BEBERAPA KESILAPAN IBU BAPA
DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK
(Kuliah Mingguan Surau An-Nur , 15 Safar 1419 bersamaan 10 Jun
1998 )
(Oleh Ustaz Khalid bin Haji Mohd Isa)
Pengenalan
Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian
dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hambaNYA. Firman ALLAH s.w.t.
:
"Harta benda dan anak-anak
kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar."
(Al-Quran
Surah At-Taghabun, 64 : 15)
Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang
yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak
membawa kebaikan kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan telah
bersabda :
"Tahukah engkau siapakah
orang yang mandul." Berkata para sahabat : "Orang yang mandul ialah orang
yang tidak mempunyai anak." Lalu Rasulullah SAW berkata : "Orang yang mandul
itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak
memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia."
(Maksud Al-Hadith
)
Ini mungkin disebabkan beberapa kesilapan dalam mendidik
anak-anak.
1. Kesilapan pertama : Kurang berdoa
1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang
digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah
* Saidul (penghulu) Istighfar
* Doa memohon rahmat (Al-Quran
Surah Ali ‘Imran, 3 : 8-9)
* Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 38)
* Doa agar anak mengerjakan solat
(Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)
1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang
digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah
* Doa agar anak patuh kepada
ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 : 128)
* Doa diberi zuriat yang menyejukkan
hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 : 74)
* Doa supaya nama anak membawa
kebaikan kepadanya.
2. Kesilapan kedua : Banyak memberi belaian Tarhib
(menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti :
* menakutkan anak-anak dengan sekolah
* menakutkan dengan tempat gelap
* menakutkan dengan hutan rimba atau bukit
bukau
* menggunakan kekerasan dan paksaan semasa
menyuruh anak tidur
3. Kesilapan ketiga : Tidak tegas dalam mendidik anak-anak
* tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak
* terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu
aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.
4. Kesilapan keempat : Menegur anak secara negatif
* mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun
kepada anak-anak (terutama semasa marah).
* membandingkan anak-anak dengan anak-anak
lain atau anak orang lain.
5. Kesilapan kelima : Memberi didikan yang tidak seimbang antara
jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual).
* ramai yang lebih mementingkan pendidikan
minda dari pendidikan rohani
6. Kesilapan keenam : Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak
sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka.
Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. :
Pada suatu hari Rasulullah
SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra’ bin
Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra’ : "Ya
Rasulullah!
Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang
pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata :
"Siapa
yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."
(Maksud Al-Hadith
Riwayat Bukhari dan Muslim)
7.
Kesilapan ketujuh : Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang
kemas
* ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian
yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu
berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.
8. Kesilapan kelapan : Susunan rumahtangga yang tidak
kemas.
Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi
pemalas dan selekeh.
9. Kesilapan kesembilan : Kurang menghidupkan sunnah di rumah
seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya.
Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik
dari salam yang diberi.
10. Kesilapan kesepuluh : Tidak menggantungkan rotan di tempat
yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan
mendidik adalah satu sunnah.
11. Kesilapan kesebelas : Kurang mendedahkan anak-anak dengan
model yang cemerlang seperti para ulama’ dan orang-orang yang berhemah
tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang
jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak
Islam.
12. Kesilapan keduabelas : Bertengkar di depan
anak-anak. Ini
akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari
ibubapanya.
13. Kesilapan ketigabelas : Membenarkan orang yang tidak elok
sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri
ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak
baik kepada anak-anak yang masih membesar.
14. Kesilapan keempatbelas : Kurang mengawasi rancangan-rancangan
yang ditonton samada dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah
penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang
kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang
tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.
15. Kesilapan kelimabelas : Terlalu bergantung kepada pembantu
rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal
di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan
kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.
Wallahu a’lam.
|