LAPORAN AKTIVITI KELAB UMNO KAWASAN TOHOKU SESSI 1999/2000
Pertandingan Mencipta Kad Ucapan Hari Raya Dan Jualan Kad Hari Raya (l)
Tarikh : Sepanjang bulan November dan Disember 1999
Tempat : Seluruh Tohoku
Laporan: Pihak KUK Tohoku telah menerima 4 rekacipta daripada ahli-ahli yang menyertai pertandingan ini. Keputusan pemilihan telah dibuat oleh AJK KUK Tohoku 1999/2000 sendiri. Kad yang direkacipta oleh Saudari Jazmeen Jamaludin dan hasil gabungan Saudari Noor Azlin Idris dan Saudara Ahmad Kadrie Junoh telah terpilih untuk dicetak dan dijual ke seluruh Jepun. Sambutan yang diberikan agak menggalakkan. KUK Tohoku mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah membeli kad-kad ucapan hari raya tersebut.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri
Tarikh: 7,8 Januari 2000
Tempat: Kediaman Pelajar Universiti Akita
Laporan: Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kawasan Tohoku pada tahun ini telah dimulakan sehari awal dengan pihak tuan rumah telah bekerjasama menyediakan juadah hari raya termasuklah membuat kuih hari raya dan membakar satay. Keesokannya, majlis telah dimulakan dengan takbir raya diikuti dengan solat sunat dan khutbah Aidilfitri yang telah diketuai oleh Saudara Md. Azizi Sapar. Majlis telah dihadiri oleh peserta seramai 45 orang. Sejurus selepas itu, para peserta telah menikmati hidangan yang disediakan oleh pihak tuan rumah. Majlis bersurai pada pukul 4 petang.
Aktiviti Ski dan "Snowboard"
Tarikh: 12 Januari 2000
Tempat: Pusat Ski APPI, Iwate.
Laporan: Para peserta dari Akita, Aomori dan Iwate yang berjumlah seramai 25 orang telah tampil untuk mempersembahkan kemahiran bermain ski dan `snowboard・masing-masing pada tarikh dan tempat seperti yang tersebut. Berikut adalah aturcara majlis pada hari itu:
9:00 pagi Berkumpul di lobi Pusat Ski APPI
9:30 pagi Sesi fotografi dan senaman ringan
9:45 pagi Aktiviti bermula
12:30petang Solat dan makan tengahari
5:00 petang Berkumpul semula di lobi dan besurai
Alhamdulillah aktiviti ini telah berjaya dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang kecederaan. Pihak kami berharap semoga pada masa hadapan lebih ramai lagi penyertaan terutamanya dari luar kawasan Tohoku.
Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Majlis Perpisahan Untuk Pelajar Tahun Akhir Yang Akan Pulang Ke Malaysia
Tarikh: 19 Mac 2000
Tempat: Kediaman Pelajar Yonezawa, Universiti Yamagata
Laporan: Majlis kali ini dihadiri oleh lebih kurang 20 orang ahli dari Yamagata selaku tuan rumah, Fukushima dan Akita. Majlis ini juga dihadiri oleh tetamu-tetamu yang datang jauh daripada Malaysia untuk memeriahkan majlis tersebut. Majlis bermula pada pukul 12 tengahari dan dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan dari saudara Abu Hanipah Nawi selaku wakil tuan rumah. Beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada pelajar tahun akhir dan semoga mendapat apa yang diimpikan. Para tetamu kemudiannya dihidangkan dengan jamuan ayam bakar dan bihun goreng. Sebelum majlis bersurai, sesi fotografi telah dijalankan. Majlis tersebut berjalan lancar hasil dari kerjasama semua pihak. Pihak KUK Tohoku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada tuan rumah yang sudi menganjurkan majlis ini dan semua ahli yang menjayakan majlis tersebut.
Program Penghayatan Islam 2000
Tarikh: 26 April ・6 Mei 2000
Tempat : Akita, Aomori, Yamagata.
