Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Salamun ‘Ala manittaba’al huda.

Tuan-tuan sekelian, di sini saya ingin turut serta dalam memberikan pandangan terhadap buah fikiran saudara/ri kita yang menulis tajuk Ahlul Sunnah Itu Yahudi/Kristian - Part 1.

Pertamanya saya mengucapkan terima kasih pada saudara/ri yang berani memberikan pandangan dalam masalah yang sensitif ini.

Kedua, saya ingin membetulkan satu fakta dalam kisah Taj Mahal yang dibawa dan dijadikan hujjah oleh saudara. Sebenarnya ( berdasarkan maklumat yang tepat) Mumtaz itu ialah permaisuri Shah Jehan bukan puterinya. Disebabkan saudara menjadikannya hujjah utama maka fakta tersebut perlu dibaiki. Agar saudara tidak berpegang pada dahan yang rapuh.

Ketiga, berkenaan dengan pandangan saudara bahawa dalam dunia ini ada dua jenis hujah sahaja.

1) Al-Quran, benar 100% dan
2) Semua yang lain yang tiada kebenaran ( berdasarkan cerita Taj Mahal).

Saya tak faham maksud hujah yang saudara sebutkan. Hujah dalam dunia tu di kalangan siapa? Dunia orang Islam saja ke atau termasuk dunia Budha, Yahudi, Kristian, Komunis dll. Yang saya tahu hanya orang Islam saja yang mengakui kebenaran al-Quran. Yang lainnya tidak. Lebih-lebih lagi Yahudi! Tentu kita masih ingat lukisan menghina Islam oleh pelajar Yahudi yang menggambarkan seekor babi sedang menulis isi Al-Quran! Malah mereka kata tiada kitab yang paling benar dan mulia dalam dunia ini melainkan Talmud. Begitu juga kristian, sudah pasti mereka mengganggap Injillah yang paling benar. Dan saudarapun beriya-iya benar berhujjah dengannya! Buktinya, telah berapa kali mereka cuba mempersendakan al-Quran dengan menukilkannya di pakaian-pakaian, kasut dsbgainya. Cerita terbaru, puak pengganas kristian di Jerman menukilkan surah At-Takathur di sehelai kain dan seorang model wanita berpakaian separuh bogel melakukan gaya seperti gerakan dalam solat di atasnya! Lihatlah betapa biadapnya sikap mereka terhadap al-Quran. Orang Islam rasanya tak pernah buat penghinaan sedemikian rupa terhadap agama-agama lain, kerana Al-Quran sendiri mengajar mereka bersikap demikian.

Berdasarkan apa yang saya pelajari dari Ulamak-Ulamak Islam (hasil dari penelitian mereka terhadap isi Al-Quran), perkara yang dijadikan hujjah dan sumber kepada syariat ialah empat perkara besar dan bukannya hanya satu atau dua. Perkara tersebut ialah : 1-Al-Quran. 2-As-Sunnah. 3-Ijmak. 4-Qias. Kemudian ada lagi sumber-sumber hujjah lain yang digunakan berdasar kepada keperluan semasa. Hujjah-hujjah selain Al-Quran ( yang sememangnya betul 100%-seperti kata saudara) digunakan apabila ada persoalan yang tidak disebut secara ditir dalam Al-Quran sendiri. Seperti Solat 5 waktu, Al-Quran sekadar menyebut perintah supaya mengerjakan solat tanpa menditirkannya. Jadi dalam kes-kes seperti ini As-Sunnah memainkan peranan dalam menerangkannya secara terperinci dan praktikal. Ini dibuktikan dengan perintah Allah Taala sendiri agar kita mematuhi ajaran Rasulullah s.a.w , firmanNya :

Maksudnya: “Dan apa yang dibawa oleh Rasul (Muhammad) maka hendaklah kamu mengambilnya dan apa yang ditegahnya hendaklah kamu tinggalkan”. Surah al-Hasyr :7.

Jadi saya nak tanya, dari mana saudara belajar solat kalau saudara kata selain Al-Quran tiada kebenaran. Kalau saudara solat dah pasti kena ikut cara yang ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w. Kerana dalam al-Quran tak sebutpun pasal angkat takbir, kena baca fatihah, rukuk dan sebagainya. Dalam hadis saja yang sebut. Jadi macamana saudara nak solat kalau hujjah sunnah/hadis tak ada kebenaran. Lainlah kalau saudara memang tak solat atau solat ikut agama lain!

Begitu juga dalam hal-hal yang tidak disebut secara ditir dalam Al-Quran dan Sunnah, maka Ijmak Ulamak akan memainkan peranannya. Contohnya dalam masalah-masalah baru seperti dadah, rokok, saham dan sebagainya. Perkara-perkara ini perlu kepada pandangan ulamak-ulamak yang benar-benar mahir dan cukup syarat untuk berijtihad. Dan begitulah seterusnya. Ini juga berdasarkan ayat Al-Quran yang menjadi hujjah 100% kebenarannya, di mana Allah Taala berfirman:

Maksudnya: “Maka tanyalah orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui”. Surah an-Nahl :43.

