MASALAH DENGAN TUNANG

    Soalan :

    Assalamu alaikum

    Saya berusia 23 tahun dan telah bertunang. Dan telah mengenali tunang saya selama 3 tahun lebih.Pada tahun hadapan mungkin saya akan berkahwin. Kalau tiada aral. Saya bekerja di bandar Johor Bahru dan menetap bersama rakan-rakan.

    -Tapi sekarang kami menghadapi masalah yang genting iaitu.. Tempohari saya telah menipu tunang saya, saya mengatakan saya terpaksa balik kampung kerana ada perkara penting yang perlu diuruskan. Padahal sebenarnya saya terlalu rindu pada keluarga saya dan saya ingin menziarahi mereka. Tujuan saya menipu kerana saya tahu saya tidak di benarkan balik kampung kerana minggu sebelumnya saya telah pun balik.

    Saya berpendapat sebelum saya berkahwin dengannya saya ingin rapat dengan keluarga kerana saya tahu bila saya sudah menjadi isteri saya tidak boleh melanggar kata suami saya. Saya memikirkan kalau saya tidak balik mungkin tunang saya akan ajak saya keluar berjalan-jalan al maklumlah cuti am. Saya ingin menghindarkan terlalu kerap keluar dengannya. Apatah lagi setiap pergi dan balik kerja dia yang ambil. Bukan saya jemu tapi saya nak menghindarkan dari dosa besar yang telah kami lakukan.

    Tapi kelakuan saya itu selalu disalah anggap. Beliau mengatakan saya terlalu pentingkan keluarga dan tidak mementingkan dia, tidak menyayangi dia. Sebenarnya saya cukup berpegang dengan agama walaupun kadang kala saya mengingkarinya. Sebenarnya dia tak faham.

    Sekarang dia tak mahu bercakap dengan saya. Saya sangat sedih. Tiga malam berturut-turut yang lepas saya telah sembahyang hajat agar diputuskan sahaja pertunangan ini keran saya tidak tahan lagi dengan sikapnya yang ingin sahaja bersama sahaja hinggakan saya sangat rimas dan takut jiran-jiran akan berkata apa-apa.

    Saya cuma inginkan perhubungan ini suci disisi agama. Tolonglah berikan nasihat yang boleh dijadikan panduan untuk saya. Berikanlah apa-apa doa yang bertepatan agar saya dapat mengharungi hidup ini dengan tabah, Sekian terima kasih

    Hamba Allah yang sedih..


    Jawapan :

    Walaikumussalam warahmatullah..

    Saudari yang dirahmati Allah,

    Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan syabas kepada saudari kerana mempunyai pendirian yang jelas dan hasrat yang teguh untuk menjaga perhubungan dengan tunang saudari agar bersih disisi agama. Sememangnya itulah perkara yang dituntut olah Allah dalam tempoh pertunangan itu.

    Memang sukar untuk berpegang dan melaksanakan perintah agama disaat orang lain tidak memahami dan tidak mengambil berat lagi baik buruknya, hitam atau putih sesuatu perkara itu mengikut kacamata islam. Tapi saudari mesti yakin dengan sebulat keyakinan bahawa Allah pasti akan menolong dan memudahkan urusan hamba-Nya, lambat atau cepat, asal sahaja hamba itu tetap mahu memilih dan mengutamakan kehendak Allah didalam kehidupannya.

    Sudah menjadi ketetapan Allah kepada manusia yang dhaif, jika ia berikrar dan berazam untuk cuba menjunjung dan mentaati kehendaknya, disaat dan ketika itulah juga Allah akan memberi ujian untuk mengukur sejauh manakah azam dan ikrar itu untuk menilai setinggi manakah cintanya kepada Allah. Anggaplah apa yang sedang saudari hadapi sekarang sebagai ujian daripada Allah untuk melihat adakah saudari benar-benar bersungguh dengan cita-cita dan hasrat saudari, atau sekadar bermain ditepi bibir. Ingatlah, bahawa cinta Allah itu lebih agong dan bermakna dari segalanya. Jika saudari dapat merasakan perkara ini, maka saudari akan mendapat ketenangan dari Allah walaupun manusia seluruhnya tidak faham tindak tanduk saudari.

