![]()
|
|
Soalan : |
Assalamualaikum..Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam.. Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan Muhammmad s.a.w... insan maksum membawa ajaran benar.. Di sini ada beberapa kemusykilan, semoga dapat saudara jelaskan pada saya, dengan izin Allah:- a)Seorang teman pernah bertanya kepada saya, kenapa Allah menjadikan Neraka, sedangkan manusia itu lemah? Soalan ini sering mengganggu saya dan saya bimbang ia akan menyebabkan saya terfikir yang bukan-bukan. b)Sekarang ini, saya sedang cuba memperbaiki kehidupan saya dengan belajar mendekati Allah. Dan saya sedar hati memainkan peranan yang sangat penting dalam perubahan diri seseorang. Apa yang menyedihkan saya, apabila saya cuba berfikir tentang perkara-perkara yang baik, cuba mengingati Allah, akan timbul fikiran yang jahat pula. Apabila saya cuba menyebut La Ilaha Illallah, akan terbit makna yang bertentangan. Begitu juga apabila saya cuba memikirkan tentang Rasulullah. Datang di fikiran saya perkataan-perkataan dan fikiran-fikiran yang buruk. Saya jadi takut Allah akan murka kerna fikiran-fikiran jahat saya ini. Hinggakan saya jadi buntu, seolah-olah takut untuk berfikir. Ia datang di fikiran saya, walaupun saya sendiri tidak percaya pada perkara tersebut. Adakah ini sememangnya berlaku apabila seseorang ingin berubah, atau cuma saya yang tidak dapat menahannya? c)Saya pernah terbaca bahawa percaya kepada Allah melalui ilmu sahaja, tanpa jiwa tauhid adalah sia-sia. Apakah yang dimaksudkan dengan jiwa tauhid ini? d)Saya kini sering berbicara dengan Allah, seperti seorang teman. Mengadukan hal saya, kesedihan saya, kegembiraan saya, hinggakan kadang-kadang saya jadi ketawa dan senyum sendiri. Apakah keadaan sebegini dibenarkan, atau ada adab-adab tertentu dalam mengadukan hal kita kepada Allah, selain drpberdoa? Semoga saudara, dan umat Islam di dunia ini sentiasa mendapat Rahmat dari Illahi.. Hamba Allah |
|
Jawapan : |
Waalaikumussalam Soalan satu SEBAB DIJADIKAN NERAKA Segala puji kita panjatkan kepada Allah Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad pembawa Risalah Islam. Terima kasih diatas soalan. Allah menjadikan Neraka dengan azabnya yang pedih sebagai balasan yang setimpal untuk hambanya yang melakukan kemungkaran padanya, mengingkari perintahnya dan melakukan larangannya. Tidak dapat dinafikan manusia adalah satu makhluk yang lemah dan keyataan ini telah dirakamkan di dalam Al-Quraan : " Sesungguhnya kami jadikan manusia itu dalam keadaan lemah". Lemahnya manusia adalah daripada segi jasmaninya jika dibandingkan dengan makhluk lain ciptaan Allah seperti bulan, matahari, bukit dan sebagainya. Namun begitu manusia dibekalkan dengan satu keistimewaan iaitu akal yang dengannya terangkat tahapnya menjadi lebih mulia daripada malaikat dan kadangkala kerana tidak menggunakan akal dengan baik, manusia akan jatuh ketempat atau mertabat yang lebih rendah lagi daripada haiwan. Seperti yang kita tahu bahawa tujuan manusia diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah seperti firmannya yang bermaksud: "Tidak kami jadikan manusia dan jin melainkan untuk menyembah aku (Allah)". Namun begitu Allah yang amat mengetahui hal keadaan makhluknya, lebih -lebih lagi manusia yang lemah, maka Allah tidak memerintahkan sesuatu yang luar daripada kemampuan kudrat manusia. Akan tetapi semua perintah Allah itu jika diteliti ianya sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Firmannya lagi yang bermaksud "Bahawa tidaklah memberati oleh Allah Taala sesuatu diri itu melainkan sekadar kemampuannya". Hasil daripada