Amar Maruf dan Nahi Mungkar adalah satu tuntutan yang wajib ke atas setiap muslim. Firman Allah Taala yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang maruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung".
Dan firman-Nya yang bermaksud: "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maruf dan mencegah dari yang mungkar.."
Firman Allah Taala : "Dan orang-orang yang berimana, lelaki dan perempuan sebagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang maruf, mencegah dari yang mungkar.."
Dan firman Allah Taala dalam menceritakan sebab-sebab kutukan-Nya terhadap orang-orang Yahudi yang bermaksud: "Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu".
Beberapa hadis Rasullah S.A.W telah datang dan menguatkan lagi maksud ayat-ayat di atas. Di antara hadis-hadis tersebut ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu bakar r.a. di dalam satu khutbah beliau.
Katanya: Wahai manusia, kamu membenarkan ayat "Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu daripada melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah, orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan apa-apa mudharat kepadamu, apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah dan petunjuk Allah (taat mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya)" Dan sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah saw. bersabda : "Barang siapa yang berbuat kejahatan dan ada di antara mereka yang mampu menegahnya tetapi dia tidak menegahnya nescaya dia akan diazabkan oleh Allah swt."
Sabda Rasulullah saw. : "Hendaklah kamu menyuruh ke arah kebaikan dan menegah kebatilan ataupun Allah akan memberikan tapuk pemerintahan kepada kaum yang jahat, dan apabila orang-orang yang baik mendoakan kesejahteraan, Allah tidak lagi memakbulkannya."
Di dalam hadis yang lain Rasulullah saw. juag bersabda : "Barang siapa di antara kamu yang melihat kebatilan, hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, jikalau dia tidak mampu maka dengan lidahnya, jika dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya, ketahuilah bahawa itulah selemah-lemah Iman."
Kita perhatikan terdapat banyak lagi hadis-hadis yang mendorong kita ke arah yang sama. Ini secara tidak langsung menunjukkan kepada kita peri pentingnya amar maaruf dan nahi mungkar ini dalam kehidupan seorang muslim.
Amar maaruf dalam konteks ini boleh diibaratkan sebagai menyuruh manusia ke arah kebaikan dalam apa saja tingkah laku, perbuatan dan perkataan berdasarkan apa yang dituntut oleh syara.
Sementara Nahi mungkar pula boleh digambarkan sebagai menyeru sekalian manusia meninggalkan apa yang sepatutnya ditinggalkan, mengubah apa yang patut diubah berdasarkan tuntutan syara.
Para ulama bersepakat menyatakan bahawa amar maaru dan nahi mungkar ini bukannya semata-mata tanggung jawab induvidu tertentu sahaja, manakala induvidu lain boleh bersikap "lepas tangan". Kita juga tidak boleh beranggapan bahawa amalan tersebut sebagai perkara sunat dan boleh ditinggalkan begitu sahaja, malah ianya wajib dilaksanakan oleh setiap induvidu muslim yang mengaku beriman kepada Allah Taala.
Islam mewajibkan Amar Maaruf dan Nahi Mungkar ini dengan tujuan membina satu masyarakat yang harmoni, melahirkan individu yang cemerlang berbekalkan pekerti yang mulia seterusnya mengurangkan malah membendung segala bentuk kemaksiatan dan jenayah. Dalam sebuah masyarakat madani yang dianjurkan oleh Islam, pemerintah bertanggung jawab melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar di dalam segala aspek kehidupan, begitu juga setiap induvidu dalam masyarakat.
Ringkasnya barisan pimpinan dan setiap individu dalam masyarakat masing-masing berperanan melaksana tugas yang mulia tersebut. Dengan yang demikian akan terbentuklah sebuah masyarakat yang aman dan sentosa lagi harmoni, seterusnya segala bentuk kemusnahan, maksiat, rasuah dan sebagainya pun akan terbenteras dengan sendirinya.