Keempat ialah persoalan ahlus Sunnah yang saudara dakwa mengikut Yahudi dan Kristian dan tidak mengikut al-Quran.

Sebelum itu saya rasa kita perlu faham apa yang dimaksudkan ahlus-Sunnah ( lebih tepat lagi ialah ahlus-Sunnah wal-Jama’ah). Ahlus-Sunnah maksudnya golongan yang memartabatkan Sunnah Rasulullah s.a.w. Istilah ini hanya timbul pada zaman pemerintahan Khilafah Abbasiyyah 132 H. Sebelum itu hanya ada istilah Muslim sahaja. Iaitu ketika Kahlifah Al-Mutawakkil memerintah di mana baginda telah mengarahkan para ulamak dan rakyat jelata kembali kepada manhaj para sahabat dan salafussoleh yang berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah di dalam memahami perkara dasar iaitu Aqidah dan tidak terlalu bebas dalam menggunakan aqal fikiran sebagaimana yang telah dilakukan oleh golongan Muktazilah. Maka lahirlah manhaj baru yang dipelopori oleh Abu Hassan Asya’rie. Manhaj ini terus digelar Ahlus Sunnah Wal Jama’ah kerana kesungguhan mereka di dalam usaha menghidupkan kembali manhaj Rasulullah s.a.w dan para sahabat di dalam memahami al-Quranul Kareem. Dan usaha ini sebagai menyahut seruan Allah Taala di dalam Al-Quran (hujjah 100% kebenarannya) sebagaimana ayat di atas tadi.

Kelima, mengenai soal Aqedah (Aqidah) sepertimana dakwaan saudara. Islam memang ambil berat dan di sana ada hukuman bagi sesiapa yang menukar aqidah yang telah disebut secara jelas dalam Al-Quran dan Sunnah. Dalam Al-Quran disebut, maksudnya:

“Barangsiapa yang yang menukar agamanya lalu mati maka telah nyata ia kafir”. al-Baqarah : 217.

Manakala di dalam hadis diditirkan hukumannya di mana Rasulullah bersabda : “Sesiapa yang menukar agamanya maka bunuhlah ia”.

Sikap ambil berat dan risau pasal aqidah orang lain ni bukanlah kerana nak jaga tepi kain orang atau sengaja menyibuk, tetapi ia menggambarkan betapa kami dan ulamak-ulamak kami (bukan sami) sangat kasih kepada orang lain. Kerana kami yakin dengan aqidah kami yang telah disebut secara jelas oleh sumber yang benar-benar sohih iaitu al-Quran. So kalau orang tukar kepada aqidah lain kami sangat-sangat risau dan bimbang kerana aqidah lain tidak betul pasal sumbernya ialah hujjah-hujjah lain yang tiada petunjuk yang benar! Perasaan risau ini adalah kerana kami mahu semua orang berada di dalam kebenaran dan mendapat ganjaran yang baik di akhirat kelak&ldots;

Istilah aqedah pula, saya tidak mahu menidakkan sekiranya ia wujud dalam Bible sebagaimana dakwaan saudara .Tetapi tidak bermakna jika istilah ini turut digunakan oleh ahlus-Sunnah membuktikan bahawa mereka jadi Kristian. Sepertimana orang kristian sendiri (bangsa Arab) yang memanggil tuhan mereka dengan nama Allah. Nama yang sama dengan tuhan orang Islam, tidak bermakna mereka jadi orang Islam. Aqidah itu ialah kalimah umum yang memberi erti pegangan keyakinan. Jadi di sana terdapat dua jenis aqidah atau pegangan, satu benar, satu salah. Aqidah Islam adalah aqidah benar kerana sumbernya adalah Al-Quran manakala Aqidah lain adalah salah kerana ia bersumberkan hujjah-hujjah selain Al-Quran yang tidak ada petunjuk yang benar. Jadi adalah dangkal sekiranya kita kata orang yang guna istilah Aqedah yang ada disebut dalam Bible sebagai Kristian.

Kerana penggunaan Istilah tidaklah sampai menukarkan agama atau merosakkan aqidah seseorang. Lainlah kalau seorang muslim tu kata ajaran dalam Bible tu betul atau percaya tuhan tu tiga, sudah pastilah ia jadi Kristian.

Malah dalam Islam ada sesetengah hukum hakam yang diambil dari agama agama yang terdahulu. Ini berdasarkan kaedah fiqhiah “Syariat orang terdahulu adalah menjadi syariat kita sekiranya tiada nas yang menyanggahinya”. Contohnya, dalam ibadah Haji, Tawaf yang menjadi salah satu ibadah utama dalam haji turut pernah dilakukan oleh orang musyrikin zaman jahiliyyah dahulu. Tapi bila Rasulullah datang baginda tetap melakukannya, cuma ia dibuat dengan cara yang lebih baik dan bersopan.

