![]()
|
|
Soalan : |
Masalah saya adalah seperti berikut : Saya ada mendengar keset ceramah agama oleh Dato' Ustaz Ismail Kamus bertajuk "Perihal Jin" dan "Bencana Sihir". Didalam ceramah itu, beliau ada menyebut tentang orang yang menjadi tukang sihir/tilik (khohin) ini bahawa pendapatan mereka melalui jalan ini adalah haram. Kebetulan ibu mertua saya adalah seorang yang mengamalkan ilmu-ilmu perubatan secara menurun dengan mendakwa bahawa dirinya telah dimasuki oleh itu dan ini dengan tujuan perubatan dan seumpamanya.Masalah saya ialah : 1) Telah diketahui bahawa pendapatan daripada pekerjaan itu adalah haram. Saya sebagai seorang menantu selalu menziarahi mertua saya.Makan minum adalah menjadi lumrah, tetapi didalam hati saya serba salah kerana punca rezeki mertua saya itu. 2) Saya sayangkan mertua saya sebagaimana saya menyayangi ibu/bapa kandung saya kerana mereka daripada orang yang baik-baik.Saya hanya dapat berdoa memohon supaya Allah membuka hati mertua saya supaya meninggalkan pekerjaannya sekarang, itulah selemah-lemah iman.Hendak ditegur salah tak tegur salah. Apakah yang harus saya lakukan...? Muhammad Azmi, Malaysia |
|
Jawapan : |
Menyentuh persoalan hubungan dengan jin dan sihir untuk tujuan perubatan, memang disebut oleh ulamak bahawa manusia berkemungkinan untuk berhubung dengan jin dan jin juga boleh menyurupai manusia dan berkomunikasi dengn manusia. Cuma yang menjadi masalah, manusia berhubung dengan jin dengan tujuan yang diluar batas syariat, seperti menghkianati orang lain dan lain-lain. Kadang-kadang boleh membawa kepada syirik dengan mempercayai bahawa jin boleh memberi menafaat dan mudharat. Sedangkan pada hakikatnya, semua ini dibawah kuasa Allah. Kepercayaan seumpama ini kadang-kadang membawa kepada pemujaan jin dan syaitan seterusnya menyekutukan Allah. Pemujaan adalah haram disisi islam dan kalau sipemuja mati tanpa sempat bertaubat dikhuatiri ianya termasuk didalam kalangan penghuni neraka. Begitu juga dengan sihir, disebut didalam hadis sihir merupakansalah satu dari tujuh disa besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah Taala kecuali dengan bertaubat. Tentang permasalahan yang diutarakan oleh saudara yang berkiatan dengan hukum memakan makanan yang puncanya dari jalan yang haram , disana ulamak ada menyebut bahawa harta yang diperolehi melalui jalan yang bukan syarei tidak boleh dimanfaatkan sama sekali untuk tujuan peribadi ataupun untuk menyara keluarga. Perkara ini telah disepakati oleh ulamak dan Dorktor Yusof Qardhawi ada menyebut didalam fatwanya (fatwa-fatwa semasa oleh Yusuf Qardhawi, jilid 2 mukasurat 41). Kita seharusnya mengambil berat dalam persoalan makan dan minum kerana disana Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Tiap-tiap daging yang terhasil dari benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya" Mereka yang yang makan minumnya dari benda-benda yang haram atau dari sumber yang haram tidak akan diterima doa mereka sebagaimana tersebut didalam hadis. Sebab itulah kita lihat ulamak-ulamak terdahulu seperti Imam Syafie memang benar-benar mengambil berat tentang persoalan pemakanan sehingga Imam Syafie pada suatu hari mendapati bahawa keratan hafalannya berkurangan, lalu didapati ianya berpunca daripada susu kambing yang diminum dan kambing tersebut memakan tanaman orang lain tanpa izin, lalu beliau memuntahkan balik susu tersebut. Jikalau kita memakan atau minum dari sumber yang haram dalam keadaan kita tidak mengetahuinya, kita dimaafkan sebaimana kaedah mengatakan "sesuatu yang tidak diketahui tidak ada hukum keatasnya". Sekiranya kita mengetahui bahawa sesorang itu memperolehi rezekinya dari sumber yang haram, Imam Ahmad dan Ibnu Taimiyyah menyebut didalam kita "Risalah Halal dan Haram" bahawa kita hendaklah mengelakkan diri daripada terdedah dengan penggunaan sumber yang haram tersebut seperti memakan dan lain-lain. Imam Al-Ghazali telah menyebut didalam kita " Ihya Ulumiddin jilid 2, mukasurat 16" Sekiranya kita diundang oleh sesorang yang hartanya adalah dari sumber yang haram atau ada syubhah, kita hendaklah mengelakkan diri daripada menghadiri undangan tersebut. Imam Ghazali juga menyebut, sekiranya hartanya bercampur diantara yang halal dan yang haram dan nisbah harta haram lebih banyak daripada hartanya yang halal, dalam keadaan ini juga kita tidak boleh memakan hidangannya sewaktu menziarahinya, juga tidak boleh menerima hadiah darinya. Makala masalah saudara untuk menjaga hubungan erat dengan mertua dengan memakan makanan yang disediakan hasil daripada pendapatannya, dimana Imam Ghazali juga ada menyebut tentang permasalahan ini dengan katanya: "jika sekirannya kedua ibubapa memperolehi pendapatan daripada sumber yang haram atau syubhah, maka hendaklah dijauhi daripada memakan dari perolehan tersebut. Sekiranya mereka berdua memarahi kamu kerana kamu tidak memakannya janganlah kamu mengambil hal dengan mereka, bahkan kamu kendaklah melarang mereka daripada perkara tersebut. Ini kerana tidak ada ketaatan kepada makhluk untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah. Sekiranya pendapatan mereka dari perkara syubhah, kamu menjauhkannya kerana untuk menjaga wara". Harus dingat, kita juga dituntut supaya menghormati dan berbuat baik dengan keduanya didalam kita menolak pelawaan. Kita kendaklah menunjukkan sikap berlembut dan pandai mengambil hati keduanya. Sekiranya kita tidak berupaya untuk mengelak, kita dibenarkan untuk menyentuh makanan tersebut sekadar menghormatinya dan hanya memakan sedikit sahaja. Berhubung dengan usaha yang patut saudara lakukan untuk menangani masalah ini, pada pandangan saya, saudara perlu bijak agar hubungan tidak retak. Cadangan saya adalah seperti berikut:- Pertama. Sudara perdengarkan kaset tersebut dihadapan ibu mertua saudara tanpa menunjukkan yang saudara ingin membaikinya. Kedua. Gunakan peranan isteri saudara untuk menerangkan kepadanya, kerana kebiasaannya, peranan hubungan kekeluargaan juga boleh membantu. Ketiga, Jika saudara ada kekuatan dan cara ini adalah yang tebaik yang mana saudara berhadapan sendiri dengan ibu mertua saudara. Gunakan kebijaksanaan dalam berlembut dengannya dan cuba terangkan bhawa apa yang dilakukannya selama ini adalah bertentangan dengan agama. Kempat, kalau ibu mertua saudara celik huruf, saudara belikan buku-buku yang berkaitan dengan jin dan sihir supaya dia sedar dan faham hukum yang sebenarnya. Kelima, saudara boleh menggunakan khidmat mereka yang benar-benar rapat dengannya kerana Ibnu masud pernah berkata "Fitrah hati manusia sukakan orang yang berbuat baik kepadanya". Keenam, biasanya mereka yang mengamalkan amalan ini, mereka buta hukum (tidak tahu hukum sebenar didalam syariah). Kalau berkesempatan saudara bolem membawanya berjumpa dengan alim ulamak yang terkenal dalam bab jin dan sihir serta buat perbincangan dalam suasana yang tidak menampakkan saudara ingin mngajarnya. Ketujuh. Cuba beri kesedaran kepadanya tentang akibat diakhirat bagi mereka yang mengamalkan amalan ini. Kelapan, Disebut didalam hadis, rumah yang dibaca didalamnya surah Al-Baqarah tidak dimasuki oleh syaitan dan jin. Oleh itu perbanyakkan membaca surah Al-Baqarah. Kesembilan, setelah saudara berusaha sedaya upaya, barulah bertawakkal kepada Allah disamping saudara berdoa supaya semua ahli keluarga terselamat dari api neraka. Perbanyakkan solat hajat. Saya doakan semoga saudara berjaya dalam usaha saudara. Semoga Allah bersama saudara. Wallahuaklam
|