Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang disediakan baginya bumi sebagai tempat tinggal, udara untuk bernafas, tumbuh-tumbuhan dan binatang untuk dijadikan sebagai makanan dan juga kemudahan di dalam kehidupan seharian.
Selain dari itu, manusia juga diciptakan dengan dibekalkan satu fitrah, iaitu untuk hidup bermasyarakat, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Ibnu Khaldun seorang ulama dan pakar di dalam ilmu sosiologi, menerusi kitabnya yang masyhur, iaitu kitab "Muqaddimah", yang ada disebutkan di situ, bahawa menjadi keperluan untuk manusia hidup bergaul dan bermasyarakat serta berinteraksi di antara satu sama lain. Berdasarkan kepada penelitiannya ini, dia juga telah mengungkapkan satu ayat, iaitu"manusia diciptakan untuk bermasyarakat". Oleh yang demikian, di dalam menjalani kehidupan seharian di muka bumi, maka Allah SWT selaku pencipta sekalian makhluk tidak membiarkan sahaja manusia hidup tanpa berperaturan dan mengikut hawa nafsu semata-mata. Tetapi Allah telah menyediakan bagi manusia satu bentuk sistem hidup yang bersesuaian dengan fitrah semulajadinya dan sesuai untuk dipraktikkan oleh manusia pada setiap tempat dan pada setiap masa yang ianya meliputi segenap bidang hidup manusia , iaitu apa yang dinamakan sebagai SYARIAT ISLAM.
Setiap manusia sememangnya berhajat kepada hidayah dan petunjuk daripada penciptanya di dalam mengenali siapa dirinya, siapa penciptanya, apa peranannya dimuka bumi, bagaimana perlu di susun hubungan sesama makhluk dan juga hubungan makhluk dengan penciptanya (hablun minAllah wa hablun minannas). Sesuai dengan nama Allah, iaitu Al-Adl (Maha Adil) maka Allah tidak membiarkan manusia hidup tanpa pedoman dan hidayah , sebagaimana firmannya di dalam surah Al-Qiamah(36)"Adakah manusia mengira bahawa ia akan dibiarkan dalam keadaan bersahaja(sia-sia)?"
Sesungguhnya, Allah telah menetapkan bahawasanya Syariat islam adalah merupakan syariat yang terakhir yang diturunkan dari langit dan juga merupakan penamat bagi segala syariat-syariat yang pernah diturunkan sebagaimana yang didapati kepada para nabi yang terdahulu seperti nabi Adam,Nuh , Musa, Isa dan lain-lain lagi.
Syariat Islam telah diturunkan kepada nabi Muhammad SAW selaku nabi yang terakhir berdasarkan kepada ayat Al-Quran di dalam surah Al-Ahzab(40) "Tidaklah Muhammad itu bapa bagi salah seorang diantara laki-laki kamu, tetapi dia Rasulullah dan kesudahan bagi sekalian nabi dan Allah maha mengetahui tiap-tiap sesuatu". Nabi Muhammad telah ditugaskan untuk menyebarkan syariat Islam ini kepada umatnya yang terdiri kepada sekalian manusia dan juga sekalian makhluk seperti jin. Ia disebarkan sejak bermula turunnya wahyu hinggalah ke hari Kiamat dan kita selaku umat Islam bertanggungjawab di dalam menyebarkan risalah yang mulia ini selepas kewafatan nabi hinggalah tibanya hari Kiamat.
Sesungguhnya syariat Islam ini didatangkan di dalam keadaan ianya syumul dan lengkap serta memenuhi setiap keperluan dan kehendak manusia di dalam kehidupan di dunia.Ia juga memberi suatu bentuk sistem hidup yang tersusun kepada masyarakat manusia, samada interaksi di antara individu dengan tuhannya, individu dengan individu yang lain, individu dengan masyarakat dan masyarakat dengan masyarakat.
Beginilah bentuk syariat Islam secara umum. Sesungguhnya, perbahasan berkenaan syariat Islam adalah sesuatu yang perlu kepada huraian yang lengkap.Apa yang penting ialah, kita selaku hamba kepada pencipta yang agung , iaitu Allah SWT , perlu menanamkan keyakinan bahawasanya Syariat yang diturunkan oleh Allah ini adalah cukup lengkap. Tidak ada ruang untuk manusia menanamkan keraguan padanya kerana ia telah diciptakan khas untuk manusia.
InsyaAllah, dikeluaran yang akan datang, kita akan membincangkan pengertian kalimat "Syariah" dari sudut bahasa dan istilah, pembahagian syariat menurut pandangan ulamak serta ciri-ciri penting yang ada di dalam syariat Islam.
Wallahu a'lam.