Cucu tanpa datuk...
Telefon dirumah ibuku di Pondok Beris berdering jam 4:30pagi Ahad tanggal 19hb. Disember,1999.Isteriku yang sedang menyiapkan makanan sahur menangkatnya dan menerima berita yang kami duga.Ayahnya sakit tenat di ICU Mutiara di Hospital USM Kubang Kerian ,Kelantan.Selepas bersahur untuk puasa Ramadhan,1420 kami bersiap diri untuk terus menziarahi orang tua kami yang sedang dirawat kerana sakit 'chronic stomach ulcer'.Beliau baru dua hari menjalani pembedahan kali kedua dan keadaannya masih ditahap bahaya.Dihati kecilku berharap isteriku dapat menerima apa jua ketetapan dari Allah swt.
Kami sekeluarga sudah berada dikampung Pondok Beris sejak hari Khamis 14hb. Disember lagi.Ini kali kedua kami pulang untuk menziarahinya.Kali pertama ialah seminggu sebelumnya apabila beliau pengsan kerana mengalami kekurangan darah yang kronik.Penyakitnya tidak bertambah baik.Pembedahan pertama gagal untuk menutup pembocoran ditali perutnya.Pembedahan kali kedua pada mulanya agak berjaya,tetapi nampaknya bila berlaku pendarahan dan tekanan darahnya menurun ketahap 50/30 pada pagi Ahad tersebut.
Apabila kami tiba jam 7:00pagi,beliau masih bernafas dengan menggunakan alat respirator.Kami dimaklumankan beliau sedang nazak.Semua sanak saudara terdekat telah dimaklumkan.Selepas membaca surah Yasin,aku terus menalifon kakak-kakak isteriku yang berada di Kuala Lumpur.Sebelum ini mereka telah pulang ke Kota Bharu,tetapi terpaksa pulang kembali ke KL kerana urusan keluarga masing-masing.
Isteriku terus berada disisi ayahnya dan aku menyuruh anak-anakku memasuki wad ICU untuk melihat Datuk mereka buat kali terakhir. Mereka amat bertuah kerana mereka sajalah cucu bapa mertuaku yang pulang dan menziarahi datuk mereka yang sakit tenat.
Diluar wad,aku berbicara dengan adik mertuaku berkaitan urusan kematian yang akan tiba bila-bila masa lagi.Mertuaku berpesan supaya beliau di semadikan bersama ahli keluarganya di kubor Banggu.Aku ditugaskan untuk mengurus jenazah dari hospital kerumahnya di Desa Bakti.
Lebih kurang jam 9:00 pagi,seorang doktor muda memanggil kami ahli keluarga untuk satu taklimat ringkas.Kami diberitahu yang mertuaku sedang mengalami nazak yang kuat dan meminta kami melihat dan membaca Yasin sebelum ajalnya tiba.Lebih kurang setengah jam aku menunggu diluar,tiba-tiba terburu keluar ibu mertuaku( Cik Esah) memaklumkan bahawa bapa mertuaku telah pergi untuk selama- lamanya...
Alhamdulilah,aku bersyukur kerana beliau tidak lama mengalami kesakitan dan kami selamat mengkebumikannya ditanah perkuburan yang diwasiatkannya pada jam 6petang dalam suasana hujan renyai-renyai...
Aku juga berasa sedih kerana sebahagian kecil sahaja anak dan cucunya sempat menziarahi bapa mertuaku disaat-saat terakhir.Dan mulai hari itu,anak-anakku tidak berdatuk.Ayahku sendiri sudah meninggal dunia sejak 19 tahun yang lalu.Adalah menjadi harapan dan doaku supaya tiba giliran aku atau isteriku nanti,anak dan cucu kami akan semuanya berkesempatan menziarahi kami sebelum kami meninggalkan mereka. Peristiwa ini banyak mengajar aku tentang kemanusian dan kehidupan itu sendiri.Dan aku yakin,hanya isteri yang baik sajalah yang akan menemani kita kesaat terakhir...
0000000000000000000000000[27/12/99]0000000000000000000000000