QADA' SEMBAHYANG

Soalan :
Perubahan waktu sembahyang di Jepun agak ketara terutamanya ketika pertukaran musim. Kadang-kadang hal-hal pembelajaran membuatkan  saya kurang sedar akan bermulanya atau berakhirnya waktu sembahyang kerana perubahan waktu sembahyang agak cepat.

Apakah hukumnya saya yang selalu mengqadakkan sembahyang tersebut...adakah pahala menunaikan sembahyang tersebut berkurangan.?

Sekian ...wasalam.

Hamba Allah, Jepun


Jawapan :
 

Terima kasih kerana suadara mengambil berat tentang persoalan sembahyang yang merupakan tiang asas kepada agama kita. Kalau sembahyang kita sempurna, Insya Allah kehidupan kita di dunia dan di akhirat akan sempurna. Alhamdulillah , kami di Jordan juga merasainya suasana yang dirasai oleh saudara kerana di bumi Jordan yang mempunyai 4 musim. Mungkin saudara disana sedikit berbeza sebagaimana yang kami alami disini. Hal ini ketara di musim sejuk. Apa yang perlu kita sedari adalah sembahyang adalah wajib dan dilakukan pada waktu yang khusus. Manakala hukum belajar adalah wajib. Ini tidak bermakna kita melengahkan sembahyang kerana disebabkan oleh hal-hal pembelajaran, kerana sembahyang wajib ditunaikan pada waktunya. Sebagaimana di sebut didalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dimana Rasulullah SAW ditanya oleh seorang sahabat: Wahai Rasulullah, apakah amalan yang paling disukai oleh Allah? Lalu baginda bersabda "Sembahyang pada waktunya". Seharusnya kita sebagai orang muslim peka dengan persoalan sembahyang dan menunaikannya didalam waktunya, sebaik-baiknya pada awal waktu. Satu perkara lagi yang harus kita sedari, bahawa bumi Allah ini sesuai untuk dijadikan tempat sembahyang, saudara boleh bersembahyang seaktu saudara berada di makmal ataupun di perpustakaan, yang penting saudara menghala ke kiblat.

Kalau saudara meninggalkannya kerana terlupa atau tanpa disedari, saudara dimaafkan dan mengqada'nya segera diwaktu kita mengingatinya.

Satu perkara lagi, agama Islam adalah agama yang mudah dan meraikan suasana serta keadaan persekitaran. Dalam musim sejuk, islam membenarkan untuk kita membuat solat jamak (zohor dan Asar) (Manghrib dan Isyak) dengan syarat cuaca betul-betul sejuk dan biasanya dibawah paras beku. Saudara boleh menggunakan peluang ini. Tetapi ianya tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Syarat untuk jamak sembahyang adalah sembahyang tersebut hendaklah dilakukan di masjid dengan persetujuan ahli jemaah.

Tentang hukum qadak sembahyang, saudara diwajibkan qadak sembahyang yang luput. Seharusnya diqadak segera dan meminta keampunan daripada Allah diatas kelemahan kita dalam menunaikan tuntutan serta berazam dengan teguh untuk tidak mengulangi perkara yang sama. Memohon agar Allah mnguatkan iman kita dalam melakukan amalan kebaikan kepadanya.

Tentang pahala pula, orang yang bersembahyang diawal waktu tidak sama pahala dengan orang yang bersembahyang di akhir waktu. Orang yang sembahyang di sof pertama tidak sama dengan orang yang sembahyang di sof kedua dan seterusnya. Begitu juga denga orang yang bersembahyang didalam waktu tidak sama pahalanya ędenga orang yang besembahyang diluar waktu, sudah tentu berkurangan.

Orang yang menunaikan sembahyang dalam waktu pun belum tentu diterima Allah Taala. Oleh itu marilah sama-sama kita menjaga dalam persoalan sembahyang kerana perkara utama yang akan ditanya oleh Allah Taala diakhirat kelak adalah persoalan sembahyang. Selain itu juga, perbanyakkanlah solat-solat sunat yang bertindak untuk menampal sembahyang fardu kita yang tidak sempurna disamping bangun malam bermunajat lepada Allah. Itulah sebaik-baik waktu kita menghadap Allah dengan penuh kehinaan.

Wallahukalam.