perbuatan kita yang berkaitan dengan diri kita sendiri, kehidupan kita sehari-hari seterusnya kerja-kerja agama kita yang suci. Setelah itu, kita mengharapkan Allah swt. me(mukhlas)kan diri kita, pula dan mengolongkan kita bersama hamba-hamba-Nya yang mukhlasin, amin. Semoga dengan sifat-sifat tersebut, kita akan hidup di dunia ini dengan penuh keberkatan dalam apa jua pekerjaan tanpa terjerat ke dalam perangkap-perangkap yang sengaja dipasang oleh musuh kita Iblis dan syaitan laknatullah alaihim ajmain.
Bersambung ,,,