    Dalam menghadapi masalah saudari dengan tunang yang kurang memahami perkara yang penting ialah kekuatan jiwa saudari itu sendiri untuk terus bertahan dan tidak mudah terikut dengan rentak manyarakat. Para ulamak sering menyebut bahawa dengan keutuhan iman dan kekentalan hati seseorang muslim itu dapat menolak segala masalah yang melanda. Iman atau keyakinan kepada Allah adalah merupakan motivasi yang ampuh dan inspirasi buat saudara mengharungi maslah ini dengan tabah. Jesteru itu, pastikan diri saudari memperkuatkan hubungan dengan Allah Taala dengan cara sentoiasa mengingatinya dan mengingati janji-janjinya, dan yakin bahawa prinsip saudari adalah yang paling benar dan diredhai Allah. Dengan cara inilah saudari akan mampu untuk terus mempertahankan kesucian hubungan ini. Persediaan jiwa ini penting kerana saudari tidak tahu apakah respon tunang saudari jika saudari tetap dan labih bertegas selepas ini memandangkan dia adalah seorang yang kurang memahmi.

    Hidup berumahtangga adalah suatu topik yang serius dan pilihan kita menentukan derita atau bahagianya kita selepas ini. Pastinya saudari ingin tunang saudari mengambil berat dengan tuntutan agama agar kehidupan lebih diberkati. Jadi mulakanlah usaha kearah memahami islam secara lebih menyeluruh. Bermula dari diri saudari sendiri seiring dengan tunang saudari juga. Jangan terlalu mengambil hati tunang semata-mata dengan sering keluar bersamanya. Sebaliknya cubalah menyedarkan dia tentang setakat manakah haknya sebagai tunang dalam islam. Hadiahkanlah kepadanya dengan kaset-kaset ceramah yang berkaitan, buku-buku agama atau seumpamanya yang boleh memahamkan dia sedikit demi sedikit. Mungkin dia akan menunjukkan ssedikit tindak balas yang negatif pada awalnya, tapi saudari janganlah cepat mengalah dan putus asa. Bawalah berbincang dengan baik dengan menggunakan hujah-hujah yang kukuh banyakkan bersabar dan carilah kekuatan dari orang-orang yang berilmu yang berdekatan dengan saudari. Disamping itu, jangan lupa banyakkan berdoa dan bertawakkal kepda Allah Taala agar dia cepat sedar dan boleh membimbing saudari menghayati keindahan islam. Islam bukan semata-mata mahu menyekat kemahuan naluri manusia sewenang-wenagnya, tetapi disebalik segala ketetapan, telah diatur hikmah yang sangat cantik untuk menjaga akal, maruah, jiwa, harta dan keturunan manusia.

    Walaupunbagaimaanpun, islam tidak menggalakkan tempoh pertunangan yang telalu lama. Sebaik-baiknya percepatkanlah perkahwinan saudari, lebih-lebih lagi untuk mengelakkan fitnah dan maksiat yang dimurkai Allah. Disamping itu saudari perlulah melengkap diri saudari dengan pengetahuan ilmu agama untuk menjadi sorang islam yang lebih bermakna disisi Allah Taala.

    Disini saya sebut bebarapa doa yang mingkin saudari boleh baca dalam membantu masalah saudari:-

    Mafhumnya:-Ya Allah kami, anugrahkan kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.

     

    Mafhumnya:- Ya Allah. Sesungguhnya kami memohon kepada Mu kasih sayangMu dan kasih sayang orang yang menyintai Mu dan amalan yang membawa kepada menyintai Mu. Ya Allah! Jadikanlah cinta kami kepada MU lebih daripada cinta kami kepada keluarga dan diri kami dan daripada air yang menyejukkan.

    Mafhumnya:- Ya Allah! Permudahkan bagiku untuk mendapatkan suami yang soleh, bertakwa, bersopan santun, meminang dan mengahwiniku serta menyayangi ku dengan penuh kasih sayang kerana Allah dan aku menyintainya dengan cinta yang mendalam kerana Allah. Dan dia jujur pada ku di dunia dan di akhirat dan janganlah engkau tinggalkan aku kesorangan. Sesungguhnya engkaulah sebaik-baik pewaris.

     


    JAWAPAN KEDUA;

    oleh : Ustaz Zamri Abdul Halim

    Pertunangan dalam islam lebih merupakan satu ikatan perjanjian yang berlaku diantara pihak lelaki dan pihak perempuan untuk mendirikan rumahtangga, ianya tidak lebih dari itu. Apa yang menjadi masalah adalah masyarakat kita telah menyalah anggapkan konsep pertunangan dan menganggap bahawa dalam waktu pertunangan bermakna si lelaki dan perempuan telah menjadi ala suami-isteri.Anggapan ini adalah salah di sisi agama islam. Pertunangan tidak bermakna si lelaki dan perempuan bebas bergaul kesana kemari, berborak, berdating serta berpeleseran. Saya beranggapan bahawa saudari menyedari hakikat ini.

