IMAM SOLAT

SOALAN

Assalamualaikum.....

alhamdulillah, akhirnya ketemu juga h/p soal jawab agama ini. Saya ada satu soalan.

Apa hukumnya seseorang bersembahyang berjemaaah di masjid atau di surau berimamkan seorang imam yg bacaan fatihah nya tak sempurna dari segi tajwid. Adakah seorang makmum berhak memutuskan sembanyang jemaah nya dgn imam tersebut atau pun bagaimana jalan penyelesaian?

Imam tersebut telah dipilih dari AJK masjid/surau. Beliau seorang yang baik dan warak, akan tetapi bacaan fatihah nya kurang sempurna dari segi tajwid. Saya bersetuju beliau dilantik sebagai imam, akan tetapi adakah sembahyang jemaah tersebut dikira sah ataupun tidak.

Dan apakah syarat2 untuk menjadi imam?Terima kasih

 Mohd Zulkhairi Abdullah
Shah Alam, Selangor

JAWAPAN

walaikumussalam,

Saudara yang dirahmati Allah,

Mengenai soalan2 yang telah dikemukakan, Suka saya mulakan dengan soalan yang terakhir, iaitu mengenai syarat2 untuk menjadi Imam. Cuma , saya rasa soalan sebenar yang dikehendaki oleh saudara ialah, siapakah yang diutamakan untuk menjadi imam.

Ini adalah berdasarkan kepada beberapa sebab:

  1 - Sebenarnya saudara telah maklum syarat2 untuk menjadi imam Kerana syarat2 untuk menjadi imam adalah hampir sama dengan syarat2 sah solat. Contohnya Islam, beraqal, suci daripada hadas dan najis.(rujukan : Fiqh al-Islami wa-Adillatuhu, Al-Zuhaili). Jadi apabila seseorang itu dapat menunaikan sembahyang dengan sempurna maka dia layak menjadi imam dan solat orang yang di belakangnya adalah sah.

  2 - Kebanyakan buku2 feqah tidak menyebut syarat2 untuk menjadi imam bahkan menyebut siapakah yang diutamakan untuk menjadi imam.

  3 - Setakat pengamatan saya mengenai syarat2 untuk menjadi imam yang ditetapkan oleh majlis agama atau seumpama dengannya di negeri2 di Malaysia bukannya syarat sah menjadi imam tetapi syarat2 orang yang paling layak untuk menjadi imam berdasarkan suasana keadaan pendidikan di negeri2 tersebut.

Oleh yang demikian, di sini saya akan sebut syarat2 orang yang diutamakan untuk menjadi imam mengikut tertib daripada atas seperti mana yang di sebut oleh Imam Syafie, iaitu:

  1 - Orang paling faqih (faham ) tentang agama.
  2 - Orang yang paling tahu tentang pembacaan Al-Quran.
  3 - Orang yang paling wara’
  4 - Orang yang paling tua.
  5 - Orang yang paling baik keturunannya.
  6 - Orang yang paling baik sirah (perjalanan) hidupnya.
  7 - Orang yang paling suci pakaiannya.
  8 - Orang yang paling suci tubuh badannya.
  9 - Orang yang paling baik bentuk badannya.
  10 - Orang yang paling elok suaranya.
  11 - Orang paling cantik rupanya.
  12 - Orang yang sudah berkahwin.
Inilah aturan keutamaan untuk menjadi imam yang sempat saya rujuk dalam kitab fiqh Syafie.

Adapun soalan yang utama iaitu mengenai hukum solat di belakang imam yang tak sempurna bacaan tajwid Fatihahnya. Saya berpendapat bahawa solat iman tersebut adalah sah dan solat ma’mum di belakangnya juga dikira sah. Ini berdasarkan kepada beberapa sebab, iaitu:

  1 - Ketidaksempurnaan tajwid tidak termasuk dalam syarat2 yang membatalkan solat..Kerana tajwid itu hanya untuk mencantikkan bacaan sahaja.

  2 - Syarat2 orang yang tidak sempurna bacaan Fatihahnya dan tidak sah untuk menjadi imam adalah berkisar di atas perkara2 berikut:

  a - tidak menghafalnya.
  b - tidak menghafal salah satu huruf daripadanya.
  c - meringankan huruf yang bersabdu dengan kata lain menjadikan dua huruf kepada satu huruf semasa membacanya.
  d - menukar huruf yang terdapat di dalamnya.
  e - merubah baris yang menyebabkan perubahan pada makna.

Lima perkara yang membatalkan bacaan Fatihah ini telah disebut oleh ulama’2 Syafie sebagai sifat2 "al-Ummi". Dia ini tidak boleh mengimami solat orang2 yang lebih arif tentang bacaan Fatihah daripadanya. Walau bagaimanapun sah solat "al-Ummi" dibelakang imam "al-Ummi" sepertinya.

Walau bagaimana pun dalam hal ini, saya syorkan suadara supaya menegur imam tersebut agar beliau mempelajari tajwid bagi memperelokkan bacaannya, kerana dia merupakan seorang imam yang dilantik oleh masyarakat maka tentunya beliau perlu memiliki kelebihan daripada orang lain lebih-lebih lagi dalam perkara yang berkaitan dengan sembahyang. Sekiranya saudara tak mampu berbuat demikian, maka mintalah pertolongan daripada orang yang lebih mampu untuk menasihatnya. Bertindak secara hikmah bagi menangani permasalahan ini.

Wallahua’lam.