Laporan: KUK Tohoku dengan kerjasama Persatuan Pelajar Muslim Akita (MSA) telah menganjurkan Program Penghayatan Islam 2000 yang bermatlamat untuk memantapkan ilmu rohani dan ilmu agama dalam diri para pelajar muslim di Jepun. Untuk itu, KUK Tohoku telah mengundang Timbalan Mufti Negeri Selangor, Ustaz Abdul Majid bin Omar, yang hadir bersama isteri, Puan Badlishah, serta Imam Masjid Kelana Jaya, Tuan Haji Mohamad bin Shafie, bersama-sama isteri beliau, Puan Sabariah. Kehadiran para tetamu tersebut telah disambut oleh para pelajar di Akita pada hari Sabtu, 29 April 2000.
Majlis Pembukaan bagi program ini telah dirasmikan pada hari Ahad, 30 April 2000 yang bertempat di Pusat Belia Akita .Wakil dari Kedutaan Malaysia di Jepun, Encik Abang Othman bin Abang Yusuf dan tetamu jemputan warganegara Jepun, Encik Man Sasaki serta rakan-rakan sejawatannya turut hadir pada majlis tersebut. Majlis Pembukaan yang berlangsung lebih kurang 3 jam ini telah dihadiri oleh para pelajar yang berjumlah seramai 37 orang. Majlis ini telah membuktikan bahawa perbezaan bangsa dan agama bukanlah penghalang dalam menjalinkan hubungan antarabangsa.
Program ini telah dijalankan di 3 kawasan, iaitu Akita, Aomori dan Yamagata. Tempat penginapan dan jamuan makan telah disediakan oleh pihak tuan rumah. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti solat berjemaah dan kuliah Subuh serta Maghrib, melawat tempat-tempat yang menarik di setiap kawasan dan soal-jawab agama.
Program ini telah berakhir pada 6 Mei 2000 (Sabtu). Tuan Haji Mohamad bin Shafie dan Ustaz Abdul Majid bin Omar telah memberi ucapan dan amanat kepada para peserta. Antara lain, beliau berpesan kepada semua pelajar muslim supaya tidak mengabaikan suruhan Allah walaupun di manapun berada terutamanya Negara Jepun ini yang masih sunyi dengan syiar Islamnya. Sebagai tanda penghargaan, KUK Tohoku telah menyampaikan cenderahati kepada para tetamu undangan. Para tetamu telah bertolak pulang ke Tokyo dari Yamagata pada pukul 8 pagi dan seterusnya pulang ke Malaysia pada keesokan harinya.
Program ini telah memberi banyak manafat kepada semua peserta dan adalah menjadi satu kewajipan bahawa mempelajari ilmu dunia seiring dengan ilmu akhirat adalah penting demi mencapai matlamat hidup yang sempurna. Program ini telah dapat dijalankan dengan lancar hasil daripada kerjasama pihak-pihak yang terlibat dan penyertaan para peserta yang amat menggalakkan. KUK Tohoku ingin melahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak kerana dapat memberikan sokongan dan kerjasama yang diberikan, terutamanya kepada para dermawan yang sanggup mengorbankan wang ringgit dan tenaga untuk menjayakan program ulung KUK Tohoku ini. Tidak lupa juga jutaan terima kasih dan penghargaan kepada pihak Kedutaan Malaysia di Jepun yang sudi memberikan kelulusan supaya majlis ini dijalankan serta Kelab UMNO Jepun yang turut serta membiayai program ini. Tidak lupa juga kepada tetamu undangan Ustaz Abdul Majid Bin Omar & isteri dan Tuan Haji Mohammad Bin Shafie & isteri kerana kesudian memenuhi undangan KUK Tohoku ini.