    Di dalam tempoh pertunangan mengikut islam. saudari tidak ada apa-apa hubungan dengan tunang saudari kecuali hanyalah janji untuk melangsungkan perkahwinan. Tunang saudari juga tidak ada hak keatas saudari selama mana saudari tidak diijab kabulkan sebagai suami isteri. Begitu juga tunang saudari tidak berhak memaksa saudari dalam dalam saudari membuat keputusan. Sebagai contoh, saudari mempunyai kebebasan untuk pulang ke kampung dan bermesra dengan keluarga. Tunang saudari tidak ada hak untuk melarang saudari daripada pulang ke kampung. Saudari juga tidak dituntut untuk mentaati tunang saudari, lainlah jukalau saudari adalah isterinya. Dalam tempoh pertunangan seharusnya ketaatan saudari hanyalah tertumpu kepada kedua ibu bapa selagimana mereka menyuruh kearah kebaikan.

    Sepatutnya hubungan saudari dalam tempoh pertunangan tidak lebih seperti hubungan saudari dengan lelaki yang lain. Apa yang saya perhatikan dari penjelasan saudari, bahawa saudari serign keluar bersamanya. Ini jelas bertentangan dengan syariat agama. Saya bersyukur kerana saudari ada menyebut bahawa saudari ada mempunyai kesedaran agama. Untuk lebih menjaga agama saudari, jauhilah daripada daripada pergaulan bebas walaupun dengan tunang saudari sendiri.

    Pertunangan bukan satu tiket untuk membenarkan saudari kelauar bersama dengan tunang saudari. Saya rasa saudari memahaminya. Daripada penjelasan saudari juga, saya dapati saudari telah lama mngikat tali pertunangan dengan jejaka tesebut. Di dalam islam tempoh pertunangan disarankan oleh islam agar ianya tidak berpanjangan kerana dikhuatiri berlaku didalam tempoh tersebut perkara-perkara diluar batasan agama. Ini hikmah Allah Taala menyarankan supaya disingkatkan tempoh pertunangan.

    Saranan saya, jikalau saudari diberi ilham oleh Allah untuk terus bersama jejaka tersebut, supaya dipercepatkan urusan perkahwinan bagi menjaga maslahat saudari sendiri dan tunang saudari. Ia juga dapat mengelakkan daripada perkara-perkara yang tidak diingini didalam tempoh tersebut.

    Saya rasa saudari terlalu mengikut kemahuannya sehingga sanggup keluar bersamanya jika diajak. Sebagai seorang yang ada kesedaran agama, saudari perlu sedar bahawa perbuatan saudari adalah bertentangan dengan syariat. Seorang perempuan yang solehah sepatutnya mejaga akhlaknya serta pergaulannya. Sebab itulah kalau kita renung kepada sejarah ulamak silam, sehinggakan ramai tidak mengetahui bahawa seorang ulamak itu mempunyai anak perempuan. Ulamak dahulu cukup menjaga anak perempuan daripada terdedah kepada umum. Sebab itulah antara hikmah Allah Taala memerintahkan supaya wanita menutup kepala dan tubuhnya untuk mengelakkan daripada dilihat oleh mereka yang bukan muhram. Kalau melihatnya pun sudah diharamkan apatah lagi begaul tanpa sekatan.

    Satu perkara lagi yang saya nak sentuh disini bahawa saudari menyatakan setiap hari dihantar dan diambil dari tempat kerja. Ini juga tidak elok dan tidak mengikut adab Islam, Sepatutnya saudari memahamkannya tentang perkara ini dan berhenti daripada dihantar dan diambil olehnya. Dalam persoalan agama, kita seharusnya bertegas dan cuba memahamkannya dengan uslub (cara) yang berhikmah. Ingatlah syaitan sentiasa mencari jalan melalui kelemahan manusia. Biasanya manusia lemah bila berhadapan nafsu serakah. Oleh itu jangan ingat apabila saudari berada dengan tunang saudari hanya saudari berdua sahaja tetapi disana ada syaitan dan kuncu-kuncunya sentiasa menagih dan menggoda supaya manusia menurut kehendak nafsu.

    Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: "Syaitan menyelusuri tubuh manusia melalui lubang darah". Sebagai seorang muslimah saudari seharusnya berbangga dengan maruah saudari serta syaksiah Islam yang ada pada saudari. Jangan menjualnya dengan nilai yang murah dan boleh dibawa kesana kemari. Biar orang membenci kita kerana kita berpegang dengan agama, kerana nun disana Allah mencintai kita.

