SOALAN
Asalamualaikum wrt Yang Berbahagia Ustaz,
Semenjak saya membaca tentang kebangkitan Imam Mahadi (sewaktu saya kecil) saya menjadi ternanti-nanti akan kedatangan beliau. Saya amat ingin untuk duduk di bawah pentadbiran beliau dan merasai zaman solafussoleh
2. Pada kesempatan saya, saya mencari dan membaca dan mengkaji dari hadis-hadis sohih dan tidak sohih dan dari hadis lemah Sanadnya untuk mencari keterangan tentang Imam Mahadi.Yang berbahagia Ustaz,
Saya mengharapkan agar ustaz dapat memberi keterangan tentang imam Mahadi, tentang pengikut kanannya, tentang cerita bani Tamam dsb untuk menguatkan hati saya dan seluruh yang lainnya.Wallahualam.
Mohamad Nor. Batu Pahat , Johor mahaguru@wowmail.com
JAWAPAN
Al-Mahdy adalah satu tanda daripada tanda kiamat yang besar. Keluarnya beliau ke muka bumi ini dan memerintah umat Islam adalah suatu hakikat yang harus diterima di sisi ahli al-Sunnah wa al-Jamaah. Ini berdasarkan kepada nas-nas yang sahih mengenai perkara tersebut. Beliau akan keluar dan memerintah umat ini berlandaskan Islam. Beliau bolehlah dianggap sebagai mujaddid kepada umat islam. Keadilan akan tertegak di zamannya dan umat sekaliannya akan akan merasai hidup dengan penuh nikmat yang tidak pernah dirasai sebelumnya. Itulah secara sepintas lalu mengenai Imam al-Mahdy. Di sini saya terangkan beberapa perkara yang berkaitan dengan imam al-Mahdy yang ditunggu-tunggu ini.
1) namanya dan nasabnya
berdasarkan kepada hadis-hadis yang sahih, nama al-Mahdi dan nama bapanya adalah bersamaan dengan nama Rasulullah SAW dan bapanya.
Maksudnya: "dunia tidak akan musnah sehinggalah orabg-orang arab diperintah oleh seorang lelaki daripada keluargaku, namanya sama dengan namaku". (Hadis riwayat Abu Daud : 3733)
Daripada hadis ini dapatlah disimpulkan bahawa nama al-Mahdi yang sebenar adalah "Muhammad" dan nama bapanya adalah "Abdullah".
Sementara keturunannya pula, tidak syak lagi bahawa beliau adalah daripada keturunan Rasululah SAW. Malah di sana terdapat riwayat yang banyak yang menceritakan tentang keturunan al-Mahdi tersebut. (sila rujuk sunan Ibn Majah dan Sunan Abu Daud). Antaranya:
maksudnya: " al-Mahdi daripada keturunanku daripada anak Fatimah". Hadis riwayat Abu Daud 3735)
Hadis ini secara tak langsung mengakui bahawa al-Mahdi itu adalah daripada keturunan Rasulullah SAW daripada sebelah Sayyidah Fatimah al-Zahra. Inilah pendapat yang depersetujui oleh Jumhur ulama Islam. (Mustafa al-Shalabi: Sahih Ishrad al-Sa'ah m/s192).
Antara tanda-tanda keluarnya al-mahdi ialah beliau akan keluar di zaman di mana kezaliman dan penindasan melata. Maka beliau keluar atas perintah Allah dengan tujuan untuk menghapus kezaliman tersebut dengan mendirikan syariat, menyebarkan keadilan. Pada waktu itu Allah Taala akan menurunkan hujan memperbanyakkan binatang ternakan, menyuburkan tanaman dan harta benda akan melimpah ruah disebabkan kebajikan yang melata pada waktu itu.
Tempat dan zaman keluarnya:
Tiada kedapatan nas yang jelas yang menceritakan tentang tempat keluarnya al-Mahdi ataupun zaman keluarnya. Tetapi berdasarkan kefahaman daripada nas-nas yang menceritakan mengenai al-Mahdi dan perkara-perkara yang berlaku di zamannya maka kebanyakan ulama berpendapat beliau akan muncul di akhir zaman nanti. Di sini saya terjemahkan kata-kata al-Hafiz Ibn Kathir mengenai perkara ini. Katanya:" beliau akan keluar di akhir zaman dan beliau adalah salah seorang daripada Khulafa al-Rashidin tetapi bukanlah yang ditunggu-tunggu seperti dakwaan Syiah. Kemunculannya adalah daripada sebelah timur bukannya dari Sardab Samarayyi seperti dakwaan puak Syiah". (al-Nihayah Fi Fitan m/s:37).
Itulah secara sepintas lalu menegnai al-Mahdy yang menjadi tanda-tanya oleh segelintir umat Islam. Adapun mengenai pengikutnya ataupun cerita mengenai Bani Tamin yang membawa panjinya, saya tidak mempunyai maklumat yang jelas. Malah kebanyakan hadis yang menceritakan tentang al-Mahdi juga tidak menceritakan dengan jelas akan golongan yang menjadi pengikutnya itu. apatah lagi hendak menentukan secara jazam Bani Tamim sebagai pendokongnya. Insyaallah sekiranya kami mempunyai maklumat yang jelas dan tepat kami akan menghubungi saudara yang bertanya.
Apa yang boleh saya katakan ialah imam al-Mahdi sememangnya wujud dan akan keluar di akhir zaman nanti, dia adalah seorang yang soleh dan keluar ke Mekah daripada Madinah al-Munawarah dan manusia berbaiah dengannya di antara rukun Kaabah dan Maqam Ibrahim. Dia mempunyai pengikut-pengikutnya daripada kalangan umat Islam yang menyokongnya. Dengan demikian tersebarlah keadilan di kalangan manusia sejagat. Beliau akan bertemu dengan Nabi Isa A S dan akan bersama-sama dengannya memerangi Dajjal dan dia akan hidup di dunia ini selama tujuh atau sembilan tahun (terdapat perselisihan pendapat di kalangan ulama tentang tempoh al-Mahdi di dunia). (mustafa al-Shalaby m/s 98).
Wallahu A'lam.