Kejohanan Bola Sepak KUK Tohoku 2000
Tarikh: 7 Julai 2000
Tempat: Padang Sukan Akita
Laporan: Perlawanan bola sepak pada kali ini telah disertai oleh ahli-ahli dari Akita,Iwate dan Aomori.Perlawanan telah dijalankan di antara 4 pasukan iaitu pasukan dari Iwate, pasukan dari Aomori dan 2 pasukan dari Akita. Perlawanan ini bermula dari jam 11.00 pagi dan berakhir dengan kemenangan memihak kepada pasukan dari Iwate. Hadiah berupa piala pusingan telah disampaikan kepada pasukan yang menang. Sejurus selepas perlawanan tersebut, ahli-ahli yang hadir telah dijamu dengan hidangan makan tengah hari. Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan Iwate. Diharapkan perlawanan ini mendapat sambutan yang lebih menggalakkan pada masa akan datang.
Kejohanan Bowling KUK Tohoku 2000
Tarikh: 7 Julai 2000
Tempat: Pusat Bowling Akita
Laporan: Pertandingan bowling telah dijalankan pada 4.30 petang dan disertai seramai 40 orang peserta. Walaupun telah penat bermain bola sepak, para peserta tetap menunjukkkan tahap permainan yang amat memberangsangkan. Pertandingan kali ini telah dibahagikan kepada 3 kategori, iaitu bahagian lelaki, wanita dan berpasukan. Berikut adalah keputusan pertandingan tersebut:
Bahagian Lelaki:
Pertama: Mohd Zaidi Abd. Malek (Universiti Hirosaki)
Kedua: Widia Hartono (Universiti Akita)
Ketiga: Hasrul Hafiz Abu Bakar (Universiti Akita)
Bahagian Wanita:
Pertama: Noor Azlin Idris (Universiti Akita)
Kedua: Sazelina Salimon (Universiti Akita)
Ketiga: Nurul Syuhada Hj.Mohd. Anuar (Universiti Akita)
Bahagian berpasukan di menangi oleh pasukan Aomori.
Hadiah-hadiah berupa hamper telah diberikan kepada para pemenang. Tahniah dan syabas diucapkan kepada yang berjaya.
Ekspedisi Mendaki Gunung Fuji dan Perkhemahan Musim Panas 2000
Tarikh : 7-12 Ogos 2000
Tempat: Gunung Fuji, Yamanashi
Laporan: Pada 7 Ogos, ahli-ahli ekspedisi yang terdiri daripada 6 orang peserta telah bertolak dari Akita dan sampai di Yamanashi pada 8 Ogos. Setelah membeli bekalan makanan, para peserta kemudiannya pergi ke Tasik Kawaguchi untuk berkelah sambil merehatkan diri. Selepas bersolat, para peserta telah memulakan perjalanan ke paras ke-5 Gunung Fuji yang ketika itu sedang hujan. Apabila hujan telah reda, para peserta mulai mendaki. Walaupun keadaan amat sejuk, para peserta tidak patah semangat untuk meneruskan pendakian hingga ke puncak. Puncak Gunung Fuji telah berjaya ditakluki pada 9 Ogos, jam 2:30 pagi. Para peserta berasa amat gembira kerana telah berjaya mencapai matlamat aktiviti ini walaupun dalam keadaan letih dan kesejukan. Para peserta telah menyaksikan keindahan alam pada saat matahari terbit. Setelah puas mengambil gambar dan mendapatkan cenderahati, para peserta mendaki turun. Selepas makan tengahari, para peserta meneruskan perjalanan ke Taman Safari Fuji dan berkhemah di situ. Keesokannya, ahli-ahli ekspedisi telah menyaksikan tayangan safari yang ditayangkan pada hari itu. Kemudiannya, para peserta telah bertolak ke Tasik Sai untuk aktiviti perkhemahan. Pada 11 Ogos pula, ahli-ahli ekspedisi telah bertolak ke Tanah Tinggi Fujikyu. Pada malam tersebut, para peserta telah meneruskan perjalanan hingga ke Nagaoka. Pada keesokan harinya, ahli-ahli telah singgah di ladang anggur sebelum pulang ke Akita.
Kejohanan Bola Tampar Musim Luruh Tohoku.
