2)BENAR.

Sifat kedua yang patut ada pada setiap penuntut ilmu ialah benar. Ia merupakan satu sifat yang semestinya ada pada setiap penuntut ilmu. Sifat ini tersemadi kejap dalam diri dan ia mampu membentuk kehidupan serta tindak tinduk seseorang. Selain itu ia juga mampu menjaga perkataan dan perbuatan agar sentiasa berada di atas jalan yang diredhai-Nya.

Sifat benar juga terkandung di dalamnya sifat-sifat seperti kekuatan, ketetapan (pendirian), ketegasan dan ketajaman (fikiran). Itulah hakikat sebenar Islam, sejauh mana terikatnya seseorang penuntut ilmu itu dengan Islam, jiwa mereka bertambah kuat, tetap pendirian dan benar di dalam setiap tindakan.

Beberapa Nas Menyeru Kepada Sifat Benar.

Rasulullah saw. telah melarang umatnya berbohong dan pada masa yang sama beliau menggalakkan mereka berkata benar. Di bawah ini beberapa potong hadis yang menunjuk betapa Rasulullah mengambil berat ke atas sifat yang terpuji ini.

Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Mas’ud ra. bahawa Nabi saw. pernah bersabda: Sesungguhnya sifat benar membawa kebaikan, dan kebaikan itu pula memandu (tuannya) ke syurga. Sesungguhnya seorang lelaki yang selalu berkata benar, nescaya Allah swt. akan menulisnya sebagai seorang yang benar. Sebaliknya sifat bohong membawa kepada kecelakaan, dan kecelakaan itu pula memandu (tuannya) ke neraka. Sesungguhnya seorang lelaki yang selalu berbohong akan ditulis di sisi Allah swt. dia adalah pembohong.

Begitu juga sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah swt kepada orang-orang yang beriman supaya berada bersama orang-orang yang benar. Bukan sahaja memadai dengan hanya bersifat benar (di dalam pertuturan) malah memasuki dan mendampingi orang-orang yang benar. Firman Allah swt. di dalam surah at-Taubah : 119.

Mafhumnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.

Oleh yang demikian, sifat benar merupakan satu sifat yang semestinya ada pada setiap muslim dan mukmin, di samping sifat-sifat lain yang dinyatakan oleh Allah di dalam firmannya (surah al-Ahzab: 35);

Mafhumnya:
Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman, serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang menjaga kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehornatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah sediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

Apabila seseorang penuntut ilmu hidup dengan berpandukan Islam, ilmu pengetahuan dan sifat benar, nescaya dia telah membenarkan (menerima) segala titah perintah Allah ke atas mereka. Dengan itu, mereka berhak mendapat penyaksian dan pujian daripada Allah. Firman-Nya (surah al-Ahzab: 23);

Mafhumnya: Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada Allah (untuk berjuan membela Islam) maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid) dan ada yang menunggu giliran, dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.

Benar Yang Dikehendaki.

Apabila kita menyentuh berkenaan dengan sifat benar yang perlu ada pada setiap penuntut ilmu, kita tidak boleh menghadkannya di dalam percakapan atau pertuturan semata-mata. Kerana benar dalam berkata-kata ini adalah menjadi kewajipan setiap orang muslim, samada penuntut ilmu ataupun tidak. Oleh itu, orang Islam wajib malah dituntut berkata benar, manakala haram ke atasnya bercakap bohong. Sekiranya bohong itu perangai yang buruk jika dinisbahkan kepada orang muslim biasa, oleh yang demikian, ia adalah lebih buruk lagi jijik jika dinisbahkan kepada penuntut ilmu.

Seorang penuntut ilmu hendaklah benar dalam bertutur kata, begitu juga benar dalam setiap tingkah laku, perbuatan dan tindakannya. Benar di dalam proses pembelajaran dan pengajarannya. Benar juga di dalam gerakan dan dakwahnya. Benar di dalam kepercayaan dan pegangannya serta benar bila berhadapan dengan sanak-saudara dan sahabat handai.

Selain itu, seorang penuntut ilmu hendaklah bersikap benar terhadap Allah swt. Benar terhadap Islam, dirinya sendiri, hati dan sanubari, keluarga dan sanak saudara, teman dan sahabat handai, dan benar dengan sesiapa sahaja yang berurusan dengannya. Maka inilah yang dimaksudkan dengan benar yang mencakupi setiap perkara. Ia merupakan tanda yang jelas membezakan antara penuntut ilmu dan sebaliknya.