SOALAN
Asalamualaikum wrt
Apoakah pandangan peribadi ustaz mengenai pergerakan jemaah Al-Arqam yg telah diharamkan oleh pihak kerajaan. Saya sendiri telah diberi kesempatan oleh Allah untuk meneliti dan melihat keindahan pergerakan ini walaupun saya tidaklah menjadi anggota jemaah tersebut. Diharap Ustaz dapat memberi pandangan.Terima Kasih
Hamba Allah <mahaguru@wowmail.com>
JAWAPAN
Mengenai persoalan mengenai al-Arqam ataupun darul al-Arqam yang ditubuhkan oleh ustaz Assyari bin Muhammad sejak tahun 60-an yang lalu, kami tidaklah mempunyai pandangan yang jitu. Apa yang ditulis di sini lebih merupakan pandangan peribadi penulis.
Al-Arqam yang telah di haramkan di Malaysia pada asalnya adalah pertubuhan dakwah bebas dan bergerak melalui beberapa saluran dakwah. Antaranya Mass media, hiburan nasyid majalah buku-buku dan sebagainya. Kewujudannya pada awalnya sama seperti kewujudan mana-mana bdan dakwah yang lainnya. Masalah mula muncul apabila keluar beberapa pandangan daripada al-Arqam yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai melampau dan menyalahi aqidah Islam. Antara kenyataan-kenyataan tersebut ialah; kenyataan mereka mengenai aurad al-Muhammadiah, mengenai imam al-Mahdi, mengenai al-Syiekh Suhaimi yang merupakan guru kepada Abuya, mengenai Bani Tamim mengenai mimpi di siang hari bertemu Rasulullah SAW, bertemu dengan Rasulullah Saw cecara jaga serta kenyataan mengenai wujudnya tentera badar seramai 313 orang yang ditubuhkan oleh al-Arqam dan lain-lain lagi. (sila rujuk mengenai kenyataan-kenyataan ini kepada Pusat Islam).
Kenyataan mereka mengenai perkara -perkara tersebut menimbulkan keraguan kepada beberapa pihak terutamanya Pusat Islam yang merupakan badan utama yang bertangung jawab mengenai kedudukan Islam di Malaysia (walaupun kita agak meragui sejauh manakah mereka berperanan ke arah itu). Akhirnya langkah drastik pun di ambil dan al-Arqam pun diharamkan pada tahun 1994 hasil keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa yang dibentuk.
Pada saya sekiranya fatwa yang dikeluarkan itu adalah hasil daripada rasa kesedaran Pusat Islam tentang betapa perlunya perkara-perkara tersebut dibendung demi masa depan umat Islam di nusantara maka saya menyokong seratus peratus. Tetapi sekiranya langkah pengharaman tersebut lebih bersifat melepas batuk di tangga ataupun lebih bersifat untuk melindungi rakyat daripada isu-isu lain yang lebih besar maka pada saya langkah tersebut perlu di teliti semula.