perintah Allah yang sesuai dengan keadaan manusia, maka lahir dua golongan manusia. Satunya golongan yang benar-benar bertakwa, ikhlas kepada Allah dalam beribadat. Golongan ini Allah telah menjanjikannya kemenangan dan kebahagiaan di akhirat dengan syurga. Golongan yang kedua ialah mereka yang engkar dengan perintah Allah. Maka Allah sediakan baginya neraka. Jadi persoalan manusia itu lemah adalah benar jika dibandingkan dengan makhluk-makhluk lain. Tetapi lemah ini tidak menjadi penghalang untuk dihumbankan kedalam neraka kerana pada dasarnya ia telah disuruh melakukan perkara yang mampu dilakukan. Seolah-olah dia berada di persimpangan antara patuh atau engkar dan Allah telah menegaskan jika ia patuh, balasannya ialah syurga dan jika engkar balasannya ialah neraka. Sekiranya ia engkar dia sendiri yang sengaja mencari kecelakaan untuk dirinya sendiri. Kesaimpulannya ialah neraka dan syurga dijadikan adalah sebagai tempat balasan jahat atau baik. Sementara itu Allah memerintah manusia supaya mentaatinya dengan perintah yang sesuai dengan keadaan manusia yang lemah. Jadi terpulanglah kepada manusia itu sendiri untuk memilihnya. Oleh itu tidak ada kaitan dengan kejadian manusia yang lemah dengan kejadian neraka. Soalan dua Perkara seperti ini sentiasa berlaku dikalangan mereka yang ingin berubah. Ini kerana seperti yang kita tahu bahawa di sana ada satu musuh yang sentiasa mengganggu kita dan berusaha untuk menyesatkan manusia iaitu syaitan. Salah satu senjata yang digunakan ialah perasaan was-was. Oleh itu dinasihatkan sekiranya kita berada dalam keadaan ini perbanyakkanlah istighfar dan berdoa semoga Allah kurniakan ketenangan hati dan keteguhan iman. Biasanya ini dikatakan terlintas dan hal ini tak memudaratkan selagi mana kita tidak beriktiqad sedemikian. Tolakkan perasaan tersebut dengan istighfar dan syahadah. Di samping itu perbanyakkan membaca buku yang berkaitan dengan hati dan aqidah. Soalan tiga Jiwa tauhid adalah pelengkap kepada syarat iman. Ini kerana iman itu terdiri daripada:- 1. Berkata-kata dengan lidah seperti mengucap dua kalimah syahadah. 2. Beriktiqad dalam hati bahawa tidak ada tuhan yang layak di sembah melainkan Allah. Semua ibadat hanya kepadanya. 3. Amal perbuatan ini dengan cara kita melakukan segala perintah Allah dan Rasulnya dan meninggalkan segala larangannya. Jadi jiwa tauhid adalah ( perkara 2 ) satu asas penting syarat iman iaitu kita tanamkan dalam hati kita bahawa Allah yang satu yang layak disembah tak ada sekutu baginya. Kepadanya segala ibadat, amal perbuatan kita. Maknanya dalam hati kita hanya Dialah tuhan yang satu. Soalan empat Islam menggariskan beberapa cara untuk kita berhubung dengan Allah dan mengadu hal kepadanya. Antaranya:- 1.
Berdoa kepadanya. Cuma di sini ianya saya kurang mengerti tentang maksud saudara bagaimanakah cara yang telah saudara lakukan sehingga membawa kepada saudara ketawa dan senyum sendiri. Harap maaf. Sebenarnya jika kita meneliti satu persatu syariat Islam, nescaya di sana menunjukkan perhubungan kita yang intim dengan Allah seperti solat lima waktu paling kurang dalam sehari melambangkan kita tidak pernah lupa padanya. Ibarat seorang kekasih dengan kekasihnya yang tak pernah lupa walaupun sesaat. Jika kita lihat pada zakat, ianya melambangkan kesyukuran kita keatas rezeki yang Allah kurniakan dan begitu juga dalam ibadat-ibadat lain semuanya melambangkan pertalian yang utuh antara pencipta dan makhluknya. Semoga Allah menetapkan iman kita dalam ketaatan kepadanya dan mengampuni segala dosa dan di jauhkan kita dari azab kubur dan neraka. Amiin.
|