    Jadilah seorang muslimah yang solehah yang sisifatkan oleh Nabi SAW: "Sesungguhnya dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan duni adalah perempuan yang solehah". Saranan saya, cuba bawa perbincangan perkara ini dengan keluarga saudari. Saya rasa keluarga saudari boleh menyelesaikan samaada melalaui perbincangan dengan dua belah pihak ( keluarga tunang sekali) kearah penyelesaian masalah ini ataupun jalan terkahir memutuskan tali pertunangan sekiranya saudari tidak nampak kebaikan melalui hubungan ini. Sebab itulah Islam menyarankan bagi kedua belah pihak supaya memilih isteri atau suami yang soleh atau solehah atau sekurang-kurangnya yang ada kesedaran agama serta celik agama.

    Sepatutnya hubungan yang berlaku di tempoh pertunangan adalah hubungan yang berlandaskan agama supaya perkahwinan yang bakal didirikan nanti terdiri diatas asas-asas agama yang menghasilkan zuriat yang benar-benar bertaqwa kepada Allah Taala. Disamping suami dan isteri berperanan dalam keluarga, saling nasihat menasihati diatas perkara agama.

    Pertunangan di dalam Islam bukan semestinya membawa ke alam rumahtangga. Kedua belah pihak berhak untuk menarik diri daripada tapi pertunangan ini. Saranan saya ialah, cuba saudari banyakkan pergantungan dengan Allah serta berdoa kepadaNya terutama dimalam hari di mana segala doa dimakbulkan oleh Allah. Mintalah petunjuk daripadaNya samaada perhubungan tersebut baik untuk saudari di dunia ataupun di akhirat. Banyakkan bersembahyang istikhoroh ( solat untuk memilih sesuatu) serta baca doa-doanya ( doa ada dilampirkan dibawah) disamping selalu bersembahyang hajat.

    Tentang dosa yang telah saudari lakukan bersamanya. saya kurang jelas, apa yang penting, banyakkan taubat kepada Allah Taala sebagaimana Nabi SAW bertaubat 100 kali, lebih-lebih lagi kita yang sentiasa terdedah dengan kemaksiatan lebih-lebih dituntut. Namun, cuba jauhilah semua pintu-pintu yang boleh menjerumuskan menusia ke lembah kehinaan. Usahlah saudari bersedih, selama mana kita berada pada jalan Allah kita adalah kekasih Allah, dan Allah menjanjikan ketenangan kepada kekasihnya.

    Disini saya lampirkan doa untuk sembahyang istikharah ( 2 rakaat, rakaat pertama baca Al-Faatihah fan surah Al-Kaafirun dan rakaat kedua dibaa surah Al-Faatihah dan surah Al-Ikhalaas.

    Doa ini dibaca ketika sujud ataupun lepas sembahyang

    Mafhumnya:- Wahai tuhanku, aku memohon pilihan dengan ilmuMu dan memohon takdirMu dengan kekuasaanMu. Dan aku memohon daripada kelebihanMu yang amat besar. Sesungguhnya Engkau sahaja mampu segalanya dan aku tidak mampu dan Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui. Engkau mengetahui segala perkara ghaib. Wahai tuhanku sekiranya /engkau ketahui bahawa perkara ini adalah yang terbaik buatku dalam perkara agamaku, didalam kehidupanku serta kehidupanku selanjutnya, maka takdirkanlah perkara itu untuk ku serta permudahkannya untuk ku dan berkatilah aku padanya. Sekiranya Engkau ketahui baha perkara ini adalah bukan yang terbaik buatku dalam perkara agamaku, di dalam kehidupan ku serta kehidupan ku selanjutnya, maka jauhilah daripadanya serta takdirkanlah yang terbaik buatku serta berkatilah aku.

    Doa solat hajat:

    Mafhumnya:- Tiada tuhan yan disembah melainkan Allah yang bersifat maha mengetahui dan mulia. Maha suci Allah tuhan kepada arays yang maha besar. Segala puji bagi Allah tuhan sekelian alam. Aku momohon rahmat Mu serta keampunan Mu, perlindungan daripada segala dosa, serta pertolongan Mu dalam melakukan kebaikan, serta perlindungan daripada setiap perkara buruk serta aku memohon darjat syurga yang tinggi. Jangan Kamu tinggalkan dosa terhadapku kecuali Engkau mengampuninya, tidak ada kesulitan kecuali Engkau permudahkannya, tidak ada hutang kecuali Engkau permudahkan urusan pembayarannya, tidak ada hajat dunia dan hajat akhirat kecuali Engkau perkenankan hajat tersebut wahai tuhan yang pemurah.

     Kemudian bacalah doa yang sepatutnya...

    Wallahuaklam