Keenam, masalah sebut Amin . Saya fikir tidak ada orang Islam yatak sebut Amin dalam solat (lepas fatihah) tak kira wahabi ke atau tidak. Setakat yang saya belajar dan sedikit sebanyak pengalaman saya samada ketika belajar di Morocco ke, Jordan ke atau ketika buat Haji di Tanah suci Makkah (tempat lahirnya gerakan wahabi) ke atau ketika bertemu dengan orang Islam di Sepanyol ke dan tanya sahabat-sahabat yang belajar di Pakistan semuanya kalau solat ada sebut amin beramai-ramai selepas baca fatihah. Di Malaysia pun tak pernah lagi terjumpa orang Islam tak sebut amin ketika solat. Malah ketika berdoa diluar solat pun semuanya sebut amin. Cuma dalam mazhab Hanafi mereka tidak menyebut Amin secara nyaring/kuat, hanya disebut secara perlahan. Tapi yang pentingnya Amin tetap disebut. Saya fikir maklumat yang saudara sebarkan adalah salah sama sekali.

Manakala dakwaan saudara bahawa kalimah Amin tak ada dalam Al-Quran, serupalah seperti dalam kes Aqedah. Kami umat Islam ada empat sumber hujjah yang utama. Kalau tiada disebut secara jelas dalam Al-Quran kami kena rujuk hadis. Tak tahulah saudara bagaimana. Kalau hanya berpegang dengan Al-Quran belum Islam lagilah. Pasal Al-Quran sendiri suruh kita ikut ajaran Rasulullah s.a.w. Ataupun dalam berpegang dengan Al-Quran saudara hanya pegang separuh-separuh sahaja. Tak percaya semua. Saya bimbang saudara akan terjerumus ke dalam golongan yang disebut oleh Allah Taala:

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian sahaja dari isi kitab (Al-Quran) dan kamu kufur dengan sebahagian yang lain, maka tiadalah balasan kepada tindakan sedemikian rupa melainkan kehinaan di dunia dan di akhirat kelak pula akan ditimpa azab yang amat dahsyat”. al-Baqarah : 85.

Berkenaan dengan amin ini, ianya ada disebut secara jelas dalam hadis sohih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab sohihnya, “Bahawa Baginda s.a.w apabila selesai membaca al-Fatihah baginda menyebut amin, dinyatakan secara jelas dan dipanjangkan sebutannya”.

Jadi persoalan sebut amin boleh jadi kristian, tidak timbul sama sekali kerana kemungkinan wujudnya beberapa persamaan dalam ajaran Islam dengan Kristian atau Yahudi tidaklah mustahil kerana ajaran Islam itu sendiri datang sebagai penyempurna kepada semua ajaran yang terkandung dalam agama-agama samawi yang lalu. Ada ajaran yang dimansuhkan terus dan ada ajaran yang diteruskan dan diperbaiki agar sesuai dengan umat manusia hingga ke akhir zaman. Dan ajaran yang sempurna dan benar sekarang ini hanyalah ajaran Islam kerana ia sebagai penutup kepada segala ajaran samawi. Selainnya adalah batil dan tiada kebenaran, kerana ajaran Kristian dan Yahudi kini telah terseleweng begitu jauh. Ini ditegaskan pula oleh Al-Quran hujjah yang 100% kebenarannya, di mana Allah Taala berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar) di sisi Allah itu adalah Islam”. al-Imran : 19.

Saya rasa itu sahaja yang dapat dinyatakan di sini sebagai usaha membetulkan kekeliruan yang ditimbulkan oleh saudara cili merah. Jika kekeliruan tersebut disebabkan kejahilan maka saya menyeru saudara dan sekalian umat yang terbaca artikel saudara agar lebih mendalami Islam dan tanyalah alim ulamak kita jika ada sebarang kekeliruan dalam sebarang masalah khususnya aqidah, dan janganlah menuntut dengan paderi-paderi atau tok-tok sami atau merujuk kepada Bible. Rujuklah Al-Quran dan fahamilah maksudnya berdasarkan tafsiran ulamak muktabar. Bukannya mengikut tafsiran hawa nafsu. Manakala jika kekeliruan yang ditimbulkan lahir dari niat jahat untuk memburukkan kesucian Islam dan memecahkan belahkan kesatuan umat maka saya dan sekalian sahabat-sahabat saya yang cintakan Islam menasihati saudara yang berkenaan atau sebarang kumpulan yang berselindung dibelakang saudara agar menghentikan kerja-kerja yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan ini.

Semoga saudara dan tuan-tuan semua dibukakan hati untuk melihat kebenaran hakiki yang terkandung di dalam Al-Quranul Kareem&ldots;..

Sekian.

Abu ‘Ukashah Al al-Bayt.

11 Muharram 1419