Tarikh: 9 Oktober 2000
Masa: 1ptg ・5ptg (saringan)
7ptg ・8mlm (pertandingan akhir)
Tempat: Dewan Sukan Universiti Akita
Laporan: Sukan yang menjadi pilihan buat kejohanan yang julung-julung kali diadakan ini ialah bola tampar. Jumlah peserta yang mengambil bahagian kali ini seramai 30 orang (5 pasukan).. Peringkat saringan diadakan secara liga dan dua pasukan teratas liga dipertemukan sekali lagi pada perlawanan akhir. Berikut adalah keputusan kejohanan:
Johan : Pasukan Itik Serati (Akita)
Naib Johan : Pasukan Akiko (Akita)
Tempat Ketiga : Pasukan Man dan Kawan-Kawan (Iwate)
Hadiah telah disampaikan oleh Saudara Ahmad Puad bin Ismail.
Pertandingan Pidato Peringkat KUK Tohoku kali ke-3
Tarikh : 14 Oktober 2000
Tempat : Kediaman Pelajar Universiti Iwate
Laporan: Sepertimana tahun-tahun yang lepas, pertandingan pidato telah menjadi acara tahunan bagi KUK Tohoku. Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk memupuk semangat cintakan Bahasa Melayu. Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Saudara Mohamed Razman b. Khalil Azmi dari Universiti Iwate. Pada kali ini, seramai 7 orang peserta telah mengambil bahagian. Ia diadili oleh 4 orang pengadil dari kalangan ahli-ahli KUK Tohoku sendiri. Berikut adalah nama-nama pengadil yang telah menghakimi pertandingan tersebut:
1. Saudara Ludinata Misnun ・Ketua Pengadil (Universiti Fukushima)
2. Saudari Azlina Omar Baki (Universiti Iwate)
3. Saudara Hamidi Husin (Kolej Teknikal Akita)
4. Saudara Shafizal Nazlan Zanarazalan (Universiti Hirosaki)
Para peserta diberi masa 8 minit untuk membentangkan hujah-hujah mereka dan tajuk pidato adalah bebas. Nama peserta yang telah mengambil bahagian dan tajuk pidato yang disampaikan adalah seperti berikut:
1. Saudara Shiful bin Musa (Universiti Akita) "Budaya Tinggal Nama"
2. Saudara Ahmad Shukri bin Abd. Rahim (Universiti Akita)
"Cinta"(Pemenang Tempat Ketiga)
3. Saudara Noor Affendy bin Abu Bakar (Universiti Hirosaki)
"Sejauh Manakah Keberkesanan Pemindahan Teknologi Ke Malaysia"(Pemenang Tempat Kedua)
4. Saudara Azman bin Abd. Samad (Universiti Akita)
"Rancangan Buku Hijau"
5. Saudara Izham Maslifa bin Razalli (Universiti Hirosaki)
"Jepun Yang Kita Kenali"
6. Saudara Wan Azlan bin Wan Ali (Universiti Akita)
"Ragam Pemandu Malaysia-Takut Bila Berjumpa Polis"
7. Saudara Noor Hisham bin Ahmad Kamil (Universiti Iwate)
"Anak Melayu-Di Manakah Martabat Mereka?"
(Pemenang Tempat Pertama)
Pemenang tempat pertama dan ketiga mewakili KUK Tohoku ke Pertandingan Pidato Piala Kepimpinan yang akan dianjurkan oleh KUJ Pusat. Tahniah diucapkan kepada para pemenang. Semoga pertandingan ini mendapat penyertaan yang lebih menggalakkan terutamanya daripada peserta wanita.
Pertandingan Mencipta Kad Ucapan Hari Raya Dan Jualan Kad Hari Raya (ll)
Tarikh : Sepanjang bulan Oktober 2000
Tempat : Seluruh Tohoku
Laporan : -aktiviti sedang dijalankan-
Mesyuarat Agung KUK Tohoku 2000
Tarikh : ? November 2000
Tempat : Pusat Belia Akita, Akita
Laporan : -aktiviti sedang dalam proses perbincangan-
Sebarang pertanyan sila hubungi kuktohoku@oocities.com